Seminar Pengajaran Bahasa dan Kesusasteraan Malaysia, Jabatan Pengajian Melayu, UM, KL, 7-10 April 1974
PEMBENTUKAN BAHAN PENGAJARAN DAN PENILAIANNYA
8.1 Pengenalan
Tajuk bab ini adalah amat luas, dan kalau seseorang itu ingin berbincang tentang segala-segala; maka haruslah tidak dapat dijalankan dengan mendalam. Oleh itu dalam bab ini akan dibincangkan hanya beberapa tajuk penting sahaja secara am. Dalam membincang tajuk seperti ini maka perlulah dibuat beberapa definisi mengenai konsep-konsep pokok di dalam pengajaran bahasa secara am, seperti apa yang kita maksudkan dengan buku-buku teks, untuk siapa buku-buku teks itu ditulis, dan kaedah apa yang digunakan di dalam mengajar bahasa tersebut.
8.1.1 Buku Teks
Mungkin istilah buku teks adalah terlalu umum. Oleh yang demikian mustahaklah diberi definisi mengenai apa yang dimaksudkan dengan buku teks di dalam perbincangan ini. Secara am dapat dikatakan bahawa istilah buku teks adalah sama ertinya dengan bahan mengajar. Walau bagaimanapun, bahan mengajar mungkin mempunyai maksud yang lebih khusus. Istilah ini khusus kerana bahan mengajar membawa pengertian segala macam yang digunakan untuk mengajar bahasa. Istilah bahan mengajar itu mencakupi segala macam alat pandang-dengar yang digunakan untuk mengajar bahasa itu. Jadi, istilah buku teks itu, umumnya dimaksudkan untuk bahan bercetak, menurut sukatan tertentu bagi sesuatu mata pelajaran, untuk jangka masa tertentu.
8.1.2 Pelajar
Adalah penting juga semasa membincangkan buku-buku teks atau bahan bantu mengajar ini, kita mengetahui siapakah yang akan diajar. Bagi perbincangan kita disini, tidak ada suatu golongan pelajar yang ditentukan. Oleh itu perlulah dibuat pembahagian secara kasar untuk memudahkan perbincangan. Ada dua cara pelajar tersebut digolongkan. Pertama pelajar-pelajar itu digolongkan menurut peringkat pengajiannya iaitu: Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Prauniversiti dan Universiti. Kedua pelajar boleh digolongkan berdasarkan tujuan mereka. Tujuan berhubung rapat dengan matlamat pencapaian yang diperlukan. Pencapaian yang dimaksudkan ini adalah salah satu daripada bentuk kemahiran, seperti: bertutur, mendengar, membaca dan menulis, atau kesemuanya sekaligus. Tujuan-tujuan ini akan menentukan peringkat pencapaian yang diperlukan. Kadang-kadang terdapat orang membincangkan bahasa sebagai kebolehan pasif dan aktif: pasif bermaksud kebolehan membaca saja, dan kebolehan aktif bermaksud sebagai kebolehan untuk semua bahagian kemahiran yang disebut di atas tadi. Perkara seperti ini memang mempengaruhi pembentukan bahan tersebut. Mempelajari bahasa untuk sesuatu tujuan tertentu memerlukan arahan yang berlainan; dengan kata lain, lain tujuan lainlah bahannya. Misalnya, pernah pelajar-pelajar yang sudah dewasa, Kelas Dewasa, diberi pelajaran bahasa Malaysia untuk lulus Sijil Rendah Pelajaran. Ini mungkin kesalahan dengan prinsip dan tujuan asal untuk menghasilkan perpaduan. Tentu sekali ini bukan tujuan mereka. Untuk apa mereka lulus bahasa Malaysia S.R.P.? Ini adalah salah satu daripada kekeliruan kita. Mungkin ada baiknya bahan yang sesuai untuk umur dan tujuan mereka itu dapat dibentuk. Tentu bahan tersebut akan menjadi lebih diminati dan berkesan.
Seterusnya, perlu dibincangkan pula satu perkara yang rapat hubungannya dengan pembentukan bahan mengajar, iaitu pola pembelajaran. Pelajar-pelajar dapat digolongkan menurut ciri-ciri tertentu:
(a) Pelajar bahasa Malaysia sebagai bahasa pertama
(b) Pelajar bahasa Malaysia sebagai bahasa kedua
(c) Pelajar bahasa Malaysia sebagai bahasa asing
Ketiga-tiga golongan ini adalah berlainan. Pelajar yang mempelajari bahasa Malaysia sebagai bahasa pertama memerlukan bahan dan kaedah tertentu. Umpamanya mereka mungkin memerlukan penekanan tentang sistem fonologi, morfologi dan sintaksis, tetapi lebih tekanan patut diberi terhadap bidang kosa kata, pengolahan dan gaya di dalam dialek baku dan rasmi. Mereka juga mempelajari bahasa Malaysia sebagai bahasa kedua harus pula mula diajar dari peringkat rendah lagi. Mereka harus diajar sistem bunyi, struktur, kosa kata dan lain-lain. Pendek kata mereka harus diajar segala-galanya dari mula. Mereka yang mempelajari bahasa Malaysia sebagai bahasa asing pula tentulah tidak memerlukan segala penelitian dan penekanan yang ada pada dua golongan di atas tadi. Mereka hanya memerlukan latihan sebutan sekadar untuk menjadi dasar bagi mempelajari kemahiran membaca dan menulis. Terjemahan adalah lebih penting bagi mereka.
8.2 Proses Penulisan dan Penerbitan Bahan Mengajar
Dalam proses pembentukan bahan mengajar bahasa Malaysia ini, kita perlu melihat tugas yang dijalankan oleh beberapa pihak seperti penulis, penilai, dan penerbit.
