Tuesday, March 24, 2009

3. PSIKOLINGUISTIK DAN SOSIOLINGUISTIK DALAM PENGAJARAN BAHASA

Kursus dalam Perkhidmatan Kakitangan Penting Bahasa Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia, UKM, KL, 26-31 Julai 1976

PSIKOLINGUISTIK DAN SOSIOLINGUISTIK DALAM PENGAJARAN BAHASA

Pengajaran

Sajak de Saussure membuat tanggapan dan pencerapan bagi menjalankan pengkajian bahasa dari segi struktur bentuk, maka linguistik berkembang dengan majunya. Bidang linguistik berkembang dengan begitu pesat dalam kurun ke-20 ini. Ini bermakna kajian linguistik telah lama bermula. Sejak manusia mula berasa kagum terhadap bahasanya, mereka telah mula mengkaji dan mempelajari bahasa mereka itu. Manusia mula belajar mengkaji bahasanya kerana keperluan untuk menguasainya. Oleh itu, Panini, seorang ahli agama Hindu, telah mula mempelajari bahasa Sanskrit sejak 3000 tahun dahulu demik kepentingan mengekalkan sebutan dan bacaan yang tepat bagi kitab suci Veda. Hasil kajian dan pengamatan itu masih dimanfaati oleh masyarakat Hindu hingga ke hari ini. Sarjana Yunani juga demikian, mereka berusaha menggolongkan kata-kata mengikut sifat benda-benda di dunia. Sehingga hari ini pun, penggolongan kata yang dibuat oleh orang Yunani itu seperti nama, perbuatan, sifat, sendi, dan seruan, masih kita pakai. Begitu juga Al-Khalil dalam kurun ke-7 M telah mengkaji bunyi-bunyi al-Qur’an yang tersusun pada zaman itu dapat dibakukan sistem sebutan dan ejaannya sehingga bacaannya masih kekal tidak berubah hingga sekarang.

Daripada apa yang saya perkatakan ini terlihat bagaimana linguistik am: fonologi, morfologi sintaksis, semantik, dan leksikografi berhubung rapat dengan pembelajaran dan pengajaran bahasa. Pendek kata tanpa deskripsi dari segi linguistik, maka sukarlah sesuatu bahasa itu diajarkan secara formal. Hasil kajian linguistik am terhadap bahasa itu dapat menjadi bahan penting dalam pengajaran bahasa. Sengaja saya gunakan di sini istilah pengajaran bahasa kerana istilah pembelajaran mencakupi pengertian lain. Bidang pembelajaran mencakupi bidang psikologi, iaitu cara bahasa diperoleh dan dipelajari. Aspek ini lebih lazim dikenali sebagai psikolinguistik. Memang psikolinguistik dan linguistik gunaan terlibat dalam pengajaran bahasa, dan bidang-bidang ini telah begitu berkembang dan penting sehingga setiap satunya menjadi bidang sendiri pula. Dalam bab ini, saya membincangkan implikasi teori-teori tertentu dalam pembelajaran dan pengajaran bahasa.

Kaedah Pengajaran Bahasa Zaman Yunani

Mungkin manusia telah mula belajar bahasa selain daripada bahasa kandungnya sejak mereka mula berasa perlu untuk berhubung antara satu sama lain. Tidak syak lagi bahawa ahli-ahli pelayaran, ketua-ketua angkatan perang yang menakluki negara-negara lain, telah mempelajari bahasa-bahasa lain untuk memudahkan kerja mereka. Agaknya sukar untuk kita menentukan corak kaedah yang mereka gunakan. Satu caranya ialah kita dapat membuat andaian tentang hal ini dengan melihat cara orang Zaman Pertengahan mempelajari bahasa. sebenarnya perkembangan dalam pembelajaran bahasa semenjak zaman Yunani sehinggalah kurun ke-20 ini tidaklah banyak berubah. Apabila pertembungan antara manusia menjadi lebih rapat akibat sistem perhubungan antara manusia menjadi lebih rapat akibat sistem perhubungan antara manusia menjadi lebih rapat akibat sistem perhubungan antara manusia menjadi lebih rapat akibat sistem perhubungan yang merapatkan negara-negara, maka pembelajaran bahasa memerlukan kaedah yang lebih berkesan dan boleh menimbulkan hasil yang baik dalam masa yang lebih singkat. Sebelum itu, perkembangannya amat perlahan. Sebenarnya pembelajaran bahasa sehingga itu, hanyalah bergantung pada kaedah terjemahan; samalah sebagaimana orang mempelajari bahasa Latin pada masa dahulu. Dalam kaedah ini, terjemahan memainkan peranan yang amat penting. Bahan-bahan pengajaran mereka hanyalah terbentuk daripada bahan terjemahan semata-mata. Dalam bahagian tatabahasa pula, unsur-unsur tersebut selalu diajarkan secara formal. Tatabahasa yang diajarkan itu biasanya menggunakan kerangka dan unsur-unsur tatabahasa Latin yang disesuaikan di sana sini kepada bahasa yang diajarkan.

Dalam mempelajari bahasa Malaysia, kita juga sentiasa dipengaruhi oleh unsur-unsur dan keadaan ini. Buku yang dikarang untuk mengajar bahasa Melayu yang dihasilkan oleh Swettenham (1886), Maxwell (1882), Winstedt (1927), dan Za’ba (1965) sendiri, terang-terang didasarkan kepada tatabahasa bahasa Inggeris yang sebenarnya disadur daripada tatabahasa bahasa Latin. Za’ba pula menerima unsur-unsur bahasa Arab. Umpamanya deskripsi jenis kata-katanya masih lagi mengikut golongan kata-kata Yunani, seperti yang ditiru oleh Latin kerana Za’ba menerima adanya kata-kata jenis nama, perbuatan, sifat, sendi, dan seruan. Swettenham pula membincangkan unsur kala seolah-olah bahasa Melayu itu adalah suatu bahasa yang mempergunakan kala seperti bahasa Inggeris. Begitu juga Winstedt menyebut unsur bilangan Za’ba (1940/1965) pula tidak sunyi daripada masalah demikian. Dalam bukunya Pelita Bahasa Melayu I, Za’ba mengatakan bahawa huruf menghasilkan bunyi. Ini tidak berbeza daripada pendapat Yunani 2000 tahun dahulu, dan konsep ini masih belum berubah dalam buku Za’ba.

Seperti yang saya katakan tadi, proses pembelajaran bahasa ini berubah dengan pesat dalam kurun ke-20 ini. Hal ini telah berlaku kerana beberapa faktor. Negara-negara mula berhubung antara satu dengan lain dan memerlukan pembelajaran bahasa untuk perhubungan. Perkembangan linguistik telah memberi pedoman yang baharu kepada bidang ini; dan tidak juga kurang pentingnya, bahawa dalam masa Perang Dunia Kedua, negara Amerika Syarikat telah memberi tumpuan kepada pembelajaran bahasa-bahasa Eropah seperti bahasa Jerman, Perancis, dan Rusia untuk kepentingan peperangan. Hal ini telah menghasilkan kesan positif yang banyak terhadap pembelajaran bahasa. di samping itu pada masa yang sama, kajian psikologi menjadi lebih saintifik. Salah satu daripada bidang yang dikaji, ialah, bagaimana kanak-kanak belajar menuturkan bahasa. kajian-kajian seperti ini dijalankan oleh Freud, Piaget, dan ahli-ahli psikologi yang lain, telah mempunyai pengaruh yang mendalam terhadap pengajaran bahasa. mereka mendukung teori behaviorisme. Apa yang mereka anggap behaviorisme itu ialah gerak-geri binatang, termasuklah manusia, segala-galanya merupakan dasar dalam pembentukan tabiat. Pembentukan tabiat ini mestilah berdasarkan rangsangan dan gerak balas. Ramai ahli psikologi menjalankan kajian tentang behaviorisme. Kajian dan hasil kajian ini digunakan untuk menjelaskan seorang ahli psikologi di Universiti Harvard, B.F. Skinner, yang menulis buku Verbal Behavior (1957). Dalam buku itu beliau membincangkan teori bagaimana manusia belajar bertutur. Segala-galanya ini mempunyai implikasi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran bahasa.

Teori Behaviorisme

Salah satu bidang yang kuat mempengaruhi bidang pembelajaran bahasa ialah psikologi. Teori psikologi ini menyelidik tabiat manusia. Saya tidaklah mahu membincangkan teori ini satu persatu, tetapi hanyalah sekadar menyentuh teori behaviorisme ini bersangkutan dengan implikasi pembelajaran bahasa.

