Bengkel Bahasa Malaysia, Hotel Regent, Kuala Lumpur, November 1980
BAHASA MELAYU MODEN : BAHASA MALAYSIA
1.1 Pengenalan
Kedudukan bahasa Malaysia hari ini jelas mencerminkan masyarakat penggunanya yang sedang mengalami pembangunan pesat. Dalam proses pembangunan ini, kita tidak sunyi daripada menemui segala macam perkara baru: fikiran baru, konsep baru, kereta baru, sabun baru, bateri baru, bangunan baru, dan segala macam yang baru. Penutur bahasa Malaysia tentulah merasa perlu mengungkapkan segala yang baru ini di dalam bahasa Malaysia. Dalam keadaan seperti ini jelas kelihatan perkembangan pesat di dalam bahasa Malaysia, sehingga ramai penuturnya yang merasa kecewa apabila melihat perubahan tersebut telah meninggalkan mereka jauh di belakang. Hal ini banyak membawa implikasi tertentu dalam usaha mengembangkan bahasa tersebut. Kita bukan saja terpaksa mencari satu norma baku untuk bahasa Malaysia bagi pengajarannya, tetapi juga meyakinkan penutur bahasa Malaysia keseluruhannya, bahasa perubahan yang berlaku itu adalah sesuatu yang normal dan akan terus berlaku.
1.2 Masalah Bahasa Malaysia Hari Ini
Telah dikatakan awal-awal tadi bahawa masyarakat Malaysia ini sedang membangun, dan perlu mengungkapkan segala sesuatu yang baru ditemuinya. Bagi mereka yang mahir di dalam bahasa Malaysia tentulah tidak akan timbul sebarang masalah. Tetapi bagi mereka yang tidak mahir di dalam bahasa Malaysia, cabaran ini akan menjadi masalah. Pada dasarnya masalah itu akan timbul sebagai kekacauan kerana ada dua atau lebih bahasa yang bertembung dan yang satu mempengaruhi yang lain, atau kedua-duanya saling mempengaruhi.
Agak perlu juga dipisahkan dua jenis bahasa di sini. Pertama penggunaan bahasa Malaysia umum untuk perhubungan biasa, baik rasmi atau tidak rasmi. Kedua ialah bahasa saintifik untuk bidang atau disiplin pengajian tertentu.
Bahasa Malaysia itu sendiri sedang berkembang untuk menampung sebarang keperluan baru yang dikatakan di atas. Dari sebuah bahasa harian tiga puluh tahun dulu, bahasa Malaysia sudah menjadi bahasa ilmiah untuk memikul banyak fungsi baru terutama sekali sebagai bahasa penghantar di sekolah, maktab dan universiti. Daripada sebuah bahasa orang-orang biasa, bahasa Malaysia telah menjadi bahasa pentadbiran kerajaan dan perantaraan awam. Dari sebuah bahasa yang hanya mempunyai satu dua akhbar harian, sekarang ia telah menjadi bahasa yang mempunyai tidak kurang daripada tiga buah akhbar harian kebangsaan yang mempunyai edaran lebih sesuku juta. Perkembangan ini besar ertinya kepada bahasa Malaysia kerana bahasa tersebut terpaksa melahirkan ungkapan-ungkapan yang diperlukan untuk menjalankan tugas-tugas ini. Oleh sebab bahasa Malaysia sedang berkembang pesat maka definisi norma bakunya juga agak menyulitkan waktu ini. Memang ada satu norma baku tetapi bahasa itu terus berkembang sehinggakan norma baku bagi bahasa Malaysia itu juga turut berubah. Apa yang dianggap sebagai baku kelmarin mungkin sudah tidak lagi baku pada hari ini.