8.2.1 Peranan Penulis
Penulis buku-buku teks ini boleh terdiri daripada orang perseorangan ataupun sekelompok orang yang menggabungkan usaha mereka untuk menghasilkan sesebuah atau sesuatu set buku berkenaan. Penulis tersebut biasanya adalah orang yang telah berpengalaman mengajar mata pelajaran bahasa Malaysia tersebut. Untuk menulis buku tersebut, mereka akan berpandu kepada sukatan pelajaran yang berkenaan. Mereka sentiasa memberi perhatian supaya dapat memenuhi keperluan yang dikehendaki oleh sukatan tersebut. Walau bagaimanapun, sekiranya buku tersebut bukan untuk sekolah, mereka akan berpandu kepada tujuan dan peringkat pelajar yang berkenaan.
8.2.2 Peranan Penilai dan Biro Buku Teks
Setiap buku teks yang telah terkarang biasanya akan dinilai oleh penilai tertentu untuk pembaikan kalau perlu. Bagi buku-buku teks sekolah, setiap buku yang terkarang akan dihantar ke Biro Buku Teks untuk dinilai. Ini merupakan langkah untuk menentukan sama ada buku tersebut dapat digunakan atau tidak oleh sekolah-sekolah. Penilaian ini dijalankan oleh pegawai-pegawai yang berkenaan yang kemudiannya mereka akan menyediakan dan menyerahkan laporan mengenai buku itu untuk perhatian dan tindakan penulis dan penerbit. Sekiranya teks yang dinilai itu diluluskan, maka sebarang kelemahan yang dikemukakan perlulah dibaiki sebelum buku itu diterbitkan. Sekiranya buku itu didapati tidak sesuai, maka buku itu akan ditolak dan tidak akan diperakukan untuk kegunaan sekolah. Lagi sekali, ukuran yang digunakan ialah sukatan pelajaran bagi mata pelajaran yang berkenaan. Di samping itu, mereka juga akan memerhatikan ketepatannya dari segi tatabahasa dan kesesuaian kandungannya.
8.2.3 Peranan Penerbit
Pembentukan bahan mengajar bahasa Malaysia di negara ini, sebahagian besarnya dilakukan dengan cara yang dijelaskan di atas tadi. Pembentukan bahan mengajar bahasa Malaysia ini, sebahagian besarnya adalah menjadi tanggungjawab para penerbit. Biro Buku Teks hanya memainkan peranan di akhir proses itu saja. Orang yang hendak menulis buku teks bahasa Malaysia itu perlulah mempunyai pengetahuan sepenuhnya mengenai bahasa, dan pedagogi. Biasanya usaha seperti ini bermula dari sesebuah firma penerbit. Firma penerbit tersebut akan mendapatkan sebuah salinan sukatan pelajaran bahasa Malaysia, dan setelah menerima taklimat tertentu daripada pihak yang berkenaan, firma tersebut akan menugaskan seorang penulis menulis buku teks yang diperlukan. Setelah selesai barulah, buku teks tersebut dinilai oleh Biro Buku Teks, dan akan diterbitkan apabila diluluskan. Penulisan yang telah diluluskan itu tadi akan diterbitkan dan diedarkan oleh penerbit tadi. Dalam hal ini, projek InSPIRE di USM dan BAKA di UM telah memulakan langkah membentuk bahan bagi sekolah rendah, dengan cara membuat pengamatan berlanjutan terhadap keperluan pelajar, tetapi hasilnya masih di dalam peringkat percubaan.
8.3 Sampel Buku-Buku Teks 70-an
Beberapa buah buku teks bahasa Malaysia telah dipilih untuk dinilai. Teks-teks yang dikaji kebanyakannya diterbitkan oleh penerbit swasta, setelah mendapat kelulusan Biro Buku Teks. Kajian hanya dilakukan secara meluas dan tidak mendalam. Kebanyakannya buku yang ditulis tersebut adalah berdasarkan kepada sukatan pelajaran yang sama dan semuanya mempunyai ciri-ciri yang sama. Pemilihan buku-buku ini dilakukan secara rambang saja. Berikut disenaraikan buku yang dipilih dan dinilai di dalam kajian ini.
Sekolah Rendah
1. Mohd. Kassim Talib et al.1971. Pelajaran Bahasa Malaysia,
(1-6), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sekolah Menengah
1. Mustaffa Hj. Redwan et al.1970 Bahasa Melayu Kaedah Unit
(1-5), Keluang: Pustaka Pendidikan.
2. Asmah Hj Omar, 1970. Bahasa Malaysia Kini (1-5), Kuala
Lumpur: Federal Publication.
3. G. Soosai 1971. Kursus Baru Bahasa Malaysia (L.C.E.,
& M.C.E.), Kuala Lumpur: Raybooks Malaysia.
Tingkatan Enam
1. M. Noor Azam 1961. Membaca dan Berfikir, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
2. Awang Mohamad Amin 1973. Kertas Am (S.T.P.), Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
3. Razak Abu 1972. Bahasa Melayu, Kuala Lumpur: Utusan
Melayu Press.
4. Ding Choo Ming 1972. Bahasa Malaysia Peperiksaan S.T.P.M.
Kuala Lumpur: Malaya Publishing and Printing Co.
Peringkat dan Bidang Lain (Universiti)
1. Asmah Hj Omar & Rama Subbiah 1968. An Introduction to
Malay Grammar, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
2. Raja Mukhtaruddin 1971. Bahasa Malaysia, A Programmed
Course for Beginners, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus
1. A.K. Mohd. 1973. Kamus Moden, Kuala Lumpur: Geetha
Publications.
2. Mohd. Salleh Daud 1973. Kamus Pelajar, Kuala Lumpur:
Federal Publication.
3. Sulaiman Masri 1973. Kamus Utama, Kuala Lumpur: Pustaka
Zaman.
