Monday, March 30, 2009

13. UNSUR PELAJARAN DAN PENDIDIKAN DALAM BUKU TEKS*

Perhinpunan KONPEN 10, Seremban, 3-5 Ogos 1985

UNSUR PELAJARAN DAN PENDIDIKAN DALAM BUKU TEKS*

9.1 Pengenalan

Bab ini akan meninjau kembali perkembangan pelajaran dan pendidikan. Di dalam hal ini kita boleh bertanya, adakah kita telah berhasil menyampaikan pelajaran atau pendidikan kepada pelajar-pelajar? Adakah kita harus menumpukan fokus kepada pendidikan asas khusus atau umum? Saya tidak akan membuat liputan mengenai semua ini, tetapi akan hanya meninjau kembali isu pelajaran dan pendidikan ini dalam penulisan buku-buku sekolah. Bab ini akan menumpukan perhatian kepada penulisan buku bahasa Malaysia di sekolah rendah, khususnya sekolah rendah; darjah V kerana pada peringkat itulah diadakan peperiksaan penilaian bagi pelajaran dan pendidikan sekolah rendah.

9.1.1 Ciri-Ciri Pengajaran dan Pendidikan

Dalam KONPEN I, perkara-perkara yang dikatakan menjadi ciri-ciri pengajaran dan pendidikan di sekolah rendah pada masa itu (Awang Had Salleh, 1975), ialah:

1. Kompartmentalisasi mata pelajaran dan kompartmentalisasi pecahan-pecahan

mata pelajaran.

2. Saiz kelas yang besar: 45-50 orang sedarjah.

3. Orientasi sukatan pelajaran ke arah mengisi bidang kognitif dan mengabaikan

bidang afektif.

4. Orientasi ke arah peperiksaan pencapaian mengabaikan sama sekali ujian

diagnostik.

5. Pengasingan mata pelajaran sivik dan agama Islam.

6. Ketiadaan orientasi ke arah kemahiran dalam hubungan manusia.

7. Ketiadaan orientasi ke arah menghubungkan ilmu kepada kehidupan.

Beliau juga ada ke arah pengamatan seperti berikut:

“Di sekolah-sekolah, kita mengajar bahasa. Tujuan pengajaran bahasa pada peringkat rendah ini sepatutnya memberi kemahiran berbahasa, tetapi bukanlah jarang-jarang terdapat guru-guru menitikberatkan aspek pengetahuan bahasa dalam pengajaran mereka itu. Oleh itu murid-murid lebih mengetahui bahasa tetapi kurang mahir menggunakan bahasa yang diketahuinya itu.”

Tidak hanya itu. Tujuan asal mengajar kemahiran bahasa ialah supaya murid-murid dapat berhubung dengan ahli masyarakat menerusi bahasa. Kemahiran berbahasa sahaja tidaklah sama dengan kemahiran berhubung sesama manusia. Demikianlah, maka kita lihat di sekolah-sekolah, guru mengajar bahasa dengan tujuan memberikan murid-murid itu kemahiran berbahasa, tetapi kemahiran berbahasa itu tidak dihubungkan dengan kesenian sesama manusia. Seseorang itu tidak boleh jadi mahir berbahasa dengan pengertian yang bahasanya itu betul dari segi tatabahasanya dan kaya dari segi perbendaharaan katanya, tetapi ini belum menjamin yang dia berdiplomasi, dan pandai mengambil hati orang, serta tidak menimbulkan kesamaran maksud. Apa yang berlaku di sini ialah hanya mengajar bahasa atau memberikan kemahiran berbahasa tetapi kita tidak memberikan pendidikan bahasa.”

9.1.2 Fokus

Ada empat peringkat isu yang ketara daripada tajuk ini.

1. Definisi istilah pelajaran dan pendidikan.

2. Apakah unsur pendidikan yang ingin disampaikan?

3. Objektif kurikulum yang dilaksanakan.

4. Sejauh manakah penulis buku mengendalikan perkara-perkara tersebut di

dalam buku-buku sekolah?

Perbincangan mengenai perkara 1,2 dan 3 adalah penting dibuat dulu sebelum kita dapat meneruskan perbincangan mengenai perkara 4. Oleh itu perkara-perkara ini dijelaskan terlebih dulu sebelum dibuat tinjauan mengenai peranan penulis di dalam pelajaran dan pendidikan tersebut, khususnya penulis buku-buku sekolah.