Di samping berkembang dengan sendirinya, pembinaan bahasa Malaysia ini dikendalikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tugas ini memang besar dan permintaan penutur bahasa Malaysia untuk kata-kata baru, istilah, ejaan, kamus, dan pedoman tatabahasa, dan pedoman sebutan masih belum dilaksanakan dengan sepenuhnya. Ada beberapa faktor yang menyusahkan perkembangan bahasa Malaysia. Sikap kebanyakan pengguna bahasa Malaysia, baik orang Melayu atau bukan Melayu memang banyak menyulitkan keadaan bahasa Malaysia hari ini. Ramai yang menganggap bahasa Malaysia itu satu bahasa yang mudah; mudah disebut, dieja atau dipakai tanpa pertimbangan yang serius. Pandangan yang menganggap bahasa Malaysia itu mudah, memang sukar diatasi. Apabila bahasa Malaysia itu dirasai sukar maka ia dianggap pula sebagai bahasa yang berubah-ubah, tidak baku dan sebagainya. Ramai pula di antara yang berkata demikian itu, tidak dapat memberi sebarang penjelasan mengenai perkara yang berubah-ubah itu.
Memang sebab yang paling merosakkan ialah kekurangan kemahiran di dalam bahasa Malaysia itu sendiri. Satu contoh mudah di dalam hal ini ialah yang digambarkan oleh iklan-iklan yang salah. Misalnya, sebuah buku persendirian di Pulau Pinang diberi nama Utara-Timur. Ini jelas menunjukkan pengaruh dari perkataan bahasa Inggeris north east, padahal terjemahannya yang wajar ialah: Timur Laut. Nama kedai makan Boston Ais-cream Restoran menganggap bahawa rentetan kata dalam bahasa Inggeris itu serupa dengan bahasa Malaysia dan pengubahsuaian ejaan sudah mencukupi. Sebuah contoh lain telah ditemui di belakang sebuah bas Majlis Perbandaran Pulau Pinang: Merokok mujarab untuk kanser. Mujarab itu bermakna “sangat sesuai untuk menyembuhkan penyakit”; jadi iklan itu bermakna “merokok itu paling baik untuk menyembuhkan kanser!”. Kebanyakan firma hanya menyerahkan nasib bahasa Malaysia dalam iklan kepada tukang cat papan iklan itu saja. Ramai pula tidak tahu iklannya itu salah, songsang, lucu, malah ada yang tidak bermakna.
Guru-guru bahasa Malaysia juga masih berkurangan. Banyak sekolah yang merungut tidak mempunyai guru bahasa Malaysia. Kalaupun ada diberi guru bahasa Malaysia, selalunya terdapat pula guru yang tidak terlatih secara khusus, dan tidak mempunyai pengetahuan yang cukup untuk mengajar bahasa Malaysia. Guru mata pelajaran lain kerap kali diarahkan mengajar bahasa Malaysia. Keseluruhan faktor ini menimbulkan satu keadaan bahawa bahasa Malaysia itu banyak mengandungi unsur-unsur yang berkacau pada hari ini.
Sering juga terdapat kekacauan yang disebabkan oleh pengaruh bahasa-bahasa lain seperti Inggeris, Cina, India dan Arab. Unsur-unsur dari bahasa lain yang sering dipindahkan ke dalam bahasa Malaysia itu biasanya ialah sebutan, ejaan, tatabahasa, dan fahaman budaya. Misalnya sebutan pembaca berita di televisyen; umumnya pembaca berita bahasa Malaysia yang terdiri daripada orang bukan Melayu, memang cukup baik, tetapi ada seorang dua yang membawa masalah seperti seorang pembaca berita daripada kaum India, yang didapati tidak dapat membunyikan k dan h di akhir kata seperti dalam tida(k), dan tenga(h). Dari segi ejaan-ejaan nama tempat seperti Teluk Datoh, Air Itam, jelas menunjukkan kekacauan dari bahasa Inggeris. Begitu juga banyak gerabak barang Keretapi Tanah Melayu yang mempunyai tulisan pungut, punggut, pengget dan penggah (pungut dan punggah?). Demikian juga kesalahan di dalam memakai ganti nama seperti kita untuk kami; adalah terlalu ketara kekeliruannya sehingga ada orang yang tidak lagi mengenali penggunaan yang betul bagi kedua-dua ganti nama tersebut. (Lihat 3.5 untuk perbincangan yang lebih lanjut mengenai kesalahan bahasa.)
1.3 Peristilahan
Soal peristilahan amat penting, sebab di dalam pembinaan bahasa, usaha perluasan kosa kata atau istilah merupakan peringkat yang menentukan keefisienan bahasa itu (S.T. Alisjahbana, 1975.). Kemampuannya mengungkapkan sebarang konsep atau proses di dalam ilmu pengetahuan adalah ukuran muktamad sama ada bahasa itu sudah cukup terbina menjadi bahasa moden untuk kepentingan sesebuah masyarakat moden.