4. Dr. S. Santoso 1972. New Crown Dictionary of National Lan-
guage Singapura: Phoenix Co. Sg. (12thEd.).
5. Zainal Abidin b. Safarwan 1966. An Advance Malay English
Dictionary, Kuala Lumpur: Merican & Sons.
6. Winstedt R. O. 1969. Kamus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur:
Marican & Sons, (cetakan ketiga).
7. T. Iskandar 1970. Kamus Dewan, Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Kamus juga dinilai kerana peranannya sebagai bahan pengajaran bahasa amat besar.
8.4 Kesan Buku Teks Bahasa Malaysia
Keberkesanan bahan pengajaran yang digunakan dapat dilihat daripada kesan penguasaan bahasa Malaysia pelajar-pelajar yang berkenaan, kerana itu adalah menjadi tujuan utama penulisan bahan-bahan tersebut.
8.4.1 Kesan Terhadap Pelajar Bukan Melayu
Mungkin dari segi perangkaan, sukar untuk diberi kepastian, tetapi gambaran ini memang boleh didapati selepas peratusan kelulusan di dala peperiksaan kertas bahasa Malaysia pada peringkat Darjah V, SRP, SPM dan STPM diumumkan setiap tahun. Setiap tahun keadaan ini berubah-ubah dan menunjukkan perkembangan yang baik. Pada awal 70-an, kadar kegagalan agak tinggi, tetapi sudah berkurangan dalam tahun 80-an. Ini menunjukkan pengajaran bahasa Malaysia itu menjadi semakin berkesan. Namun demikian kegagalan masih berlaku.
8.4.2 Kesan Terhadap Pelajar Melayu
Secara umumnya, di dapati bahawa pelajar-pelajar Melayu masih mempunyai kelemahan dari segi penguasaan tatabahasa, ejaan dan sebutan baku. Keadaan seperti ini adalah membimbangkan kerana pelajar-pelajar ini mengalami pembelajaran bahasa Malaysia dengan di dedahkan kepada bahan dan kaedah yang mungkin tidak sesuai bagi mereka. Dalam tahun 80-an keadaan ini sudah jauh berubah dan menunjukkan perkembangan positif dari segi pemakaian bahasa tulisan, tetapi bahasa pertuturan masih perlu diperbaiki. Masih ada pelajar-pelajar Melayu yang gagal peperiksaan bahasa Malaysia lisan. Ini menunjukkan kegagalan mereka di dalam menguasai neka rasmi bahasa Malaysia.
8.4.3 Sebab Kelemahan
Kesalahan tatabahasa umum merupakan kesalahan sintaksis, seperti: menggunakan ayat tanpa subjek, kesalahan pemakaian imbuhan, dan penggunaan unsur bahasa asing (termasuk pengaruh kewartawanan). Kesalahan ejaan diletakkan kepada kesukaran Sistem Ejaan Baru. Anehnya, ada kesalahan yang sebenarnya tidak dapat dikatakan berpunca daripada sebarang sistem ejaan, sebab kesalahan itu juga menyalahi kedua-dua sistem, baik yang baru mahupun yang lama. Kesalahan sebutan biasanya timbul daripada bahasa daerah, bahasa kandung pelajar dan ketidakmampuan membunyikan huruf tertentu dengan memuaskan. Ini termasuk kejanggalan intonasi di dalam pertuturan. Perkara ini didapati berlaku, mungkin kerana intonasi kerap diabaikan di dalam pengajaran.
8.5 Langkah-Langkah Pembentukan Bahan Mengajar Bahasa
Setelah melihat kesan secara umum, maka kita mungkin dapat melihat beberapa kelemahan. Oleh itu ada baiknya kita melihat langkah-langkah penting di dalam pembentukan bahan. Ada sepuluh langkah penting (C.F.Johnson,1972).
1. Rasional. Pertama harus ada rasional tertentu untuk membentuk sesuatu bahan itu. Ini merupakan falsafah atau tujuan bahan tersebut dibentuk. Biasanya di negara yang sedang membangun seperti Malaysia ini, perkara seperti ini tidak perlu menjadi perdebatan besar, sebab sebagai yang dikatakan oleh Profesor Linguistik Gunaan di University of Edinburgh, iaitu Profesor S.P. Corder (1973); bahawa keputusan untuk mengajar sesuatu bahasa itu selalunya telah dibuat oleh ahli politik atau pemerintah, kita hanya tinggal untuk melaksanakannya saja. Bagi kita di Malaysia arahan ini telah wujud dalam bentuk bahawa; bahasa Malaysia itu telah menjadi bahasa kebangsaan dan akan menjadi bahasa pengantar yang tunggal bagi pendidikan dan pentadbiran di Malaysia. Kita sudah pun seharusnya mengetahui falsafah dan tujuan kursus bahasa Malaysia itu.
2. Konsep Susunan. Sebagai langkah kedua kita perlulah membentuk satu konsep susunan untuk menulis bahan tersebut. Ini adalah perkara yang perlu diketahui sebelum kita menulis bahan tersebut. Biasanya tujuan dan objektif kursus tersebut akan dapat diperolehi daripada sukatan pelajaran yang berkenaan. Begitu juga, kaedah yang akan digunakan juga perlulah diketahui oleh mereka yang akan menulis bahan pengajaran tersebut. Pendekatan dan kaedah yang digunakan dalam menyampaikan bahan tersebut, seharusnya diketahui, iaitu: kita boleh mendekatinya dari segi deduktif, induktif atau gabungan di antara kedua-duanya.
3. Spesifikasi. Langkah ketiga ialah menulis selengkap-lengkapnya segala spesifikasi untuk bahan tersebut. Spesifikasi tersebut akan dapat menentukan kerangka penulisan bahan tersebut dengan terperinci dari awal hingga akhir. Patut disediakan bahan-bahan petikan, buku rujukan, kamus, buku tatabahasa dan lain-lain yang diperlukan untuk digunakan bagi kepentingan bahan tersebut. Kerangka tersebut juga sekaligus menentukan sebanyak mana, dan jumlah peringkat yang akan dibuat.
