Seminar on the Teaching of English in Upper Secobdary Shools and Tertiary Institutions in Malaysia, MACLALS, UM, 23-25 September 1980
LINGUISTIK UNTUK GURU BAHASA
4.1 Pengenalan
Ada tiga soalan yang boleh dibahagikan daripada tajuk-tajuk ini: (1) Betulkah guru bahasa memerlukan pengetahuan linguistik? (2) Berapa banyakkah pengetahuan linguistik yang diperlukan oleh seorang guru bahasa?, dan (3) Apakah jenis pengetahuan linguistik yang perlu diketahuinya? Kita akan cuba menjawab ketiga-tiga soalan ini dan kemudian memberi beberapa contoh penggunaan pengetahuan linguistik ini dalam pengajaran bahasa, supaya kita dapat bersama melihat jenis linguistik yang diperlukan oleh seseorang guru bahasa Malaysia.
4.2 Betulkah Guru Bahasa Malaysia Memerlukan Pengetahuan Linguistik?
Perkara ini memang telah lama dan selalu dipersoalkan oleh guru dan orang ramai. Semenjak linguistik menjadi satu disiplin yang popular, ahli linguistik juga kerap bertanyakan hal yang sama. Hal ini berlaku bukan kerana mereka tidak tahu kegunaan linguistik. Memang betul ramai antara ahli linguistik yang jarang memikirkan tentang kegunaan linguistik. Mereka hanya kerap berkecimpung dengan teori dan analisis linguistik sahaja. Sebenarnya memang ramai ahli linguistik yang telah mencuba menggunakan linguistik dalam bidang lain. Ramai ahli linguistik yang telah lama berkecimpung dalam bidang pengajaran bahasa. ada pula yang berusaha dalam bidang terjemahan, sosiolinguistik, psikolinguistik, dan sebagainya. Di samping itu banyak lagi kegunaan linguistik. Mungkin juga bukan ahli linguistik yang harus menentukan bahawa ilmu linguistik itu berguna dalam pendidikan, tetapi, terpulanglah kepada para pendidik untuk menentukan kegunaan linguistik dalam bidang pengajaran. Walau bagaimanapun, linguistik ialah satu ilmu baharu yang berkembang pesat, walaupun sebenarnya ilmu ini telah mula dikenali sejak zaman kesarjanaan Yunani dahulu lagi. Tetapi ilmu ini tidak begitu mudah difahami. Tambahan pula, kebanyakan buku linguistik sukar untuk dibaca dan difahami. Perkembangan linguistik amat pesat berlaku dan ini menambahkan kesukaran untuk memahaminya. Hal ini dapat dibuktikan dengan melihat bilangan jabatan pengajian linguistik yang telah dibuka di universiti-universiti, dan banyak pula kajian dijalankan serta penerbitan dihasilkan tentang linguistik. Kesemua perkembangan ini telah menambahkan kebingungan orang ramai. Itulah sebabnya linguistik dilihat dengan penuh kesangsian dan sukar diterima, dan malah kadang-kadang ada pihak yang terus menolaknya. Sebenarnya, kalau linguistik ini ditolak, bukanlah kerana kegunaannya kurang, tetapi kerana linguistik itu tidak dimengertikan dan tidak digunakan dengan baik.
4.2.1 Guna Linguistik dalam Pengajaran Bahasa
Kegunaan linguistik itu memang menjadi soalan yang selalu dikemukakan oleh ramai orang. Apakah gunanya linguistik terhadap pengajaran bahasa moden? Jadi bersidanglah seramai lebih kurang 200 orang ahli linguistik di Stockholm pada tahun 1963. Persidangan ini telah melahirkan Persatuan Linguistik Gunaan Antarabangsa. Persidangannya yang pertama diadakan di Nancy dan Persatuan itu menumpukan seluruh perhatian terhadap pengajaran bahasa moden. Banyak daripada butir dan isu yang disebut dalam makalah ini dikutip daripada laporan persidangan tersebut, iaitu Linguistic Theories and Their Applications, AIDELA (1967).