Dalam kurun ke-19, aliran kajian psikologi di Amerika mula bergerak berpisah daripada pemikiran sarjana di Eropah. J.B. Watson (1878-1958) profesor psikologi di Universiti John Hopkins mengarang bukunya, Psychology from the Standpoint of a Behaviorist (1919). Dia hanya mengkaji lakuan dan tidak mementingkan pengalaman sedar. Lakuan padanya hanyalah gerak-gerak otot, dan tidak lebih daripada itu. Penafiannya terhadap sesuatu yang subjektif menyebabkan dia dapat membuat kajian terhadap perkara-perkara yang sedar. Inilah sumbangannya yang besar, iaitu penolakannya terhadap pembezaan jasad dan fikiran. Inilah yang dipegang oleh ramai ahli psikologi lakuan. Walau bagaimanapun, semua ahli psikologi menumpukan perhatian kepada objektif lakuan ini, selalu mengkaji binatang, suka menganalisis mengikut rangsangan dan gerak balas, dan memberi penumpuan kepada pembelajaran sebagai pusat pengkajian.

Di samping itu kita dapati E.R. Guthrie yang menjadi profesor psikologi di Universiti Washington. Bukunya The Psychology of Learning (1935) mengandungi pendapat bahawa, pembelajaran itu berlaku dengan adanya rangsangan dan diikuti dengan gerak balas. Dengan kata lain, yang dimaksudkannya ialah kalau sesuatu gerak balas itu berlaku dalam satu keadaan tertentu, maka semasa kita berada dalam keadaan seperti itu pada masa yang lain, maka kita akan melakukan gerak balas yang sama. Apabila ada rangsangan dan tindak balas, maka berlakulah pembelajaran. Ternyata bahawa kenyataan seperti ini ada kurangnya dari segi pembelajaran. Katakanlah seorang itu diberi teka silang kata, dia membuatnya dengan betul, mak apabila diberi teka silang kata yang lain dia akan berbuat demikian juga. Tetapi kalau dia tidak dapat membuatnya, maka teka silang kata itu akan ditinggalkannya. Pada satu masa lain, di diberi teka silang kata yang sukar juga, dan tidak dapat dibuatnya, lalu ditinggalkannya. Dia telah memberi gerak balas yang sama seperti dahulu. Adakah dia sudah belajar sesuatu dalam hal ini?

Dalam pembelajaran bahasa, nama ahli psikologi yang masyhur ialah Skinner seperti yang saya sebut di atas. Skinner ialah seorang ahli behavioris dari Universiti Harvard. Skinner juga berpegang kepada teori behaviorisme, iaitu pembelajaran berlaku kalau ada rangsangan dan gerak balas. Dalam hal ini, beliau menjalankan eksperimen dengan menggunakan binatang. Salah satu daripadanya ialah dengan menggunakan merpati. Merpati itu dikurung di dalam kotak. Di dinding kotak itu ada suis. Apabila suis itu dipatuk terbukalah suatu lubang yang mengeluarkan makanan. Ini bermakna, merpati itu mematuk sebagai satu rangsangan dan setelah rangsangan dilaksanakan merpati itu akan mendapat balasan makanan. Keadaan ini tidak jauh berbeza daripada yang disebut oleh Watson dan Guthrie, tetapi apa yang berbeza ialah tentang konsep pengukuhan. Pengukuhan ini dianggap oleh Skinner sebagai asas dalam proses pembelajaran.

Bagi Skinner ada dua jenis pembelajaran. Kedua-duanya berlainan kerana ada dua jenis lakuan. Pertama ialah lakuan responden, iaitu gerak balas yang automatis dan tetap. Misalnya, kita dilahirkan dengan banyak gerak balas, dan kita mempelajari sesuatu yang baharu itu dengan secara pembiasaan. Lutut terangkat kalau diketuk oleh doktor. Itu merupakan satu lakuan yang ada rangsangan (ketuk) dan ada gerak balas (kaki terangkat). Ini adalah lakuan responden yang berlaku secara automatis.

Kedua ialah lakuan operan. Bagi Skinner kebanyakan lakuan ialah jenis operan. Lakuan responden tadi ialah gerak balas daripada rangsangan, tetapi lakuan operan berlaku menurut lingkungan atau keadaan. Rangsangannya tidak semestinya menerbitkan gerak balas tertentu, seperti berjalan, bercakap, bekerja, dan sebagainya. Misalnya, lakuan menelan makanan bukan sahaja kerana rangsangan terlihat makanan, tetapi juga ras lapar, lingkungan sosial, dan beberapa lingkungan atau suasana yang berlainan. Belajar melalui lakuan operan itulah yang dikatakan pensyaratan tetapi lain daripada gerak balas otot secara autonomatis.

Dalam bukunya Verbal Behavior (1957) Skinner telah membincangkan proses pembelajaran bahasa dengan lebih lanjut dengan menggunakan unsur rangsangan dan gerak balas, dan suatu suasana pengukuhan yang terlibat dalam menghasilkan pembelajaran secara maksimum. Pengukuhan menambah kemungkinan berlaku gerak balas. Menurutnya, “lakuan bahasa ialah suatu lakuan yang diperkukuh oleh seseorang pendengar dan berkembang menurut prinsip yang sama dengan lakuan operan yang lain. Dalam beberapa keadaan tertentu, penutur itu juga menjadi pendengarnya sendiri dan memperkukuh lakuan bahasanya sendiri”.

Dari sinilah terbitnya kaedah latih tubi, iaitu rangsangan dan gerak balas dalam sesuatu pelajaran bahasa itu disenaraikan menurut polanya, iaitu lakuan yang boleh dikaji dari segi rangsangan dan gerak balas. Latih tubi itu akan menimbulkan tabiat yang dapat dikukuhkan dan akan lekat dipelajari sebagi tabiat.

Semenjak Skinner, ramai lagi ahli psikologi yang mengkaji bagaimana pembelajaran bahasa berlaku. Kebanyakan mereka mengkaji bagaimana kanak-kanak mempelajari bahasa dan implikasinya terhadap pengajaran bahasa. antara kajian ini ialah usah R. Brown, yang dijelaskan dalam bukunya A First Language: The Early Stages (1974). Beliau telah mengkaji perkembangan bahasa kanak-kanak dari segi pembentukan ayat. Bidang lain, walaupun ada tersebut, hanya disentuh secara sambil lalu. Banyak lagi usaha lain yang membaiki konsep Skinner dan ada implikasinya terhadap kaedah-kaedah pengajaran bahasa. sejak Skninner, ramai lagi sarjana lain yang telah membuat kajian lanjut tentang behaviorisme, sehinggalah terbit golongan neobehaviorisme.

Chomsky (1967) dengan keras menafikan pendapat behaviorisme ini. Dalam penafiannya itu, Chomsky menyatakan bahawa teori behaviorisme itu hanya sebuah dongeng. Baginya, behaviorisme tidak memberi tempat kepada “taraf akal yang lebih maju yang ada pada manusia’. Behaviorsme tidak mengendahkan kemampuan otak manusia terhadap pembelajaran bahasa. cara kanak-kanak mempelajari bahasa mungkin lebih bermanfaat kepada pengajaran dan pembelajaran bahasa. dalam mengkaji bagaimana kanak-kanak banyak mempelajari lakuan berbahasa atau bukan bahasa melalui “pengamatan atau peniruan secara tidak sedar terhadap apa yang dibuat oleh orang dewasa dan kanak-kanak lain”. Kanak-kanak tidak belajar hanya melalui perancangan bahasa yang rapi daripada ibu bapa mereka.

Pada peringkat majunya kanak-kanak itu pandai mengeluarkan ayat-ayat yang belum pernah didengarnya dahulu, atau memahami ayat-ayat tersebut. Kebolehan ini menunjukkan ada proses penting yang tidak bersangkut paut dengan makluman balik daripada lingkungan atau rangsangan. Jadi, teori Skinner yang mengatakan pembelajaran itu berlaku mengikut perancangan lakuan berbahasa melalui pengukuhan itu sama sekali ditolaknya seperti dalam kutipan ini, “sebenarnya dalam pemerolehan bahasa, adalah jelas bahawa pengukuhan, pengamatan secara tidak sedar, dan sifat ingin tahu semula jadi (lengkap dengan kecenderungan kuat untuk meniru) adalah faktor-faktor penting, samalah juga dengan kemampuan yang istimewa yang ada pada pelajar itu untuk membuat generalisasi, hipotesis, dan memproses maklumat dalam beberapa cara yang khusus dan amat kompleks, yang tidak dapat kita deskripsikan atau cuba memahaminya, yang sebahagian besarnya mungkin inat, atau mungkin akan berkembang melalui satu cara pembelajaran melalui pendewasaan sistem sarafnya.”

Memanglah diakui bahawa dapatan yang masih selalu dipergunakan dalam pengajaran bahasa kedua dan bahasa asing pada masa ini, ialah, hasil kajian ahli lakuan tadi. Konsep ini telah disesuaikan oleh W.M. Rivers (1964) untuk membentuk prinsip pengajaran bahasa asing. Dia telah membuat empat andaian yang penting:

  1. Pembelajaran bahasa asing (sesuai juga untuk bahasa kedua) pada dasarnya adalah suatu proses mekanikal, iaitu pembentukan tabiat.
  2. Kemahiran akan dicapai secara lebih berkesan kalau bentuk pertuturan dikemukakan dahulu. Dengan kata lain belajar mendengar dan bertutur itu adalah tabiat yang asas kalau dibandingkan dengan kemahiran menulis dan membaca.