Pembentukan istilah telah berjalan selama lebih kurang 30 tahun. Daripada dua buah jawatankuasa untuk Jawatan dan Perjawatan yang terbentuk dalam tahun 1956 (Laporan DBP 10 Tahun), bilangannya telah bertambah menjadi 28 buah jawatankuasa pada hari ini. Ada pula jawatankuasa di universiti-universiti untuk menampung keperluan masing-masing. Dalam kiraan yang dilakukan terhadap semua istilah yang tercipta untuk bahasa Malaysia setakat ini, sebanyak 186,000 buah istilah telah dibentuk (Hassan Ahmad, 1982: 533 DBP). Ternyata jumlah ini adalah banyak, sedangkan (Kamus Dewan 1970) hanya mempunyai 28,000 kata masukan, bahkan yang perlu untuk pertuturan asas hanyalah 800 patah kata saja, seperti yang digunakan dalam Kamus Sukarelawan Amerika. Walau bagaimanapunbukan semua istilah ini perlu diketahui oleh semua orang. Istilah khusus dalam seseuatu bidang itu hanya perlu diketahui oleh sarjana berkenaan saja. Untuk menjamin istilah yang dibentuk tidak bercanggah anatara satu sama lain, maka diadakan pula Jawatankuasa Penyelarasan Istilah. Keseluruhan usaha ini dibimbing oleh Jawatankuasa Tetap Bahasa Malaysia yang diuruskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Walau bagaimanapun ternyata ada masalah di antara istilah yang dicipta itu dengan istilah sekolah dan universiti. Guru baru lepasan universiti menggunakan istilah baru dan menyebabkan pelajar sekolah merasa binggung. Guru baru juga menghadapi masalah kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan istilah sekolah dan buku teks. Sebenarnya masalah ini tidak akan berpanjangan. Ini adalah masalah peralihan. Memang pelajar masih bertanya-tanya sama ada mahu memakai jangkasuhu atau termometer, oksijan atau oksigen, saikologi atau psikologi. Masalah ini harus akan hapus apabila buku teks yang tercetak memakai istilag baru secara selaras dan konsisten. Walau bagaimanapun, istilah-istilah ini amat khusus dan bukan untuk penggunaan orang ramai, tetapi memadailah kalau hal tersebut diambil berat oleh orang yang berkenaan saja. Misalnya istilah kimia memamng hanya melibatkan ahli-ahli kimia saja. Orang lain, ahli seni bina misalnya tidaklah akan terlibat di dalam peristilahan kimia tersebut.
Dalam peristilahan ini, satu perkembangan baru telah timbul dengan adanya kerjasama antara Indonesia dan Malaysia. Memang telah menjadi hasrat DBP dan direstui oleh rakyat Malaysia supaya bahasa Malaysia itu diselaraskan dengan bahasa Indonesia. Kerjasama ini telah lama berjalan dan satu langkah yang lebih formal telah dilakukan pada tahun 1972 apabila Majlis Bahasa Indonesia Malaysia (MBIM) dibentuk. Dengan ini terbukalah saluran untuk kerjasama yang lebih rapat dan teratur. Majlis ini telah menghasilkan pedoman pembentukan istilah dan pedoman ejaan baru. Kerjasama dalam penyelarasan istilah di antara kedua-dua negara ini sedang licin berjalan. Setakat ini sudah banyak bidang istilah yang telah dibincangkan dan diselaraskan. Sememangnya perlu disedari bahawa persamaan 100% dalam bidang istilah di antara kedua-dua negara ini tidak akan tercapai, tetapi sekurang-kurangnya sebahagian besar daripadanya akan dapat diselaraskan. Persamaan istilah di antara kedua0dua negara ini akan mengukuhkan lagi kedudukan bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia sebagai bahasa ilmu. Mulai 1985 pula, Brunei Darussalam telah menjadi ahli di dalam Majlis ini, dan dengan itu nama majlis berubah menjadi Majlis Bahasa Brunei-Darussalam dan Indonesia Malaysia (MABBIM).