Seseorang penulis buku linguistik akan tentu dapat menyenaraikan banyak kegunaan ilmu linguistik. Kita boleh melihat kegunaan linguistik itu dalam bidang neurologi, matematik, sains maklumat, logik, falsafah, epistemologi, sejarah sosial, kesusasteraan, filologi, antropologi, sosiologi, psikologi, dan pedagogi. Baru-baru ini linguistik juga digunakan dalam terjemahan melalui komputer. Penggunaan linguistik dalam pengajaran selalunya dikenali sebagai linguistik gunaan dan ini termasuklah kajian fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, dan kadang-kadang termasuk juga tajuk-tajuk lain seperti psikolinguistik dan sosiolinguistik yang masing-masing memberi tumpuan kepada teori pemerolehan dan keadaan bahasa. Tajuk-tajuk lain juga mungkin termasuk. Sudah banyak kajian dan pendebatan ditumpukan kepada implikasi pengajaran yang terkandung dalam ilmu linguistik. Ini terkandung, misalnya, dalam buku S.P. Corder (19730, D.A. Wilkins (1972), P.Strevens (1977), K.C. Diller (1971), dan banyak lagi hasil karangan sarjana lain. Dengan itu, tidaklah bijak kalau kita hanya memandang sepi terhadap segala perkembangan ini dan masih meragui kegunaan linguistik dalam pengajaran bahasa.
4.2.2 Linguistik Bermula daripada Tatabahasa Tradisional
Memang selalu kita mendengar guru mengatakan mereka tidak memerlukan linguistik untuk mengajarkan bahasa Malaysia. Hal ini boleh jadi benar. Ada ramai guru bahasa Malaysia, lebih-lebih lagi daripada generasi yang lalu, tidak pun mendengar istilah linguistik, tetapi telah dapat mengajarkan bahasa Malaysia dengan baik. Hari ini guru bahasa diberi pengetahuan linguistik, dan dilengkapi pula dengan segala macam alat dan kemudahan, tetapi masih menghasilkan pelajar yang kadang-kadang tidak pun boleh bertutur dalam bahasa Malaysia dengan baik dan sempurna. Ini menimbulkan persoalan. Kita ketepikan semua soalan ini dan ambil satu sahaja. Betulkah linguistik itu diperlukan oleh guru bahasa Malaysia? Ada satu perkara yang jelas. Kita tidak harus berlagak seperti Pak Pandir dan menganggap linguistik baru sahaja ditemui. Linguistik ini satu ilmu yang sudah lama dipelajari. R.H. Robins (1967 hlm. 9-40) telah menunjukkan beberapa kejayaan sarjana Yunani. Memanglah sarjana-sarjana Yunani ini memikirkan hal bahasa dan masalah-masalah yang timbul daripada penyelidikan bahasa. hal ini memulakan apa yang kita kenali sebagai ilmu linguistik dalam pengertian yang luas. Kajian ini berterusan hingga ke hari ini. Linguistik telah lama digunakan oleh guru bahasa. bezanya hanyalah, mereka menggunakan linguistik tradisi yang penuh dengan pernyataan preskriptif dan normatif, tetapi, linguistik moden pula bersifat struktural dan deskriptif. Seseorang guru yang menggunakan sebuah buku tatabahasa lama untuk mengajarkan sebutan, tatabahasa, atau makna, sebenarnya menggunakan pengetahuan linguistik, iaitu linguistik tradisional. Ini juga linguistik dalam pengertian yang luas.
4.2.3 Linguistik dalam Kursus Perguruan
Kalau mahu mencari bukti lain bahawa linguistik itu berguna dalam pengajaran bahasa, kita tidak perlu pergi jauh. Lihat sahaja butir-butir semua panduan kursus TESL/TEFL/TESOL yang ditawarkan oleh sebarang universiti atau maktab di mana-mana sahaja. Semuanya memasukkan fonetik, fonologi, sintaksis, dan semantik ke dalam kursusnya. Ini ialah inti ilmu linguistik. Perkara-perkara ini tidak akan diajarkan kalau tidak penting dalam pengajaran bahasa. begitu juga kursus perguruan untuk bakal pengajar bahasa Malaysia, semuanya mengandungi unsur-unsur linguistik.
Kalau demikian, bagaimanakah kita dapat mengatakan linguistik itu penting untuk pengajaran bahasa? Jawapannya akan dapat kita ketahui dengan melihat bagaimana fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis, dan semantik mana-mana bahasa itu berguna dalam pengajaran bahasa tersebut. Tentulah tidak dapat kita sangkal asas teori bahawa sebarang pengetahuan tentang sesuatu mata pelajaran itu penting dalam pengajaran mata pelajaran tersebut. Deskripsi linguistik itu merupakan asas teori sesuatu bahasa. Deskripsi linguistik memberi deskripsi bahasa: struktur dan fungsi bahasa itu. Tentu sekali pengetahuan ini berguna dalam pengajaran bahasa.
Ada banyak cara linguistik itu boleh menjadi berguna kepada seseorang guru bahasa. E. Roulet (1975: 65-75) memberikan enam kegunaan linguistik dalam pengajaran bahasa:
1. Teori linguistik memberikan maklumat tentang struktur dan fungsi sistem bahasa itu secara umum kepada guru bahasa. Hal ini mungkin memainkan peranan penting dalam menentukan tujuan, isi, dan pendekatan sesebuah kursus bahasa.
2. Teori linguistik juga memberikan suatu bahasa perantaraan kepada guru. Ini ialah kesejagatan bentuk seperti jenis-jenis rumusan yang berlainan dalam tatabahasa transformasi generatif (rumus penyingkiran, rumus transformasi, dan sebagainya) dan keseragaman kategori-kategori seperti Frasa Nama, Frasa Kerja, atau ciri-ciri nahuan kata, seperti: + animat, + statif, dan seterusnya. Semua perkara ini boleh dipakai oleh guru dalam pengajaran bahasa.
3. Sama ada secara langsung atau tidak, teori linguistik tentang pemerolehan bahasa mempengaruhi perkaedahan pengajaran bahasa, lebih-lebih lagi bagaimana kursus-kursus bahasa diajarkan.
4. Sebuah deskripsi bahasa akan menyedarkan guru tentang struktur bahasa yang akan diajarkan, dan dengan itu dapat meningkatkan kualiti isi linguistik dalam kursus bahasa.
5. Deskripsi bahasa juga memberi guru bahasa itu suatu pengetahuan tentang unit-unit unsur seperti fonem, morfem, tagmem, dan sebagainya. Ia juga memberikan senarai struktur atau suatu sistem rumusan bagi sesuatu bahasa yang boleh digunakan dalam kursusnya.
6. Suatu deskripsi bahasa memberikan satu sistem rumusan yang berentetan. Ini boleh digunakan untuk membentuk bahan mengajar. Kadang-kadang rentetan itu tidaklah perlu dituruti secara rapi.
Walau bagaimanapun, ahli linguistik bukanlah memberikan teori atau
deskripsi bahasa. Linguistik hanya memberikan teknik analisis. Kedua-dua ahli linguistik dan guru bahasa menggunakan bahasa yang sama lain. Susah kita hendak menerima bagaimana sebuah bahasa itu boleh diajarkan tanpa sebuah deskripsi bahasa. walau bagaimanapun, tentu ada pula yang memerlukan penyesuaian untuk diajarkan. Pengajaran bahasa itu tentu sentiasa mempengaruhi deskripsi bahasa.
Guru bahasa memang memerlukan linguistik. Oleh itu mereka hendaklah tahu hubungannya antara linguistik dengan pengajaran bahasa. D.A. Wilkins (1972) menyatakan ada tiga jenis hubungan tersebut. Pertama, linguistik memberikan deskripsi yang lengkap tentang bahasa, tetapi tidak memberikan cara mengajar yang paling baik. Kedua, sebarang perkembangan dalam bidang linguistik itu, janganlah disalahmengertikan sebagai suatu sebab untuk membuat perubahan. Banyak daripada maklumat demikian yang akan dipakai untuk mengajarkan bahasa. tetapi seseorang guru bahasa itu hendaklah menyesuaikan maklumat tersebut untuk tujuan dan kepentingannya. Ketiga, linguistik memang mempengaruhi pengajaran bahasa, tetapi tidaklah pula selalunya begitu, tetapi biarlah dihadkan kepada keperluan semasa.