3 Pelajar dapat menerima pelajaran dengan lebih berkesan dengan menggunakan iktibar. Ini bermaksud memberi persamaan atau memberi pelajar kebolehan untuk menerima pelajar dengan secara melihat persamaan dan pertalian dalam bentuk-bentuk yang diajar. Umpamanya dalam memberi latih tubi pola Anda sukakah melihat wayang? Maka dijawab, Ya! Tentu sekali, maka diperkenalkan pula pola yang sama seperti Anda sukakah melihat televisyen? Dan jawapannya, Ya! Tentu sekali. Dengan kata lain, pelajar telah dilatih tubi dalam pola yang sama, bagi membentuk tabiat secara mekanikal.

4. Makna kata pula dipelajari dalam konteks budaya yang hidup dan penuh. Ini adalah cara yang difikirkan berkesan dalam memberi makna. Makna kata memanglah terjalin rapat dengan budaya. Misalnya, jam, kalau kita katakan di luar konteks maka kita menggambarkan segala macam jam, tetapi jam Melayu akan merujuk kepada konsep “tidak mematuhi masa”, yang telah menjadi amalan setengah-setengah orang Malaysia. Makna seperti ini hanya wujud dalam konteks budaya Malaysia.

Aliran Behaviorisme dan Mentalisme

Aliran menentang kaedah pengajaran berdasarkan fahaman behaviorisme yang dijelaskan di atas terbahagi kepada dua jenis. Pertama, guru-guru bahasa sendiri sentiasa menentang akan sebarang pembaharuan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran. Hal ini timbul daripada perasaan terancam oleh perkembangan baharu itu dan ditolak sebelum kaedah baharu diberi perhatian yang sewajarnya. Penolakan sebarang yang baharu ini hanyalah satu sikap yang ingin mengekalkan status quo sahaja. Kedua ialah aliran transformasi yang mempunyai teori yang berlainan tentang sifat bahasa itu sendiri, dan proses bagaimana bahasa itu berkembang di kalangan kanak-kanak. Pendapat-pendapat baharu ini banyak memberi sumbangan terhadap aliran struktur, dalam proses menjadi dwibahasa atau mempelajari bahasa kedua. Aliran transformasi ini memberi sumbangan yang berkesan dalam pembelajaran bahasa kalau dibandingkan dengan fahaman struktur. Aliran ini mempunyai pengaruh yang besar dalam perancangan bahan mengajarkan bahasa.

Aspek bahasa yang diterangkan dengan lebih berkesan oleh aliran transformasi ialah sifat kreatif bahasa itu sendiri. Misalnya, dalam mempelajari bahasa, apa yang berlaku ialah pelajar bukan sekadar mempelajari senarai panjang ayat-ayat sahaja, tetapi lebih daripada itu. Bahasa bukan hanya terdiri daripada jumlah rumusan tatabahasa yang boleh dilihat atau dihafal sahaja. Pelajar itu sebenarnya telah mempelajari suatu proses daya kreatif yang membolehkan wujudnya perkembangan. Jadi, bagi aliran struktur, pembelajaran bahasa itu melibatkan kebolehan pelajar menggunakan rumusan-rumusan tersebut. Aliran transformasi mengatakan bahawa, pembelajaran bahasa itu ialah proses menyerap rumusan-rumusan tatabahasa itu bersama-sama kemahiran berbahasa yang sedia ada pada manusia itu. Kemahiran ini bersifat inat atau tersembunyi dan tercetus apabila pembelajaran bahasa itu bermula. Ini adalah pendekatan mentalisme yang bertentangan dengan pendekatan behaviorisme atau mekanikal.

Selama ini belum pernah disentuh perkara yang kita maksudkan dengan istilah yang bahasa itu kreatif, menyebabkannya boleh dipelajari. Sebenarnya tidak ada bahasa yang betul-betul sama antara satu sama lain, tetapi adalah juga betul kalau dikatakan tidak ada dua bahasa yang betul-betul berbeza. Bagi orang ramai, mereka melihat apa yang nyata iaitu dua bahasa itu adalah berlainan, iaitu, secara luar dua bahasa itu memanglah berlainan sama sekali. Apabila dilihat struktur dalaman bahasa itu, maka ternyatalah ada persamaannya. Persamaan inilah yang meyakinkanlah kita bahawa bahasa itu boleh dipelajari.

Suatu sifat bahasa yang penting dari segi pengajaran dan pembelajaran ialah, bahawa, bahasa itu bersifat kreatif. Kita boleh menggunakan unsur-unsur yang terhad yang ada dalam sesuatu bahasa itu, dan menghasilkan ungkapan yang lebih besar, misalnya, dengan menggabungkan kata-kata, kita dapat menerbitkan jumlah ayat yang tidak terhingga banyaknya. Seorang penutur mampu membentuk beribu-ribu ayat baharu yang tidak pernah diucapkannya atau didengarnya dahulu, semata-mata setelah menguasai sistem tatabahasanya. Sebagai contoh kita lihat jadual di bawah:

Zaiton

Nordin

Rizal

Ali

menghantar

membawa

memberi

membaling

buah

raga

buku

bola

itu

kepada

kawannya

kakaknya

bapanya

abangnya

Dengan membaca dari kiri ke kanan bagi setiap kemungkinan ayat, kita akan dapat menerbitkan 256 buah ayat. Dengan menambahkan satu kata lagi kepada setiap baris dalam jadual di atas, maka bilangan ayat yang boleh diterbitkan akan menjadi 625 buah. Kalau ditambah satu ruang lagi dengan semalam, pagi tadi, tadi, dan baru sekejap tadi, maka bilangan ayat yang boleh diubah bentuknya (aktif menjadi pasif) seperti Ali membaling bola itu kepada abangnya semalam, menjadi, Bola itu dibaling oleh Ali kepada abangnya semalam, maka bilangan ayat akan menjadi dua kali ganda banyaknya, iaitu 6250 buah. Ini adalah satu contoh yang amat kecil, dengan menggunakan lapan belas buah kata dan dua buah bentuk ayat. Jadi, pembelajaran bahasa itu bukan sahaja mempelajari tabiat automatis dalam membentuk aya-ayat tadi, tetapi juga mempunyai kebolehan untuk mentafsirkan segala macam ayat yang didengar atau dibacanya. Tegasnya manusia terpaksa mempelajari sistem terhad bahasa itu, iaitu, tatabahasa sesuatu bahasa itu, supaya membolehkannya mempelajari dan menggunakan bahasa itu secara kreatif dan hidup.

Jadi, sistem struktur itulah yang dipelajari. Semua bahasa mempunyai sistem strukturnya. Bentuk struktur itulah yang berbeza daripada satu bahasa kepada satu bahasa yang lain. Pola struktur yang berlaku itu adalah kecil jumlahnya dan boleh dipelajari, tetapi kekreatifnya adalah tidak terhad.

Kaedah Mengajar Bahasa

Kadang-kadang kita terlihat iklan di akhbar yang berbunyi BELAJAR BAHASA Malaysia DALAM TIGA BULAN, LEARN BAHASA IN TWO MONTHS?, dan sebagainya. Tentu sekali kita berhak bertanya apakah agaknya kaedah yang dipakai oleh institusi tersebut sehingga dapat memendekkan masa pembelajaran bahasa sehingga sebegitu singkat, walhal kanak-kanak terpaksa mengambil masa yang begitu lama, tiga atau empat tahun sebelum dapat menguasai bahasa kandungnya. Demikian juga kaum yang tidak menuturkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kandung, masih ramai yang tidak dapat menguasai bahasa Malaysia setelah tinggal di negara ini seumur hidupnya. Sekali imbas kita mungkin terbawa-bawa oleh iklan seperti ini. Sebenarnya perkara ini boleh berlaku, tetapi peringkat kecapaian dalam bahasa yang diajarkan itu patutlah dipersoalkan. Memang pembelajaran bahasa adalah begitu pesat sekali pada peringkat permulaan. Tetapi, setelah sampai ke peringkat pertengahan, maka pembelajaran yang dapat diserap mungkin akan mula mendatar dan tidak begitu pesat lagi. Biasanya institusi ini hanya mengajar sampai ke peringkat permulaan ini sahaja. Mungkin pembelajaran hingga ke peringkat ini boleh berlaku, dan pengetahuan bahasa setakat ini tentu sekali dapat membolehkan pelajar ini menggunakan bahasa yang sudah dan terhad dalam lingkungan percakapan yang terhad. Sekiranya diperlukan lebih daripada itu, maka perlulah ada pendedahan yang lebih lama, lebih menyeluruh, dan lebih khusus.

Untuk memperlengkap lagi perbincangan ini maka perlulah saya berikan ringkasan tentang apa yang dikatakan dengan kaedah mempelajari bahasa itu. Di sini kita akan hanya membicarakan satu persatu kaedah tersebut secara ringkas. Sebenarnya kaedah amat bergantung pada pendekatan kita terhadap bahasa. Ini akan dibincangkan dalam Bab 7.