9.2 Istilah Pelajaran dan Pengajaran

Cuba lihat proses penerbitan istilah pelajaran dan pendidikan. Ini akan dapat menjelaskan maknanya dalam pemakaiannya sebagai yang dituntut oleh strukturnya.

ai. mengajar- pengajaran

aii. belajar- pelajaran

bi. mendidik- pendidikan

bii. *berdidik- *perdidikan

Jelas dari perangkat di atas bahawa ajar mempunyai dua terbitan, pengajaran dan pelajaran, tetapi didik hanya mempunyai satu, iaitu pendidikan. Oleh sebab *pendidikan tidak wujud maka pendidikan menanggung kedua-dua fungsi makna yang terdapat di dalam kata terbitan yang ditanggung oleh pengajaran dan pelajaran.

Secara umum mungkin ada baiknya diperjelas makna istilah pelajaran dan pendidikan supaya saya dapat membuat pendirian untuk menentukan pegangan yang saya ambil dalam berbicara mengenai tajuk ini. Secara umumnya memanglah kedua-dua istilah itu berbeza. Tetapi apakah persamaan dan perbezaannya. Perbezaan erti bukan wujud dari segi strukturnya saja tetapi juga dari segi semantiknya. Kita memang merasakan kedua-duanya berlainan. Lihat makna dari Kamus Dewan (1970).

pelajaran : segala sesuatu yang dipelajari, ilmu pengetahuan (yang diperolehi)

pengajaran : perihal mengajar yang diajarkan

pendidikan : 1. perihal mendidik, 2. ilmu, 3. didikan, latihan, ajaran.

Apa yang jelas daripada kedua-dua istilah ini ialah, pendidikan mencakupi makna pelajaran dan pengajaran sekaligus. Ini juga selaras dengan struktur kata tersebut, iaitu ajar dapat menerima pe(1)-…-an dan peN-…-an, tetapi didik hanya menerima peN-…-an.

Apa yang ketara di dalam istilah tersebut ialah bahawa pelajaran itu melibatkan pengajaran sesuatu ilmu kepada pelajar, biasanya yang menurut sesuatu kurikulum dan dibuat secara teratur dan disampaikan di dalam kelas. Malah, kita masih menggunakan pelajaran, untuk kepala setiap bab yang hendak diajar, pelajaran I, pelajaran II, dan pendidikan pula biasanya dilibatkan dengan pengajaran moral, nilai dan rasa, baik di dalam atau di luar kelas.

Dalam istilah pendidikan pula, penyampaian ilmu ini melibatkan tiga bidang pengetahuan, iaitu kognitif, afektif, dan psikomotor. Untuk sementara, ketiga-tiga istilah ini diberi makna seperti berikut, iaitu: kognitif melibatkan pelajaran., melalui fikiran/otak, afektif melibatkan hati, perasaan dan nilai, manakala psikomotor melibatkan penyelarasan perbuatan dengan berfikir. Oleh sebab penggunaan istilah pelajaran dan pendidikan ini mingkin akan menimbulkan masalah, maka kita akan mencuba menjalankan perbincangan ini di dalam pengertian istilah yang telah disentuh di atas, kognitif, afektif dan psikomotor, dan kemudian menghubungkan kembali pengertian istilah-istilah tersebut. Kemudian barulah kita akan meninjau beberapa sampel buku yang digunakan di sekolah untuk melihat sama ada unsur-unsur ini telah dipergunakan sebaik-baiknya oleh penulis buku sekolah atau tidak.

9.3 Bidang Pengetahuan

Ada tiga bidang pengetahuan seperti yang disebut di atas yang selalu digunakan sebagai satu cara hendak memahami proses penyampaian ilmu. Perbincangan dan penentuan bidang-bidang ini adalah perlu untuk memahami dan mengukur sejauh manakah unsur pendidikan dan pelajaran yang digunakan oleh penulis buku. Ketiga-tiga bidang yang disebut di atas tadi, ialah: bidang kognitif, bidang afektif dan bidang psikomotor.

Biasanya di dalam hal ini akan melibatkan tujuan, matlamat dan objektif. Ketiga-tiga istilah ini selalunya tidak begitu dibezakan. Harus dapat kita katakan bahawa tujuan ini ialah peringkat tertinggi yang hendak dicapai; iaitu: mengapa sesuatu itu dipelajari, atau mengapa bahasa dipelajari? Matlamat, menjelaskan apa yang dipelajari. Objektif, menjelaskan pecahan-pecahan kecil mengenai bagaimana setiap pecahan itu dipelajari. Di dalam pendidikan, termasuklah juga pengajaran dan pendidikan bahasa, pengetahuan pelajar-pelajar terbahagi kepada bidang yang dijelaskan di atas, iaitu kognitif, afektif dan psikomotor. Di dalam hal ini, objektif pendidikan bahasa juga boleh dibahagi kepada tiga bidang pengetahuan ini.

