Tuesday, March 24, 2009

5. MASALAH PENCIPTAAN ISTILAH SAINTIFIK

Seminar Terjemahan dan Interpretasi di dalam Konteks Ilmu dan perhubungan Antarabangsa, UM, KL, 27 Julai 1978

MASALAH PENCIPTAAN ISTILAH SAINTIFIK

5.1 Pendahuluan

Tajuk ini akan membincangkan masalah mencipta istilah, iaitu mencari persamaannya di dalam bahasa Malaysia. Sebenarnya, kita akan berbincang tentang isu-isu mengenai masalah-masalah yang terbit daripada istilah-istilah saintifik yang telah dicipta setakat ini. Adalah diketahui umum bahawa beratus ribu istilah sains telah dibentuk sejak Dewan Bahasa dan Pustaka sejak 30 tahun yang lalu. Istilah-istilah ini dibentuk dalam bentuk senarai perkataan melalui satu kaedah yang tersendiri. Istilah selalu dicipta secara kata-kata berasingan tanpa memberi perhatian kepada penggunaannya dalam konteks yang tertentu. Adalah diketahui umum bahawa banyak daripada istilah ini tidak mendapat tempat dalam pemakaian sehari-hari dan kegagalan pemakaian istilah-istilah tersebut adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Salah sau daripada faktor ini mungkin kerana pencipta istilah setakat ini tidak memberi tempat langsung kepada pemakaian istilah tersebut di dalam konteks-konteks penggunaannya di dalam disiplin tertentu sebagai bentuk ungkapan. Pendek kata selalu terdapat bahawa istilah-istilah yang dapat dipakai di dalam ayat atau dirasa janggal apabila dicuba dipakai. Ini mungkin juga kerana istilah tersebut tidak sesuai. Kerumitan ini menyebabkan penterjemahan bahan saintifik menjadi tidak licin.

Penterjemahan melibatkan penggunaan semula sesuatu bahan dari suatu bahasa sumber ke dalam bahasa penerima. Dalam proses ini kita mencari satu persamaan ungkapan mengikut ungkapan bahasa sumber tersebut dalam dua hal, pertamanya dalam makna dan keduanya dalam gaya atau jalan bahasa yang lazim. Definisi sedemikian menerima adanya kekurangan dalam sebarang persepadanan mutlak, dan dengan itu menunjukkan betapa pentingnya dicari persamaan yang paling cocok.

Walaupun dalam banyak hal prinsip-prinsip yang penting dalam penterjemahan belum dapat dirumuskan dengan menyeluruh oleh pakar terjemahan, tetapi hakikat sebarang penterjemahan yang baik haruslah patuh pada prinsip-prinsip asasi yang berikut: (1) bahasa mengandungi satu set simbol oral-aural yang diorganisasikan secara sistematis (2) hubungan antara simbol-simbol dan referens-referens adalah arbitrari, (3) perwakilan segmentasi pengalaman melalui simbol-simbol bahasa adalah juga arbitrari, dan (4) tiada dua bahasa yang memaparkan sistem-sistem yang mengorganisasikan simbol-simbol ke dalam ungkapan-ungkapan yang sama makna, dalam cara yang sama. Ini bermakna tidak ada pengungkapan penterjemahan dalam satu bahasa penerima yang boleh merupakan persamaan model yang cocok dari bahasa sumber itu. Dengan lain perkataan, semua jenis penterjemahan melibatkan: (1) kehilangan maklumat, (2) penambahan maklumat, dan/atau (3) pemesongan maklumat.

Dalam usaha menterjemah, si penterjemah itu menghadapi masalah-masalah kompleks. Semuanya memerlukan penyelesaian. Ia tahu pemindahan secara satu lawan satu itu mungkin tidak akan dapat membawa makna yang dimaksudkan. Oleh yang demikian, ia harus menyesuaikan bentuk ungkapan penterjemahannya kepada keperluan-keperluan proses komunikasi.

5.2 Beberapa Masalah Penterjemahan Teks Sains

Bab ini tidaklah bertujuan untuk memberi suatu teori penterjemahan yang lengkap, kerana tugas demikian adalah di luar kemungkinan perbincangan yang singkat ini. Bab ini hanya cuba memaparkan beberapa aspek peristilahan yang terlibat dalam penterjemahan dan kemungkinan masalah tersebut diatasi. Daripada terjemahan yang dilakukan oleh para pensyarah dalam usaha menterjemah, terdapat aspek-aspek pemakaian bahasa yang selalu merumitkan. Usaha penciptaan istilah hanya menjadi makna dan sempurna apabila istilah tersebut dapat dipakai atau digunakan dalam terjemahan.

Masalah-masalah yang akan dibincangkan ialah seperti berikut: (1) imbuhan, (2) rentetan, (3) jamak, dan (4) penjodoh bilangan.

Dalam perbincangan selanjutnya, pengertian terjemahan hanya dimaksudkan kepada terjemahan sehala dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu.

5.2.1 Masalah Imbuhan

Setiap orang yang cuba mempelajari bahasa Melayu akan menyedari keanehan pemakaian unsur-unsur imbuhan dalam bahasa Melayu. Imbuhan ini berupa awalan, akhiran, sisipan dan pemakaiannya kerap kali unsur-unsur ini digabungkan untuk tujuan tertentu. Ternyata bahawa bilangan imbuhan bahasa Malaysia jauh sedikit bilangannya dibandingkan dengan bilangan imbuhan dalam bahasa Inggeris. Oleh sebab itu, maka dengan mudah dapat diperhatikan bahawa tidak semua erti dan fungsi yang dibawa oleh imbuhan bahasa Inggeris itu akan dapat ditampung dalam bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia bukan saja kurang dari segi bilangan imbuhannya, bahkan ia juga kekurangan imbuhan yang mengandungi fungsi tatabahasa yang boleh bertugas dalam frasa, dan kebanyakannya hanya imbuhan yang membentuk perkataan yang berasingan.