Kaedah Tatabahasa Terjemahan

Kaedah Tatabahasa Terjemahan ini selalu juga disebut kaedah klasik. Ini mungkin kaedah yang dipergunakan sebelum kaedah lain timbul. Oleh sebab dahulunya para sarjana hanya mempunyai bahan sastera tertulis, dan oleh sebab kemahiran menulis itu dijadikan tujuan yang penting, maka perkara tersebut menjadi tujuan dalam kaedah tatabahasa terjemahan ini.

Kaedah ini dirancangkan dengan tujuan memberi kemahiran menulis, dan bukan kemahiran bertutur. Oleh itu kaedah ini tidaklah mementingkan sebutan. Kaedah ini hanya mementingkan ejaan dan penulisan dalam bahasa yang diajarkan tersebut. Penggunaan bahasa secara aktif tidak berlaku. Rumusan tatabahasa dijelaskan dengan panjang lebar supaya menjadi pedoman pembentukan ayat-ayat melalui terjemahan. Selalunya yang diutamakan ialah unsur-unsur kekecualian daripada yang lazim dalam bahasa yang dipelajari itu, ataupun tentang unsur-unsur yang selalu disalahgunakan.

Kosa kata diberi pada peringkat awal pelajaran. Terjemahan adalah difikirkan cara yang sesuai dan utama dalam mempelajari kosa kata. Kata-kata itu diberi dalam bentuk terasing daripada konteks. Kata-kata disusun dalam ayat menurut rumusan tatabahasa. Rumusan-rumusan tatabahasa itu dihafal sebagai cara menguasai bahasa itu. Isi atau kefahaman tidak dipentingkan sangat, hanya sebagai latihan tatabahasa. Latihan selalu menggunakan bahan terjemahan daripada bahasa yang diajarkan ke dalam bahasa kandung. Ayat-ayat yang digunakan mungkin tidak berhubungan antara satu sama lain, tetapi merupakan bauran struktur yang mungkin sedia wujud dalam bahan terjemahan tersebut.

Walau bagaimanapun, kaedah ini mempunyai beberapa ciri yang baik. Kaedah ini mungkin tidak memerlukan pembiayaan yang begitu banyak, jadi tidaklah sukar digunakan. Sementara itu guru yang tidak begitu fasih dalam bahasa itu masih boleh digunakan untuk mengajarkan bahasa tersebut. Demikian juga kaedah ini tidak mengehadkan saiz kelas, berapa ramai sekalipun bilangan pelajarnya boleh diajarkan melalui kaedah ini. Latihan yang intensif berjam-jam juga tidak diperlukan. Kalau diperhatikan, kebaikan kaedah ini bukanlah dari segi pembelajarannya atau dari segi menguntungkan pelajarnya, tetapi hanya dari segi pengajaran sahaja. Contoh penggunaan kaedah ini ialah pelajaran bahasa Malaysia oleh G. Soosai dan Adibah Amin, masing-masing di akhbar Star dan New Straits Times. Mereka mengajarkan bahasa Malaysia dengan menggunakan kaedah terjemahan, khususnya daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Malaysia. Dalam hal ini, bilangan pelajarnya ialah seluruh pembaca akhbar tersebut.

Kaedah Terus

Kaedah terus ini merupakan satu tindakan balas awal terhadap kaedah tatabahasa terjemahan yang dibincangkan di atas tadi. Kalau diperhatikan kaedah terjemahan itu, tentu terlihat ada beberapa masalah dan kelemahan, misalnya, tidak ada dua kata yang betul-betul sama ertinya dalam dua bahasa. Sedangkan kata kereta dan motokar harus mendukung pengertian yang berlainan menurut latar budaya bahasa Malaysia dan Inggeris. Begitu juga struktur dua bahasa adalah berlainan. Konsep yang boleh dibentuk dalam satu kata, mungkin tidak dapat dibuat begitu dalam bahasa Malaysia. Misalnya, portable hanya satu kata dalam bahasa Inggeris, tetapi dalam bahasa Malaysia kita akan dapati bahawa maknanya mungkin hanya dapat dijelaskan dalam satu rangkai kata, seperti “boleh dibawa ke sana sini.”

Kaedah terus ini diajarkan dengan menggunakan satu bahasa sahaja iaitu bahasa matlamat atau yang diajarkan. Bahasa kandung orang yang mempelajari bahasa itu tidak digunakan. Dengan kata lain, kaedah ini terus menggunakan bahasa matlamat. Kadang-kadang kaedah ini juga dikenali sebagai kaedah semula jadi kerana menggunakan apa yang dianggap cara semula jadi seperti juga kanak-kanak mula belajar bahasa. ini sesuai dengan konsep yang dijelaskan oleh Kaedah Berlitz, yang mengajukan supaya bahasa matlamat digunakan dengan serta-merta supaya pelajar mula berfikir dalam bahasa yang dipelajarinya itu. Oleh sebab bahasa lain tidak digunakan, maka pengajaran kata dijalankan dengan menggunakan benda-benda atau objek yang konkrit, atau melalui perbandingan dan persamaan sekiranya benda itu tidak konkrit. Rumusan-rumusan tatabahasa diajarkan melalui tunjuk cara dengan contoh-contoh yang sesuai, yang telah diserapkan ke dalam bahan pengajaran.

Pengajaran dimulakan secara lisan, dengan tunjuk cara dan gambar-gambar atau objek yang konkrit tadi, dan pelajar menghafalnya dan mencuba mengikutinya. Oleh itu latih tubi menjadi syarat yang terpenting. Untuk tujuan itu, kelas mestilah kecil saiznya dan pengajaran mestilah intensif, mungkin 5-6 sehari. Walau bagaimanapun, keintensifan pelajaran boleh dikurangkan kalau tidak diperlukan. Mereka yang berpegang teguh pada kaedah ini menolak pengajaran tatabahasa secara formal dalam kaedah ini, kerana bagi mereka kanak-kanak belajar dengan tidak mempelajari tatabahasa. Pendek kata ini dianggap sama dengan kaedah mempelajari bahasa pertama.

Kaedah ini tentu sekali mempunyai kelebihan berbanding dengan kaedah tatabahasa terjemahan tadi. Kaedah ini akan dapat memberikan penguasaan pertuturan yang baik. Dengan itu juga pengajaran tulisan menjadi mudah dipraktiskan. Oleh sebab bahasa yang datang daripada bermacam-macam bahasa itu tidak menjadi halangan. Guru tidak akan terpaksa menterjemahkannya ke dalam banyak bahasa. dalam pada itu ternyata bahawa, kaedah ini mungkin memerlukan masa yang agak panjang untuk pengajaran sesuatu bahasa itu kerana penjelasan tidak boleh dijalankan melalui terjemahan. Oleh sebab kaedah ini menggunakan pertuturan, maka mereka yang fasih sahaja boleh mengajar bahasa itu. Kaedah ini amat khusus dan gurunya harus terlatih secara khusus juga.

Kaedah Bacaan

Mungkin membaca adalah suatu kaedah yang mudah sekali. Kaedah bacaan ini tidak memerlukan penghafalan ataupun penggunaan tatabahasa secara aktif. Kaedah ini hanya menggunakan bacaan. Membaca hanya memerlukan pelajar mengenal kata-kata yang tertulis dan membacanya. Kaedah bacaan ini mementingkan sebutan, dan ini mudah kerana ia memerlukan pengajaran peringkat pengenalan sahaja dan tidak memerlukan penghafalan rumusan-rumusan yang rumit. Membaca kuat-kuat hanya perlu untuk latihan sebutan, dan bukan untuk tujuan lain, dan tidak juga untuk kefahaman. Terjemahan selalunya tidak dijalankan. Pembelajaran melalui kaedah ini selalunya menggunakan kosa kata yang dirancangkan dengan teratur menurut frekuensi penggunaannya. Bahan bacaan dipertingkatkan dengan baik, dan disusun semula di tempat-tempat yang perlu. Kaedah ini selalu dipergunakan di dalam bilik darjah sebagai sebahagian daripada kaedah lain, dan mungkin juga ini berlaku dengan cara tidak disedari.

Kaedah Dengar dan Ajuk

Kaedah dengar dan ajuk ini menggunakan dialog untuk dihafal dan diikuti secara ajukan, iaitu dimulakan dengan sebutan lisan. Dialog yang digunakan dianggap realistik dan latih tubi dijalankan secara berseorangan atau berkumpulan. Latih tubi dialog tersebut dijalankan dengan memberi perhatian terhadap sebutan dan intonasi yang betul. Yang menjadi matlamat kaedah ini ialah pencapaian sebutan penutur kandung bahasa itu. Bahan pita rakaman digunakan dengan sepenuhnya, lebih-lebih lagi kalau gurunya bukan penutur kandung bahasa yang diajarkan. Alat pandang dengar juga digunakan dengan luasnya. Ini adalah kaedah yang dipergunakan oleh Alliance Francaise untuk mengajarkan bahasa Perancis. Latih tubi semuanya dibentuk dalam keadaan yang sebenar, dan juga sentiasa disertai dengan bahan pandang dengar yang lengkap.

