Wednesday, March 25, 2009

10. PENGAJARAN BAHASA MALAYSIA DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI SELEPAS 1983*

Seminar Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Malaysia, UM, K. Lumpur, 6 Mac 1982

PENGAJARAN BAHASA MALAYSIA DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI SELEPAS 1983*


9.1 Pendahuluan

Sering diperkatakan bahawa selepas tahun 1983 maka pengajaran bahasa Malaysia sebagai satu mata pelajaran di peringkat universiti haruslah tidak diperlukan lagi. Kenyataan ini berdasarkan kenyataan bahawa pelaksanaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar, yang dimulakan di sekolah rendah pada tahun 1970 dulu, sudah sampai ke peringkat Sijil Tinggi Pelajaran (Sastera -1981dan Sains-1983). Justeru itu peringkat penguasaan bahasa Malaysia di kalangan pelajar sudah dianggap cukup mahir dan oleh itu pengajarannya sudah dianggap tidak perlu lagi. Kenyataan seperti ini ternyata tidak matang dan kurang kesedaran terhadap keadaan sebenar bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Cuba kita perhatikan soalan ini. Berpuas hatikah kita dengan pencapaian bahasa Malaysia setakat ini? Pada hemat saya, tidak adalah seorang pun, dengan mengetahui keadaan Bahasa Malaysia sekarang, akan memberi jawapan pengiyaan kepada soalan ini. Masih banyak benar isu dan masalah yang berhubungan dengan Bahasa Malaysia perlu diselesaikan. Keadaan seperti ini tidaklah dapat dikatakan suatu keadaan yang sudah memuaskan segala pihak. Ada banyak perkara yang boleh menyangkal kenyataan ini. Keadaan bahasa Malaysia yang selalu menimbulkan masalah telah menyebabkan tindakan di setengah pihak sehingga suatu jawatankuasa mengkaji penggunaan bahasa Malaysia ditubuhkan. Laporan lengkap yang diterbitkan oleh jawatankuasa ini (Februari 1981), memaparkan keadaan yang amat tidak menyenangkan itu.

Laporan tersebut telah membincangkan penggunaan bahasa Malaysia dalam sektor pentadbiran dan pengurusan, media massa, tempat awam dan institusi pendidikan. Dalam semua sektor ini terdapat keadaan yang tidak memuaskan laporan ini tidak sedikit pun mengatakan puas hati terhadap mana-mana sektor. Oleh sebab kertas ini akan melibatkan pengajaran bahasa Malaysia makan saya catatkan di bawah sortotan daripada perakuan mengenai pendidikan yang terdapat dalam laporan itu. Ini akan dapat memberi keterangan mengenai keadaan pengajaran bahasa Malaysia pada hari ini.

Perakuan yang dibankitkan itu dapat menyatakan keadaan bahasa Malaysia di semua peringkat pendidikan. Isu yang dibangkitkan ialah:

a. Murid penutur bahasa Malaysia sebagai B1 tidak menguasai bahasa teknikal dan juga pelajar Bahasa Malaysia sebagai B2 tidak menguasai resam Bahasa Malaysia.

b. Penghasilan buku teks, lebih-lebih lagi untuk pengajian tinggi, amat kurang. Yang ada menunjukkan bahasa Malaysia yang tidak baik.

c. Bahasa Malaysia di peringkat prauniversiti perlu diperkemas.

d. Pelajar, pensyarah dan pegawai universiti perlu meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia mereka.

e. Teknik dan bahan untuk mengajar bahasa Malaysia perlu diperbaiki. Maktab Bahasa perlu dipulihkan.

f. Perlu ada kursus peringkat ijazah untuk guru bahasa Malaysia.

g. Guru perlu latihan menguji dan menilai pencapaian dan kelemahan bahasa Malaysia pelajar.

Isu-isu yang dibangkitkan ini menyatakan ketidakpuasan yang berlaku terhadap bahasa Malaysia sekarang. Ternyata keadaan bahasa Malaysia di sekolah, maktab, dan universiti masih perlu diperbaiki dan dipertingkat. Sekarang cubalah kita lihat taraf bahasa Malaysia itu di Malaysia sekarang.

9.2 Taraf Bahasa Malaysia Hari Ini

Kedudukan bahasa Malaysia hari ini jelas mencerminkan masyarakat penggunanya yang sedang mengalami pembangunan yang pesat. Dalam proses pembangunan ini kita sentiasa menemui segala benda baru saban hari: fikiran baru, barang baru, konsep baru, kereta baru, bangunan baru dan lain-lain. Penutur bahasa Malaysia perlu mengungkapkan segala yang baru ini dalam bahasa Malaysia. Dalam mencari ungkapan-ungkapan bahasa Malaysia yang sesuai ini, terdapat berbagai peringkat kemahiran penutur. Ada orang yang mahir atau fasih bahasa Malaysianya dan mudah memberikan ungkapan dalam bahasa Malaysia, dan ada orang yang kurang fasih, atau yang jahil dan tidak upaya mengungkapkan apa-apa pun. Kemungkinan besar bahawa yang kurang fasih atau yang jahil itu merupakan mangsa kepada proses perubahan dan perkembangan bahasa Malaysia yang berlaku begitu pesat. Dengan kata lain, sebahagian besar penutur atau pengguna bahasa Malaysia telah ketinggalan atau tidak berupaya untuk bersaingan dengan perkembangan yang berlaku ke atas bahasa Malaysia, dan hal ini mengakibatkan berbagai masalah yang kita hadapi sekarang ini, termasuk masalah penggunaan bahasa Malaysia yang salah.