Untuk melihat masalah ini dengan lebih jelas, bolehlah kita lihat suatu paradigma kata Inggeris yang dapat dibentuk melalui penggunaan imbuhan. Terjemahan atau persamaan istilah tersebut tidaklah didapati dengan cara mengimbuhkan kata sepatah atau kata akar, tetapi kadang-kadangnya terpaksa diterbitkan melalui dasar kata majmuk atau kata pinjaman. Misalnya:

absorb = serap

absorbed = diserap

absorbing = menyerap

absorbabie = terserapkan

absorbability = keterserapan, absorbabiliti

absorbats = zat serap, absorbat

absorbent = zat penyerap, absorben

absorber = penyerap

absorption = penyerapan, serapan, absorpsi

absortive = berdayaserap, absorptif

absorptivity/absorbency = kedayaserapan, keabsorptifan

absorbance/absorbancy = daya serap, absorbans

Persamaan seperti ini tentu sekali akan memberi banyak kesukaran kepada penterjemah untuk memilih terjemahan yang sesuai di dalam konteks ungkapan yang lebih luas. Daripada terjemahan istilah-istilah di atas, dapat dilihat ada pemakaian imbuhan yang masih janggal seperti ter...-kan dalam terserapkan, dan keter-...-an dalam keterserapan. Di samping itu, tidak kurang pula terdapat istilah yang diterjemahkan dengan kata majmuk seperti daya serap, zat serap dan zat penyerap. Peristilahan begini bertambah rumit dengan adanya peminjaman istilah: zat serap = absorbat, zat penyerap = absorben, penyerapan = absorpsi, berdayaserap = absorptif, kedayaserapan = keabsorptifan dan daya serap = absorbans.

Hal ini menjadi bertambah rumit pula apabila ada dua terjemahan bagi satu istilah seperti absorption = penyerapan atau serapan. Seseorang yang tidak mahir dalam bahasa Melayu mungkin tidak dapat menentukan bilakah ia mesti menggunakan ‘penyerapan’ dan bilakah ianya mesti menggunakan ‘serapan’. Mungkin di sini bahasa Inggeris pula yang didapati berkurangan dan memakai kata terbitan yang sama bagi menunjukkan ‘hasil’ dan ‘ proses’.

Bagi melicinkan proses penterjemahan dalam hal ini perlulah imbuhan asing yang dipakai khusus untuk tujuan tertentu, seperti gerund dalam bahasa Inggeris. Ini juga tidak dapat diterjemahkan dengan satu bentuk imbuhan. Pendek kata ia kerap menambahkan kesukaran. Misalnya:

developing = membangun

Intoxicating = memabukkan

Including = termasuk

Mungkin lebih mengelirukan lagi ialah masalah penterjemahan imbuhan past participle –ed dalam bahasa Inggeris. Ia juga tidak dapat diterjemahkan dengan mudah melalui satu bentuk yang khusus. Misalnya:

(i) sector-focussed cyclotron = siklotron terfokur- sektor

(ii) exicited state = keadaan teria

Dalam contoh (i) dan (ii) ini –ed = ‘ter’, ter-, tetapi terjemahannya berubah

pula dalam contoh (iii) dan (iv) di bawah:

(iii) gas-cooled reactor = reaktor dinginan-gas

(iv) proposed experiment = eksperimen cadangan

Unsur imbuhan yang berubah, bentuk untuk memberi tugas atau makna

yang sama seperti ini tentu sekali merupakan satu masalah penterjemahan. Si penterjemah mungkin teragak-agak dalam menentukan yang akan terpakai dalam konteks tertentu yang ditemuinya. Dari contoh di atas mungkin kita buatkan pedoman secara am, tetapi belum tentu terjamin dapat mengatasi masalah tersebut. Misalnya, seperti dalam (i) dan (ii) di atas, ter- dipakai sebagai satu kelaziman participle yang menunjukkan kata sifat, dan –an dipakai seperti dalam (iii) dan (iv) sebagai kelaziman bagi kata kerja.

Sesuatu lagi masalah yang kerap merumitkan dalam terjemahan ialah bagi istilah yang mengandungi unsur kata sifat yang dibentuk oleh akhiran –ic, -al atau

–ar. Misalnya,

atom - atom

spectrum - spectral

molecule - molecular

Dalam hal ini mungkin si penterjemah akan terbawa-bawa dengan bentuk akhiran Inggeris itu dan mahu mengekalkannya dalam bahasa Malaysia. Memang agaknya, tidak dapat diterima kalau istilah di atas masing-masing diterjemahkan sebagai berat atomik, alur molekular dan resonansi magnetik nuklear. Walau bagaimanapun, ada juga akhiran –ik itu dipinjam oleh ahli kimia dalam menterjemah, misalnya:

Nucleofilic substitution = pertukargantian nukleofilik

Dalam hal ini pertukargantian nukleofil sudah cukup menterjemahkan maknanya.

5.2.2 Masalah Rentetan Perkataan

Rentetan perkataan dalam konstruksi frasa bahan terjemahan juga merupakan suatu hal yang kerap menimbulkan masalah. Amatlah penting bagi seorang penterjemah itu mahir dalam jalan bahasa atau hukum rentetan perkataan dalam bahasa Malaysia. Sekiranya suatu kata nama diterangkan oleh satu atau lebih penerang, maka hendaklah diketahui atau ditentukan apakah unsur-unsur yang berhubungan secara konstituen terdekat. Misalnya:

(i) Gros National Product

Dalam contoh ini, kita cuba lebih dulu mencari persamaannya dalam bahasa Malaysia: gross = ‘kasar’, national = ‘negara’, producti = ‘keluaran’. Dengan melihat sekali imbas, terdapat ada dua kemungkinan terjemahan tersebut.