Hanya selepas pelajar menguasai sebutan, maka barulah mereka diberikan latihan menulis. Mula-mulanya latihan menulis ini terkawal dan diberikan hanya bahan yang telah dipelajari, dan hanya selepas itu baru latihan menulis itu dijalankan secara bebas.

Latihan menyebut dan membaca itu pula dijalankan dengan menggunakan bahan yang dikawal, disusun, dan peringkatkan. Sistem tatabahasa diperkenalkan secara induktif dan dengan pemeringkatan yang teratur. Kosa kata misalnya, diberi sedikit demi pada awalnya dan selalunya dalam konteks yang bermakna. Kata-kata yang diberikan itu adalah berdasarkan, bukan sahaja menurut frekuensi tetapi juga menurut gunanya. Ada kata-kata yang tidak selalu digunakan tetapi amat berguna bagi kanak-kanak. Misalnya, perkataan gergasi tidak selalu digunakan tetapi berguna kepada kanak-kanak, dan perlu diajarkan awal-awal lagi, walaupun frekuensinya rendah.

Kaedah Askar

Kaedah askar ini timbul dalam masa Perang Dunia Kedua, apabila anggota tentera memerlukan kemahiran dalam beberapa bahasa bagi memudahkan operasi tentera dalam peperangan tersebut. Oleh sebab keperluan itu, maka hasil yang paling baik perlulah dicapai dalam sesingkat masa yang boleh. Oleh sebab kemahiran bahasa itu diperlukan untuk operasi tentera, maka kemahiran lisan menjadi matlamat utama. Pelajar hendaklah mencapai peringkat kemahiran berbahasa yang sama dengan kemahiran penutur kandung bahasa itu, baik dalam sebutan mahupun dalam bidang memahami bahasa itu. Tulisan tidak menjadi matlamat penting. Oleh sebab matlamat dan masa yang diberi itu dipengaruhi oleh keadaan peperangan yang sentiasa mendesak, maka masa belajar diintensifkan sedemikian rupa sehingga mencapai 6-9 jam sehari pada setiap hari.

Pelajar-pelajar yang dipilih untuk belajar bahasa asing melalui kaedah itu hendaklah mempunyai semua kualiti yang akan membolehkan pengajaran dan pembelajaran bahasa dijalankan dengan tidak mengalami kesangsian dari segi sikap, motif, umur, dan kemampuan. Pencapaian dalam pembelajaran bahasa itu mestilah semuanya baik. Kemajuan yang dicapai oleh setiap orang pelajar itu dicatat dan dikawal dengan kepersisan tentera.

Selain itu kaedah yang dipakai adalah sama dengan kaedah terus, iaitu latih tubi dipergunakan dengan seluas-luasnya, melalui guru yang terdiri daripada penutur bahasa kandung. Kaedah ini menggunakan teori behaviorisme atau tanggapan bagaimana kanak-kanak mempelajari bahasa mereka dengan cara semula jadi.

Kaedah Eklektik

Kaedah eklektik ini adalah suatu kaedah yang menggabungkan segala ciri yang baik dalam pengajaran bahasa yang terdapat dalam kaedah-kaedah lain. Jadi, kaedah ini dijalankan dengan mencampurkan unsur-unsur tertentu daripada semua kaedah di atas. Ini dilakukan misalnya, dengan menggunakan kaedah terus untuk mengajar makna kata, dan seterusnya kaedah dengar dan ajuk digunakan pula untuk melatih tubi pola-pola ayat dan seterusnya kaedah bacaan digunakan pula untuk melatih bacaan dan sebutan pelajar.

Proses Pembelajaran Bahasa Kedua

Segala kaedah yang dibicarakan di atas telah dipergunakan untuk mengajar dan belajar bahasa. Saya tidak menafikan tentang kejayaannya dalam pengajaran bahasa kedua di tempat-tempat lain. Tetapi dalam hal ini Malaysia mengalami satu keadaan sosiolinguistik yang agak berlainan. Pengajaran bahasa di sekolah-sekolah atau di sebarang institusi lain, selalunya didapati tidak mendatangkan hasil yang maksimum, walaupun gurunya cukup terlatih, bahannya cukup terancang, motif pelajar cukup tinggi untuk lulus ujian atau untuk kepentingan pekerjaan, dan dasar negara tidak kurang memberi keutamaan terhadap bahasa Malaysia. Dalam hal ini pengajaran bahasa Malaysia masih tidak berkesan, atau kesan yang diperlukan itu lambat dapat dihasilkan.

Tentu sekali kita bertanya mengapa, dan apakah yang kurang atau cacatnya sehinggakan pengajaran bahasa Malaysia itu masih kurang berkesan? Bagi saya, apa sahaja kaedah yang digunakan mungkin tidak menimbulkan persoalan yang begitu rumit, asalkan kaedah itu sesuai dengan keadaan dan keperluan. Tujuan haus diutamakan. Kalau masa panjang maka kaedah yang perlahan seperti terjemahan, boleh digunakan.

Kalau masa singkat harus kaedah terus lebih berkesan, dengan tidak mengira sangat apakah lata belakang psikologi dalam membentuk kaedah tersebut.

Walaupun demikian, ingin juga saya membuat kepastian, bahawa, memang ada perbezaan yang besar antara mempelajari bahasa pertama dengan mempelajari bahasa kedau. Dalam bab ini, tumpuan saya adalah berat kepada pembelajaran bahasa Malaysia sebagai bahasa kedua, dan tidak sebagai bahasa pertama kepada kanak-kanak Melayu. Ini mungkin tidak menimbulkan masalah besar.

Dengan kaedah, bahan, guru, dan masa yang diberikan maka adalah aneh mengapa orang bukan Melayu tidak cepat, dan tidak fasih menguasai bahasa Malaysia. Walau bagaimanapun, mungkin soal guru itu masih menjadi masalah, kerana di mana-mana terdapat kekurangan guru bahasa Malaysia. Juga ada guru bukan Melayu yang masih belum fasih atau baik penguasaan bahasanya ditugaskan mengajarkan bahasa Malaysia.

Mungkin masalah yang paling besar ialah, bahasa Malaysia yang diajarkan itu adalah formal, dan tidak ada kegunaan atau persamaannya dengan bahasa yang digunakan sehari-hari, sehingga para pelajar terpaksa mempelajari suatu dialek yang berlainan yang tidak boleh mereka praktiskan di luar bilik darjah. Masalah itu dihadapi baik oleh pelajar Melayu atau bukan Melayu. Dengan kata lain, bahasa itu diajarkan dalam suatu ruang yang vakum, dan tidak ada lingkungan budayanya. Saya perhatikan hal ini dan saya yakin pengajaran dan pembelajaran mana-mana bahasa itu, hendaklah dilakukan dalam konteks budaya dan sosial yang hidup. Dengan itu dapatlah saya katakan yang pembelajaran bahasa Malaysia di Malaysia oleh kaum bukan Melayu itu, hendaklah dengan menggunakan dialek yang hidup supaya mereka dapat menggunakannya di luar bilik darjah dengan serta-merta.

Dalam proses menjadi dwibahasa ini, yang lebih diutamakan ialah proses pembelajaran bahasa kedau oleh mereka yang sudah dewasa, atau oleh mereka yang melebihi umur lima tahun, apabila pembelajaran suatu bahasa asing itu tidak lagi berlaku secara semual jadi. Pembelajaran itu hendaklah pula berlaku dalam satu lingkungan masyarakat bahasa yang dituturkan itu, dan dalam kegiatan budaya yang tertentu. Proses menjadi dwibahasa ini adalah proses menghilangkan keasingan dalam sesuatu budaya tempat seseorang itu tinggal. Dalam hal ini, bukan hanya perkara tentang bahasa yang terlibat tetapi juga masalah psikologi. Sebenarnya ini adalah suatu masalah persepaduan yang amat kompleks, iaitu proses seseorang mencuba menyerap tabiat budaya bahasa yang baharu itu, tetapi tabiat yang sedia ada padanya sentiasa mempengaruhi yang lain, sebab kedua-duanya adalah berlainan. Si pelajar bahasa itu perlu menguasai tabiat yang baharu itu dan mempergunakan tabiat yang baharu dan yang lama itu mengikut masa dan konteksnya yang sesuai.

Pada pendapat Chomsky, bahasa itu adalah sesuatu yang mempunyai daya kreatif seperti yang saya jelaskan di atas tadi. Ini adalah sesuatu yang amat penting dalam bahasa. walau bagaimanapun, penafian Chomsky terhadap tabiat tertentu dalam sesuatu bahasa itu mungkin tidak boleh diterima. Ini dapat kita perhatikan daripada satu contoh dalam mempelajari bahasa Inggeris. Seorang Melayu harus dipengaruhi oleh tabiat sebutannya dalam bahasa Malaysia. Misalnya, dalam menyebut bunyi “t” sudah tentu orang Melayu itu tidak akan menyebutnya dengan letupan yang sempurna, sebagaimana dalam bahasa Inggeris, dan ini menyebabkan sebutan orang itu akan menjadi pelat kemelayuan. Umpamanya dia akan menyebut perkataan hat sebagai [hat] sahaja dan tidak [hat”] sebagaimana sebutan orang Inggeris asli. Sebagai satu contoh lain, proses pembelajaran bahasa itu adalah satu proses menguasai tabiat baharu, yang sentiasa dipengaruhi oleh tabiat lama, dapat dilihat apabila seorang penutur bahasa Malaysia terus mempergunakan partikel penegasan lah, walaupun dia bertutur dalam bahasa Inggeris. Misalnya, dalam ungkapan I want to go home lah, jelas menampakkan kepada kita bahawa unsur tabiat dalam struktur ayat bahasa Malaysia, iaitu, lah telah dipindahkan ke dalam bahasa Inggeris.