Tidak boleh dinafikan bahawa dari segi politik, bahasa Malaysia memang telah terjamin, kedudukannya, dijelaskan di dalam Perlembagaan Malaysia Perkara 152. kita tidak dapat menafikan bahawa sekarang proses pendaulatan bahasa Malaysia telah mula menambahkan kejayaan untuk mencapai taraf kedudukan yang dapat dibanggakan dengan berfungsi sebagai:

  1. bahasa kebangsaan yang melambangkan identiti bangsa dan negara;
  2. bahasa yang sesuai sebagai alat menyatu-padukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum;
  3. bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan;

dan

  1. bahasa yang menjadi alat pembentuk kebudayaan kebangsaan.

Kejayaan yang telah dicapai tidak pula bererti bahasa kita tidak lagi menghadapi masalah.

Apa yang menjadi kenyataan sekarang ialah bahawa setelah lebih 20 tahun bahasa Malaysia didaulatkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, penguasaan atau keupayaan berbahasa di kalangan masyarakat pengguna bahasa Malaysia masih jauh dari tahap yang menggalakkan. Di kalangan orang-orang Melayu juga terdapat golongan yang hanya menguasai bahasa atau loghat daerahnya.

Satu lagi golongan penutur mempunyai penguasaan bahasa Malaysia yang terbatas. Mereka menggunakan kata-kata bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris, ketika bertutur atau menulis dalam bahasa Malaysia sehingga menghasilkan sejenis ragam bahasa yang bercampur aduk dan tidak keruan sifat tatabahasanya. Ragam bahasa seperti yang diungkapkan oleh orang-orang golongan ini, termasuk juga di dalamnya sebahagian golongan intelek, akan merumitkan sebarang usaha memantapkan sistem tatabahasa bahasa Malaysia, kerana mereka terus-menerus menggunakan corak bahasa Malaysia yang melanggar hukum-hukum tatabahasanya.

Di kalangan penutur bukan Melayu pula, terdapat beberapa golongan tertentu. Golongan pertama terdiri daripada mereka yang benar-benar berkesungguhan serta berminat untuk menguasai bahasa Malaysia dengan baik. Golongan ini, walaupun bilangannya masih kecil, tetapi cergas dalam usaha mengembangkan penggunaan bahasa Malaysia yang baik di kalangan penutur bukan Melayu. Namun kita masih meragui satu golongan lagi, iaitu golongan yang terbesar yang masih tidak berusaha untuk menguasai bahasa Malaysia, walaupun sudah lebih 20 tahun mereka diberi masa untuk menguasainya.

Dari perbincangan di atas ternyata bahawa pengajaran bahasa Malaysia di semua peringkat pendidikan, rendah, menengah dan tinggi masih merupakan suatu keperluan. Di samping itu masalah dalam dan mengenai bahasa Malaysia wujud di luar institusi pendidikan. Inilah isu dan masalah yang dibangkitkan dalam laporan mengkaji penggunaan bahasa Malaysia tersebut di atas. Saya fahami bahawa hal ini merupakan satu putaran lingkaran keadaan yang memberi kesan antara satu dengan yang lain. Kalau kita ingin memperbaiki keadaan ini, maka perlulah kita mulakan usaha untuk mencapai tujuan itu di sesuatu peringkat dalam putaran lingkaran tersebut. Maksudnya penggunaan bahasa Malaysia yang baik dan berkesan hanya akan tercapai kalau institusi pendidikan memperbaiki pengajian bahasa Malaysia pada semua peringkat – setiap satunya akan memberi kesan terhadap yang lain. Dalam ruang lingkup kertas kerja ini saya akan cuba membincangkan cabaran dalam pengajian bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi. Ini bukanlah bermakna pengajaran bahasa Malaysia di peringkat rendah dan menengah tidak perlu diperhatikan tetapi hak ini terletak di luar tujuan penulisan kertas kerja ini.

9.3 Kedudukan Bahasa Malaysia di Institusi Pengajian Tinggi Hari ini.

Untuk melihat cabaran yang menghadapi bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi, marilah kita lihat kedudukan bahasa Malaysia di institusi-institusi tersebut.

Tahun 1983 ini bukanlah suatu tarikh yang menjadi sepadan menandakan sebarang perubahan yang serta-merta. 1983 hanya satu tarikh yang secara kasar boleh diterima sebagai satu titik untuk membolehkan kita meninjau ke belakang untuk melihat kelemahan-kelemahan dan juga memandang ke hadapan untuk melihat cabaran-cabaran untuk dihadapi dalam pengajaran Bahasa Malaysia dalam bidang pendidikan dan khasnya di institusi-institusi pengajian tinggi.

Dalam melihat kedudukan bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi hari ini, bolehlah kita berbicara dari empat segi: Dasar Bahasa Malaysia, pelaksanaan bahasa Malaysia, masalah bahasa Malaysia yang dihadapi dan pengajaran Bahasa Malaysia sebagai kursus pengajian. (Dasar, pelaksanaan dan masalah dikutip dari Laporan JMPBM 1982).

a. Dasar

Dasar Bahasa Malaysia di universiti tidak terpisah daripada Dasar Bahasa Malaysia dalam Perlembagaan Malaysia dan Dasar Pelajaran Kebangsaan. Dewasa ini, pelajar yang mengikuti pengajian di universiti diwajibkan mendapat sekurang-kurangnya pangkat kelulusan dalam Bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia melainkan di Universiti Teknologi yang memerlukan sekurang-kurangnya taraf kepujian.

b. Pelaksanaan

Di universiti tempatan, kedudukan penggunaan bahasa Malaysia dapat dilihat dari aspek pengajaran dan aspek pentadbiran. Dalam bidang pengajaran, bahasa Malaysia digunakan sebagai bahasa pengantar untuk mata pelajaran tertentu, dan juga diajarkan sebagai satu mata pelajaran. Dalam bidang pentadbiran, pada umumnya, bahasa Malaysia sudah digunakan sepenuhnya.

Pelaksanaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di universiti telah menunjukkan perkembangan yang menggalakkan. Oleh yang demikian, menjelang tahun 1983, pelaksanaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran sastera di peringkat tahun pertama akan dapat dijalankan.

Di Universiti Malaya, ada tiga kategori pengajaran bahasa Malaysia menurut keperluan fakulti yang berlainan.

i. Di Fakulti Ekonomi, Undang-Undang, Pergigian dan Kejuruteraan, bahasa Malaysia dijadikan syarat wajib lulus untuk penganugerahkan ijazah. Walau bagaimanapun, markah bahasa Malaysia tidak dikira dalam penentuan keseluruhan peperiksaan.

ii. Di Fakulti Sanins, Sastera dan Sains Sosial, bahasa Malaysia merupakan kursus akademik yang diwajibkan untuk semua pelajar, tetapi tidak dijadikan syarat untuk memenuhi kelulusan peperiksaan.

iii. Di Fakulti Perubatan dan di Fakulti Pendidikan, bahasa Malaysia diajarkan untuk memenuhi keperluan pelajar semata-mata.

Di Universiti Pertanian Malaysia, bahasa Malaysia di ajarkan sebagai satu kursus wajib dan dijadikan syarat untuk penganugerahan ijazah dan diploma. Kursus ini meliputi aspek kefasihan dan peristilahan.

Di Universiti Teknologi Malaysia, bahasa Malaysia termasuk dalam kursus Pendidikan Umum yang diberi judul Kemampuan Bahasa dalam Kursus Pendidikan Umum di samping bahagian ikhtisas masing-masing.

Di Universiti Kebangsaan Malaysia, bahasa Malaysia tidak diajarkan sebagai satu kursus. Walau bagaimanapun, kursus bimbingan jangka pendek ada ditawarkan dari semasa ke semasa untuk pelajar dan pensyarah yang memerlukannya.

Pada umumnya, di universiti, terdapat satu badan yang di panggil pusat, unit atau jabatan bahasa yang, di antara lain, di pertanggungjawabkan khusus untuk mengendalikan pengajaran bahasa Malaysia. Kumpulan yang diajar bahasa Malaysia ini adalah terdiri daripada pelajar, kakitangan akademik dan kakitangan am. Pada umumnya, matlamat pengajaran bahasa Malaysia itu ialah untuk membolehkan:

i. pelajar mencapai kemahiran dalam bahasa Malaysia.

ii. pensyarah meningkatkan kebolehan berkuliah dalam bahasa Malaysia.

iii. pegawai tadbir dan kakitangan am meningkatkan kebolehan menggunakan bahasa Malaysia dalam urusan pentadbiran.

c. Masalah

Dari segi kemampuan menyampaikan kuliah dalam bahasa Malaysia, terdapat tiga kumpulan tenaga akademik seperti berikut;

i) tenaga akademik fasih;

ii) tenaga akademik yang separuh fasih; dan

iii) tenaga akademik yang tidak fasih

Di kalangan pelajar juga terdapat tingkat kemahiran bahasa Malaysia yang berbeza-beza. Oleh sebab itu, kecenderungan menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa lain selain daripada bahasa Malaysia di luar bilik kuliah masih menonjol.

Satu daripada masalah yang wujud ialah kekurangan dan ketidakselarasan penggunaan istilah dalam disiplin tertentu.

Walaupun penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di universiti dapat dikatakan menggalakkan, namun masih terdapat masalah tertentu. Malah di dalam kursus yang disampaikan dengan pengantar bahasa Malaysia pun timbul masalah pemilihan ungkapan yang berpadanan dengan tahap ilmu di universiti. Ini berlaku akibat:

i) kelemahan penguasaan bahasa Malaysia di kalangan tenaga akademik, yang menyebabkan kelemahan dalam menyampaikan kuliah dalam bahasa Malaysia;

ii) kekurangan dan ketidakselarasan istilah.

Tiada bilangan buku teks dan rujukan yang cukup dalam bahasa Malaysia juga menjadi satu masalah dalam pelaksanaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di universiti. Masalah ini bertambah rumit dengan adanya penggunaan bahasa Malaysia yang tidak kemas dan teratur dalam buku teks dan bahan rujukan yang diterbitkan setakat ini.

d. Pengajaran Bahasa Malaysia di Universiti

Setelah melihat dasar, pelaksanaan dan masalah bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi itu, marilah kita lihat pengajarannya di peringkat tersebut.

Pada waktu ini, pengajaran bahasa Malaysia sudah mula diberi perhatian secara serius. Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pertanian Malaysia dan Universiti Sains Malaysia telah mula menawarkan kursus bahasa Malaysia sebagai kursus ijazah sarjana muda (lihat Hamid Mahmood, 1981) untuk menghasilkan guru-guru bahasa Malaysia yang lebih terlatih dalam bahasa Malaysia. Walau bagaimanapun, kursus-kursus ini baru bermula dan belum ada hasil graduan dari kursus ini. Kekuatan dan kelemahan graduan ini masih belum dapat kita lihat sebelum mereka bertugas. Walau bagaimanapun, ada ciri-ciri yang menunjukkan graduan dari rancangan pengajian yang mengkhusus dalam bidang bahasa Malaysia ini akan menjadi lebih sesuai untuk tugas mengajar bahasa Malaysia, memandangkan kepada isi kursus rancangan tersebut.