4.3 Berapa Banyakkah Pengetahuan Linguistik yang Perlu Diketahui oleh Guru Bahasa?
Mungkin ramai antara guru bahasa yang tidak begitu jelas mengetahui manfaat yang boleh mereka dapati daripada ilmu linguistik. Dengan kata lain mereka tidak mengetahui kegunaan linguistik di dalam bilik darjah. Ini bukalah kesalahan guru bahasa sahaja. Ada banyak sebab yang menimbulkan keadaan ini. Pertama, sifat ilmu linguistik itu dan banyaknya bahan tentang linguistik itu harus akan membunuh sebarang minat seseorang guru bahasa yang kurang keyakinannya terhadap linguistik. Misalnya, dalam usaha mempelajari sistem bunyi bahasa Malaysia, seseorang guru bahasa harus akan menjadi gusar, dan mungkin terus kecewa, kalau dia diberikan bahan tertulis dalam bentuk ciri-ciri pembeza. Begitu jugalah dengan deskripsi tatabahasa transformasi, nampaknya seolah-olah berbelit-belit sehingga menakutkan. Selalunya deskripsi tersebut penuh pula dengan simbol-simbol matematik. Bagi ramai guru bahasa, linguistik ini masih asing dan mereka kurang faham bagaimana tatabahasa menghubungkannya dengan tugas mengajar sehari-hari. Mereka ini perlulah diberi versi yang sudah dipermudah, supaya mereka tidak berasa begitu gusar semasa menghadapi linguistik untuk pertama kalinya.
4.3.1 Guru Memerlukan Linguistik Normatif
Memang perlu juga dimengertikan bahawa ada bezanya antara seorang guru bahasa dengan ahli linguistik. Seseorang ahli linguistik berhadapan dengan banyak bahasa, tetapi guru bahasa hanya terlibat dengan satu bahasa sahaja, mungkin dua, kalau diambil kira bahasa kandung pelajar itu. Ahli linguistik cuba bersikap objektif dan saintifik dalam menganalisis data daripada sesuatu bahasa, tetapi seseorang guru bahasa hanya mengajarkan bentuk dan norma baku bahasa itu. Jadi, guru lebih rapat berhubung dengan aspek normatif bahasa itu daripada aspek deskripsinya. Perbezaan-perbezaan ini seharusnya membawa perhubungan yang saling melengkapi antara guru dengan ahli linguistik. Guru bergantung pada ahli linguistik untuk mendapatkan bahannya, dan ahli linguistik mengharapkan guru menggunakan hasil deskripsi bahasa yang dibuatnya. Tetapi kita hendaklah juga sedar, seperti kata Wilkins (1972), bahawa seorang guru yang cukup matang dalam tatabahasa tradisi mungkin mendapati bahawa deskripsi bahasa yang dibuat oleh ahli linguistik moden itu mengecewakan. Dia mungkin tidak akan mendapat satu pun pengetahuan hal yang sama dalam bentuk dan ungkapan baharu. Linguistik hanya mengambil jalan lain untuk menuju tempat yang sama. Memang ada banyak hal baharu yang terdapat dalam linguistik, tetapi tatabahasa tradisi juga mungkin dapat memberikan maklumat yang sama. Kita haruslah dapat bergerak bersama-sama perkembangan, dan ini adalah satu daripada perkembangan yang menuntut penyertaan kita. Sebenarnya, sebagai yang kita akan bincangkan kelak, linguistik memang mempunyai kegunaan positif yang banyak.
4.3.2 Linguistik Gunaan
Oleh sebab kesukaran ini, dan juga dalam usaha menentukan bidang linguistik yang diperlukan oleh guru bahasa, maka terdapatlah beberapa buah buku yang dikarang oleh ahli linguistik bertujuan khusus untuk menyelesaikan masalah tersebut, misalnya: B Arthur (1973), M.A.K. Halliday et al. (1973), M. Kehoe (1968), P. Strevens (1977), K.C. Diller (1971), Lim Keat Boey (1975), dan lain-lain lagi. Ada banyak kegunaan linguistik dalam mengajarkan bahasa. bidang inilah yang dikenali sebagai linguistik gunaan. Deskripsi sesuatu bahasa itu bolehlah menjadi bahan mengajar. Memang kadang-kadang bahan tersebut tidak berbeza isinya daripada tatabahasa tradisi. Tetapi memang tidak boleh disangkal bahawa salah satu daripada sumbangan linguistik ialah memberi pandangan baharu terhadap pengajaran bahasa. jadi, gunanya linguistik itu ialah memberi maklumat dan analisis yang dihasilkan daripada deskripsi sesuatu bahasa tersebut, untuk dimanfaatkan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran bahasa.
4.3.3 Linguistik Adalah Bahan Mata Pelajaran
Apa yang jelas ialah seseorang guru itu hendaklah mempunyai pengetahuan yang cukup tentang mata pelajaran yang diajarkannya. Seorang guru matematik mesti mengetahui matematik pada peringkat yang hendak diajarkannya. Jadi, dengan alasan yang sama, seorang guru bahasa memerlukan deskripsi bahasa tersebut, termasuklah sebarang penjelasan dan cara sistem bahasa itu berlaku untuk dijadikan bahan mengajar. Inilah yang dikatakan tatabahasa pedagogi. Sebenarnya kita boleh juga menentukan pengetahuan linguistik yang diperlukan sekiranya kita tahu rancangan bahasa yang akan diajarkan itu. Sesiapa yang mengajar pertuturan hendaklah mengetahui sistem bunyi bahasa tersebut. Memang patut juga guru bahasa itu mengetahui seluruh deskripsi bahasa itu. Dia juga perlu tahu teori-teori linguistik yang akan berguna baginya semasa mengajar. Misalnya, di Malaysia, seorang guru bahasa itu perlu juga mengetahui deskripsi bahasa kandung pelajar itu, seperti bahasa Cina dan India, atau sebarang bahasa atau dialek yang berkenaan. Mengajar bahasa sebagai bahasa kedua memerlukan guru mengetahui masalah pelajar. Ini hanya boleh dicapai sekiranya guru mengetahui kebiasaan bahasa pelajar. Jadi, bukan ilmu linguistik sahaja yang perlu diketahui oleh seseorang guru bahasa itu, ada aspek lain yang juga penting bagi guru. Linguistik sahaja tidak akan dapat membentuk guru bahasa yang baik. Juga tidaklah dapat ditentukan nisbah antara linguistik dengan perkaedahan. Apa yang jelas ialah bahawa linguistik itu adalah penting dalam melatih guru bahasa.
4.4 Apakah Jenis Linguistik yang Diperlukan?
Soalan ini mengingatkan saya kepada suatu iktibar yang diberikan oleh seorang peserta dalam Persidangan Linguistik di Stockholm pada tahun 1963. Dia berkata, ‘... perancang persidangan mengingatkan bahawa linguistik ini boleh dibahagi dengan senang kepada bahagian-bahagiannya seperti ulas-ulas sebuah limau’. Kalau dia memilih buah lain sebagai bandingannya, mungkin akan terdapat persidangan yang lain dengan perhubungan dan kesimpulan yang berlainan pula. Iktibar ini baik. Ada banyak teori linguistik; dan kita hendaklah mengetahui teori yang hendak diambil untuk pengajaran bahasa. Kalau kita perluaskan iktibar yang sama, guru bahasa hanya perlu mendapatkan sesuatu faedah daripada teori itu, dan jangan terlalu bimbang tentang apa teorinya. Misalnya, kita tidak perlu bimbang tentang apa jenis buah yang kita makan. Kita hanya perlu mengambil yang baik sahaja daripada setiap buah itu. Mungkin inilah sikap yang paling mudah boleh dipegang oleh seseorang guru bahasa itu, dan tidak perlu berasa lemas kerana ada terlalu banyak teori linguistik itu.
Memang hal ini tidak semudah itu apabila kita berhadapan dengan linguistik. Ada banyak teori linguistik tetapi bukan semuanya telah diterapkan sepenuhnya untuk kegunaan guru. Misalnya, dalam bidang analisis dan deskripasi, linguistik amat tidak memuaskan. Secara ringkas dapat saya katakan selain jenis deskripsi tradisional, tidak banyak terdapat deskripsi dan penjelasan tentang mana-mana bahasa telah dijalankan dengan lengkap untuk diambil dan digunakan oleh guru. Ini perlu dijelaskan lagi, tetapi sebelum itu perlulah diberi sedikit definisi linguistik dan jenis-jenis teori yang wujud sekarang.
Linguistik bolehlah didefinisikan sebagai kajian saintifik tentang bahasa (J. Lyons 1968: 1). Istilah ‘saintifik’ itu bermaksud bahawa dia menggunakan eksperimen terkawal yang mengandungi faktor-faktor variabel yang telah ditentukan dengan secara objektif. Perkaedahannya juga diterangkan supaya hasilnya dapat diberi verifikasi. Jadi, kajian saintifik ini hendaklah empirikal, khusus, dan objektif (F. Dinneen 1967:4). Ini bermaksud bahawa linguistik itu adalah satu bidang ilmu yang lengkap dengan teori dan perkaedahannya, dan ketepatan hasilnya boleh diuji. Jadi, bidang linguistik tidaklah merupakan sesuatu yang hanya dihasilkan menurut agakan, tekaan atau emosi seseorang penulis sahaja.
4.4.1 Guru Memerlukan Pendeskripsian Bahasa
Ungkapan Dinneen (1967) dalam mendefinisikan bahasa, amatlah sesuai digunakan di sini. Dia mengatakan bahawa deskripsi bahasa itu pada asasnya adalah bunyi-bunyi yang boleh dideskripsikan secara linear dan sistematis. Ini berlaku semasa membentuk gabungan bunyi-bunyi yang mungkin dan dalam membentuk gabungan unsur-unsur yang bermakna dalam sesuatu bahasa itu. Guru bahasa memang telah lama bergantung pada deskripsi bahan yang demikian untuk menjalankan tugasnya sebagai guru di dalam bilik darjah. Tidak ada guru yang akan dapat mengajarkan bahasa tanpa pengetahuan deskripsi linguistik bahasa itu. Walau bagaimanapun, deskripsi demikian tidak boleh dikatakan sesuai dengan ilmu linguistik moden sahaja. Deskripsi bahasa itu dalam bentuk tatabahasa tradisi boleh juga digunakan, sebagai yang telah lama berlaku.
Dalam mendefinisikan teori-teori linguistik ini, kita tidak bermaksud untuk hanya mengemukakan model-model deskripsi linguistik yang utarakan oleh beberapa mazhab linguistik sahaja. Kita patut juga menerima deskripsi dan penjelasan yang diterbitkan oleh ilmu linguistik secara umumnya. Kita akan melihat contoh yang dimaksudkan. Contoh deskripsi yang paling popular ialah deskripsi struktur yang dijalankan dalam tahun 50-an. Mazhab ini dianggap sebagai mazhab struktur deskriptif, dan dipelopori oleh sarjana-sarjana seperti L. Bloomfield, C.F. Hockett, h.a. Gleason, Z. Harris, R.H. Robinss, F.R. Palmer, dan lain-lain. Mazhab ini telah banyak mengeluarkan deskripsi bahasa. Setakat ini sebenarnya mazhab inilah yang menghasilkan deskripsi bahasa yang agak lengkap dengan erti kata bahawa deskripsi itu meliputi semua aspek bahasa. ini termasuklah fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis, dan leksikon. Bahan bahasa yang sudah dianalisis ini bolehlah disifatkan sebagai menjadi bahan untuk mengajarkan bahasa. bahan demikianlah yang dihasilkan oleh ramai sarjana linguistik. Seorang ahli linguistik sahaja tidak mungkin berbuat demikian. Misalnya, untuk bahasa Malaysia sudah terdapat kajian seperti The Malay Sound System oleh Yunus Maris (1980), The Morphology of Malay oleh Abdullah Hassan (1974), The Malay Phonology and Morphology oleh Farid Onn (1976), Bahasa Malaysia Syntax oleh Nik Safiah Karim (1978), dan The Syntax of Interrogatives oleh Mashudi Kader (1981). Di samping buku deskripsi tatabahasa bahasa Malaysia ini terdapat pula beberapa buah kamus seperti Kamus Dewan (1970/1981), Nahu Melayu Mutakhir oleh Asmah Hj. Omar (1980). Mengajar Tatabahasa oleh Arbak Othman (1985), Penerbitan Kata dalam Bahasa Malaysia oleh Abdullah Hassan (1986), dan Tatabahasa Dewan Jilid I: Ayat oleh Nik Safiah Karim et al., (1986). Hanya bahan yang meliputi semua aspek bahasa, bunyi, tatabahasa, dan makna seperti inilah yang dapat dianggap berguna dalam pengajaran bahasa. dalam hal ini, hasil dua tiga orang ahli linguistik mungkin diperlukan untuk mendapatkan deskripsi yang lebih lengkap tentang sesuatu bahasa itu.
4.4.2 Tatabahasa Jenis Lain
Di samping jenis deskripsi ini ada banyak teori dan model deskripsi bahasa, seperti, Tagmemik (K.L. Pike 1954, 1958 dan W.A. Cooks 1969), Tatabahasa Tingkatan (S.M. Lamb 1966), Tatabahasa Kasus (J. Anderson 1971), Glosematik (J. Uldall 1930), Tatabahasa Skala dan Kategori (M.A.K. Halliday 1961), dan Tatabahasa Generatif (N. Chomsky 1957, 1964, J.J. Katz & P.M. Postal 1964), dan lain-lain. Baru-baru ini ada pula Tatabahasa Hubungan. Apa sahaja teori atau model deskripsi bahasa ini, ia mestilah mampu mendeskripsikan seluruh bahasa itu sebelum hasilnya dapat dianggap berguna untuk pengajaran bahasa. untuk berbuat demikian tatabahasa itu bukan hanya sekadar mampu menunjukkan perbezaan-perbezaan antara struktur ayat ayang pada permukaannya nampak serupa, tetapi juga menunjukkan persamaan struktur sintaksis yang pada permukaannya kelihatan berbeza. Memang ada beberapa teori moden yang nampaknya banyak mempunyai kebaikan atau gunanya dalam pengajaran bahasa. Tetapi malangnya kebanyakan teori baharu ini hanya membuat deskripsi tentang sebahagian atau aspek kecil sesuatu bahasa itu sahaja. Tidak ada yang menghasilkan deskripsi yang lengkap tentang mana-mana bahasa. Tatabahasa transformasi generatif yang amat popular itu pun tidak pernah mendeskripsikan mana-mana bahasa dengan lengkap. Oleh yang demikian kita hanya berbincang tentang kemungkinan penggunaan bahan-bahan demikian sahaja. Walaupun demikian kemungkinan terapannya agak jelas juga daripada contoh-contoh terhad yang diberikan. memang benar antara mode ini, tatabahasa transformasi generatif, dan tatabahasa mazhab Inggeris itu menunjukkan kemungkinan kegunaan yang berlebih sedikit, tetapi masih belum diusahakan sepenuhnya.
Mungkin agak sesuai tatabahasa transformasi generatif dijadikan dasar kepada latihan mengajarkan struktur. Rumus penerbitan ayat-ayatnya adalah tersusun. Walau bagaimanapun, mengajarkan sebutan dengan berpandukan ciri-ciri pembeza memang tidak akan memudahkan guru atau pelajar. Halliday juga ada menyusun bahan mengajarkan bahasa Inggeris berdasarkan teori mazhab Inggeris yang menunjukkan kemampuan yang tinggi. Kemungkinan kegunaannya memang baik, seperti yang disebut di atas tadi. Teori deskripsi yang baharu ini menunjukkan beberapa kebaikan berbanding dengan deskripsi lama bahasa-bahasa, tetapi tidak ada antara model ini yang pernah mendeskripsikan keseluruhan bahasa.
Dalam mencadangkan penggunaan linguistik dalam pengajaran bahasa, kita hendaklah faham tentang arah penerapan tersebut. Wilkins (1972) dan Roulet (1975) telah menunjukkan bahawa hubungan ini hendaklah berlaku dalam dua arah; linguistik bolehlah mempengaruhi pengajaran bahasa, dan sebaliknya pengajaran bahasa hendaklah juga mempengaruhi linguistik.