4. Menulis Bahan Cubaan, Langkah keempat adalah menulis bahan-bahan untuk peringkat cubaan. Kerangka yang disediakan di atas akan diisi satu persatu, pelajaran demi pelajaran diselesaikan dengan mengambil kira tujuan-tujuan yang telah dibutirkan secara lengkap.
5. Penilaian Dalam. Langkah kelima ialah membuat penilaian, dan ini dilakukan dengan sendiri. Kita perlu menilai sama ada bahan yang kita tulis itu dapat menepat tujuan dan susunan dirangcangkan di atas. Sekiranya bahan itu didapati tidak sesuai maka bahan itu perlulah diubahsuaikan atau ditulis semula. Ini bermakna kita harus kembali kepada peringkat penulisan bahan.
6. Percubaan. Sekiranya bahan itu baik maka kita mara ke langkah keenam. Langkah keenam adalah mengadakan suatu didalam percubaan keadaan yang biasa. Percubaan itu hendaklah di kawal melalui teknik-teknik yang tertentu untuk menentukan baik buruknya bahan tersebut. Biasanya, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, sekolah tertentu dapat dipilih untuk tujuan ini. Projek In-SPIRE di USM telah dapat mengendalikan langkah ini dengan berhasil. Bahan yang disediakan dicuba di sekolah dan maklum balas didapati melalui pengamatan, ujian dan ulasan guru. Sekiranya selepas percubaan ini, bahan ini didapati tidak baik, haruslah si penulis kembali kepada langkah pertama. Ataupun sekiranya terdapat kelemahan yang boleh dibaiki dalam bahan tersebut maka penulis haruslah kembali ke peringkat kedua.
7. Pembetulan Bahan. Tetapi sekiranya bahan itu didapati baik maka kita terus maju ke peringkat ketujuh. Peringkat ketujuh merupakan peringkat membuat pembetulan-pembetulan dan pindaan-pindaan kecil kepada bahan tersebut. Tidak ada bahan yang dibentuk terjamin seratus peratus baiknya. Pasti ada ruang untuk pembaikan. Hanya selepas bahan ini diperbaiki menurut mengamatan dan ulasan yang didapati melalui maklum balas dari percubaan tersebut, maka barulah bahan tersebut dapat digunakan dengan sepenuhnya.
8. Penggunaan Secara Meluas. Peringkat penggunaan bahan tersebut secara meluas adalah langkah kelapan. Bahan yang telah diperbaiki itu barulah dapat dianggap lengkap dan sesuai untuk digunakan dengan meluas. Biasanya pada peringkat inilah bahan tersebut dapat dicetak untuk tujuan tersebut.
9. Penilaian Luar. Setelah dipakai di sekolah-sekolah harus ada lagi pengamatan dan ulasan-ulasan yang akan diterima. Kita tiba pada langkah kesembilan. Pada peringkat kesembilan ini harus dapat dikumpulkan penilaian semua pihak: guru, penerbit, pelajar, ahli ilmu bahasa, pengkritik dan mungkin juga daripada orang ramai.ini dianggap sebagai suatu penilaian luar. Ulasan ini termasuklah pujian jika ada, harus diterima selepas bahan itu dipergunakan dengan luasnya. Selepas itu penulis harus kembali ke peringkat ketujuh untuk menjalankan pindahan-pindahan yang diperlukan.
10. Bahan Lengkap. Hanya selepas melalui kesembilan langkah ini dengan kawalan tertentu, barulah mungkin dapat dikatakan bahan tersebut telah diproses dengan secukupnya. Semua langkah ini adalah amat penting dalam pembentukan bahan mengajar. Pendek kata sekiranya langkah ini tidak diikuti maka tidaklah dapat dipertangnggungjawabkan bahan yang dihasilkan itu.
8.6 Penilaian Buku-Buku Teks 70-an
Sampai pada peringkat ini barulah dapat dibuat sedikit penilaian terhadap beberapa bahan mengajar bahasa Malaysia yang disenaraikan di atas. Di sini akan disentuh beberapa perkara dari segi pembentukan bahan tersebut menurut langkah-langkah di atas. Memang semasa menjalankan semua tugas ini, langkah-langkah ini perlulah dijadikan panduan. Pada awalnya, mungkin ketertiban pengendalian setiap langkah hendaklah dijadikan panduan dan dilaksanakan dengan kebijaksanaan. Mungkin ada langkah tertentu yang boleh dilangkau atau didulukan, bergantung kepada keperluan tertentu. Amalan sekarang mungkin mempunyai beberapa kekurangan atau kelebihan dari segi ini. Biasanya kita dapati bahawa penulisan buku bahasa bermula dengan sebuah sukatan pelajaran, dan kemudian penulisan buku tersebut terus dilakukan. Tidak begitu jelas buktinya daripada bahan mengajar yang ada sekarang bahawa penulisan buku teks itu dijalankan mengikut langkah-langkah yang dibincangkan di atas. Selalunya mereka terpaksa mematuhi butir yang tertulis di dalam sukatan pelajaran. Dengan ini langkah pertama dan kedua biasanya kurang jelas dijalankan di kalangan penulis buku teks kita. Lazimnya penerbit yang akan mencari seorang penulis dan memberikannya sebuah sukatan pelajaran yang berkenaan. Dengan ini proses penulisan bahan bantu mengajar bagi bahasa Malaysia itu bermula pada peringkat keempat. Konsep-konsep tertentu pada peringkat pertama dan kedua biasanya tidak dipersoalkan dan mungkin juga tidak perlu sebab sudah ditentukan oleh sukatan pelajaran.