Di samping kursus ini terdapat juga kursus-kursus seperti kesusasteraan Melayu, keadaan mengajar bahasa Malaysia, terjemahan dari bahasa Inggeris ke bahasa Malaysia yang ditawarkan melalui fakulti atau pusat pengajian yang berkenaan. Kursus-kursus ini ternyata ada kepentingannya dalam pengajaran bahasa Malaysia pada hari ini, tetapi pada hari ini, kursus-kursus ini terpisah-pisah dan dijalankan tanpa tujuan yang disepadukan dengan pengajaran bahasa Malaysia secara umumnya.

Dalam keadaan pengajaran bahasa Malaysia pada masa inilah saya cuba membuat suatu peninjauan dan memperakukan bidang-bidang yang mungkin dapat diberi perhatian yang lebih berat untuk dijadikan tumpuan pengajaran selepas 1983 ini. Inilah yang menjadi cabaran dalam mengajar bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi selepas 1983.

9.4 Cabaran dalam Pengajaran Bahasa Malaysia di Institusi Pengajian Tinggi Selepas 1983

Ternyata dari perbincangan di atas kita perlu meningkatkan pencapaian bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi untuk menegakkan kedaulatannya. Untuk melihat cabaran dalam pengajaran bahasa Malaysia selepas 1983 ini kita telah mendapati bahawa pengajaran bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi ini telah mula mendapat dan diberi perhatian. Memang masih ada kekurangan dalam pengajaran bahasa Malaysia di peringkat institusi pengajian tinggi ini. Justeru itu telah mula diatur langkah-langkah untuk mempertingkatkan pengajaran bahasa Malaysia sebagai suatu bidang pengajian di pusat pengajian tinggi. Dengan itu timbullah kursus-kursus bahasa Malaysia di fakulti, jabatan dan pusat pengajian yang berkenaan dalam universiti-universiti tempatan. Inilah langkah-langkah yang akan membawa peningkatan dan penerimaan bahasa Malaysia itu sebagai satu bidang ilmu. Walau bagaimanapun, langkah-langkah itu perlulah diatur dan dilihat sebagai suatu rancangan yang disusun untuk mencapai sesuatu tujuan tertentu, iaitu mempertingkatkan pengajian dan taraf bahasa Malaysia. Sebarang kursus baru dan tindakan yang diambil itu hendaklah dilihat sebagai cabaran yang kita hadapi dalam bidang pengajian bahasa Malaysia selepas 1983. Hal ini dilihat dari segi keseluruhan usaha dalam bidang yang akan dapat mempermajukan pengajaran pengajian bahasa Malaysia itu. Usaha ini dapat kita bahagikan kepada enam tajuk.

a. Kursus Kemahiran Bahasa Malaysia

Kemahiran dalam bahasa Malaysia merupakan suatu hal yang amat penting. Ternyata dari keadaan bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi lebih awal tadi, bahawa masih perlu kita meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia pada pelajar dan pensyarah di institusi pengajian tersebut. Kelemahan penguasaan bahasa Malaysia di kalangan pelajar dan pensyarah tersebut perlulah diatasi. Kursus yang mengajar kemahiran bahasa Malaysia perlulah disusun dan diajar sesuai dengan peringkat kemahiran bahasa yang sepatutnya bagi peringkat universiti. Pada hari ini hanya Universiti Pertanian Malaysia dan Universiti Sains Malaysia menjadikan kelulusan bahasa Malaysia sebagai syarat mutlak dalam pengijazahan. Mungkin ada perlunya pusat pengajian lain berbuat demikian.

b. Kurus Ijazah Sarjana Muda/Diploma

Kita juga harus menyedari hakikat bahawa kursus-kursus bahasa Malaysia sudah mula ditawarkan di institusi pengajian tinggi sebagai bidang pengajian untuk Ijazah Sarjana Muda. Ini memang wajar. Tetapi untuk melengkapkan langkah ini eloklah kita lihat keperluan untuk menawarkan kursus pengajian bahasa Malaysia ini bukan saja sebagai kursus ijazah sarjan muda, tetapi juga sebagai kursus pada peringkat diploma, profesional, sarjana dan kedoktoran. Hanya dengan demikian barulah bidang pengajian bahasa Malaysia itu boleh meningkat maju.

i. Ijazah Sarjana Muda

Kursus ijazah sarjana muda dalam Pengajian Bahasa Malaysia ini memanglah tidak dapat dinafikan pentingnya. Hal ini telah disedari dan ada empat buah universiti tempatan yang menawarkannya. Kursus yang ada di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Pertanian Malaysia dan Universiti Sains Malaysia itu perlulah dipupuk supaya berkembang dan menghasilkan graduan untuk menjadi guru dan pejuang bahasa Malaysia yang lebih mengetahui mengenai bahasa Malaysia. Ini sudah merupakan kenyataan yang pengajian bahasa Malaysia itu sudah menjadi suatu bidang ilmu. Dengan lahirnya graduan dari rancangan pengajian ini tentulah kita akan mendapat graduan yang diperlukan untuk mempertingkatkan pengajaran bahasa Malaysia tersebut. Walau bagaimanapun, ternyata kursus-kursus yang ditawarkan sekarang ini mempunyai beberapa kelemahan yang tertentu boleh di perbaiki. Suatu dari bidang yang mungkin dapat diberi perhatian sedikit ialah bidang sebutan dan pertuturan. Mungkin perlu kursus sarjana muda dalam bidang bahasa Malaysia ini memberi perhatian yang sewajarnya terhadap pertuturan dalam bahasa Malaysia itu. Ini dipandang perlu kerana adanya pelajar bahasa Malaysia yang bukan penutur bahasa Malaysia sebagai Bahasa Pertama. Begitu juga perlu dijalankan sedikit usaha penstandardan di antara sebutan penutur bahasa Malaysia sebagai B1 yang datang dari dialek yang berlainan.