(a) Keluaran negara kasar

(b) Keluaran kasar negara

Dalam terjemahan (a) ‘keluaran’ dianggap berkonstituen terdekat dengan ‘negara kasar’ dan menyebabkan terjemahannya mungkin bererti the product of a rude nation. Ini bukanlah erti yang mahu diterjemahkan. Oleh itu terjemahan (b) adalah lebih cocok, di mana ‘keluaran’ dan ‘kasar’ berkonstituen terdekat dulu, dan pada peringkat keduanya, ‘keluaran kasar’ berkonstituen terdekat dengan ‘negara’.

keluaran kasar negara


Mungkin masalah ini tidak begitu rumit kalau kita hanya bertembung dengan dua atau tiga kata penerang saja. Kalau lebih banyak unsur penerang digunakan dalam satu frasa, maka haruslah kita terpaksa membentuk beberapa strategi lain untuk mendapatkan konstruksi sintaksis yang bersifat Melayu. Jadi perkataan seperti ‘yang’, ‘secara’, ‘lagi’, dan ‘dengan’ harus digunakan untuk melicinkan jalan bahasa, misalnya:

(ii) Rapidly increasing Gross National Producti, harus diterjemahkan sebagai ‘keluaran kasar negara yang kian bertambah dengan pesat’.

Oleh sebab adanya hukum rentetan kata yang demikian dalam bahasa Malaysia, maka terdapatlah ahli sains yang terus menterjemahkan istilah-istilah kimia dengan tidak berfikir panjang mengenai sifat-sifat kimia itu sendiri.

Oleh sebab itu penterjemah-penterjemah sentiasa menterjemahkan sebatian kimia seperti sulphuric acid kepada ‘asid sulfurik’ dan hydrochloric acids kepada ‘asid-asid hidroklorik’ atau ‘asid hidroklorik’. Apabila mereka menemui frasa seperti sulphoric acids mereka menterjemahkannya sebagai ‘asid-asid sulforik’. Sebenarnya terjemahan ini tidak sesuai kerana ianya menunjukkan ada banyak melekul asid sulforik seperti yang terdapat dalam terjemahan hydrochloric acids di atas. Dari segi kimia, bilangan molekul sulforik asid tidak semestinya disebutkan, kerana bialangan satu, dua, tiga, atau beberapa molekul asid sulforik adalah sukar ditentukan dan selalunya tidak disebutkan. Di sini makna sulphoric acids yang sebenar ialah ‘sejenis’ atau golongan asid sulforik, umpamanya semua asid seperti klorosulforik asid, dan

p-toluenasulforik frasa seperti sulphoric acids eloklah diterjemahkan kepada ‘asid sulforik’ yang boleh merupakan sejenis golongan asid sulfonik. Jadi menurut cadangan ini hydrochloric acids mesti diterjemahkan kepada ‘hidroklorik asid’ dan bukan ‘asid hidroklorik’ yang sedang digunakan oleh para penterjemah. Pendek kata, perkataan seperti benzoic acids merupakan segolongan asid berstuktur:-

X COOH

X= Cl, Br, H, dan lain-lain lagi diterjemahkan kepada ‘asid benzoik’, manakala benzoic acid yang menyebut hanya satu jenis sebatian organik sahaja diterjemahkan kepada ‘benzoik asid’ dan bukan ‘asid benzoik’. Cadangan ‘benzoik asid’ untuk benzoic acids dan ‘sulfurik asid’ untuk sulphuric acid, itu seolah-olah melanggar peraturan nahu bahasa Malaysia tetapi sebenarnya perlu dan ada sebabnya. Seperti yang dikatakan tadi, benzoik asid’ ini merupakan hanya satu sebatian organik. Kita boleh mengambil satu contoh biasa. Misalnya His name is Jimmy Carter mesti diterjemahakan kepada ‘Namanya Jimmy Carter bukun ‘Namanya Carter Jimmy’. Kerana sebutan Jimmy Carter mesti disusun seperti yang diberi dalam bahasa Inggeris dengan tidak mengambil perhatian peraturan nahu. Kesimpulannya ialah bila nama sebatian yang diterjemahkan itu terdiri dari nama yang khas kepada hanya satu sebatian ia mesti disebutkan atau diterjemahkan dengan tidak mengubah rentetan kata, sungguhpun peraturan tatabahasa, bahasa Malaysia tidak dipatuhi. Jadi, penterjemah harus hati-hati dalam menterjemah supaya jangan terjadi kekeliruan dalam teks terjemahan tersebut akibat terlalu rapat menurut hukum rentetan perkataan yang tidak sesuai dalam frasa terjemahan.

Cadangan ini juga boleh diluaskan kepada perkataan lain dengan menggunakan sempang bila rentetan kata tidak harus diubah semasa membuat terjemahan. Satu hal ialah contoh: thermochemistry diterjemah kepada, ‘kimia haba’ atau ‘termokimia’. Akan tetapi untuk perkataan seperti ‘ultra-violet’ ia selalu ditejemahkan kepada ‘lampau ungu’, sungguhpun kedua-dua perkataan dalam istilah itu adalah dari bahasa Melayu. Menurut tatabahasa bahasa Malaysia, ia sepatutnya diterjemahkan kepada ‘ungu lampau’. Untuk mengatasi masalah ini, haruslah dibuat peraturan bahawa rentetan kata dalam terjemahan hendaklah mengikuti rentetan kata Inggeris dan sempang digunakan. Contohnya:

ultra-violet = lampu-ungu

Infra-red = Infra-merah

photosynthesis = foto-penceraian

photodissociation = foto-penceraian

Cadangan ini senang dijalankan dan amat berguna. Ia mengatas satu masalah tatabahasa, misalnya masalah terjemahan thermal dissociation sudah tentu ia menjadi ‘temal-penceraian’ dan istilah seperti ‘pentermalceraian’ akan dapat dielakkan, kerana ia amat merumitkan.

5.2.3 Masalah Jamak

Masalah mengenai kata jamak boleh dibincangkan dari banyak aspek. Tetapi di sini kita akan menumpukan perhatian kepada masalah jamak dalam frasa, di mana unsur jamak dalam bahasa Inggeris dinyatakan dalam satu perkataan, tetapi mengenai lebih dari satu unsur dalam frasa tersebut. Dalam istilah yang dipinjam, masalah tunggal/jamak harus dapat diatasi dengan meminjam bentuk tunggal, dan digandakan apabila kata jamak diperlukan, misalnya, kriterum kriterium-kriterium atau dengan memakai kata seperti, ‘satu, dua, atau beberapa kriterium’. Ini senang saja oleh kerana ianya melibatkan hanya satu atau dua perkataan. Masalah yang merumitkan timbul apabila ia diterjemahkan dalam konteks frasa.

Biarlah kita mengkaji apakah yang akan terjadi apabila kita bertemu dengan frasa-frasa dalam teks saintifik. Lihatlah contoh berikut:

(i) The biological and environmental factors

frasa ini bermaksud “ The biological factors and the environmental factors”. Jadi kalau biological = ‘biologis’, environment = ‘persekitaran’, dan factors = ‘faktor’, maka terjemahan frasa di atas mempunyai empat kemungkinan:-

(a) Faktor-faktor biological dan persekitaran

(b) Faktor biologi dan persekitaran

(c) Faktor-faktor biologi dan faktor-faktor persekitaran

(d) Faktor biologi dan faktor persekitaran

Ada beberapa implikasi makna terjemahan di atas. Pertama, terjemahan (a)

dan (b) memberi maksud seolah-olah faktor-faktor biologi saja yang ditegaskan, dan mungkin ‘persekitaran’ tidak mempunyai faktor apa pun. Kedua, (a) dan (b) juga dan berbeza sedikit dari segi makna, kerana ada anggapan mengatakan bahawa ‘faktor’ itu walaupun tidak digandakan masih mengandungi maksud jamak. Tetapi, mungkin juga sebaliknya, ‘faktor’ yang tidak digandakan itu mungkin membawa pengertian dan pengertiannya hanya satu. Walaupun, masalah ini mudah diatasi dengan memasukkan unsur kata kuantiti atau bilangan, tetapi ini juga membawa masalah sebab adakalanya jumlah jamak itu tidak dinyatakan dengan jelas dalam teks asal.

Terjemahan (c) dan (d) agak panjang dan berulang. ‘Faktor’ digandakan dan diulang dua kali, sekali untuk menerangkan ‘biologis’ dan sekali untuk ‘persekitaran’. Ini lebih terang maknanya, dan kemungkinan kekaburan dalam terjemahan (a) dan (b) dapat dielakkan. Perbezaan antara (c) dan (d) terletak di mana kejamakan ‘faktor’ tidak begitu jelas dalam (d), tetapi cukup jelas dalam (c).

Oleh yang demikian, terjemahan yang difikirkan paling sesuai sebab dapat membawa semua maksud ialah (c) iaitu: ‘faktor-faktor biologi dan faktor-faktor persekitaran’.

Cuba kita lihat sebuah contoh lain, apabila sifat kata, dan bukan sifat nama yang menjadi penerang.

(ii) The Pharmaceutical and Physiological Aspects

Pertama harus kita mengerti, yang dalam bahasa Inggerisnya, frasa ini bermaksud “the pharmaceutical aspects and the physiological aspects”. Ini perlu dimengerti dulu tanpa sebarang kekaburan. Kalau pharmaceutical = ‘farmaseutis’, physiological = ‘fisiologis’, dan aspects = ‘aspek’, maka kita boleh juga mendapat empat kemungkinan terjemahan.

(a) Aspek-aspek farmaseutis dan fisiologis

(b) Aspek-aspek farmaseutis dan aspek-aspek fisiologis

(c) Aspek farmaseutis dan fisiologis

(d) Aspek farmaseutis dan aspek fisiologis

Manakah di antara empat kemungkinan ini yang paling tepat menterjemahkan

frasa asal. Terjemahan (c) dan (d) nampaknya tidak sesuai kerana makna jamak perkataan aspek dalam frasa asal tidak terdapat dalam terjemahan tersebut. Terjemahan (a) dan (b) dapat mengatasi masalah ini. Tetapi dalam (a) dan (b) ini, terdapat sedikit perbezaan dengan contoh (i) di atas. Contoh (i) memerlukan kata nama faktor-faktor diulang sebelum ‘biologis’ dan ‘persekitaran’, tetapi perkataan ‘aspek-aspek’ dengan ‘farmaseutis’ dan ‘fisiologis’. Dalam contoh (i), akhiran ‘is’ tidak wujud dalam kedua-dua perkataan yang diterangkan. Oleh itu hubungan sintaksis tersebut tidak begitu nyata. Oleh yang demikian terjemahan (a), iaitu ‘Aspek-aspek farmaseutis dan fisiologis’ adalah yang paling sesuai.

Setelah melihat dua contoh di atas ternyata bahawa, dalam bahasa Malaysia unsur yang menghubungkan unit-unit sintaksis adalah berlainan seperti dalam contoh (i) dan (ii). Kekaburan yang terdapat dalam hubungan tersebut dapat dijelaskan oleh unsur-unsur akhiran yang dipinjam dari bahasa Inggeris. Jadi dari segi peristilahan ada baiknya unsur yang dapat melicinkan proses penterjemahan ini turut diambil berat. Unsur akhiran ‘is’ ini adalah penting.

Perkara yang kedua yang dapat dilihat di sini ialah bahawa walaupun kata nama dalam bahasa Malaysia lazimnya boleh membawa maksud jamak, ternyata bahawa ianya perlu ditunjukkan dengan jelas melalui pergandaan kata. Hakikat yang mengatakan bahawa semua kata nama dalam bahasa Malaysia bersifat jamak sebagai kelaziman, tidaklah dapat menghilangkan kekaburan dalam konteks sains. Ia masih boleh dikelirukan dengan bentuk tunggal.

Pada pihak yang lain pula, terdapat suatu masalah kata jamak, yang walaupun kecil tetapi masih merumitkan. Walaupun lazimnya kekaburan makna jamak itu boleh dihalangkan dengan menggunakan perkataan, tetapi perkataan seperti ‘kupu-kupu’, ‘kura-kura’, ‘mata-mata’ mungkin pula menyusahkan si penterjemah, apabila ditemui. Ini ialah kata satu keadaan di mana ianya tidak lagi boleh digandakan untuk menunjukkan jamak. Oleh sebab itu, bilangan dan kuantitinya perlu pula dinyatakan. Kalau kuantitif tidak dinyatakan, maka kita akan kesukaran untuk menunjukkan jamak, sebab ‘kupu-kupu’ boleh memberi erti hanya ‘seekor’ kupu-kupu, atau banyak kupu-kupu.

5.2.4 Maslah Penjodoh Bilangan

Bahasa Malaysia menggunakan sistemnya tersendiri untuk menyatakan golongan atau kuantiti sesuatu benda itu. Biasanya ia berbentuk bilangan + penjodoh bilangan + benda, seperti ‘dua ekor burung’, ‘tiga biji telur’, dan ‘dua pokok kelapa’.

Seperti dalam bahasa Cina, bahasa Malaysia mempunyai penjodoh bilangan yang lengkap dan teratur. Dari segi sains, penjodoh bilangan boleh mengakibatkan pemesongan dan kekaburan dari segi logik dalam pengkelasan benda-benda mengikut ciri-ciri yang disifatkan oleh penjodoh bilangan tersebut. Dalam keadaan biasa, kita boleh mengikut kebiasaan menggunakan penjodoh bilangan itu, tetapi dalam hal menyatakan elektrom, ion, atom, melekul, cirus, sel, tesu, organ, sistem, ekosistem, komuniti, populasi, tumbuhan dan haiwan yang terletak di luar pengalaman am, maka mestilah kita perlu menggunakan penjodoh bilangan? Misalnya one selaginella, two flagellates (yang sebenarnya separuh haiwan dan separuh tumbuhan), three amoebas dan four butterflies. Menurut jalan bahasa Melayu, maka kita harus menyebut sepokok selaginella, dua ekor/pokok flagellata, tiga ekor amoeba dan empat ekor ram-rama. Dalam hal rama-rama, kita tidak begitu merasa harian terhadap pemakaian penjodoh bilangan “ekor” kepadanya, tetapi kita akan merasa janggal terhadap pemakaian penjodoh bilangan kepada organisma-organisma lain yang kecil-kecil seperti dalam misalan diberi di atas.

Adalah lagi satu kesukaran, dalam memakai penjodoh bilangan apabila hendak menyebut one catalyst, atau disebut three electrons. Adakah masing-masing menjadi ‘sebuah pemangkin’, dan ‘tiga biji elektron’? Penjodoh bilangan “biji” tidak sesuai untuk elektron, sebab ia tidak menunjukkan bahawa lektron itu sebagai zarah serta gelombang. “Buah” juga janggal untuk ‘pemangkin’.

Adalah juga menjadi kebiasaan bagi kita memakai nama alat pengisi sebagai penjodoh bilangan kalau benda itu kecil dan tak boleh dibilang seperti air, menjadi segelas air dan sebagainya. Tetapi, di dalam konsep sains ini, penterjemahan konsep demikian tidaklah perlu. Oleh yang demikian eloklah unsur penjodoh bilangan itu diketepikan dalam memerikan atau bercakap mengenai elektron, ion, atom, molekul, dan lain-lain.

5.3 Masalah Umum Penterjemahan

Dalam konteks ini hanya dibincangkan empat masalah yang bersifat teknik saja. Kertas ini tidak langsung menyentuh tentang implikasi budaya dalam penterjemahan tersebut. Untuk menterjemah bahan sains, mungkin unsur demikian berkurangan, walaupun unsur simpulan bahasa, tidaklah dapat dinafikan memang banyak juga terdapat.

Kalau kita dapat mengatasi masalah demikian, ternyata usaha menterjemah tersebut bukanlah mudah. Proses pemilihan unsur semantik yang tepat bagi sesuatu penterjemahan tersebut memanglah kompleks. Di sini, seolah-olah dinyatakan kata, iaitu proses yang penting dalam bahasa Malaysia. Ada si penterjemah yang keterlaluan memakai imbuhan, dan ada yang sebaliknya. Misalnya, mungkin ada orang yang ingin menterjemahkan atomic weight sebagai “keberatan atomik’, walhal, ‘berat atom’ sudah mencukupi, bahkan lebih menepati jalan bahasa Malaysia. Penterjemah yang tidak merasa puas dengan terjemahan demikian ternyata belum menguasai tatabahasa Inggeris dalam bahasa Malaysia. Demikian juga kerap terdapat penterjemah yang masih belum sedar tentang adanya perbezaan asas mengenai rentetan kata dalam konstruksi frasa Malaysia dan Inggeris. Masalah jamak juga selalu salah diterjemahkan sehingga memesongkan makna asal. Demikian juga pemakaian unsur penjodoh bilangan kerap menghasilkan terjemahan yang mungkin melucukan pada keadaan tertentu. Walaupun demikian, masih belum boleh dijamin yang sekiranya semua masalah di atas ini diatasi, maka terjemahan teks akan terjamin. Seperti disebut di atas, proses ini kompleks. Misalnya, kita ambil ayat ini:-

The bottles are placed in different depth.

Sekali imbas, terasa bahawa semua perkataan yang terdapat dalam contoh ini mudah saja, dan semuanya dimengerti. Tetapi penterjemahan ayat kecil ini memerlukan penelitian dan pemilihan unsur-unsur yang bersimpang siur. Secara sekali imbas, seorang yang menterjemah kata demi kata akan mendapat hasil yang mungkin berbunyi:

Botol-botol diletakkan dalam kedalaman berlainan

Ternyata terjemahan begini jauh dari memuaskan. Mungkin kebanyakan perkataan dalam ayat ini dapat diterjemahkan dengan mudah. Tetapi perkataan yang menimbulkan masalah ialah in dan depth. In sebagai sendi bermakna ‘dalam’, dan depth sebagai nama hendak diterjemahkan dengan apa pula? ‘Dalamnya’? Kalau diambil depth saja mungkin ada yang mahu menterjemahkannya pula sebagai ‘kedalaman’, ‘dalamnya’ ‘pendalaman’ dan lain-lain kemungkinan. Malangnya konsep in different depth itu tidak pula dapat diselesaikan satu persatu. Ianya terpaksa dikira sekali dan terjemahannya mungkin lebih baik begini ‘dalam jarak-dalam yang berlainan’. Jadi terjemahannya haru berbunyi ‘Botol-botol itu ditetakkan dalam jarak-dalam yang berlainan’.

Kerap kali pula, dalam teks-teks sains ini, bukan saja istilah yang merupakan kerumitan, kadangkala, masalah yang lebih rumit timbul dari pemakaian kata-kata biasa yang lebih umum. Misalnya, ungkapan seperti, it seems, it appears, as if, dan sebagainya lazim dipakai. Ia juga perlu diterjemahkan masing-masing menjadi ‘nampaknya’, ‘kononnya’ dan ‘seolah-olah’.

Kata sambung dan ganti nama, juga merupakan perkara yang selalunya merumitkan dalam proses terjemahan. Lazimnya kita menggunakan “pada” untuk kata nama dan terbitannya, “kepada” dan “daripada” untuk manusia saja. Tetapi, dalam Sains Biologi, misalnya, manusia dianggap sebagai haiwan dan perbezaan-perbezaan demikian harus diketepikan. Oleh yang demikian, perkataan-perkataan ini boleh digunakan kepada benda-benda bukan-manusia, yang bernyawa atau objek-objek tak hidup, misalnya: at this level boleh diterjemahkan sebagai “pada paras ini” dan from this angle to another boleh diterjemahkan sebagai ‘dari(pada) sudut ini ke(pada) sudut yang lain’, di mana ‘dari’ dan ‘ke’ digunakan secara sinonim dengan ‘daripada’ dan ‘kepada’. Ganti nama ‘mereka’ pula boleh digunakan sebagai pengganti they dalam sebuah petikan saintifik sama ada they merupakan ‘molekul’, ‘organisma’ atau lain-lain. ‘Ia’ kadangkalanya digunakan supaya memaksudkan it, dan juga they. Biasanya, dalam sebuah petikan saintifik dalam bahasa Inggeris sering dipakai kata-kata former dan latter untuk mengelakkan ulangan subjek-subjek yang telah disebut. Dalam bahasa Malaysia kita bolehkah mengulangi subjek-subjek yang telah disebut, atau menggunakan ‘kes pertama yang terdahulu’ untuk erti former dan ‘kes kedua/kes terakhir; yang kemudian’ untuk latter. Kadangkalanya, artikel definit bahasa Inggeris, seperti the, this, these, those merumitkan penterjemahan. Kita boleh melupakannya atau menggunakan ‘adalah/merupakan/didapati/terdapatlah’ menurut kes yang berkenaan. Present dan absent kalau dijumpai boleh diterjemahkan sebagai ‘didapati’ dan ‘tidak didapati’; ‘wujud’ lebih sesuai bagi present walaupun ia bermaksud exist. Apabila presence dan absence ditemui, kita boleh menggunakan ‘kehadiran’ dan ‘ketiadaan’.

Walau bagaimana lengkap sekalipun peristilahan, kita akan dapati juga yang penterjemahan merupakan satu kaedah yang sentiasa terasa kelemahan dan kekurangannya. Misalnya, dalam satu buku terjemahan Kajihayat Haiwan Amali oleh Dewan Bahasa (1976), masih terdapat istilah dan perkataan Inggeris dikekalkan dalam istilah dan perkataan Inggeris dikekalkan dalam kurungan. Ini berlaku kerana penterjemah tidak yakin yang istilah bahasa Malaysianya dapat mendukung pengertian konsep asalnya.

Misalnya:

(i) Hidra itu jadinya adalah satu haiwan pondan (hermaphrodite)

(ii) Hidroid itu menunjukkan dua-bentuk (dimorphism) oleh kerana

zooids (polip-polip) itu terdiri daripada dua jenis, iaitu polip pemakan (hydranth) dan pembiakan (blastostyle). (hlm.25).

Sekali imbas mungkin tidak terasa kecacatannya. Tetapi kalau dilihat dengan teliti akan terlihat bahawa terjemahan seperti itu adalah tidak sempurna langsung. Pengekalan istilah Inggeris dalam kurungan itu nyata menunjukkan kekurangan dalam penyampaian sesuatu kandungan melalui bahasa Malaysia.

Kadang-kadang terasa bahawa penterjemah itu sendiri yang tidak fasih dalam bahasa Malaysia, maka ia sentiasa bergantung pada istilah Inggerisnya. Mungkin dia merasa terjemahannya itu tidak lengkap, padahal terjemahan itu agak baik. Misalnya:

(iii) Permukaan atas (exumbrella) nya berbentuk cembung, sementara permukaan bawah (subumbrella)nya pula berbentuk cekung. Dari tengah-tengah permukaan terbit corong mulut (manubrium) dan di hujungnya terletak mulut obelis itu. (hlm.27).

kalau semua istilah Inggeris dalam kurungan itu dibuang, ayat-ayat ini cukup sempurna. Penterjemahnya hanya kurang yakin yang penterjemahan itu baik. Hakikat ini hanya memaparkan kelemahan bahasa Malaysia penterjemah yang seolah-olah menunjukkan ianya tidak memahami bahasa tulisannya sendiri.

Di samping adanya kekaburan peristilahan, terdapat pula penterjemahan kata-kata umum oleh sebab pemakaiannya yang terkhusus. Misalnya:

(iv) Beberapa sperma terbentuk daripada pembahagian berkurangan (reduction division) sel-sel pembiakan di dalam testis. (hlm.24).

Terasa benar bahawa terjemahan ini gagal memberi pengertian yang dimaksudkan. Kalau tidaklah ada istilah Inggerisnya, ayat ini mungkin tidak dapat dimengertikan.

5.4 Kesimpulan

Dalam kertas ini telah dibincangkan tadi masalah-masalah berkaitan dalam penterjemahan berkaitan dengan aspek-aspek imbuhan, rentetan kata, jamak dan penjodoh bilangan. Ternyata masalah-masalah ini memang merumitkan terjemahan. Di samping itu masalah bukan istilah juga sama rumitnya. Jelas terlihat dalam usaha penterjemahan ini bahawa sebahagian besar kesukarannya timbul daripada kedua-dua masalah bahasa dan bukan bahasa. Kebanyakan daripada masalah ini ternyata disebabkan oleh kelemahan penguasaan bahasa Melayu penterjemah.

BAHAN RUJUKAN

Abdullah Hassan, Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Nasional dalam Masyarakat

Malaysia Baru, dalam Dewan Bahasa, Oktober 1976 hlm. 545-565.

Abdullah Hassan, Unsur Gramatikal Asing, tak bercetak, 1985.

Abdullah Hassan, Penerbitan Kata dalam Bahasa Malaysia, Petaling Jaya: Penerbit

Fajar Bakti, 1986.

Abdullah Hassan, Isu dan Masalah Standardisasi Bahasa Malaysia, dalam Dewan

Bahasa, Mei 1983, hlm. 323-339.

Ahmad Mohamed Ibrahim & Ahilemah Joned, Sistem Undang-Undang di Malaysia,

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985.

Ainon Muhammad, Dasar dan Pelaksanaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi

dan Bahasa Kebangsaan, Seminar Bahasa Malaysia, di Universiti Malaya, 1953.

Alisjahbana, S.T., The Failure of Modern Linguistics in the Face of Linguistic

Problems of the Twentieth Century, Kuala Lumpur: University of Malaya Press, 1965.

Alisjahbana, S.T., Some Planning Prosesses in the Development of the Indonesia-

Malay Language, in Rubin, e tal. Can Language be Planned?, Honolulu: University of Hawaii Press, hlm. 179-188, 1970.

Alisjahbana, S.T., Indonesia and Malaysia dalam Sebeok, T., Current Trends in

Linguistics, Vol 8, The Hague: Mouton, h. 1087-1109, 1971.

Amat Johari Moain, Pembentukan Kata dan Istilah, dalam Dewan Bahasa, 1 Januari

1985, 18-34.

Asmah Hj. Omar, Standard Language and the Standardization of Malaya, dalam

Antropological Linguistics, Vol. 13, h. 73-90, 1971.

Asmah Hj. Omar, The Malaysian Mosaic of Language dalam Essays on Malaysian

Linguistics, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1967.

Asmah Hj. Omar, Perancangan Bahasa dengan Rujukan Khusus kepada

Perancangan Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978.

Asmah Hj. Omar, Language Planning for Unity and Efficiency, Kuala Lumpur:

Penerbit Universiti Malaya, 1979.

Asmah Hj. Omar, Perancangan Bahasa dan Pembinaan Bahasa, Dewan Bahasa, Jun

1981, 5-18.

Beg, M.A.J., Arabic Loan-words in Malay; A Comparative Study (Edisi Kedua),

Kuala Lumpur: pengarang sendiri, 1979.

Carey, Y.I., Tegleq Kui Serok, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969.

Chuah Chong Cheng, Garis-Garis Panduan untuk Standardisasi Istilah Biology,

kertas kerja (tak bercetak) USM, 1977.

Chuah Chong Cheng, Ke Arah Satu Percubaan Berkuliah dalam Bahasa Malaysia

dengna Lebih Berkesan, oleh Ahli Biologis di Institusi Pengajian Tinggi, kertas kerja (tak bercetak) USM, 1977.

Cobarrubias, J., (Ed.), Progress in Language Planning, Berlin: Walter de

Gruyter&Co., 1983.

Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,

1981.

Daftar Istilah MBIM, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986.

Daftar Kata-Kata Pinjaman Umum dalam Ejaan Rumi Baru Bahasa Malaysia,

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978.

Hashim Yeop A. Sani, Bagaiman Undang-Undang Kita Diperbuat, Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980.

Dewan Bahasa dan Pustaka Sa-Puloh Tahun, Kua Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka, 1967.

Eastman, C.M., Language Planning – An Introduction, San Francisco: Chandler&

Sharp Publishers, Inc., 1983.

Farid Mohd. Onn, Aspects of Malay Phonology and Morphology, A Generative

Approach, Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1976.

Fauziah bt. Ismail, Bahasa Kebangsaan dan Istilahnya, Latihan Ilmiah, Universiti

Malaya, Jabatan Pengajian Melayu, 1965.

Ferguson, C.A., Language Development, dalam Fishman, et al. Language Problems of

Developing Nations, New York: John Wiley and Sons, 1968.

Fishman, J.A., Nationality-Nationism and Nation-Nationism, dalam Fishman e al.,

Language Problems of Developing Nations, John Wiley and Sons, 1968.

Fishman, J.A., Language Modernization and Planning in Comparison with other

types of National Modernization and Planning, dalam Language in Society, 2: 23-43, 1973.

Ghazali bin Othman, Perkembangan Perbendaraan Kata Bahasa Melayu dalam

Konteks Perkembangan Kebudayaan Pengguna-Pengguna Bahasa Melayu, Tesis – M.A. Universiti Malaya, Jabatan Pengajian Melayu, 1973.

Gonda, J., Sanskrit in Indonesia, Edisi Awal Kedua, New Delhi: International

Academy of Indian Culture, 1973.

Hall Jr.R.A., American Linguistics dalam Archivum Lingustivum IV (fasa I), 1-16,

1951.

Harimurti Kridalaksana, Fungsi Bahasa dan Sikap Bahasa, Ende: Penerbit Nusa

Indah, Cetakan 2, 1978.

Hassan bin Ahmad, Dasar Pembentukan Istilah Sains dalam Bahasa Malaysia,

Dewan Bahasa, (Jun 1981) 19-30.

Hassan bin Ahmad, Istilah Bahasa Malaysia Kerap Berubah, Dewan Bahasa, (83:48).

Haugen, E., Planning for a Standard Langugae in Modern Norway dalam

Antropological Linguistics I(3):8-21, 1959.

Haugen, E., Construction and Reconstruction in Language Planning: Ivar Aasen’s

Grammar, dalam Word, 21(2): 188-207, 1965.

Haugen, E., Dialect, Language, Nation, dalam American Antropologist, 68(4): 922-

935, 1966.

Haugen, E., Linguistic and Language Planning, dalam Bright, W. (ed.),

Sosiolinguistics: Proceedings of the UCLA Sociolinguistics Conference, The Hague: Morton, 159-190, 1966.

Haugen, E., Language Planning, Theory and Practice, dalam Graur, A. (ed.), Actes

due Xe Congres International des Linguistics Bucarest, Bucharest: Editions de L’Academie de la Republique Socialiste de Roumanie, 701-711, 1969.

Ismail Hussein Malay Dialectsin the Malay Penisula, kertas kerja ICO, Canberra

1969.

Karam, F.X., Toward A Definition of Language Planning, dalam J.A. Fishman,

Advance in Language Planning, The Hauge: Mouton, 1974.

Kementerian Pelajaran Malaysia. Penggunaan Istilah Sains di Peringkat Sekolah,

Seminar Penggunaan Istilah Sains, Kuala Lumpur, Disember 14-15, 1983.

Khoo Lian Ee & Sam Teng Wah, Masalah-Masalah yang Ditemui Semasa

Menterjemahkan Sebuah Buku Teks Kimia Organik, kertas kerja (tak bercetak) USM, 1977.

Kloss, H., Research Possibilities on Group Bilingualism: A Report, Quebec,

International Center for Bilingualism, 1969.

Laporan Jawatankuasa Mengkaji Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa

dan Pustaka, 1981.

Le Page, R.B., The National Language Question: Linguistic Problems of Newly

Independent States, London Oxford University Press, 1964.

Lim Chin Lam, Aspek-Aspek Penggunaan Bahasa Malaysia dalam Sains dan

Teknologi, kertas kerja (tak bercetak) USM 1977.

Malkiel, Y., Lexicography dalam Reed, C.E., The Learning of Language, Appleton

Century Crofts, 1971, m.s. 363-387.

Mas’od Abd. Rashid, Beberapa Kesulitan dalam Mencari Istilah Sains, dalam Dewan

Bahasa, (Februari 1959) 59-71.

Neustuphy, J.V., Basic Types of Treatment of Language of Language Problem, dalam

J.A. Fishman, Advances in Language Planning, The Hague: Mouton, 1974.

Noss, R., Language Policy and Higher Education, Vol. III, Part 2 of Higher

Education and Development in Southeast Asia, Paris: UNESCO and International Association of Universities, 1967.

Pedoman Umum Ejaan Bahasa Malaysia, Kuala Lumper: Dewan Bahasa dan

Pustaka, 1975.

Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka, 1975.

Quirk, R. & Greenbaum, S., A University Grammar of English, London: Longman,

1973.

Rabin, C., Spelling Reform – Israel 1968 dalam Rubin & Jernudd, Can Language be

planned? 95-121, Honolulu: University Press of Hawaii, 1971.

Raja Mukhtaruddin b. Raja Mohd. Dain, Pembinaan Bahasa Melayu: Perancangan

Bahasa di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982.

Ray, P.S., Language Standardization Fishman, et al. dalam Reading in the Sociology

of Language, The Hague: Mouton, 1966.

Rubin, J., Evaluation and Language be Planned?, Honolulu: University Press of

Hawaii, 1971.

Rules of The High Court 1980, (P.U [A]50/80), Kuala Lumpur: Malaysian Law

Publishers, 1982.

Salleh Johari, Pembentukan Istilah dalam Perkembangan Bahasa, Latihan Ilmiah,

PPIK., USM, (tidak bercetak, 1985).

Sasterawan 50, Memoranda Angkatan Sasterawan 50, Kuala Lumpur: Oxford

University Press, 1962.

No comments:

Post a Comment