Peringkat kelima adalah penting, dan isi si penulis menilai kerjanya sendiri. Mungkin ini ada dilakukan dan seterusnya apabila selesai buku itu dihantar ke Biro Buku Teks untuk dinilai. Penilaian daripada Biro Buku Teks itu akan disampaikan kepada penerbit dan pengarang, supaya buku itu dapat diperbaiki, misalnya: ejaan dibetulkan, petikan karangan baru dimasukkan, ayat ditukar strukturnya, kata-kata sukar dipermudah dan seterusnya. Setelah itu buku itu pun dicetak untuk diedarkan. Proses pembaikan boleh terus berlaku dengan mendapatkan ulasan-ulasan daripada pengguna buku tersebut seperti guru dan pelajar. Ini dimasukkan ke dalam edisi berikutnya.
8.6.1 Bahan Mengajar Sekolah Rendah
Bahan mengajar bagi peringkat sekolah rendah memang susah untuk dianalisis tetapi saya akan tumpukan ulasan saya kepada buku Pelajaran Bahasa Malaysia I hingga VI keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka. Nampaknya bahan mengajar untuk Sekolah Rendah itu agak lengkap disertakan dengan bahan pandang-dengar itu jarang disediakan oleh penerbit. Oleh yang demikian, bahan ini terpaksa dibuat sendiri. Nampaknya dari segi struktur, alat pandang-dengar dan latihan di dalam buku-buku ini agak memuaskan. Bahan mengajar Kurikulum Baru Sekolah Rendah, memang mementingkan aspek ini, dan menggalakkan guru berbuat demikian.
Salah satu daripada masalah besar di peringkat ini ialah mengajar EJAAN. Belum ada bahan mengajar yang dapat mengatasi masalah ini dengan baik. Misalnya di dalam darjah satu, kanak-kanak baru pertama kali diperkenalkan kepada ejaan, melainkan yang telah belajar di tadika. Tetapi buku pelajaran satu didapati terus memperkenalkan kata yang sukar-sukar kepada kanak-kanak tersebut. Ada kata seperti pembaris, penggosok digunakan. Begitu juga terdapat kata majmuk seperti papan hitam, penggosok papan hitam dan tali pinggang yang digunakan dalam enam pelajaran yang awal. Kata-kata ini dapatlah diduga agak sukar bagi kanak-kanak darjah satu. Walau bagaimanapun mungkin juga dianggap wajar sebab peringkat kesukaran itu belum pernah diuji dan dinyatakan dengan jelas. Mungkin ini hanya andaian umum saja. Kanak-kanak mungkin dapat mempelajari kata-kata kompleks dan majmuk tanpa kesukaran.
Mungkin tidak dapat kita nafikan bahawa cara yang baik untuk mengajar ejaan dalam bahasa Malaysia ialah dengan menggunakan sistem suku kata. Dalam menggunakan kaedah ini harus digunakan kata satu dan dua suku kata dulu. Pengetahuan ini perlu dibentuk dengan beransur-ansur melalui kata-kata dua suku kata, dan diikuti dengan kata-kata banyak suku kata. Ini memang dapat kita pertahankan dari segi bentuk kata. Daripada lebih kurang 5,000 kata yang pernah saya kaji, didapati sebahagian besarnya, hampir tujuh puluh lima peratus mempunyai dua suku kata (Abdullah, 1974). Tidak banyak yang mempunyai tiga suku kata dan lebih. Bilangan kata satu suku kata amat sedikit. Untuk mengajar suku kata pula, harus ditimbulkan perbezaan di antara yang bermula dengan vokal atau konsonan dan juga yang tertutup atau terbuka. Hanya setelah mengenal huruf konsonan dan vokal melalui kaedah suku kata ini maka barulah pelajar dilatih mengeja dan membaca kata-kata. Kenyataan seperti ini janganlah diterima sebagai menolak penggunaan imbuhan di dalam kata-kata. Kata terbitan harus diajar tetapi pada peringkat yang lebih maju, atau sekiranya perlu, hendaklah dilakukan dengan berhati-hati supaya pelajar-pelajar tidak menjadi keliru.
Dari segi lain pula, mungkin lebih penting bagi pelajar-pelajar mengenali bentuk dasar kata-kata terlebih dulu. Cara begini akan dapat mengatasi masalah seperti pelajar yang tidak dapat mengenali apakah dasar bagi kata seperti memanjat, menari dan menyoal. Kesalahan seperti ini memang berlaku. Dalam satu tinjauan ringkas pada tahun 1974, pelajar-pelajar Darjah IV si sebuah sekolah rendah di Pulau Pinang, terdapat pelajar yang masih tidak dapat mengenali bentuk dasar memanjat, menari dan menyoal. Masalah seperti ini bukan kecil, dan berterusan ke peringkat Universiti, kerana masih terdapat pelajar yang menerbitkan kata kompleks seperti dimemberi, dimenjual dan dimembuat. Kesalahan ini berlaku kerana mereka mungkin tidak diajar mengenali kata dasar bagi perkataan terbitan tersebut. Kesalahan ini mungkin bermula daripada kesalahan dalam mengajar ejaan. Mungkin kata memanjat, menari dan menyoal diajar begitu sahaja dengan tidak memperkenalkan kata dasarnya, iaitu panjat, tari dan soal.
Dari segi isi dan tujuan dapat dilihat dimasukkan nilai-nilai agama, kewarganegaraan, dan kehidupan harmonis. Ini dapat dikatakan bersesuaian dengan hasrat membentuk perpaduan antara kaum di Malaysia.
8.6.2 Bahan Mengajar Sekolah Menengah
Di bahagian inilah terdapat peranan penerbit swasta buku-buku teks secara meluas. Buku-buku sekolah rendah biasanya dikawal rapi, dari segi penerbitannya. Saya tumpukan perhatian saya kepada tiga penerbit: Pustaka Pendidikan, Federal Publication dabn Raybooks.