Chomsky membuat suatu ketentuan yang penting dalam membincangkan perkembangan bahasa di kalangan kanak-kanak. Agaknya pendapat Chomsky memang dapat diterima dalam hal ini, iaitu dia memberi tempat kepada kebolehan terpendam yang ada pada kanak-kanak dalam mempelajari bahasa. di menyatakan bahawa proses perkembangan bahasa di kalangan kanak-kanak dalam lingkungan umur 1 hingga 5 tahun itu, tidaklah akan dapat dijelaskan dengan sempurnanya dengan hanya mengkaji syarat-syarat pembentukan dengan sempurna dengan hanya mengkaji syarat-syarat pembentukan tabiat. Orang dewasa semasa mempelajari bahasa, adalah mempelajari sesuatu pola yang sudah baku. Oleh yang demikian bagaimanakah agaknya orang dewasa itu mempelajari pola-pola bahasa kedau yang dipelajarinya itu?

Di sini tidak harus kita membincangkan bagaimana bahasa kandung dikuasai dan bagaimana kanak-kanak mempelajari bahasa kandungnya. Kita tidaklah pula bertujuan mengeluarkan teori pembelajaran bahasa. apa yang kita tahu ialah, bahawa, sebagai seorang dewasa, semasa mempelajari bahasa kedua, kita terpaksalah berlatih. Kita terpaksa berlatih dengan begitu teliti dan rapi, lebih-lebih lagi apabila tabiat bahasa kandung kita berbeza dan mempengaruhi tabiat bahasa yang sedang dipelajari. Oleh itu, mempelajari bahasa ini mungkin dapat dikatakan sebagai suatu proses mempelajari tabiat baharu samalah seperti seseorang itu mempelajari memandu kereta di sebelah kanan jalan dan kemudian terpaksa memandu di sebelah kiri jalan. Dalam hal ini terdapat kecenderungan untuk mempergunakan tabiat-tabiat yang lama. Oleh itu, tabiat yang sama perlulah dipergunakan di tempat yang sesuai dan pemandu itu harus berhati-hati juga supaya mempergunakan tabiat yang baharu itu di tempat-tempat yang berkenaan sahaja. Dalam mempelajari sesuatu bahasa yang baharu itu, kita tidak harus menimbulkan masalah yang rumit, dan oleh itu dalam proses mempelajari bahasa itu, kita patut menumpukan perhatian kepada proses bahasa itu, kita patut menumpukan perhatian kepada proses pembelajaran perbezaan antara tabiat kedua-dua bahasa itu.

Oleh hal yang demikian dapatlah kita perhatikan bahawa perkara yang penting sekali dalam hal pembelajaran bahasa itu ialah latihan. Walau bagaimanapun, haruslah diketahui bahawa latihan hanyalah merupakan satu bahagian sahaja daripada seluruh proses menjadi dwibahasa. Latihan yang demikian mencakupi latihan mendengar, pendedahan kepada penggunaan bahasa itu, berfikir, bertutur, sama ada dengan menggunakan bahan yang dibentuk secara tersusun atau rambang. Tidaklah dapat dipercayai bahawa sebarang bahasa dapat dipelajari tanpa latihan. Ini tidaklah pula bermakna bahawa latihan itu sahaja yang penting, kerana sebenarnya ada unsur-unsur lain yang terlibat. Latihan akan membentuk tabiat. Walau bagaimanapun, tabiat juga dapat terbentuk tanpa latihan, lebih-lebih lagi dalam kes pembelajaran bahasa kandung. Pelajar mungkin dapat dibimbing menggunakan latihan dengan lebih berkesan.

Kita cuba bincangkan mengapa agaknya orang menjadi dwibahasa? Mari kita lihat beberapa profil penutur bahasa di Pulau Pinang. Seorang penjaja mi bangsa India di Pulau Pinang fasih menggunakan bahasa kandungnya, Tamil, bijak berbahasa Melayu dan Hokkien, dan juga boleh berbahasa Inggeris sedikit-sedikit. Seorang penjaja ikan bangsa Cina di Pasar Chowrasta, Georgetown, Pulau Pinang, boleh berbahasa Hokkien, Tamil, Melayu, dan Inggeris. Ini sebenarnya adalah satu ciri umum bagi ramai penduduk Georgetown, Pulau Pinang. Seorang pegawai tinggi bangsa Melayu yang dipelajarinya sebagai bahasa kandung dan secara formal di sekolah. Kalau kita ke tempat lain, di Balik Pulau misalnya, terdapat penduduk Melayu yang hanya tahu menggunakan bahasanya sendiri sahaja.

Apakah sebenarnya setengah-setengah manusia perlu menjadi dwibahasa dan setengah-setengahnya tidak. Keadaan begini timbul kerana mereka berbilang bangsa dan tidak ada satu bahasa pun yang dominan, jadi, setiap kaum mengekalkan bahasanya. Di samping itu, mereka juga perlu menguasai semua bahasa untuk berhubung antara satu sama lain. Ternyata di sini bahawa, di bandar Georgetown, Pulau Pinang, keadaan adalah kosmopolitan. Sesiapa sahaja akan dapat mempelajari dua tinga bahasa dengan mudah, dan di tempat lain mereka tidak diperlukan mengetahui bahasa lain mengetahui bahasa lain daripada bahasa kandungnya untuk berhubungan. Hal ini semuanya, walaupun betul, tidaklah menjelaskan kepada kita mengapa manusia mesti mempelajari sebuah bahasa asing atau bahasa lain kerana ingin berhubung dengan seorang lain. Seseorang yang tiba dalam sesebuah masyarakat baharu itu adalah dianggap asing. Selalunya keasingan ini akan beransur hilang apabila dia telah menjadi semakin fasih dalam bahasa masyarakat yang didatanginya itu.

Perhubungan dengan masyarakat itulah yang akan dapat menghilangkan segala sikap keasingannya tersebut. Orang luar itu tadi sentiasa dikelilingi oleh lingkungan yang asing. Oleh itu dia akan mencuba mengatasi masalah ini dengan menghilangkan unsur keasingan ini, dan menjadi salah seorang ahli masyarakat baharu itu pula. Dalam hal ini, memang boleh didapati orang yang tidak pernah dan tidak perlu mencuba untuk menghilangkan unsur keasingan ini. Ada kaum asing di Malaysia, yang boleh hidup terasing. Mereka hidup dalam masyarakat kaum sendiri, bersekolah, bekerja, dan bergaul dengan tidak sedikit pun memerlukan penggunaan bahasa Malaysia. Pernah saya temui seorang tua India di Georgetown, Pulau Pinang, yang bekerja sebagai nelayan, ke laut berseorangan pada tiap-tiap hari, dan menjual hasil tangkapannya kepada seorang India lain. Walaupun umurnya sudah 53 tahun, dia tidak tahu menggunakan bahasa Malaysia sepatah pun.

Walau bagaimanapun, saya rasa, tentu diakui ramai, bahawa, keperluan mempelajari sesuatu bahasa itu dan juga peringkat kecapaiannya adalah bergantung pada dorongannya sendiri. Jelas sekali dorongan ini ada di kalangan masyarakat Malaysia. Kanak-kanak sekolah amat terdorong mempelajari bahasa Malaysia sebagai keperluan kelulusan untuk melanjutkan pelajaran dan menjalankan pekerjaan, ramai pula yang terdorong mempelajari bahasa Inggeris untuk tujuan yang sama. Bagi ahli politik, kefasihan dalam bahasa Inggeris memberi kemungkinan yang lebih luas dalam tindak-tanduknya. Ada pula golongan yang mempelajari bahasa untuk mengeksploit, misalnya, penjajah Inggeris yang datang ke Semenanjung Tanah Melayu dahulu, telah mempelajari bahasa Melayu semata-mata untuk tujuan mentadbir jajahan ini. Tetapi dalam mempelajari sesuatu bahasa, amat mustahak dikekalkan dorongan pembelajaran itu, dan hanya mereka yang betul-betul berminat dan berkesanggupan serta yakin bahawa bahasa itu akan membantunya, akan berjaya dalam usahanya tersebut. Bahasa kedua itu amat perlu untuk berhubungan, walaupun hubungan secara terhad boleh berlaku tanpa bahasa. Tetapi, hubungan tanpa bahasa itu pun bergantung pada budaya bahasa tertentu. Hanya mereka yang ingin terus tinggal sebagai orang asing dalam sesebuah masyarakat itu, akan terus tidak mempedulikan keperluan bahasa kedua tersebut. Walaupun kemahiran dalam bahasa kedua itu berguna tetapi ternyata bahawa hubungan akan terhad, dan pendatang itu tidak akan dapat menjadi sebahagian daripada masyarakat itu dengan sepenuhnya. Suatu contoh lain ialah masyarakat Gurkha, yang dahulunya bekerja sebagai askar upahan Inggeris, telah datang kembali ke Malaysia berjaja bermacam-macam jenis manik dan batu perhiasan di kaki lima kedai di bandar-bandar besar. Mereka tidak pernah cuba bercampur, dan tidak pernah menggunakan bahasa tempatan untuk berhubungan dengan masyarakat tempatan, selain hubungan berjual beli yang terhad itu. Akibatnya mereka terus terasing.