9.3.1 Bidang Kognitif

Bidang kognitif ialah bidang mengenai pengetahuan, fakta, teori, perangkaan dan kefahaman. Ini dapat dilihat di dalam beberapa peringkat.

(a) Peringkat Pengetahuan

Pengetahuan pada peringkat ini ialah kebolehan seperti, mematuhi amalan tertentu di dalam sistem ejaan, menulis/mengarang, struktur ayat, menjelaskan rumusan atau peraturan mengeja kata-kata tertentu, menurut arahan, perintah, memberi nama kepada benda atau orang di kelilingnya, dan lain-lain.

(b) Peringkat Kefahaman

Pengetahuan pada peringkat ini ialah kebolehan seperti, mematuhi amalan tertentu di dalam sistem ejaan, menulis/mengarang, berlatih menyebut kata, membaca atau mendeklamasikan puisi, membuat laporan mengenai bacaan, mengarang cerita pendek, dan lain-lain.

(c) Peringkat Penerapan

Pengetahuan peringkat penerapan ialah kebolehan seperti mendeskripsikan watak tertentu di dalam cerita, memulakan perbincangan, memberi kewajaran, sebab musabab kepada jawapan, memulakan kerja-kerja kelompok, membentuk rumusan tertentu bagi mendengar atau berucap.

(d) Peringkat Analisis

Pengetahuan peringkat analisis ialah kebolehan seperti kemampuan mengubahsuaikan ayat, melengkapkan cerita yang sekerat, menyusun ayat di dalam rentetan yang betul, membezakan ayat-ayat yang berlainan jenis dan lain-lain.

(e) Peringkat Sintesis

Pengetahuan peringkat sintesis ialah kebolehan seperti kemampuan mencipta cerpen atau puisi, menulis karangan, menulis surat kepada sahabat atau surat perniagaan, menulis surat formal dan yang sepertinya.

(f) Peringkat Penilaian

Pengetahuan peringkat penilaian ialah kebolehan seperti kemampuan membetulkan karangan, membandingkan jenis-jenis ayat yang berlainan, menyusun laporan, menyediakan perbahasaan, membuat generalisasi mengenai hubungan antara subjek dan predikat, dan lain-lain.

9.3.2 Bidang Afektif

Bidang afektif ini melibatkan perasaan, emosi, dan perkara-perkara yang tidak dapat dilihat dengan nyata dalam sesuatu mata pelajaran. Ini termasuklah proses membangkitkan rasa suka, minat, atau mengembangkan sikap menolak sesuatu yang buruk, dan lain-lain. Ini juga dapat kita bahagi kepada beberapa peringkat.

(a) Peringkat Penerimaan

Pada peringkat penerimaan, bidang afektif ini melibatkan kemampuan mendengar sesuatu cerita dengan baik dan sopan, memberi pendapat, mengemukakan pertanyaan, mengenalpasti bahagian-bahagian sesuatu ayat, dan menjawab dengan menggunakan ayat-ayat lengkap.

(b) Peringkat Tindak Balas

Pada peringkat tindak balas, bidang afektif melibatkan kemampuan bertindak balas secara sukarela, mengamati tingkah laku penutur, membaca kutipan kata-kata indah, mempersembahkan karangan sendiri, dan lain-lain.

(c) Peringkat Penilaian

Pada peringkat penilaian, bidang afektif melibatkan penerimaan amalan yang telah dipersetujui ramai, menghargai sumbangan yang dikongsi dengan orang lain, melengkapkan projek, menjemput pemidato, belajar atau mentelaah dengan cermat, dan lain-lain.

(d) Peringkat Pengolahan

Pada peringkat pengolahan bidang afektif melibatkan kemampuan mematuhi rumusan-rumusan tertentu, membandingkan bahan terkarang dengan contoh, mempertahankan pendapatnya, mengelolakan kerja, mengarang mengenai pengalaman dan lain-lain.

(e) Peringkat Pernyataan

Pada peringkat pernyataan, bidang afektif melibatkan kemampuan mengubahsuaikan bentuk karangan asal, menghasilkan karangan asli, menyelesaikan masalah sendiri, menyemak semula tema yang telah dibetulkan, membuat pengesahan kerjanya.