ii. Ijazah Lanjutan

Kursus Ijazah Lanjutan ini mencukupi ijazah sarjana dan kedoktoran. Ternyata ijazah sarjana muda saja tidak mencukupi. Kursus pengajian ini hendaklah dimajukan hingga ke peringkat ijazah lanjutan sarjana dan kedoktoran. Kematangan sesuatu bidang pengajian itu terletak pada sedalam mana kajian yang dijalankan. Hanya kursus ijazah lanjutan yang dapat meningkatkan aspek akademik pengajian ini. Pelajar peringkat ijazah lanjutan tertentu akan dapat mendalami sesuatu bidang dalam pengajian bahasa Malaysia ini dengan lebih teliti dan dengan membawa kemajuan yang diperlukan untuk bahasa Malaysia.

iii. Kursus Ikhtisas dalam Pengajaran Bahasa Malaysia

Yang dimaksudkan dengan kursus ikhtisas ini ialah kursus yang bercorak terapan, lebih-lebih lagi dalam bidang pengajaran bahasa. Kajian secara akademik tanpa terapan terhadap bidang pengajaran akan mengakibatkan ketidakseimbangan dan akhirnya segala pembaharuan dalam kursus ijazah di atas tidak dapat dimanfaati oleh orang lain, lebih-lebih lagi pihak sekolah. Kaedah mengajar bahasa Malaysia, bahan mengajar bahasa Malaysia, teknik menguji bahasa Malaysia hendaklah ditingkatkan juga. Pendeknya, hendaklah adanya perkembangan yang seimbang dalam bidang penerapan. Perlulah ada kursus diploma/ sijil untuk guru-guru bahasa Malaysia. Kursus ini hendaklah pada prinsipnya sejajar dengan kursus TESL/TEFL/TESOL untuk bahasa Inggeris. Hanya dengan kursus ikhtisas demikian barulah pengajaran bahasa Malaysia akan mencapai taraf keprofesionalan yang tinggi.

c. Kursus Lain yang Berkaitan dengan Bahasa Malaysia

Dalam usaha meningkatkan pengajian bahasa Malaysia ini, sebaran kursus yang akan dapat memberi sumbangan terhadap memajukan dan meningkatkan pengajian dan pengajaran bahasa Malaysia hendaklah diberi perhatian dan kepentingan yang sewajarnya. Kursus demikian hendaklah direkabentuk supaya melengkapkan perkembangan bahasa Malaysia. Kursus seperti ini memanglah penting untuk semua pelajar di peringkat pengajian tinggi untuk menjamin supaya semua graduan dapat menguasai bahasa Malaysia dengan baik dan berkesan. Kursus-kursus ini termasuklah kesusasteraan, penterjemahan, penulisan dan penyuntingan.

i. Kursus Kesusasteraan Bahasa Malaysia (Melayu)

Kesusasteraan memanglah suatu penggunaan bahasa. Ia tidaklah boleh dipisahkan dari keseluruhan usaha pengajaran sesebuah bahasa itu. Kalau kita mahu mempertingkatkan pengajaran bahasa Malaysia, maka pengajaran kesusasteraan bahasa Malaysia juga hendaklah disusun dengan teratur untuk memperlengkapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Malaysia. Peranan bahan kesusasteraan dalam meningkatkan penguasaan bahasa tidaklah perlu disangsikan.

ii. Kursus Terjemahan

Salah satu dari kritik terhadap kekurangan buku teks dalam bahasa Malaysia ialah kerana tidak cukupnya usaha penterjemahan ke dalam bahasa Malaysia dijalankan. Bahan terjemahan yang ada itu pula, di samping bilangannya yang sedikit, selalu didapati tidak memuaskan.

Kelebihan sesuatu bahasa itu tergantung pada kemampuannya mengungkapkan ilmu dan teknologi. Oleh sebab karya asal daalm bidang ini amat berkurangan, maka penterjemahan ke dalam bahasa Malaysia dijalankan. Bahan terjemahan yang ada itu pula, di samping bilangannya dan teknologi tersebut. Ini tentu sekali dapat membantu perkembangan bahasa Malaysia. Tetapi terjemahan yang menggunakan pengungkapan bahasa Malaysia yang buruk akan sebaliknya merosakkan. Untuk menjamin supaya dapat dihasilkan bahan terjemhan yang baik, perlulah dijalankan kursus terjemahan yang disusun untuk mencapai tujuan tersebut. Kursus terjemahan itu hendaklah dijalankan dengan baik. Pada masa ini hanya ada dua ting kursus yang memberi kursus demikian di Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia. Dalam hal ini jelas ada keperluan memperluaskan kursus ini supaya dapat menghasilkan penterjemah yang lebih cekap dan mahir, supaya dapat menghasilkan perkembangan bahasa Malaysia seluruhnya.

iii. Penulisan dan Penyuntingan

Bukan terjemahan saja yang akan dapat membantu mempertingkatkan bahasa Malaysia. Tetapi, selalunya pengungkapan bahasa Malaysia dalam karya asal juga mempunyai banyak kelemahan. Penutur bahasa Malaysia sebagai B1 perlu diberi bimbingan untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam bahasa Malaysia. Kursus ilmu mengarang dan menyunting hendaklah diadakan. Kursus demikian akan membolehkan peningkatan penguasaan bahasa Malaysia. Kursus demikian akan dapat membantu penutur bahasa Malaysia menghasilkan bahan bertulis dalam bahasa Malaysia dengan lebih kemas dan berkesan.