Jadi, saya pandang proses pembelajaran itu harus berlaku dalam konteks masyarakat yang aktif dan memberangsangkan.

Rancangan Pengajaran dan Pembelajaran yang Unggul dan yang Praktis

Setelah meninjau dari segi sosiolinguistik tentang keadaan tertentu, lebih-lebih lagi tentang pengajaran dan pembelajaran bahasa Malaysia, maka ternyatalah bahawa apa yang berlaku sekarang adalah sesuatu yang masih boleh dibaiki untuk mendapatkan hasil yang maksimum, memang seorang guru bahasa Malaysia akan sentiasa tertanya-tanya, apakah agaknya suatu kaedah yang unggul untuk digunakan bagi menjamin hasil yang 100% berjaya? Ada banyak faktor yang terlibat dalam pembelajaran bahasa, dan untuk mencapai kepuasan bagi semua faktor itu adalah sesuatu yang mustahil. Walau bagaimanapun, sekadar untuk berbincang, kita boleh cuba menggambarkan suatu rancangan pengajaran dan pembelajaran bahasa yang unggul.

Dalam mempelajari bahasa sebagai bahasa kedua, sebuah rancangan pengajaran dan pembelajaran yang unggul agaknya harus mengandungi sifat-sifat dan faktor-faktor yang berikut: rancangan itu harus memberi pertimbangan yang berat dan tepat sepenuhnya kepada segala implikasi dan faktor tentang pembelajaran bahasa. Apa yang dimaksudkan di sini ialah bahasa itu sendiri harus dipertimbangkan, proses pembelajaran dan segala faktor lain yang terlibat juga mesti diambil kira:

1. Pengetahuan yang terperinci dan menyeluruh tentang bahasa yang diajarkan itu mestilah sudah wujud, iaitu tentang sifat-sifatnya, tatabahasanya, dan segala macam ciri bahasa itu perlulah diberi pertimbangan. Perbezaan sifat-sifat bahasa itu dengan bahasa kandung si pelajar hendaklah dijelaskan selengkap-lengkapnya.

2. Rancangan itu juga harus disampaikan melalui kaedah yang berkesan.

3. Guru yang mengajarkannya mestilah berkebolehan dan terlatih.

4. Pengajaran dan pembelajaran perlu berlaku dalam konteks budaya bahasa yang diajarkan, dan bukan dalam keadaan budaya kosong.

5. Rancangan itu juga hendaklah disesuaikan dengan segala macam kemungkinan perkembangan, mengikut latar belakang pelajar, iaitu rancangan tersebut hendaklah hidup dan anjal untuk diterima oleh pelajar-pelajar yang mempunyai latar belakang dan perbezaan perseorangan yang pelbagai itu.

6. Pengajaran dan pembelajaran itu berlaku dalam masyarakat yang penuh simpati dan menggalakkan, pendek kata tidak ada halangan dari segi sosial untuk belajar, pendedahan kepada bahasa itu mudah berlaku.

7. Rancangan itu juga dapat mengatasi segala macam masalah psikologi, dan sebarang tekanan serta kebosanan tidak harus timbul dalam proses pengajaran dan pembelajaran itu. Kesukaran tidak timbul. Malahan rancangan itu harus pula dapat memberi dorongan atau rangsangan yang penuh untuk membolehkan pelajar menyerap pengajaran itu mengikut kadar kemampuan sendiri.

Kalau dilihat betul-betul ciri-ciri yang diperakukan ini untuk menerbitkan sebuah rancangan yang unggul bagi pengajaran dan pembelajaran bahasa kedua itu, maka sekali imbas kita sudah tahu rancangan sedemikian tidak pernah wujud, dan mungkin mustahil diwujudkan. Apa yang praktis ialah kita perlulah mengetahui ciri-ciri rancangan yang unggul ini, dan kita bandingkan pula dengan apa yang boleh ada bagi kepentingan guru dan pelajar, untuk tujuan menilai dan menganalisis bahan tersebut dengan tujuan menghasilkan bahan yang terbaik.

Kadang-kadang dengan perancangan yang serba lengkap pelajar masih lagi gagal mencapai kemahiran yang diharapkan itu. Selalunya pelajar akan menyalahkan perancangan pelajaran sebagai perkara yang menghalang mereka daripada mencapai objektif itu. Sebenarnya, perancangan untuk pengajaran dan pembelajaran, walau bagaimana baik sekalipun, hanya menjadi panduan untuk mempelajari bahasa itu sahaja dan bukannya sesuatu yang menjamin akan tumbuhnya tabiat baharu dalam bahasa baharu itu. Kebanyakan rancangan pengajaran dan pembelajaran bahasa itu berhasil kerana pelajarnya lebih daripada apa yang diajarkan secara formal. Kalau pelajar itu tidak berusaha lebih daripada apa yang diajarkan secara formal, atau kembali ke rumah dan menyambung pembelajaran sebagaimana yang dipraktiskan oleh kebanyakan ibu bapa, maka pembelajaran bahasa itu mungkin tidak berhasil. Begitulah keadaannya dengan bahasa Malaysia. Biasanya kegagalan mencapai objektif pembelajaran bahasa itu, disebabkan ketiadaan aptitud atau usaha yang gigih.

Kalaulah rancangan pengajaran dan pembelajaran bahasa itu tidak unggul, maka apakah rancangan yang dipraktiskan itu cukup baik? Saya percaya semua rancangan itu boleh dibaiki, dan kadang-kadang seseorang pelajar dapat membaiki rancangan yang sedang dipelajarinya. Contohnya dapat diambil daripada kasus yang berikut. Seorang pelajar mempelajari bahasa Perancis di Paris. Kaedah yang digunakan adalah kaedah tradisi. Guru sahaja yang bercakap sepanjang hari. Tetapi, pelajar itu dapat mencapai kemahiran yang baik dengan menggunakan masa dia bertembung dengan penutur-penutur lain di luar darjah untuk mempelajari, atau memperkukuh pembelajarannya. Memanglah sukar kerana percakapan dan perbualan di luar darjah itu tidak teratur atau tidak disusun untuk kepentingan pelajar. Demikian juga halnya dengan mereka yang bukan penutur bahasa Malaysia di Malaysia, mungkin tidak mendapat pengajaran yang maksimum di dalam kelas. Tetapi di luar kelas, keadaan itu tidak pula mengizinkan dia mempelajari bahasa Malaysia dengan teratur. Malah lebih buruk daripada itu, kerana ada ketiak dia menganggap dapat mencontohi penggunaan bahasa Malaysia yang baik, tetapi selalu pula dia menghadapi halangan. Tidak ramai orang Melayu yang menuturkan bahasa Malaysia formal untuk dicontohi oleh mereka. Kalau adapun orang yang menggunakan bahasa Malaysia, mungkin pula mereka bahasa Malaysia pasar, atau dialek bahasa Malaysia tempatan. Wayang gambar dapat memberi contoh yang agak baik, tetapi mungkin amat terhad. Televisyen pula agak sama keadaannya. Bahasa bertulis pula kadang-kadang mengandungi kesalahan yang mengelirukan. Ini merupakan penghalang kepada penguasaan bahasa yang baik untuk pelajar.

Perkara yang mustahil bagi kita ialah menggambarkan, bagaimana pembelajaran dan pengajaran itu dapat didasarkan kepada ciri-ciri bahasa Malaysia yang dideskripsi dengan selengkapnya untuk tujuan ini, apabila kita sendiri mengetahui deskripsi tatabahasa bahasa Malaysia yang lengkap masih belum ada. Kita tahu juga, bahawa, pengajaran bahasa patut didasarkan pada persamaan dan perbezaan antara bahasa yang diajarkan dengan bahasa kandung pelajar. Dalam hal ini bahasa Malaysia masih belum diperbandingkan dengan lengkapnya dengan bahasa lain seprti Hokkien, Kanton, Khek, Tamil, Bengali, Malayalam, Telugu, dan sebagainya. Usaha membandingkan bahasa Malaysia dengan bahasa Inggeris, tidaklah begitu berguna kerana bahasa Malaysia itu bukan untuk diajarkan kepada penutur Inggeris.