4.4.3 Deskripsi Tatabahasa Perlu Tuntas
Agak sukar juga bagi seorang ahli linguistik yang bukannya seorang guru menentukan jenis model linguistik yang diperlukan oleh seseorang guru bahasa. Yang jelas ialah guru itu terpaksa memilih deskripsi dan pernyataan tatabahasa yang paling lengkap. Deskripsi yang hanya sebahagian tidaklah akan berguna sangat. Deskripsi ini tidaklah pula selalunya boleh digunakan tanpa sebarang penyesuaian. Misalnya, pengajaran bahasa bolehlah memakai hasil deskripsi linguistik seperti suatu rumusan tatabahasa. Kita tidaklah perlu mementingkan sangat sama ada kita mengatakan bentuk pasif dalam bahasa Malaysia itu ialah “Apabila objek penderita menjadi subjek penderita atau FN1 + me + KK + FN2 ® FN2 + di + KK + oleh + FN1.” Yang pentingnya ialah Ali memukul anjing menjadi Anjing dipukul oleh Ali. Dengan itu memang ada faedahnya jikalau seseorang guru bahasa itu mempunyai pengetahuan linguistik walaupun sedikit supaya dia dapat memilih apa yang baik antara model deskripsi bahasa tersebut, sama ada tatabahasa tradisi, tatabahasa transformasi, tatabahasa tagmemik, tatabahasa skala-dan-kategori, tatabahasa kasus, atau tatabahasa hubungan, dan sebagainya.
4.4.4 Hasil Penyelidikan Perlu Disesuaikan untuk Pengajaran
Walau bagaimanapun, memang betul, apa yang dihasilkan oleh ahli linguistik itu mungkin tidak merupakan apa yang diperlukan oleh guru bahasa. begitu juga, apa yang difikirkan dasar oleh seorang ahli linguistik, mungkin tidak menjadi dasar kepada guru bahasa. yang jelas ialah, hasil deskripsi linguistik itu hendaklah disesuaikan. Dalam penerapannya banyaklah isu yang boleh dibangkitkan, misalnya, teori pemerolehan bahasa, sosiolinguistik, dan sebagainya (Roulet 1975). Hal-hal ini juga amat penting dalam pengajaran bahasa.
4.5 Kesimpulan
Dalam bab ini kita telah meninjau sedikit tentang bagaimana teori dan deskripsi bahasa dapat membantu pengajaran bahasa. tetapi, kalaulah seorang guru itu telah belajar atau didedahkan kepada sistem bunyi, tatabahasa, dan struktur makna dalam bahasa Malaysia, masih belum terjamin yang dia akan menjadi guru bahasa Malaysia yang biak. Untuk menjadi seorang guru yang baik, diperlukan banyak sifat dan pengetahuan yang lain, seperti bahan mengajar, motivasi pelajar, kaedah, persekitaran yang mendorong, sikap yang sihat, alat bantu, dan sebagainya. Setiap satu hal ini sama pentingnya. Pengetahuan linguistik bahasa Malaysia itu akan menjadi alat sahaja. Ini akan membolehkan kita memahami bahan yang diajarkannya itu. Agak mustahil bagi kita memahami bagaimana seorang guru itu akan dapat mengajarkan bahasa Malaysia tanpa pengetahuan sistem dan bagaimana sistem itu berlaku.
Wilkins (1972) mengatakan kita jangan harus menerima sahaja hasil linguistik dan terus mencari kegunaannya. Apa yang patut dilakukan ialah kita mengenali semua masalah pengajaran bahasa dan kemudian baru melihat jawapannya dalam linguistik. Inilah sumbangan besar linguistik kepada pengajaran bahasa, iaitu memberi maklumat tentang bahasa itu.
Kalau seorang guru bahasa itu gagal mencapai tujuan sesebuah rancangan mengajarkan bahasa itu, maka harus ada banyak sebabnya. Misalnya, kegagalan mengajarkan bahasa Malaysia di sekolah itu boleh disebabkan oleh banyak hal. Kekurangan pengetahuan linguistik memangnya menjadi satu sebab. Latihan guru bahasa Malaysia juga menjadi sebab, iaitu guru yang tidak terlatih mengajar bahasa Malaysia. Guru yang tidak mahir dalam bahasa Malaysia ditugaskan mengajarkan bahasa Malaysia. Guru-guru seperti ini tidak akan berjaya. Ada banyak sebabnya dan kita tidak harus menyalahkan mana-mana satu pihak sahaja.
No comments:
Post a Comment