Pustaka Pendidikan mengeluarkan buku bahasa Malaysia Kaedah Unit dari Tingkatan Peralihan hingga ke Tingkatan V. buku ini juga disertai dengan Buku Kerja. Penulisan buku ini rapat mengikut sukatan pelajaran. Dari segi penyampaian, buku ini teratur baik dengan menggunakan konsep atau istilah baru seperti ayat aktif dan pasif, yang dikatakan menjadi masalah dalam buku Bahasa Malaysia Kini.
Keluaran Federal Publication ialah Bahasa Malaysia Kini I-V. Buku ini sebenarnya tidak diluluskan oleh Biro Buku Teks, dan hanya diterima sebagai bahan bacaan tambahan. Penyampaiannya adalah berhubung rapat dengan isi sukatan pelajaran. Struktur-struktur ayat penting dikemukakan dengan baik dan teratur. Gambar digunakan di tempat-tempat yang sesuai. Rajah dan rumusan juga digunakan dalam menerangkan tatabahasa. Bagi saya buku ini baik dan sesuai untuk mengajar bahasa Malaysia sebagai bahasa kedua yakni bagi pelajar-pelajar bukan Melayu, dan di samping itu sesuai juga untuk pelajar-pelajar Melayu.
Jelas di sini kita ada dua masalah tertentu; pertama, mengajar bahasa Malaysia sebagai bahasa kandung yang tidak mementingkan pengajaran tatabahasa tetapi lebih menekankan pengembangan kosa kata dan ungkapan sebagai perkara penting; dan mengajar bahasa Malaysia sebagai bahasa kedua, yang mementingkan segala aspek tatabahasa. Nampaknya tidak ada mana-mana bahan yang dikeluarkan khas untuk mengatasi masalah-masalah ini. Nampaknya semua buku diterbitkan dengan tidak melihat perbezaan pelajar dari segi ini. Kalau adapun buku yang sesuai untuk mengajar bahasa Malaysia sebagai bahasa pertama atau kedua, itu mungkin terjadi secara kebetulan. Nampaknya Bahasa Malaysia Kini dan Bahasa Malaysia Kaedah Unit juga agak sesuai untuk pelajar-pelajar bukan Melayu. Dalam hal ini harus kita ketahui tetap beratnya implikasi yang ditimbulkan. Perkembangan kemahiran bahasa pelajar-pelajar Melayu yang mempelajari bahasa Malaysia sebagai bahasa kandung mungkin tergendala. Mereka harus banyak diberi bimbingan dalam hak kosa kata, pengungkapan, kefahaman, laras, gaya dan lain-lain. Dengan itu dapat saya katakan buku Bahasa Malaysia Kini itu tidaklah seburuk yang difikirkan. Konsepnya mudah, istilahnya keinggerisan, tetapi tidaklah begitu menyusahkan.
Akhir sekali ingin saya bincangkan buku Kursus Baru Bahasa Malaysia karangan seorang bukan Melayu. Buku ini tertulis di dalam bahasa Inggeris. kalau bahasa itu disampaikan melalui satu bahasa lain, maka pengajaran bahasa Malaysia itu dianggap sebagai bahasa asing. Pada hal bagi kebanyakan pelajar bahasa Malaysia itu adalah bahasa kandung, dan selainnya sebahagi bahasa kedua. Bahasa Malaysia sebagai bahasa asing tidak timbul. Buku ini ditulis dengan tujuan memudahkan pelajar menjawab soalan peperiksaan, dan bukan untuk memberi kemahiran. Oleh itu kandungannya disesuaikan untuk peperiksaan. Pelajar-pelajar diberi bahan yang cukup untuk lulus peperiksaan. Jadi segala perkara yang menjadi bahan ujian dimasukkan sebagai kandungannya: kosa kata, peribahasa, karangan, kefahaman, surat kiriman, puisi, tatabahasa dan juga latihan dari kertas peperiksaan yang lepas. Buku ini tidaklah bertujuan memberi kemahiran supaya dapat membolehkan pelajar menghasilkan ayat-ayat (ungkapan-ungkapan) sendiri,tetapi menghafal apa yang disediakan untuk peperiksaan sahaja. Saya ragu tentang kemampuan bahan ini untuk membolehkan pelajar-pelajar menjadi mahir.
8.6.3 Bahan Mengajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia
Buku-buku yang dibincangkan di sini adalah yang bersangkut paut dengan peperiksaan Bahasa Malaysia I (S.T.P.M). Memang ada persamaan antara Kertas Am dan Kertas Bahasa Melayu I itu. Pendeknya susah untuk dibezakan tujuan kedua-dua kertas ini. Mungkin Kertas Am untuk menduga kematangan pemikiran dan Kertas Bahasa Malaysia I itu untuk mengukur kemahiran bahasa saja, tetapi hal ini susah untuk ditentukan. Buku-buku teks yang disediakan untuk peperiksaan ini adalah semata-mata bertumpu kepada kepentingan peperiksaan. Semuanya agak serupa coraknya. Potongan karangan dicabut dari unsur-unsur tertentu, dan beberapa soalan disediakan selepas itu. Ada pula yang menyediakan beberapa potongan karangan tertentu dalam bahasa Inggeris untuk terjemahan. Coraknya adalah hampir serupa benar dengan kertas soalan peperiksaan.