d. Penyelidikan

Penyuntingan terhadap bahasa Malaysia tentulah akan dapat membantu memperbanyakkan ilmu bertulis dalam bahasa Malaysia. Oleh itu penyelidikan perlulah dimajukan, baik dalam bidnag mendeskripsi atau pengajaran bahasa Malaysia tersebut. Hanya penyelidikan sajalah akan dapat menghasilkan pendapat dan bahan baru mengenai bahasa Malaysia, dan bahan demikian akan dapat dipergunakan seterusnya untuk kepentingan bahasa Malaysia pula. Tanpa penyelidikan, pembaharuan tidak akan timbul dan tanpa pembaharuan pengajaran bahasa Malaysia akan terus bergelumang dalam bahan-bahan lama saj. Ada banyak bidang yang perlu dikaji dengan mendalam serta meluas, misalnya: kajian perbandingan bahasa Malaysia dengan bahasa-bahasa tempatan lain di Malaysia, kaedah mengajar bahasa Malaysia, masalah pengajaran dan pembelajaran bahasa Malaysia dan lain-lain. Tajuk penyelidikan ini amatlah penting dalam pengajaran bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi. Tanpa kajian, keadaan pengajaran bahasa Malaysia tidak akan maju.

e. Pembakuan Bahasa Malaysia

Salah satu dari masalah yang dihadapi oleh ramai penutur bahasa Malaysia bersabit dengan ejaan, istilah dan tatabahasa. Walaupun sudah ada daftar ejaan rasmi yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, ejaan masih merupakan satu masalah. Di samping itu istilah masih perlu diperlengkapkan dan diselasraskan. Penutur bahasa Malaysia juga perlu diberi bimbingan dalam tatabahasa. Pengajaran bahasa Malaysia yang buku dari segi ejaan, istilah dan tatabahasa di institusi pengajian tinggi akan menjadi satu cara untuk melaksanakan bahasa Malaysia yang baku.

f. Usaha-Usaha Lain

Ada banyak usaha lain yang boleh dijalankan untuk mempertingkatkan penggunaan bahasa Malaysia, misalnya mengadakan bengkel, seminar dan kempen bahasa Malaysia. Usaha begini bolehlah dijalankan oleh institusi pengajian tinggi dengna cara yang lebih berkesan kerana taraf institusi tersebut tentu akan membawa erti dan kewibawaan yang tinggi.

Berhubung dengan ini, ada pula usaha-usaha lain yang berkaitan dengan perkembangan sesuatu bahasa itu, iaitu penerbitan. Memang secara langsung penerbitan terletak di luar tanggungjawab institusi pengajian tinggi, tetapi mungkin boleh juga penerbitan itu dijadikan suatu usaha institusi. Sebenarnya ini memang berlaku.

Penerbitan yang dimaksudakan di sini melibatkan segala bahan yang kena-mengena dengan perkembangan bahasa Malaysia tersebut. Di antara bahan perhatian yang perlu diberi perhatian ialah: buku teks, bacaan tambahan, novel dan bacaan umum.

i. Buku Teks

Buku teks untuk institusi pengajian tinggi dalam bahasa Malaysia diaktakan amat kurang. Oleh itu ia perlu diperbanyak. Karya asal hendaklah diutamakan, tetapi bahan terjemahan juga menjadi sumber tambahan untuk buku teks.

ii. Bacaan Tambahan

Bahan bacaan tambahan juga berkurangan dalam semua bidang dan peringkat pendidikan. Kekosongan ini perlu diisin, sebab, penambahan bahan bacaan tambahan dalam perkembangan sesuatu bahasa itu tidaklah boleh diperkecil. Tanpa bahan bacaan tambahan, perkembangan bahasa Malaysia akan bergantung pada buku teks. Resam bahasa dalam bahan demikian tidaklah boleh dijadikan matlamat bahasa yang ingin dikuasai itu, lebih-lebih lagi untuk kegunaan dalam pertembungan sosial.

iii. Bahan Kesusasteraan

Karya sastera juga perlu dicetak dan diperbanyak. Dalam hal ini, dengan adanya peraduan menulis novel, cerpen dan sajak, dan pemberian hadiah kepada penulis-penulis selama ini telah menimbulkan galakan yang baik. Apa yang penting ialah usaha baik ini diteruskan untuk menghasilkan lebih banyak lagi karya sastera.

iv. Bacaan Umum

Bacaan umum ini mencakupi bahan cetak seperti akhbar dan majalah. Setakat ini akhbar dan majalah dalam bahasa Malaysia juga lebih kecil bilangannya dari bilangan akhbar dan majalah dalam bahasa Cina misalnya. Ini adalah suatu keadaan yang boleh merosakkan kedudukan dan perkembangan bahasa Malaysia. Apabila ada kaum yang merasa tidak perlu menggunakan bahasa Malaysia untuk tujuannya hari-hari maka terancamlah kedudukan bahasa Malaysia tersebut. Oleh itu langkah meletakkan bahasa Malaysia pada tempat ini perlulah diusahakan.

9.5 Kesimpulan

Keadaan pengajaran bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi masih perlu diperbaiki untuk menjadi lebih berfungsi kepada negara. Inilah cabaran yang besar kepada sarjana bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi. Sebarang kelemahan dan kekurangan perlulah diatasi, sebarang kebaikan dipertingkat. Dengan segala usaha ini mestilah dilihat dalam konteks perancangan bahasa Malaysia secara umum. Perancangan bahasa Malaysia ini hendaklah dipandang sama penting dengan perancangan dalam bidnag lain seperti: perumahan, pertanian, pembangunan bandar dan lain-lain. Matlamat perancangan ini akan ahnya tercapai apabila semua langkah ini dapat digabungjalinkan dengan pengajaran bahasa Malaysia di institusi pengajian tinggi. Langkah-langkah ini perlu dilaksanakan dengan teratur dan penuh tanggungjawab. Dengan itu diharapkan bahasa Malaysia mendapat suatu pengertian baru sebagai bahasa Kebangsaan Malaysia. Berjaya atau tidaknya kita dalam menghadapi cabaran ini bergantung pada sama ada kita dapat mengenali dan mengatur langkah-langkah tertentu untuk mencapai matlamat yang kita tentukan untuk bahasa Malaysia selepas 1983 ini.

BAHAN RUJUKAN

Abdullah Hassan, Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Nasional dalam Masyarakat

Malaysia Baru, dalam Dewan Bahasa, Oktober 1976 hlm. 545-565.

Abdullah Hassan, Unsur Gramatikal Asing, tak bercetak, 1985.

Abdullah Hassan, Penerbitan Kata dalam Bahasa Malaysia, Petaling Jaya: Penerbit

Fajar Bakti, 1986.

Abdullah Hassan, Isu dan Masalah Standardisasi Bahasa Malaysia, dalam Dewan

Bahasa, Mei 1983, hlm. 323-339.

Ahmad Mohamed Ibrahim & Ahilemah Joned, Sistem Undang-Undang di Malaysia,

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985.

Ainon Muhammad, Dasar dan Pelaksanaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi

dan Bahasa Kebangsaan, Seminar Bahasa Malaysia, di Universiti Malaya, 1953.

Alisjahbana, S.T., The Failure of Modern Linguistics in the Face of Linguistic

Problems of the Twentieth Century, Kuala Lumpur: University of Malaya Press, 1965.

Alisjahbana, S.T., Some Planning Prosesses in the Development of the Indonesia-

Malay Language, in Rubin, e tal. Can Language be Planned?, Honolulu: University of Hawaii Press, hlm. 179-188, 1970.

Alisjahbana, S.T., Indonesia and Malaysia dalam Sebeok, T., Current Trends in

Linguistics, Vol 8, The Hague: Mouton, h. 1087-1109, 1971.

Amat Johari Moain, Pembentukan Kata dan Istilah, dalam Dewan Bahasa, 1 Januari

1985, 18-34.

Asmah Hj. Omar, Standard Language and the Standardization of Malaya, dalam

Antropological Linguistics, Vol. 13, h. 73-90, 1971.

Asmah Hj. Omar, The Malaysian Mosaic of Language dalam Essays on Malaysian

Linguistics, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1967.

Asmah Hj. Omar, Perancangan Bahasa dengan Rujukan Khusus kepada

Perancangan Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978.

Asmah Hj. Omar, Language Planning for Unity and Efficiency, Kuala Lumpur:

Penerbit Universiti Malaya, 1979.

Asmah Hj. Omar, Perancangan Bahasa dan Pembinaan Bahasa, Dewan Bahasa, Jun

1981, 5-18.

Beg, M.A.J., Arabic Loan-words in Malay; A Comparative Study (Edisi Kedua),

Kuala Lumpur: pengarang sendiri, 1979.

Carey, Y.I., Tegleq Kui Serok, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969.

Chuah Chong Cheng, Garis-Garis Panduan untuk Standardisasi Istilah Biology,

kertas kerja (tak bercetak) USM, 1977.

Chuah Chong Cheng, Ke Arah Satu Percubaan Berkuliah dalam Bahasa Malaysia

dengna Lebih Berkesan, oleh Ahli Biologis di Institusi Pengajian Tinggi, kertas kerja (tak bercetak) USM, 1977.

Cobarrubias, J., (Ed.), Progress in Language Planning, Berlin: Walter de

Gruyter&Co., 1983.

Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,

1981.

Daftar Istilah MBIM, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986.

Daftar Kata-Kata Pinjaman Umum dalam Ejaan Rumi Baru Bahasa Malaysia,

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978.

Hashim Yeop A. Sani, Bagaiman Undang-Undang Kita Diperbuat, Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980.

Dewan Bahasa dan Pustaka Sa-Puloh Tahun, Kua Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka, 1967.

Eastman, C.M., Language Planning – An Introduction, San Francisco: Chandler&

Sharp Publishers, Inc., 1983.

Farid Mohd. Onn, Aspects of Malay Phonology and Morphology, A Generative

Approach, Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1976.

Fauziah bt. Ismail, Bahasa Kebangsaan dan Istilahnya, Latihan Ilmiah, Universiti

Malaya, Jabatan Pengajian Melayu, 1965.

Ferguson, C.A., Language Development, dalam Fishman, et al. Language Problems of

Developing Nations, New York: John Wiley and Sons, 1968.

Fishman, J.A., Nationality-Nationism and Nation-Nationism, dalam Fishman e al.,

Language Problems of Developing Nations, John Wiley and Sons, 1968.

Fishman, J.A., Language Modernization and Planning in Comparison with other

types of National Modernization and Planning, dalam Language in Society, 2: 23-43, 1973.

Ghazali bin Othman, Perkembangan Perbendaraan Kata Bahasa Melayu dalam

Konteks Perkembangan Kebudayaan Pengguna-Pengguna Bahasa Melayu, Tesis – M.A. Universiti Malaya, Jabatan Pengajian Melayu, 1973.

Gonda, J., Sanskrit in Indonesia, Edisi Awal Kedua, New Delhi: International

Academy of Indian Culture, 1973.

Hall Jr.R.A., American Linguistics dalam Archivum Lingustivum IV (fasa I), 1-16,

1951.

Harimurti Kridalaksana, Fungsi Bahasa dan Sikap Bahasa, Ende: Penerbit Nusa

Indah, Cetakan 2, 1978.

Hassan bin Ahmad, Dasar Pembentukan Istilah Sains dalam Bahasa Malaysia,

Dewan Bahasa, (Jun 1981) 19-30.

Hassan bin Ahmad, Istilah Bahasa Malaysia Kerap Berubah, Dewan Bahasa, (83:48).

Haugen, E., Planning for a Standard Langugae in Modern Norway dalam

Antropological Linguistics I(3):8-21, 1959.

Haugen, E., Construction and Reconstruction in Language Planning: Ivar Aasen’s

Grammar, dalam Word, 21(2): 188-207, 1965.

Haugen, E., Dialect, Language, Nation, dalam American Antropologist, 68(4): 922-

935, 1966.

Haugen, E., Linguistic and Language Planning, dalam Bright, W. (ed.),

Sosiolinguistics: Proceedings of the UCLA Sociolinguistics Conference, The Hague: Morton, 159-190, 1966.

Haugen, E., Language Planning, Theory and Practice, dalam Graur, A. (ed.), Actes

due Xe Congres International des Linguistics Bucarest, Bucharest: Editions de L’Academie de la Republique Socialiste de Roumanie, 701-711, 1969.

Ismail Hussein Malay Dialectsin the Malay Penisula, kertas kerja ICO, Canberra

1969.

Karam, F.X., Toward A Definition of Language Planning, dalam J.A. Fishman,

Advance in Language Planning, The Hauge: Mouton, 1974.

Kementerian Pelajaran Malaysia. Penggunaan Istilah Sains di Peringkat Sekolah,

Seminar Penggunaan Istilah Sains, Kuala Lumpur, Disember 14-15, 1983.

Khoo Lian Ee & Sam Teng Wah, Masalah-Masalah yang Ditemui Semasa

Menterjemahkan Sebuah Buku Teks Kimia Organik, kertas kerja (tak bercetak) USM, 1977.

Kloss, H., Research Possibilities on Group Bilingualism: A Report, Quebec,

International Center for Bilingualism, 1969.

Laporan Jawatankuasa Mengkaji Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa

dan Pustaka, 1981.

Le Page, R.B., The National Language Question: Linguistic Problems of Newly

Independent States, London Oxford University Press, 1964.

Lim Chin Lam, Aspek-Aspek Penggunaan Bahasa Malaysia dalam Sains dan

Teknologi, kertas kerja (tak bercetak) USM 1977.

Malkiel, Y., Lexicography dalam Reed, C.E., The Learning of Language, Appleton

Century Crofts, 1971, m.s. 363-387.

Mas’od Abd. Rashid, Beberapa Kesulitan dalam Mencari Istilah Sains, dalam Dewan

Bahasa, (Februari 1959) 59-71.

Neustuphy, J.V., Basic Types of Treatment of Language of Language Problem, dalam

J.A. Fishman, Advances in Language Planning, The Hague: Mouton, 1974.

Noss, R., Language Policy and Higher Education, Vol. III, Part 2 of Higher

Education and Development in Southeast Asia, Paris: UNESCO and International Association of Universities, 1967.

Pedoman Umum Ejaan Bahasa Malaysia, Kuala Lumper: Dewan Bahasa dan

Pustaka, 1975.

Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka, 1975.

Quirk, R. & Greenbaum, S., A University Grammar of English, London: Longman,

1973.

Rabin, C., Spelling Reform – Israel 1968 dalam Rubin & Jernudd, Can Language be

planned? 95-121, Honolulu: University Press of Hawaii, 1971.

Raja Mukhtaruddin b. Raja Mohd. Dain, Pembinaan Bahasa Melayu: Perancangan

Bahasa di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982.

Ray, P.S., Language Standardization Fishman, et al. dalam Reading in the Sociology

of Language, The Hague: Mouton, 1966.

Rubin, J., Evaluation and Language be Planned?, Honolulu: University Press of

Hawaii, 1971.

Rules of The High Court 1980, (P.U [A]50/80), Kuala Lumpur: Malaysian Law

Publishers, 1982.

Salleh Johari, Pembentukan Istilah dalam Perkembangan Bahasa, Latihan Ilmiah,

PPIK., USM, (tidak bercetak, 1985).

Sasterawan 50, Memoranda Angkatan Sasterawan 50, Kuala Lumpur: Oxford

University Press, 1962.

2 comments:

  1. Di dalam blog ini memfokuskan berkenaan Pengajaran Bahasa Malaysia Di Institusi Pengajian Tinggi Selepas tahun 1983. Tajuk blog ini sangat menarik untuk semua pelajar-pelajar bagi menyiapkan kertas kerja dengan mencari maklumat yang terperinci. Sebagai rujukan, di sini saya mempunyai laman web yang boleh membantu anda semua mencari maklumat yang lengkap dengan hanya melayari company iaitu mempunyai isi kandungan yang lengkap dan sangat berkualiti baik. Dengan itu,ia dapat membantu anda semua di dalam bidang penulisan yang berkaitan.
    Terima Kasih di atas perkongsian yang baik ini.

    ReplyDelete