Implikasi kemasukan istilah baru ini di dalam perkembangan bahasa Malaysia memang banyak. Pengguna bahasa Malaysia memang akan mudah merasa terperanjat apabila melihat kata-kata yang begitu banyak dipinjam dan pasti akan mempengaruhi bahasa Malaysia. Agaknya yang penting diketahui ialah bahawa kita tidak perlu merasa bimbang di dalam hal ini. Istilah ialah kata-kata untuk bidang khusus yang perlu dibentuk atau dipinjam untuk sesuatu bidang ilmu. Perkara yang lebih melibatkan orang ramai ialah pengejaan dan sebutan beberapa kata asing yang dipinjam ke dalam bahasa Malaysia umum. Jadi peristilahan tidak perlu menimbulkan kebimbangan semua orang.
1.4 Bahasa Baku
Memang selalu didebatkan ‘Apa betulkah ada suatu norma baku di dalam bahasa Malaysia?’ Rasanya soalan seperti ini harus tidak timbul lagi (Asmah 1971). Hal ini telah dibincangkan dan sedikit sebanyak telah dapat memberi penjelasan. Setelah melihat hakikat bahawa bahasa Malaysia itu sedang dibina dan berkembang, di samping kekacauan yang tidak boleh dielakkan maka, mungkin ada dua perkara yang harus kita perhatikan dulu.
1. Apakah bahasa Malaysia?
2. Apakah norma baku?
1.4.1 Apakah Bahasa Malaysia?
Bahasa Malaysia ini hanya satu nama yang timbul selepas 13 Mei, 1969 demi untuk menghilangkan konotasi bahawa bahasa Melayu itu adalah kepunyaan orang Melayu saja. Dengan menamakannya sebagai bahasa Malaysia, maka diharapkan agar kaum-kaum lain mudah menerimanya. Sebenarnya bahasa itu tetap serupa walau apa pun nama yang diberikan kepadanya. Apa yang lebih penting kita fahami di sini ialah, bahawa, dengan bertambah ramainya penutur bahasa Malaysia ini maka kita haruslah lebih berhati-hati memilih corak bahasa Malaysia yang boleh dijadikan asas pembinaan dan pengembangan. Adalah difikirkan penting juga mengetahui sedikit tentang pola dalam penguasaan bahasa Malaysia sebagai bahasa kandung dan pembelajaran bahasa Malaysia sebagai bahasa kedua. Hal ini akan sedikit sebanyak memberi pengetahuan terhadap kemahiran di dalam bahasa Malaysia yang dicapai oleh generasi sekolah hari ini. Ada empat pola yang timbul daripada pemerhatian secara kasar.
1. Penutur bahasa Malaysia sebagai bahasa kandung di rumah, dan
diperkukuhkan di sekolah oleh guru yang mahir dalam bahasa Malaysia.
2. Penutur bahasa Malaysia sebagai bahasa kandung di rumah, tetapi
mengalami gangguan di sekolah-sekolah daripada guru-guru yang kurang mahir.
3. Bukan penutur bahasa Malaysia sebagai bahasa kandung dan dikukuhkan di sekolah oleh guru yang mahir.
4. Bukan penutur bahasa Malaysia sebagai bahasa kandung dan tidak
menerima pengukuhan daripada guru bahasa Malaysia yang mahir di sekolah.
Sebenarnya hanya pola 1 dan 3 yang dapat menghasilkan penutur bahasa Malaysia yang dapat dianggap baik. Tetapi pola 1 ini jarang ada. Akibatnya, terhasillah bahasa Malaysia yang agak menderita. Jarang sekali terdapat orang Melayu yang dapat bertutur dalam bahasa Malaysia rasmi yang baik. Kebanyakan teragak-agak, tergagap-gagap, dan tidak lancar. Memang ada individu yang mahir, fasih dan lancar, dan dalam kebanyakan hal, ini timbul daripada bakat penutur itu sendiri. Orang yang bukan penutur bahasa Malaysia sebagai bahasa kandung pula, jarang terjumpa yang betul-betul mahir, fasih dan lancar, melainkan mereka yang datang dari daerah yang bahasa Malaysia itu lebih dominan.
Ada banyak faktor yang menyebabkan hal ini berlaku. Pertama, bahasa Malaysia yang diajarkan di dalam kelas itu tidak boleh dituturkan di luar kelas. Ragam yang diajarkan ialah, ragam bahasa tulisan (rasmi), dan bukan untuk dipakai bertutur di luar kelas. Ragam bahasa Malaysia yang mereka pelajari di dalam kelas itu bukan untuk berhubung secara lisan. Kalaulah kita gunakan bahasa Malaysia yang diajarkan di dalam kelas itu untuk berhubung di luar kelas, alangkah janggalnya. Sebenarnya yang patut diajarkan ialah bahasa yang boleh mereka gunakan di luar kelas. Kedua, pengukuhan pembelajaran bahasa Malaysia itu jarang wujud, iaitu suasana keluarga dan sosial tidak menggalakkan. Di rumah bahasa Malaysia mungkin tidak digunakan. Kalau adapun suasana untuk menggunakan bahasa Malaysia seperti di pejabat kerajaan, pejabat pos, dan hospital, jarang bahasa Malaysia dapat digunakan kerana bahasa Inggeris masih kuat bertahan dalam perhubungan lisan. Dalam sektor perdagangan, jarang sekali bahasa Malaysia dapat digunakan, baik secara tulisan atau lisan. Ketiga, tidak semua guru bahasa Malaysia di sekolah itu terlatih khusus untuk mengajarkan bahasa Malaysia. Pemegang Ijazah Pengajian Melayu pun belum tentu betul-betul mahir dan faham selok-belok tatabahasa bahasa Malaysia untuk mengajarkan bahasa Malaysia. Tidak ada kursus bahasa Malaysia yang khusus untuk guru bahasa Malaysia di universiti sebelum tahun 80-an. Hanya mereka yang lulus jurusan Linguistik Pengajian Melayu (UM) yang mempunyai kemahiran ini. Jadi, walaupun ada cukup bilangan guru bahasa Malaysia di sekolah-sekolah, tetapi kebanyakannya tidak terlatih dan tidak betul-betul mengetahui tatabahasa bahasa Malaysia. Mereka mungkin memegang ijazah Pengajian Islam, Geografi, Sejarah, Sosiologi, dan sebagainya. Dalam hal ini guru-guru bahasa Melayu yang dihasilkan di Maktab Bahasa dulu adalah lebih sesuai. Tetapi sayangnya di Maktab Bahasa dihentikan. Sejak tahun 1980, USM, UKM, dan UPM telah mual mengajarkan kursus bahasa Malaysia pada peringkat ijazah.
Ada lagi satu faktor yang jarang-jarang difahami orang Bahasa Malaysia tidak pernah diberi analisis perbandingan sepenuhnya untuk pembelajaran dan pengajaran kepada kaum Cina dan kaum India. Walaupun Lufti Abas (1977, 1978) membandingkan bahasa Malaysia dengan bahasa Cina, bahasa Tamil, dan bahasa Inggeris, tetapi ada banyak bahasa Cina dan bahasa India. Ada sembilan buah bahasa Cina dan 13 buah bahasa Tamil di Malaysia. Guru-guru perlu faham betul langkah-langkah untuk mengajarkan bahasa Malaysia kepada penutur bahasa Cina yang berlainan dan bahasa India yang berbagai-bagai ini.
Dalam hal ini ternyatalah bahawa bahasa Malaysia yang harus kita jadikan pegangan itu ialah bahasa Malaysia yang dituturkan oleh penutur yang mahir, iaitu yang menguasai bahasa Malaysia melalui pola 1. Penguasaan bahasa Malaysia dengan pola lain tidak akan sesuai untuk dijadikan pegangan.
1.4.2 Apakah Norma Baku?
Baik juga kita perhatikan sedikit tentang apa yang dimaksudkan dengan istilah baku. Perkara ini jangan kita kelirukan dengan sesuatu ‘impian’ seperti menegakkan satu jenis sebutan. Bahasa baku itu hanyalah satu norma yang ingin kita capai. Norma ini boleh kita tentukan. Apa sebutan yang kita mahu? Apa ejaan yang kita tentukan. Apa sebutan yang kita mahu? Apa ejaan yang kita terima? Apa corak tatabahasa yang dianggap menjadi pegangan? Ini semuanya boleh ditentukan. Sebutan yang digunakan oleh juruhebah Radio dan Televisyen Malaysia, misalnya boleh dijadikan pegangan. Ejaan baharu bolehlah dirasmikan dan tatabahasa Za’ba boleh diperbaik dan diperlengkap untuk dijadikan pegangan. Walau bagaimanapun, kita haruslah menyedari bahawa pewujudan satu dialek baku itu tidaklah boleh menimbulkan satu keseragaman 100%. Mestilah juga ada neka sahaja, di Amerika ada satu neka lain, dan di India pun ada nekanya sendiri. Semuanya ini adalah neka satu bahasa baku.