8.6.4 Bidang Lain
Ada tiga buah buku yang ingin saya sentuh di sini. Pertama ialah An Introduction to Malay Grammar. Buku ini menyampaikan pelajarannya dalam bahasa Inggeris. Pola-pola ayat penting diberi. Dengan itu dapat saya katakan yang buku ini sesuai untuk pelajar bahas Malaysia sebagai bahasa asing. Walau bagaimanapun buku ini adalah terlalu ringkas. Oleh sebab itu banyak penjelasan penting yang tertinggal. Ini telah menyebabkan banyak salah faham., lebih-lebih lagi di kalangan orang asing. Saya berikan satu contoh yang pernah saya baca di dalam sebuah tesis Sarjana Sastera (1973) yang ditulis oleh seorang calon dari Universiti Melbourne, bernama Jims Cox. Dia menyebut bahawa pada muka surat 58 buku itu terdapat kenyataan: “Any verb may take suffix –kan.” Sekali imbas seolah-olah tidak ada kecacatan pada kenyataan ini. Tetapi kalau dikaji dengan lebih mendalam kita akan mendapat ayat-ayat seperti ini dibentuk melalui rumusan tadi.
* Dia memakankan anaknya.
* Saya mengerikan dia.
Dari segi tatabahasa ayat ini tidak ada salahnya., tetapi dari segi semantik, ayat ini cacat. Sekiranya buku ini ditulis dengan lebih terperinci, harus rumusan seperti itu dapat diterangkan lebih lanjut. Mungkin orang Melayu tidak akan membuat kesalahan demikian, tetapi orang asing tentu sekali akan terkeliru. Mereka akan menggunakan rumusan yang diberi itu seluas-luasnya.
Buku Bahasa Malaysia: A Programmed Instruction for Beginners, telah pernah saya gunakan untuk kakitangan ekspatriat Universiti Sains Malaysia untuk mempelajari bahasa Malaysia. Buku ini agak baik juga. Ada empat bahagian. Bahagian I ialah latihtubi seperti yang digunakan oleh guru-guru yang mengajar sukarelawan Amerika. Saya dapat latihtubi ini terlalu singkat dan jenisnya tidak banyak. Latihan tidak dapat meliputi semua struktur penting. Oleh yang demikian kesannya tidaklah memuaskan. Bahan tambahan terpaksa disediakan untuk melengkapkan buku ini. Biasanya latihtubi seperti ini memakan masa 200-300 jam dan pelajar saya menghabiskannya dalam 10 hari saja, dan hasilnya tidaklah dapat dikatakan memuaskan. Bahagian II adalah potongan karangan untuk bacaan. Dalam usaha mempermudahkan pola ayat isinya agak menjadi keanak-anakan. Mungkin ada suatu cara untuk mempermudahkan susuk bahasa tetapi tidak kandungannya. Bahagian III mengandungi cabutan karangan yang agak lebih sesuai bagi pelajar-pelajar saya. bahasa dan kandungannya agak secocok da mereka mengikutinya dengan penuh minat. Malangnya latihan ini terlalu sedikit. Ada lima pelajaran saja. Bahagian IV pula mengandungi lampiran mengenai latihan tatabahasa. bahagian ini juga adalah baik tetapi terlalu ringkas dan guru-guru terpaksa memberi tambahan sendiri.
8.6.5 Kamus
Bab ini akan menumpukan perbincangan mengenai tujuh bab kamus yang dicetak di Malaysia dan Singapura. Mungkin, selain daripada kamus Winstrdt dan T. Iskandar, yang lainnya adalah dihasilkan dengan dorongan dari penerbit tertentu. Dari tujuh buah kamus ini, hanya dua saja yang ekabahasa, iaitu Kamus Dewan dan Kamus Bahasa Melayu. Memang saya rasa tidak dapat kita nafikan betapa pentingnya peranan kamus di dalam pembelajaran bahasa. Setiap jenis kamus mempunyai tujuan tertentu, walaupun khususnya untuk mempelajari bahasa.
Nampaknya kamus ekabahasa adalah penting di dalam mempelajari sesuatu bahasa sebagai bahasa kandung. Adanya satu bahasa lain yang digunakan di dalam proses pembelajaran ini akan menyebabkan kekeliruan. Tetapi, untuk mempelajari bahasa Malaysia sebagai bahasa kedua, harus ada baiknya digunakan kamus yang dapat memberi maklumat di dalam bahasa pelajar itu. Dalam hal ini harus dapat kita perhatikan suatu perkara yang berlaku untuk pembelajaran bahasa Malaysia di Malaysia. Penerbit berfikir bahawa orang di Malaysia akan lebih suka membeli kamus sekiranya maknanya diberi di dalam bahasa Inggeris. mungkin ramai orang berfikir demikian juga. Padahal ada keburukan atau pengaruh dari bahasa Inggeris yang harus dipertimbangkan. Mungkin ada baiknya pelajar-pelajar diminta menggunakan kamus ekabahasa. Dengan itu proses pembelajaran bahasa Malaysia itu akan bertambah baik. Kamus dwibahasa itu biasanya adalah kamus yang memberi makna dalam bahasa Inggeris, dan hanya Dictionary of National Language yang mempunyai kata masukan di dalam bahasa Inggeris dan maknanya di dalam bahasa Malaysia. Walaupun saya katakan kamus dwibahasa mungkin mendatangkan akibat buruk di dalam proses pembelajaran, tetapi memang tidak dinafikan kamus seperti itu berguna kepada pelajar bahasa Malaysia secara umumnya.
Kesemua kamus ini mengandungi lebih daripada 7,000 patah kata masukan. Ada yang lebih banyak daripada itu ialah Kamus Dewan, mengandungi 28,000 kata. Sebenarnya 5,000 kata sudah agak cukup bagi seorang pelajar sekolah. Bahkan bagi pelajar biasa menurut Lado (1946), 2,000 kata memang mencukupi untuk menjadi dasar. Daripada jumlah ini di akan dapat mengembangkannya melalui proses penerbitan, gandaan, gabungan dan pemajukan. Mengikutnya lagi, susah untuk kita mengetahui berapa banyak kata yang seseorang (terpelajar) itu diketahui, mungkin, sebanyak lebih kurang 80,000 patah kata. Kalaulah kenyataan ini betul, maka hanya Kamus Dewan yang dapat menjadi panduan mereka. Yang lain hanya cukup bagi pelajar peringkat sekolah saja.