Hasrat untuk mempergunakan guru yang cukup mahir dalam bahasa Malaysia dan terlatih untuk mengajar bahasa Malaysia juga mungkin merupakan suatu masalah. Sekolah-sekolah kerap bersungut tidak mempunyai guru bahasa Malaysia yang cukup. Ini bukan soal mereka terlatih atau tidak, tetapi ialah soal guru tidak ada. Keadaan di sekolah rendah juga demikian, tetapi ada satu masalah lain yang khusus saya perhatikan di sekolah-sekolah rendah. Mungkin hal ini akan difikirkan dengan serius oleh pegawai-pegawai utama bagi mata pelajaran bahasa Malaysia ini. Oleh sebab usaha kerajaan yang berjalan dengan amat pesat untuk melaksanakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar, maka guru-gurunya telah diberi latihan singkat. Ada yang dapat mempelajarinya dengan pantas dan ada yang tidak. Keadaan ini jelas menimbulkan masalah.

Memang menjadi harapan agar bahasa Malaysia itu diajarkan dalam konteks sosial yang tepat. Implikasinya ialah masalah memilih dialek yang harus diajarkan. Kalau diajarkan dialek baku yang formal, dalam bentuk tulisan, maka pelajar tidak dapat menggunakannya dalam konteks lain. Tetapi, kalau kita semua mengerti apa yang dianggap sebagai baku, harus ini tidak menjadi masalah besar. Dialek yang diajarkan itu biarlah dialek yang hidup supaya dapat digunakan dengan serta-merta dalam masyarakat di luar sekolahnya, dan pembelajaran tidak akan menjadi latihan dalam bilik darjah sahaja. Isu ini amatlah sukar, saya sendiri tidak yakin dapat membuat keputusan muktamad, tetapi mungkin saya lebih cenderung kepada mengajarkan suatu dialek yang hidup dan realistik. Konsep baku itu sebenarnya alah satu norma, dan norma ini adalah satu konsep abstrak yang mungkin berbeza-beza daripada seorang kepada seorang yang lain.

Diharapkan juga, pembelajaran itu dapat berjalan dalam suasana yang mementingkan individu, latar belakangnya, serta menurut kesanggupannya. Tetapi dalam sesebuah darjah di sekolah-sekolah di Malaysia, yang terdiri daripada 40 orang pelajar, maka tumpuan kepada individu itu amat sukar dilakukan. Masalah ini bertambah berat lagi kalau difikirkan pula yang para pelajar itu mungkin terdiri daripada tiga, empat, atau lima rupa kaum yang berlainan di samping keperluan yang berbeza antara pelajar bahasa kandung atau bahasa pertama dengan pelajar bahasa kedua, dalam mempelajari bahasa Malaysia. Kalau pelajar bahasa Malaysia yang sepatutnya diajarkan bahasa Malaysia sebagai bahasa pertama, diajarkan bahasa Malaysia sebagai bahasa pertama, diajarkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kedua, harus dia akan bosan kerana dia tidak memerlukan rumusan asas tentang bahasa itu, sebaliknya dia memerlukan latihan yang boleh memperkaya dan melicinkan penggunaan bahasanya, dan tidak perlu mempelajari bahasa itu dari mual. Yang lebih merumitkan lagi ialah cara menguji mereka. Ujian bahasa pertama berbeza daripada ujian bahasa kedua. Kanak-kanak Melayu harus gagal dalam ujian bahasa Malaysia kalau ujian itu dilakukan sebagi bahasa kedua dan bukan bahasa pertama.

Pengajaran bahasa juga harus berlaku dalam suasana yang memberi dorongan kepada pelajar. Adakah ini berlaku? Mungkin kebanyakan pelajar betul-betul berminat menguasai bahasa Malaysia, tetapi simpati ibu bapa mungkin lebih berat kepada bahasa Inggeris. Mungkin juga ada bapa yang mengetahui anaknya itu lemah dalam bahasa Malaysia, dan akan mencari seorang munsyi untuk anaknya. Adakah ini jawapannya? Adakah anak itu diberi dorongan yang betul-betul menggalakkan dalam mempelajari bahasa Malaysia? Pelajaran di rumah mungkin membosankan dan menambahkan kebuntuan kanak-kanak itu sahaja. Di sekolah pula mungkin dapat diberi sokongan terhadap pembelajaran bahasa ini dengan mengadakan kelab bahasa Malaysia, dan semua pelajar dimestikan bertutur dalam bahasa Malaysia semasa di sekolah pula, samalah seperti di sekolah Inggeris dahulu yang mendenda muridnya kalau tidak bertutur bahasa Inggeris.

Akhir sekali haruslah pengajaran itu dapat disampaikan dalam suasana yang tidak mengandungi tekanan dan sebarang masalah psikologi. Semua anggota masyarakat yang ada dalam kelompok pelajar tersebut hendaklah mahir dalam bahasa Malaysia dan sentiasa menuturkannya. Mereka hendaklah sentiasa mendorong dan bertutur dalam bahasa Inggeris. Pelajar itu juga tidak menanggung sebarang beban sosial atau persendirian yang boleh mengganggu proses pembelajarannya.

Dalam membincangkan suasana pembelajaran di atas, kita Cuma melihat suasana yang terbaik, dan ini adalah sesuatu yang agak mustahil dapat diwujudkan.

Kebangkalian Kejayaan

Selama ini saya telah berbincang tentang keadaan yang membentuk kaedah pengajaran dan faktor-faktor penting yang mempengaruhi pembelajaran bahasa Malaysia. Sekarang, saya cuba membutirkan kebangkalian kejayaan dalam mempelajari bahasa itu. Memang kita tidak dapat membuat ramalan yang tepat sama ada pembelajaran bahasa itu akan berjaya atau tidak, tetapi ada beberapa perkara yang akan dapat kita senaraikan untuk mengukur atau menentukan berjaya atau tidaknya pembelajaran sesuatu bahasa itu. Kebangkalian ini saya pungut dan sesuaikan daripada buku yang bertajuk Attitudes and Motivation in Second Language Learning, yang dikarang oleh R.C. Gardner dan W.E. Lambert (1972):

  1. Jika pelajar yang mempunyai aptitud yang tinggi, peluang yang baik, motif yang kuat, serta belajar dalam lingkungan masyarakat yang mendorong, maka usahanya dalam pembelajaran bahasa itu tentu sekali akan berjaya.
  2. Seorang yang bermotif tinggi dan berpeluang baik, tetapi tidak mempunyai aptitud yang tinggi terhadap pembelajaran bahasa, akan juga mencapai kejayaan yang baik, lebih-lebih lagi kalau masyarakat sekelilingnya itu mendorongnya.
  3. Seorang yang bermotif tinggi serta mempunyai aptitud yang baik, tetapi kurang berpeluang, maka mungkin juga dia akan mencapai kejayaan yang agak baik, kalaulah ada individu di sekelilingnya yang memberi sokongan dan dorongan kepada pembelajarannya itu.
  4. Kalau seorang pelajar itu berpeluang baik untuk belajar bahasa dan mempunyai aptitud yang tinggi, maka kejayaannya bergantung pada motifnya. Motifnya itu pula bergantung pada lingkungan budaya di sekelilingnya. Keadaan ini mungkin banyak berlaku kepada kanak-kanak sekolah di Malaysia dalam mempelajari bahasa Malaysia. Masyarakat dan budaya sekelilingnya selalu tidak memberi sokongan terhadap pembelajarannya, sehingga menyebabkan penguasaan bahasa Malaysia mereka itu tidak baik. Hanya mereka yang dapat mengatasi masalah ini dalam setengah-setengah suasana yang berjaya.
  5. Kalau seorang pelajar itu bermotif tetapi tidak mempunyai aptitud dan peluang untuk belajar, maka kegagalan pasti berlaku. Kalaulah budaya dan masyarakat sekelilingnya membantu, maka dia akan mempunyai sedikit harapan untuk mendapat kejayaan.
  6. Kalau seorang pelajar itu mendapat peluang yang baik untuk belajar bahasa, tetapi tidak mempunyai aptitud dan motif, maka dia akan gagal. Peluang yang diberi kepadanya itu akan menjadi sia-sia sahaja. Kebudayaan yang menyokong pembelajaran itu juga akan membosankannya.
  7. Pelajar yang beraptitud tinggi, tetapi tidak bermotif dan tidak diberi peluang dalam pembelajarannya juga akan menghadapi kegagalan. Walau bagaimanapun, lingkungan yang menyokong mungkin membantunya menentukan motifnya, kalau tidak hasilnya adalah kegagalan.

Kesimpulan

Dalam perbincangan di atas jelas bahawa hubungan antara psikologi dan pembelajaran serta pengajaran adalah amat rapat. Hasil penyelidikan psikologi memberi beberapa keterangan tentang proses pembelajaran yang kemudiannya menentukan kaedah pengajaran. Di samping itu pula terdapat beberapa faktor penting dalam menentukan kejayaan pengajaran dan pembelajaran tersebut iaitu aptitud, dorongan, dan sokongannya.

Bibliogafi

1 comment: