Tuesday, March 24, 2009

4. DASAR DAN PELAKSANAAN BAHASA MALAYSIA DI UNIVERSITI SAINS MALAYSIA*

Bengkel Pelaksanaan Bahasa Malaysia di USM, Minden, P. Pinang 7-8 Januari 1977

DASAR DAN PELAKSANAAN BAHASA MALAYSIA DI UNIVERSITI SAINS MALAYSIA*

4.1 Pendahuluan

Dasar bahasa Malaysia U.S.M. adalah sejalan dengan dasar negara iaitu: menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama dan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Dasar ini telah dijelaskan oleh Naib Canselor U.S.M. dalam ucapannya dan juga dalam urusan surat-menyuratnya kepada pihak kerajaan, kakitangan universiti dan juga kepada individu.

Sebenarnya hal ini tidak harus menjadi kesangsian. Dasar ini adalah dasar negara dan terpaksa didaulatkan. Yang menjadi persoalan ialah cara pelaksanaannya. Dalam melaksanakan sesuatu dasar itu ada beberapa buah jalan yang terbuka. Dalam mengikuti jalan yang berbeza-beza ini haruslah difahamkan bahawa ia tidak harus menurut satu kaedah tertentu saja. Setiap suatu cara yang berlainan itu mestilah diberi pertimbangannya yang sewajarnya. Tidak semestinya sesuatu yang berlainan dari apa yang biasa dikenal itu menyalahi dasar. Dasar hanyalah merupakan suatu matlamat. Cara mencapai matlamat harus berlainan menurut keyakinan, kepentingan dan kehendak institusi yang berlainan.

Ada beberapa istilah yang harus diberi penjelasan sebelum dasar ini dapat difahami, iaitu: kedwibahasaan, bahasa-bahasa kedua dan bahasa pengantar.

Istilah dwibahasa bukanlah baru, tetapi maknanya amat longgar. Maksudnya boleh diberi sesuka hati penggunanya menurut konteks dan kemahuannya. Tetapi secara kasarnya, maksudnya ialah penggunaan dua bahasa dalam beberapa aspek hidup mereka. Biasanya selalu disalahfahamkan yang pengguna bahasa itu mesti mempunyai kemahiran yang seimbang bagi kedua-dua bahasa yang dipakai itu. Mestilah difahami bahawa keadaan begini adalah suatu keadaan unggul, dan suatu yang unggul itu hanyalah merupakan impian saja dan tidak mungkin tercapai. Kemahiran bahasa itu terbahagi kepada empat bidang: mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Dwibahasa secara unggul bermaksud yang seseorang itu akan dapat mencapai kemahiran yang seimbang dalam kedua-dua bahasa itu dalam semua bidang kemahiran tersebut. Apa yang kerap berlaku ialah seseorang itu cukup mahir dalam semua bidang tersebut dalam satu bahasa, tetapi hanya separuh mahir dalam sebuah bahasa lain, ataupun hanya mahir dalam mendengar dan bertutur, atau membaca dan menulis saja dalam bahasa lain itu. Inilah keadaan selalu didapati. Manusia biasanya dapat menguasai bahasa ibunya dengan baik, tetapi kurang dapat menguasai sebuah bahasa lain, kalaupun boleh, peringkat atau bidang kemahirannya tidak akan serupa.

Bahasa Malaysia akan dijadikan bahasa pertama, bererti ianya bahasa yang paling penting atau rasmi bagi kegunaan seluruh negara dalam bidang pentadbiran, pendidikan, ekonomi, sosial dll. Walau bagaimanapun ianya tidak akan dapat diterima sebagai bahasa kandung sebab penuturnya juga terdiri dari bangsa bukan Melayu. Oleh itu cocoklah ia dipanggil bahasa pertama. Bahasa Inggeris adalah bahasa kedua. Dari sini pengertiannya ialah bahawa bahasa Inggeris itu kedudukannya tidak sepenting bahasa Malaysia, walau bagaimanapun ia tidak boleh diketepikan langsung pula. Jadi tugasnya adalah sekadar membantu atau melengkapkan tugas bahasa Malaysia. Ini dapat dilihat dengan jelas di Indonesia. Pelajar menerima pendidikan dalam bahasa Indonesia dan terpaksa menambah pengetahuan mereka dengan membaca bahan teks dan rujukan dalam bahasa Inggeris.

Akhir sekali istilah bahasa pengantar bermaksud bahasa yang dipakai untuk menyampaikan pengetahuan. Ini bermaksud kuliah, dan tutorial perlulah disampaikan di dalam bahasa Malaysia.

Dasar U.S.M. ialah menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama, dan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Tidak syak lagi bahawa apa yang dimaksudkan itu ialah penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya dalam menyampaikan ilmu dalam kuliah, dan tutorial. Kemudian bahasa Inggeris dipakai untuk membaca buku teks dan rujukan dalam bahasa Inggeris, atau untuk tugas-tugas lain yang tidak dapat ditanggung oleh bahasa Malaysia.

Haruslah diingati bahawa sebelum tahun 1980 untuk Sastera, dan 1982 untuk Sains, penuntut yang masuk belajar ke universiti adalah kebanyakannya dari aliran Inggeris. Sememangnya dari awal lagi universiti ini adalah terbentuk untuk menyampaikan pendidikan dalam bahasa Inggeris. Oleh yang demikian perlulah suatu susunan langkah-langkah yang bukan saja lojik tetapi praktis untuk dilaksanakan untuk mencapai dasar negara dalam menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar sepenuhnya, dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

4.2 Langkah Pelaksanaan Bahasa Malaysia di U.S.M.

Dalam kebanyakan hal, U.S.. telah maju mempelaksanakan bahasa Malaysia. Kemajuan dengan ringkasnya dapat dikutip dari dalam teks ucapan Yang Berbahagian Naib Canselor U.S.M. pada 24 Oktober 1975 kepada Majlis U.S.M. Hal ini juga telah dijelaskan kepada pihak-pihak kerajaan yang berkenaan, dan individu dalam surat-menyurat beliau dari semasa ke semasa.

Dalam mengatur langkah-langkah ini, hanyalah pihak yang akan terlibat yang dibincangkan iaitu: pelajar, tenaga mengajar, bahan mengajar, istilah, pentadbiran dan peperiksaan.

4.2.1 Pelajar

  1. Kelulusan bahasa Malaysia di peringkat SPM menjadi syarat kemasukan (melainkan pelajar Malaysia Timur).
  2. Pelajar mengikut kursus bahasa Malaysia selama tiga tahun (kemudian menjadi satu tahun), meliputi kemahiran bahasa di peringkat tinggi mencakupi peristilahan dan sastera moden.
  3. Kelulusan dalam kursus bahasa Malaysia adalah syarat mutlak untuk penganugerahan ijazah.
  4. Guru Pelatih, berlatih mengajar dalam bahasa Malaysia.
  5. Pelajar diwajibkan menggunakan bahasa Malaysia dalam menjawab soalan peperiksaan, secara berperingkat-peringkat.

4.2.2 Tenaga Pengajar

  1. Tenaga pengajar warganegara sentiasa didesak supaya menjadi fasih dan berupaya menyampaikan kuliahnya dalam bahasa Malaysia.
  2. Kursus bahasa Malaysia diadakan untuk tenaga pengajar.
  3. Kemahiran dalam bahasa Malaysia menjadi syarat dalam pengambilan tenaga pengajar baru, dan menjadi syarat penetapan dalam jawatan bagi pensyarah lama, dan menjadi syarat bagi kenaikan pangkat untuk semua.
  4. Tenaga pengajar yang sudah mahir dikehendaki melaksanakan tugasnya dalam bahasa Malaysia.

4.23 Bahan Mengajar

  1. Jawatankuasa penerbitan ditubuhkan untuk menterjemah buku-buku teks.
  2. Jawatankuasa penerbitan itu juga bertugas menerbitkan buku dan nota bagi menambah bahan bacaan dalam bahasa Malaysia.
  3. Bahagian perolehan perpustakaan sentiasa berusaha untuk menambah bahan rujukan dalam bahasa Malaysia.

4.2.4 Istilah

  1. Jawatankuasa Istilah Pusat Pengajian mencipta istilah yang diperlukan.
  2. Jawatankuasa Istilah U.S.M. menyelaraskan segala istilah yang terkumpul.
  3. Hubungan sentiasa dibuat dengan Dewan Bahasa dan institusi-institusi lain bagi keperluan istilah.

4.2.5 Pentadbiran

  1. Semua urusan pentadbiran dijalankan dalam bahasa Malaysia, melainkan urusan luar negara.
  2. Mesyuarat diminitkan dalam bahasa Malaysia, dan penggunaannya digalakkan.

4.2.6 Peperiksaan

Peperiksaan dijalankan dalam bahasa Inggeris, tetapi peratus berikut diwajibkan dijawab dalam bahasa Melayu.

Pusat Pengajian

Tahun I

Tahun II

Tahun III

Tahun IV

Kemanusiaan&

Kemasyarakatan

40

40

20

-

Sains Perumahan

dan Perancangan

40

20

20

-

Farmasi

-

40

20

-

Dalam rancangan, % ini akan bertambah hingga 60% bagi semua tahun, sehingga jawapan dalam bahasa Inggeris tinggal 20%. Dasar ini kemudiannya diubah menjadi 100% dalam bahasa Malaysia.

Walau bagaimanapun hal ini secara praktisnya tidak berlaku. Pelajar dari aliran Melayu dibenarkan menjawab semua soalan dalam bahasa Malaysia. Ada pula kursus yang tidak dapat mengikut peraturan ini seluruhnya kerana tugas pengajar dan pelajar yang kurang mahir dalam bahasa Malaysia. Sebahagian dari tenaga pengajar adalah dari negara asing, dan mereka hanya mampu mengajar dalam bahasa Inggeris, begitu juga masih ramai pelajar yang masih belum mahir dalam bahasa Malaysia.

4.3 Pelaksanaan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Pengantar Penuh

Telah dijelaskan tadi dasar bahasa Malaysia di U..S.M., adalah tidak berbeza dengan dasar negara, tetapi yang mungkin berbeza ialah cara pelaksanaannya. Dalam hal ini, langkah-langkah yang berikut harus dapat dijadikan panduan untuk mempelaksanakan bahasa Malaysia di U.S.M. sepenuhnya.

4.3.1 Menimbulkan Tenaga Pengajar yang Mahir Menggunakan Bahasa Malaysia

Yang paling penting dalam hal ini ialah menyediakan kakitangan supaya dapat menjalankan tugas mereka dalam bahasa Malaysia. Ini adalah langkah jangka panjang yang harus diberi perhatian yang besar sekali. Mereka yang belum fasih diberi kesempatan untuk belajar dengan sempurna dan teratur. Masa ini harus diberi untuk mereka belajar bahasa Malaysia. Tugas mengajar ini diberi sepenuh kepada Unit Bahasa dengan bantuan dekan-dekan dari segi pentadbirannya. Masa belajar eloklah dibenarkan dalam masa kerja. Guru bahasa dikhaskan supaya menjalankan tugas ini secara penuh masa.

Kursus bahasa diperketat dan dilicinkan perjalanannya. Sistemnya diformalkan dan sijil kecekapan akan diberi kepada mereka yang lulus peringkat akhir. Mereka yang sudah lulus dan didapati cekap mestilah menjalankan kursusnya dalam bahasa Malaysia. Kecekapan dalam bahasa Malaysia menjadi syarat dalam penetapan jawatan.

Tenaga asing yang tidak fasih dalam bahasa Malaysia perlulah dikurangkan supaya tidak timbul keadaan guru yang tidak boleh difahami oleh pelajarnya. Di samping itu, tenaga pengajar bumiputera telah diperbanyak supaya dapat menjadi nukleus yang menjadi pemimpin pengajaran melalui bahasa Malaysia. Walau bagaimanapun, bantuan munsyi atau pembantu harus disediakan untuk pensyarah yang ingin menjalankan tugas dalam menyediakan kuliah dalam bahasa Malaysia.

Kursus bahasa Malaysia yang akan dikendalikan hendaklah bergantung kepada dua perkara. Pertama, tenaga pengajar yang telah mahir hendaklah mula berkuliah dalam bahasa Malaysia. Kedua, hendaklah juga ditentukan kuliah mana yang harus dibahasamalaysiakan dulu. Kursus teras haruslah diutamakan. Sekiranya pengajarnya masih belum mahir maka haruslah desakan atau strategi lain diambil untuk membolehkannya diajar dalam bahasa Malaysia.

4.3.2 Peristilahan

jawatankuasa istilah baik bagi universiti mahupun bagi pusat pengajian, hendaklah berusaha lebih giat lagi. Sebarang bantuan yang diperlukan dalam hal ini eloklah ditemui. Misalannya pada waktu ini, diperlukan seorang lagi pegawai istilah untuk menjalankan tugas ini dengan lebih licin dan lebih sempurna lagi. Penyertaan dari semua peringkat dalam hal ini amatlah mustahak untuk menjamin kejayaannya. Tugas mencipta istilah dalam bidang sains bukanlah kecil dan mudah. Tugas ini akan tentu berterusan untuk beberapa ketika lagi. Istilah yang lengkap adalah amat perlu sebelum tugas mengajar, dan menterjemah dapat berjalan dengan sempurna. Pendek kata ini ialah langkah pertama yang harus diselesaikan dari sekarang.

4.3.3 Buku Teks dan Rujukan

Suatu langkah penting untuk menjadikan bahasa Malaysia sebuah bahasa pengantar ialah menyediakan bahan bacaan dan buku teks yang mencukupi. Mungkin cara yang pertama yang harus dilakukan ialah memperolehi segala macam buku teks yang sudah tercetak dalam bahasa Melayu baik di Malaysia mahupun di Indonesia. Tugas ini tentu sekali tidak mencukupi. Oleh itu tugas ini harus pula dibantu dengan tugas lain iaitu menerbitkan buku teks yang diperlukan. Ini agaknya lebih berkesan kerana bahan teks yang dihasilkan tersebut tentu sekali akan menjadi lebih sesuai dengan kursus yang diajarkan. Cara yang semestinya lebih digalakkan ialah mengarang buku sendiri. Masalahnya ialah bukan semua orang berkebolehan mengarang dan bukan semua orang pula berkemahiran untuk mengarang dalam bahasa Malaysia. Ataupun, kalau dua perkara ini tidak menjadi masalah, akan ditimbulkan pula masalah kekurangan masa, dalam hal ini, kalaulah masalah ini dapat diatasi maka eloklah buku teks yang diperlukan itu dikarang sendiri mengikut keperluan. Menterjemah boleh juga diterima sebagai suatu ara lain. Tetapi biasanya ini kurang memuaskan dan harus dianggap sebagai suatu jalan yang akhir. Biasanya masalah menterjemah adalah lebih rumit. Ia memerlukan penterjemah yang betul-betul mahir dalam dua-dua bahasa, dan mahir pula dalam bidang ilmu tersebut. Ianya memakan masa yang lebih panjang untuk menyunting pula dan kadang-kadang langsung tidak dapat diapa-apakan sekiranya terjemahannya buruk. Kalaulah terjemahan itu mesti dijalankan juga maka eloklah tugas penyuntingan tersebut dijalankan oleh orang yang hanya fasih dalam bahasa Malaysia saja, untuk menghilangkan masalah bahasa Malaysia yang keinggerisan.

4.3.4 Kemahiran Pelajar

Setelah tiga-tiga perkara dapat diselesaikan baharulah ada ertinya kita mengalih pandangan pula terhadap para pelajar. Kalau menurut keperluan kemasukan universiti yang memerlukan calon lulus dalam ujian bahasa Malaysia pada peringkat SPM maka sudah semestinyalah peringkat kemahiran bahasa mereka itu sudah cukup baik dari segi umumnya. Walau bagaimanapun, oleh sebab bahasa Malaysia itu adalah suatu bahasa yang sedang berkembang dan banyak aspek mengenainya yang masih dalam proses perkembangan, maka memanglah baik dan kena pada tempatnya ianya diberi tempat yang agak istimewa, iaitu diajar secara formal kepada pelajar. Sistem sekarang untuk mengajar bahasa Malaysia melalui tiga peringkat, dan menumpukan pada bidang istilah dan standardisasi ejaan adalah mustahak. Ini difikirkan dapat dijalankan dalam satu tahun sahaja, dan tidak perlu kursus yang panjang selama tiga tahun. Tetapi ini adalah kursus yang dijalankan untuk menambah lagi kemahiran pelajar dalam bidang bahasa Malaysia. Selain dari itu tidaklah perlu dirisaukan sangat, kemahiran pelajar dalam bahasa Malaysia tentu sekali bergantung kepada kemahiran tenaga pengajar. Tenaga pengajar yang mahir, tentu sekali akan dapat memberi pendedahan yang diperlukan oleh para pelajar dan memperbaiki kemahiran mereka. Pendek kata kemahiran para tenaga pengajarlah yang dianggap lebih penting, dan bukan pelajar. Kemahiran para pelajar sudah mencukupi untuk sementara waktu, dengan kekecualian sebilangan pelajar dari Malaysia Timur yang mendapat pendidikan menengah sebelum bahasa Malaysia dilaksanakan.

4.3.5 Menggunakan Bahasa Malaysia dalam Penilaian

Perkara yang terakhir yang menjadi penting dalam menggunakan bahasa Malaysia ialah penggunaannya dalam penilaian. Istilah penilaian sengaja dipakai di sini untuk mencakupi bidang peperiksaan dan juga ujian kerja kursus dan sebarang dan sebarang bentuk kaedah yang digunakan untuk menentukan penyerapan ilmu di kalangan pelajar. Adalah difikirkan kurang memuaskan sekiranya bahasa Malaysia hanya dipakai dalam bidang peperiksaan saja. Ia hendaklah dipakai meliputi seluruh bidang penilaian, perlulah dilihat semula tentang isi mengenai hal ini, supaya ia jangan menimbulkan masalah kepada tenaga pengajar mahupun pelajar. Soalan yang dikemukakan dalam bahasa Malaysia dikehendaki dijawab dalam bahasa Malaysia berhubung rapat dengan bahasa pengantar kursus tersebut. Untuk membolehkan pelajar menjawab soalan dalam bahasa Malaysia sewajarnyalah pengajarnya juga fasih atau mampu memeriksanya dalam bahasa Malaysia.

Oleh itu adalah diharapkan hal ini diberi perhatian yang berat. Oleh sebab ini adalah masa peralihan, tenaga pengajar dan pelajar masih belum mahir dalam bahasa Malaysia maka eloklah pihak universiti jangan terburu-buru dalam melaksanakan bahasa Malaysia dalam bidang penilaian ini. Kuliah dan penilaian adalah berhubung rapat dan mesti diselesaikan secara berhubung dan secara selari. Ia janganlah dipisahkan seolah-olah dua isu yang tidak berhubungan langsung. Penting juga difahami bahawa kedua-dua ini adalah saling berhubungan.

Dalam mengatur langkah untuk melaksanakan dasar ini haruslah difahamkan yang ia adalah berdasarkan kepada hasrat untuk mencapai kemahiran dwibahasa. Oleh itu kemahiran bahasa Inggeris yang berpatutan hendaklah dipertahankan.

Suatu perkara yang menjadi masalah ialah bahawa pada masa ini pelaksanaan bahasa Malaysia itu adalah regresif dan tidak progresif. Semasa pelajar di tahun pertama mereka lebih banyak menjalankan pengajian mereka dalam bahasa Malaysia, tetapi dalam tahun kedua ia berkurangan. Untuk lebih lojik ia janganlah hendaknya begitu, sebaiknya ia mestilah progresif. Tetapi kalau hal ini tidak dapat demikian maka seharusnyalah ia dipertahankan, dan tidak diperkurangkan.

4.4 Penggunaan Bahasa Inggeris

Secara jelas telah dikatakan bahasa Inggeris juga akan digunakan sebagai bahasa kedua. Dalam hal yang demikian, bahasa Inggeris itu hendaklah digunakan secara berkesan untuk membolehkannya dikuasai secara implisit. Adalah difikirkan sekiranya bahasa Inggeris diajar sebagai satu mata pelajaran saja, maka akibatnya ialah, ia tidak akan dapat dikuasai secara aktif. Oleh itu ia hendaklah dipakai seluas yang mungkin untuk membolehkannya dapat dikuasai secara aktif. Secara unggulnya, bahasa Inggeris itu hendaklah digunakan dalam penilaian mengikut kadar penggunaannya dalam kuliah. Sekiranya 50% dari kursus itu diajar dalam bahasa Inggeris seharusnya dinilai juga 50% dalam bahasa Inggeris. Yang menjadi perhatian yang penting ialah, sekiranya kursus itu telah dijalankan 100% dalam bahasa Malaysia, maka ini tidak bererti yang kursus tersebut dinilai 100% dalam bahasa Malaysia. Di sinilah yang penting diingat bahawa peratus yang tertentu hendaklah dikendalikan dalam bahasa Inggeris. Dalam hal ini adalah syorkan 25% atau ¼ dari kursus tersebut dinilai dalam bahasa Inggeris. Adalah difikirkan bahawa % inilah yang agak munasabah untuk memberi kemahiran kepada pelajar. Kurang daripada itu adalah harus terlalu sedikit dan tidak membawa kesan yang setimpal.

Apa yang dimaksudkan dengan peratus tertentu itu ialah, sekiranya suatu kursus itu diberi pertimbangan 75% peperiksaan, dan 25% kerja kursus, dan sekiranya kursus tersebut mesti dinilai menurut kadar 75% dalam bahasa Malaysia, dan 25% dalam bahasa Inggeris, maka adalah dianggap ianya sudah memenuhi syarat sekiranya seluruh kerja kursus itu dijalankan dalam bahasa Inggeris. Ini adalah merupakan rancangan yang lebih anjal dan juga berkesan.

Dalam hal ini amatlah dimengerti bahawa kursus bahasa Inggeris hendaklah diajarkan dengan secara progresif. Ia hendaklah dijadikan wajib dan juga dirancang supaya membantu pelajar dalam menghadapi bahan bacaan dalam bahasa Inggeris.

Suatu perkara yang terpenting sekali ialah mengenai pensyarah asing yang tidak sanggup menjalankan kursusnya dalam bahasa Malaysia. Sebenarnya pensyarah golongan ini tentu akan berkurangan bilangannya. Bilangan janganlah begitu ramai sehingga merosakkan rancangan perlaksanaan bahasa Malaysia sepenuhnya tersebut. Dalam hal ini harus lebih banyak mudarat dari manfaatnya sekiranya kursus yang mereka ajar itu dikenakan syarat penggunaan bahasa Malaysia tersebut. Harus lebih baik kursus demikian seluruhnya dalam bahasa Inggeris. Ini akan dapat memperbaiki darjat bahasa Inggeris pelajar. Dalam hal ini hanya 25% dari penilaian harus dijalankan dalam bahasa Malaysia. Pensyarah itu mesti dibantu oleh tutor atau orang lain.

4.5 Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Malaysia

Sebuah jawatankuasa hendaklah ditubuhkan bagi mengawasi pelaksanaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar tersebut. Jawatankuasa tersebut bolehlah dipengerusi oleh orang yang dilantik oleh Naib Canselor dan ahlinya hendaklah mewakili semua pusat pengajian di U.S.M.

Tugas jawatankuasa itu adalah seperti berikut:

  1. Menilai dari semasa ke semasa mengenai proses pelaksanaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.
  2. Menasihati Naib Canselor mengenai langkah-langkah yang perlu dilaksanakan.
  3. Menjaga perjalanan pengajaran bahasa Malaysia kepada kakitangan.
  4. Mengawasi peristilahan.
  5. Sebarang tugas yang berkenaan.

4.6 Kesimpulan

Tinjauan ini harus akan dapat memberi maklumat lengkap untuk membolehkan universiti menghasilkan sebuah dasar yang boleh dipertanggungjawabkan untuk dan dilaksanakan. Adalah perlu difahamkan yang pelaksanaan bahasa Malaysia hanya akan dapat dijayakan dengan kerjasama seluruh masyarakat universiti.

Catatan: Adalah juga perlu difahamkan bahawa, kebanyakan daripada cadangan dan strategi ini telah berhasil. Agak penting juga dirakamkan pengalaman begini bagi membolehkan kita memahami isu-isu dan proses-proses yang berlaku di dalam sesebuah universiti pada masa peralihan ini. Banyak daripada isunya diselesaikan dengan jayanya, dan ada pula yang tidak berhasil, manakala yang lain terus diperjuangkan. Dalam hal ini dapat dikatakan, bahawa bagi U.S.M., bahasa pengantar sudah 100% (melainkan Perubatan) dijalankan dalam bahasa Malaysia, manakala hasrat hendaklah mengekalkan sebahagian bahasa Inggeris untuk pengajaran dan penilaian telah gagal. Kalangan itu tidak boleh dipertahankan, lebih-lebih lagi apabila pelajar yang masuk ke universiti sekarang, sama sekali tidak berkemampuan dalam bahasa Inggeris. Memang ini merumitkan prestasi mereka. Strategi lain, seperti penerbitan istilah, terjemahan dan buku tesis berjalan dengan baik.

BAHAN RUJUKAN

Abdullah Hassan, Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Nasional dalam Masyarakat

Malaysia Baru, dalam Dewan Bahasa, Oktober 1976 hlm. 545-565.

Abdullah Hassan, Unsur Gramatikal Asing, tak bercetak, 1985.

Abdullah Hassan, Penerbitan Kata dalam Bahasa Malaysia, Petaling Jaya: Penerbit

Fajar Bakti, 1986.

Abdullah Hassan, Isu dan Masalah Standardisasi Bahasa Malaysia, dalam Dewan

Bahasa, Mei 1983, hlm. 323-339.

Ahmad Mohamed Ibrahim & Ahilemah Joned, Sistem Undang-Undang di Malaysia,

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985.

Ainon Muhammad, Dasar dan Pelaksanaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi

dan Bahasa Kebangsaan, Seminar Bahasa Malaysia, di Universiti Malaya, 1953.

Alisjahbana, S.T., The Failure of Modern Linguistics in the Face of Linguistic

Problems of the Twentieth Century, Kuala Lumpur: University of Malaya Press, 1965.

Alisjahbana, S.T., Some Planning Prosesses in the Development of the Indonesia-

Malay Language, in Rubin, e tal. Can Language be Planned?, Honolulu: University of Hawaii Press, hlm. 179-188, 1970.

Alisjahbana, S.T., Indonesia and Malaysia dalam Sebeok, T., Current Trends in

Linguistics, Vol 8, The Hague: Mouton, h. 1087-1109, 1971.

Amat Johari Moain, Pembentukan Kata dan Istilah, dalam Dewan Bahasa, 1 Januari

1985, 18-34.

Asmah Hj. Omar, Standard Language and the Standardization of Malaya, dalam

Antropological Linguistics, Vol. 13, h. 73-90, 1971.

Asmah Hj. Omar, The Malaysian Mosaic of Language dalam Essays on Malaysian

Linguistics, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1967.

Asmah Hj. Omar, Perancangan Bahasa dengan Rujukan Khusus kepada

Perancangan Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978.

Asmah Hj. Omar, Language Planning for Unity and Efficiency, Kuala Lumpur:

Penerbit Universiti Malaya, 1979.

Asmah Hj. Omar, Perancangan Bahasa dan Pembinaan Bahasa, Dewan Bahasa, Jun

1981, 5-18.

Beg, M.A.J., Arabic Loan-words in Malay; A Comparative Study (Edisi Kedua),

Kuala Lumpur: pengarang sendiri, 1979.

Carey, Y.I., Tegleq Kui Serok, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969.

Chuah Chong Cheng, Garis-Garis Panduan untuk Standardisasi Istilah Biology,

kertas kerja (tak bercetak) USM, 1977.

Chuah Chong Cheng, Ke Arah Satu Percubaan Berkuliah dalam Bahasa Malaysia

dengna Lebih Berkesan, oleh Ahli Biologis di Institusi Pengajian Tinggi, kertas kerja (tak bercetak) USM, 1977.

Cobarrubias, J., (Ed.), Progress in Language Planning, Berlin: Walter de

Gruyter&Co., 1983.

Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,

1981.

Daftar Istilah MBIM, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986.

Daftar Kata-Kata Pinjaman Umum dalam Ejaan Rumi Baru Bahasa Malaysia,

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978.

Hashim Yeop A. Sani, Bagaiman Undang-Undang Kita Diperbuat, Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980.

Dewan Bahasa dan Pustaka Sa-Puloh Tahun, Kua Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka, 1967.

Eastman, C.M., Language Planning – An Introduction, San Francisco: Chandler&

Sharp Publishers, Inc., 1983.

Farid Mohd. Onn, Aspects of Malay Phonology and Morphology, A Generative

Approach, Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1976.

Fauziah bt. Ismail, Bahasa Kebangsaan dan Istilahnya, Latihan Ilmiah, Universiti

Malaya, Jabatan Pengajian Melayu, 1965.

Ferguson, C.A., Language Development, dalam Fishman, et al. Language Problems of

Developing Nations, New York: John Wiley and Sons, 1968.

Fishman, J.A., Nationality-Nationism and Nation-Nationism, dalam Fishman e al.,

Language Problems of Developing Nations, John Wiley and Sons, 1968.

Fishman, J.A., Language Modernization and Planning in Comparison with other

types of National Modernization and Planning, dalam Language in Society, 2: 23-43, 1973.

Ghazali bin Othman, Perkembangan Perbendaraan Kata Bahasa Melayu dalam

Konteks Perkembangan Kebudayaan Pengguna-Pengguna Bahasa Melayu, Tesis – M.A. Universiti Malaya, Jabatan Pengajian Melayu, 1973.

Gonda, J., Sanskrit in Indonesia, Edisi Awal Kedua, New Delhi: International

Academy of Indian Culture, 1973.

Hall Jr.R.A., American Linguistics dalam Archivum Lingustivum IV (fasa I), 1-16,

1951.

Harimurti Kridalaksana, Fungsi Bahasa dan Sikap Bahasa, Ende: Penerbit Nusa

Indah, Cetakan 2, 1978.

Hassan bin Ahmad, Dasar Pembentukan Istilah Sains dalam Bahasa Malaysia,

Dewan Bahasa, (Jun 1981) 19-30.

Hassan bin Ahmad, Istilah Bahasa Malaysia Kerap Berubah, Dewan Bahasa, (83:48).

Haugen, E., Planning for a Standard Langugae in Modern Norway dalam

Antropological Linguistics I(3):8-21, 1959.

Haugen, E., Construction and Reconstruction in Language Planning: Ivar Aasen’s

Grammar, dalam Word, 21(2): 188-207, 1965.

Haugen, E., Dialect, Language, Nation, dalam American Antropologist, 68(4): 922-

935, 1966.

Haugen, E., Linguistic and Language Planning, dalam Bright, W. (ed.),

Sosiolinguistics: Proceedings of the UCLA Sociolinguistics Conference, The Hague: Morton, 159-190, 1966.

Haugen, E., Language Planning, Theory and Practice, dalam Graur, A. (ed.), Actes

due Xe Congres International des Linguistics Bucarest, Bucharest: Editions de L’Academie de la Republique Socialiste de Roumanie, 701-711, 1969.

Ismail Hussein Malay Dialectsin the Malay Penisula, kertas kerja ICO, Canberra

1969.

Karam, F.X., Toward A Definition of Language Planning, dalam J.A. Fishman,

Advance in Language Planning, The Hauge: Mouton, 1974.

Kementerian Pelajaran Malaysia. Penggunaan Istilah Sains di Peringkat Sekolah,

Seminar Penggunaan Istilah Sains, Kuala Lumpur, Disember 14-15, 1983.

Khoo Lian Ee & Sam Teng Wah, Masalah-Masalah yang Ditemui Semasa

Menterjemahkan Sebuah Buku Teks Kimia Organik, kertas kerja (tak bercetak) USM, 1977.

Kloss, H., Research Possibilities on Group Bilingualism: A Report, Quebec,

International Center for Bilingualism, 1969.

Laporan Jawatankuasa Mengkaji Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa

dan Pustaka, 1981.

Le Page, R.B., The National Language Question: Linguistic Problems of Newly

Independent States, London Oxford University Press, 1964.

Lim Chin Lam, Aspek-Aspek Penggunaan Bahasa Malaysia dalam Sains dan

Teknologi, kertas kerja (tak bercetak) USM 1977.

Malkiel, Y., Lexicography dalam Reed, C.E., The Learning of Language, Appleton

Century Crofts, 1971, m.s. 363-387.

Mas’od Abd. Rashid, Beberapa Kesulitan dalam Mencari Istilah Sains, dalam Dewan

Bahasa, (Februari 1959) 59-71.

Neustuphy, J.V., Basic Types of Treatment of Language of Language Problem, dalam

J.A. Fishman, Advances in Language Planning, The Hague: Mouton, 1974.

Noss, R., Language Policy and Higher Education, Vol. III, Part 2 of Higher

Education and Development in Southeast Asia, Paris: UNESCO and International Association of Universities, 1967.

Pedoman Umum Ejaan Bahasa Malaysia, Kuala Lumper: Dewan Bahasa dan

Pustaka, 1975.

Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka, 1975.

Quirk, R. & Greenbaum, S., A University Grammar of English, London: Longman,

1973.

Rabin, C., Spelling Reform – Israel 1968 dalam Rubin & Jernudd, Can Language be

planned? 95-121, Honolulu: University Press of Hawaii, 1971.

Raja Mukhtaruddin b. Raja Mohd. Dain, Pembinaan Bahasa Melayu: Perancangan

Bahasa di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982.

Ray, P.S., Language Standardization Fishman, et al. dalam Reading in the Sociology

of Language, The Hague: Mouton, 1966.

Rubin, J., Evaluation and Language be Planned?, Honolulu: University Press of

Hawaii, 1971.

Rules of The High Court 1980, (P.U [A]50/80), Kuala Lumpur: Malaysian Law

Publishers, 1982.

Salleh Johari, Pembentukan Istilah dalam Perkembangan Bahasa, Latihan Ilmiah,

PPIK., USM, (tidak bercetak, 1985).

Sasterawan 50, Memoranda Angkatan Sasterawan 50, Kuala Lumpur: Oxford

University Press, 1962.

3 comments:

  1. macam mana PPSMI.. dah pegi berarak ke belum??
    takyah la... buang masa.. tapi tuan memang byk masa kan..

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah bagus dengan kerta2 kerja Tuan. Banyak manfaat. Berguna untuk semua melakukan rujukan.

    Semuga tuan banyakkan lagi kertas2 kerja tuan

    SALAM...

    ReplyDelete
  3. How to win at the casino online: a guide to slots and games
    Slot 충청북도 출장샵 machine games have been around for a while. 여주 출장마사지 It started out in the casino industry as being a 서귀포 출장마사지 simple card 하남 출장샵 game but evolved over the years. 부천 출장마사지

    ReplyDelete