Kamus Utama, Kamus Moden dan Kamus Pelajar memberi makna di dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia. Walaupun ada keburukan perlakuan seperti ini, tetapi ada juga baiknya. Banyak juga ilustrasi yang digunakan. Kamus Pelajar memberi makna dengan lebih mudah dan tertulis dengan huruf kasar, dan dari segi kandungannya dapat dikatakan kamus tersebut sesuai untuk Sekolah Rendah hingga ke Sijil Rendah Pelajaran. Kamus-kamus yang lain, lebih-lebih lagi Kamus Utama, adalah lebih sesuai untuk peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Tugas menilai selanjutnya harus dibuat oleh Biro Buku Teks. Ulasan yang saya buat di sini adalah agak umum dan ringkas. Biro Buku Teks juga harus dapat memperakukan kamus tertentu untuk peringkat tertentu sekolah, dan bukan sekadar bahan tambahan saja.
Dalam pemerhatian umum ini juga saya dapati ada beberapa perkara yang harus kita ambil berat. Saya dapati hampir semua kamus, lebih-lebih lagi Kamus Dewan hanya memberi makna positif saja, tidak pernah dibuat secara negatif. Saya ambil satu contoh, peduli, menghiraukan , mengambil berat (Kamus Dewan), “to care, pay attention” (Kamus Utama). Komponen maknanya yang penting tidak disebut. Kata ini hanya digunakan di dalam pengertian negatif. Misalnya saya peduli emak saya, tidak dapat diterima. Kata ini hanya digunakan di dalam maksud negatif: seperti jangan peduli dan tidak peduli. Tetapi kamus tidak menerangkan bahawa maknanya perlu negatif. Seorang asing tidak akan ragu-ragu membentuk ungkapan positif seperti di atas tadi.
Satu lagi kecacatan Kamus Dewan ialah terlalu banyak rujuk silang yang tidak berguna, misalnya, telor telur. Kamus adalah suatu unsur penting yang dapat membakukan ejaan. Kalau perkara seperti ini berterusan sampai bila pun ejaan tidak akan mantap. Pelajar-pelajar saya pernah menghitung jumlah rujuk bilang ini, dan secara pukul rata ada sebelas rujuk silang pada setiap muka surat; dan kalau rujuk silang ini dibuang, harus kamus itu tidak menjadi sebegitu tebal lagi. Mungkin harganya juga dapat dikurangkan. Mungkin rujuk silang ini digunakan kerana masalah ejaan. Kita sudah mempunyai sistem ejaan baru, dan seharusnya itu diubah segera. (Ejaan Kamus Dewan hanya diubah dalam terbitan pada tahun 1985). Ada satu contoh yang selalu menjadi pertelingkahan, iaitu ejaan kata masalah. Selain daripada Kamus Dewan dan Winstedt, kamus-kamus lainnya telah menggunakan ejaan baru. Di samping itu terdapat pula ejaan seperti: masalah/masalah (Kamus Pelajar), masalahlah (Kamus Moden), masalahlah (Kamus Utama), dan akhbar serta televisyen pun memakai masalahlah (Kamus Utama). Seharusnya Kamus mestilah menjadi sumber yang dapat memberi maklumat yang baku untuk ejaan, golongan kata dan lain-lain. Janganlah ada pertelingkahan seperti demikian, sebab itu akan membawa kerumitan. Mungkin masalah ini tidak begitu rumit sekarang selepas ejaan baru disempurnakan.
8.7 Kesimpulan
Secara keseluruhan dapat saya katakan bahawa bahan mengajar bahasa Malaysia yang diterbitkan adalah tanpa percubaan. Bahkan mungkin setengah daripadanya tidak langsung dinilai selain daripada yang dilakukan oleh Biro Buku Teks. Kalaulah percubaan dilakukan haruslah kita mengetahui baik buruknya, sesuatu bahan itu. Hasil dan ulasan daripada percubaan yang terkawal mungkin lebih bermakna daripada laporan penilai Biro Buku Teks. Saya faham langkah ini susah dijalankan. Ada soal-soal lain yang rumit. Misalnya, siapakah yang akan dijadikan pelajar percubaan? Siapakah yang akan membiayainya? Atau siapa pula akan berusaha mengendalikannya, mengumpul maklumat dan lain-lain lagi?.
Tetapi perkara-perkara ini bukanlah mustahil untuk dilaksanakan. Sebenarnya, dengan tidak sengaja kita mungkin telah pun mengadakan percubaan demikian. Buku-buku teks yang dipakai di sekolah-sekolah itu sebenarnya bolehlah dikatakan masih di dalam peringkat percubaan. Penerbit boleh mengumpulkan segala maklumat dan ulasan berkenaan buku-buku tersebut dari sekolah-sekolah. Kemudian buku itu harus dipinda semula sebelum dicetak kembali. Dengan demikian haruslah kita akan dapat mengeluarkan sesuatu bahan yang lebih baik. Saya yakin ini telah dijalankan, tetapi pendekatan yang lebih terkawal dan tersusun mungkin akan memberi manfaat yang lebih besar.
Bab ini adalah terlalu ringkas, padahal bahan yang diperbincangkan adalah terlalu luas. Tinjauan-tinjauan yang dibuat juga tidak dapat dilaporkan secara terperinci, tetapi hanya dengan membuat ulasan umum dan memberi satu dua contoh saja. Disamping itu kebanyakan bahan yang dibincang adalah penerbitan awal tahun 70-an, semasa perbincangan ini dibuat. Jadi, walaupun bahan telah banyak berubah, prinsip-prinsip yang berkenaan adalah tidak berbeza.
No comments:
Post a Comment