Kita harus sedar hakikat ini supaya dapat mengelakkan rasa kecewa kalau misalnya kita masih mendapati ada perbezaan antara sebutan bahasa Malaysia baku di Perak dengan sebutan bahasa Malaysia baku di Kelantan. Kita tidak dapat lari daripada kenyataan ini sebab bahasa Malaysia baku juga mesti ada banyak nekanya menurut pengaruh dialek daerah dan sosial seseorang penutur itu. Misalnya, dua pertuturan, katakan oleh Datuk Sanusi Junid dan Datuk Musa Hitam, jelas menunjukkan perbezaan-perbezaan besar tetapi kedua-duanya adalah sebutan baku..hanya perbezaan dalam nekanya sahaja yang timbul kerana latar belakang daerah, profesion, dan sosial mereka adalah berlainan.
Jadi, daripada perbincangan di atas, apa yang kita sebut sebagai bahasa Malaysia itu bukanlah sebuah bahasa baharu. Hanya namanya sahaja yang baharu. Bahasa Malaysia itu ialah bahasa Melayu, iaitu; khususnya bahasa Melayu moden. Ini jelas kelihatan, sebab kita agak sukar menerima sebarang rujukan kepada bahasa Melayu sebelum tahun 1970 itu sebagai bahasa Malaysia; sebelum itu istilahnya ialah bahasa Melayu. Di samping itu pula, apabila kita berbincang tentang budaya bahasa, budaya bahasa Malaysia ialah budaya bahasa Melayu. Umur bahasa Malaysia agak terlalu muda untuk menimbulkan budayanya sendiri.
1.5 Kesimpulan
Sebagai kesimpulan dapat ditimbulkan beberapa perakuan untuk mengatasi masalah dalam bahasa Malaysia ini.
Kekacauan dalam ejaan akan dapat dihapuskan dengan mengeluarkan sebuah daftar ejaan dengan menggunakan sistem ejaan baharu. Lebih lama ditunggu, akan lebih banyaklah kekeliruan yang akan timbul. Sebuah daftar ejaan seperti yang dikeluarkan oleh Za’ba (1937) itu, tentu akan dapat menyelesaikan masalah remeh yang menyebabkan orang ramai merungut, menelefon, dan menulis surat cacian dalam akhbar tentang ejaan baharu itu. (Daftar Ejaan Bahasa Malaysia hanya diterbitkan oleh DBP pada tahun 1980). Kadang-kadang tidak ada asasnya, hanya mereka tidak ada panduan. Memberi taklimat itu sesuai juga, tetapi taklimat ini amat akademik, walhal orang ramai memerlukan sesuatu yang praktis. Membiarkan kamus sahaja menjalankan tugas ini memang tidak memuaskan.
Satu sistem sebutan juga harus dihasilkan untuk pedoman umum dengan segera. Di samping itu unsur intonasi juga harus diperjelas supaya dapat membantu pengajaran dan pembelajaran bahasa Malaysia.
Demikian juga halnya dengan tatabahasa. Sebuah buku tatabahasa lengkap bagi guru dan pelajar perlu diterbitkan sekarang. Memang Za’ba dalam mukadimah Pelita Bahasa Melayu I ada menyarankan supaya bukunya itu diperbaik. Tugas ini belum dilakukan lagi. Ini memang bukan tugas satu atau dua orang, tetapi beberapa orang yang berkemahiran dan berpengetahuan dalam bidang tatabahasa bahasa Malaysia. Hal ini ada implikasi penting. Dalam hal ini Pelita Bahasa Melayu I yang selama ini dipakai mungkin dapat menjadi panduan asas kita. Tatabahasa Dewan Jilid I: Ayat oleh Nik Safiah Karim et al., telah terbit pada tahun 1986. Buku tatabahasa ini tentu dapat membantu pemantapan dan pembakuan bahasa Malaysia. Buku tatabahasa lain seperti Asmah Hj. Omar (1980) dan Abdullah Hasssan (1986) juga boleh membantu mengisi keperluan ini.
Salah satu daripada saluran yang baik untuk memperbaik keadaan ini ialah melalui sekolah. Kalau buku teks dan sukatan pelajaran dapat ditentukan, maka yang tinggal ialah kemahiran guru bahasa Malaysia itu sendiri yang perlu dibaiki. Di samping itu kemahiran guru di sekolah, maktab dan universiti dalam menggunakan bahasa Malaysia untuk menyampaikan pelajaran mereka memang lama diragukan. Misalnya, selalu dapat dibaca dalam akhbar tentang guru yang mengajar dalam bahasa Inggeris walaupun dia sepatutnya menggunakan bahasa Malaysia. Ada guru yang membuka ucapannya dengan sepatah dua kata bahasa Malaysia dan yang lainnya masih dalam bahasa Inggeris. Apa yang lebih tenat lagi ialah dakwaan bahawa ada guru yang tidak mahir, dan difikirkan sampai bila-bila pun tidak akan mahir. Untuk mengatasi masalah ini guru-guru yang tidak mahir ini hendaklah dilatih supaya menjadi mahir dalam bahasa Malaysia. Sekiranya mereka tidak mahir, kekurangan mereka akan menular kepada pelajar.
Mungkin bidang yang patut diberi perhatian yang lebih berat lagi ialah terhadap penyediaan guru-guru yang khusus untuk mengajarkan bahasa Malaysia, bukan membiarkan pengajaran bahasa Malaysia dikendalikan oleh sebarang guru sahaja, dan jauh sekali guru yang dirinya sendiri belum mahir dalam bahasa Malaysia. Mereka yang dilatih di peringkat maktab atau universiti untuk mengajarkan bahasa Malaysia hendaklah mengikuti kursus yang khusus tentang bahasa Malaysia, dan bukan sekadar Pengajian Melayu atau Kesusasteraan Melayu. Guru-guru ini perlu mempunyai pengetahuan yang luas dan mendalam tentang bahasa Malaysia, dari segi fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, gaya, dan kaedah mengajarkannya. Satu atau dua kertas yang diikuti di peringkat diploma ternyata masih belum dapat melengkapkan guru bahasa Malaysia dapat dijamin baik, maka masalah-masalah lain tentu akan dapat dikurangkan kalaupun tidak dihapuskan.
Di jabatan-jabatan kerajaan kerap juga terdapat masalah penggunaan bahasa Malaysia yang masih kacau. Hal ini tentu tidak akan berlaku sekiranya sekolah menghasilkan pengguna bahasa yang dapat menguasai atau mempelajari bahasa Malaysia dengan baik. Ternyata syarat lulus bahasa Malaysia dengan kepujian di peringkat SPM tidak menyelesaikan keseluruhan masalah ini, mungkin perlu diberi suatu langkah yang lebih positif.
Umumnya, apa yang dimaksudkan dengan perancangan bahasa itu ialah adanya badan atau orang tertentu mengambil keputusan untuk menentukan bagaimana bahasa, atau aspek bahasa itu mesti digunakan. Ini dijalankan untuk membina sesuatu bahasa yang dapat menanggung sebarang peranan yang diberikan kepadanya dengan berkesan. Dalam hal ini biasanya ejaan diberi perhatian dulu, dan kemudian memodenkannya supaya dapat mengungkapkan segala macam konsep, samalah seperti bahasa lain yang sudah maju. Barulah timbul bahasa Malaysia baku. Pendek kata bahasa Malaysia mesti sanggup mendukung peranan yang sama dalam semua hal, seperti juga bahasa Inggeris yang ternyata sudah lengkap dalam serba-serbinya. Bahasa Malaysia hanya dapat dikatakan sedang berkembang menuju matlamat tersebut. Perkara ini, sama ada dapat diselesaikan segera atau tidak, kita masih perlu meneruskan tugas untuk mengajarkan bahasa Malaysia baku itu.
No comments:
Post a Comment