9.3.3 Bidang Psikomotor

Bidang psikomotor melibatkan pergerakan tingkah laku, iaitu: yang membawa kepada sesuatu kemahiran, setelah berlaku penyelarasan otak-otot, bagi membentuk sesuatu kemahiran. Biasanya, pergerakan ini perlu dikuasai daripada yang rendah kepada yang tinggi. Oleh kerana bidang ini melibatkan kemahiran, maka bidang ini dapat dilihat dari segi kemampuan menulis lambang-lambang abjad, mengucapkannya, menulis huruf besar, menyunting, membuat susunan paragraf, membuat ringkasan, menyebut, menggunakan tanda-tanda berhenti, membaca, mendeklamasi, membuat ringkasan menulis.

9.3.4 Hubungan Kognitif, Afektif dan Psikomotor: Pelajaran dan Pendidikan

Ketiga-tiga bidang pengetahuan ini tidaklah berlaku berasingan seperti ini, tetapi adalah saling bertindih dan berbauran. Kesemuanya dapat digunakan untuk merancangkan pengajaran bagi menghasilkan kemahiran. Misalnya, mengajar mengarang puisi, boleh menimbulkan minat, rasa indah yang melibatkan bidang pengetahuan afektif, tetapi pengetahuan tentang rangkapan bunyi, ayat, imbuhan adalah bidang pengetahuan kognitif; manakala kemahiran menulis, menggunakan tanda-tanda baca dan sebagainya adalah bidang psikomotor.

Di dalam konteks ini, dan di dalam pengertian secara umum, seolah-olah pengetahuan bidang kognitif itu, mungkin termasuk psikomotor, dimasukkan ke dalam istilah keseluruhan bidang kognitif, afektif, dimasukkan ke dalam pengertian istilah pendidikan. Malah keseluruhan tujuan kurikulum bahasa Malaysia dapat dinilai di dalam kerangka ini.

9.4 Tujuan Kurikulum

Setelah melihat bidang-bidang pengetahuan ini kita belum juga dapat melihat dengan jelas kesempatan yang digunakan oleh penulis-penulis buku sekolah di dalam dal ini. Kita perlu juga melihat tujuan-tujuan kurikulum, di dalam hal ini; kurikulum bahasa Malaysia, khususnya untuk sekolah rendah.

9.4.1 Tujuan Utama

Penyata Razak (1956) dan Penyata Rahman Talib (1960), menyatakan beberapa tujuan. “…supaya mereka tahu bercakap, membaca dan menulis bahasa kebangsaan. Dengan itu mereka akan merasai kasih dan tertanamlah semangat bahasa kebangsaan pada dirinya…terbentuklah penyatuan yang tunggal…Maka dengan adanya pengajaran bahasa kebangsaan dalam semua sekolah dapatlah pula menyatukan semua sekolah…dan terciptalah satu corak persekolahan yang tertentu di negeri ini. Di antara lain, rakyat di negeri ini akan hidup bermasyarakat, saling mengerti di antara satu sama lain…Akan mendatangkan satu kebudayaan, satu bangsa, satu corak kemahuan, dan seterusnya akan mendatangkan satu matlamatnya, yang sama dalam hidup yang harmoni”.

9.4.2 Tinjauan Khusus untuk Sekolah Rendah

Sebelum tinjauan ini dilakukan, eloklah kita melihat sedikit tentang tujuan kurikulum bahasa Malaysia Sekolah Rendah (sebelum KBSR). Ini perlu diketahui secara umum, untuk membolehkan kita mengetahui pengetahuan yang dijadikan sasaran di dalam pengajaran bahasa tersebut, dan dengan demikian dapatlah kita melihat sama ada perkara-perkara ini terdapat di dalam buku-buku bahasa Malaysia sekolah. Ini akan kita lihat dari segi bidang-bidang pengetahuan yang kita bincangkan di atas.

9.5 Penerapan Bidang Kognitif, Afektif dan Psikomotor dalam Penulisan Buku Sekolah

Setelah dijelaskan sedikit kerangka perkara-perkara yang ingin dibincangkan, maka bolehlah kita mencuba sekarang untuk melihat sejauh manakah kesempatan ini digunakan oleh penulis-penulis buku sekolah. Di dalam hal ini, saya telah memilih buku-buku darjah V khususnya buku pelajaran bahasa Malaysia. Ini adalah kerana darjah V dianggap dapat diwakili keseluruhan pelajaran dan pendidikan sekolah rendah, kerana pada darjah itulah diadakan peperiksaan penilaian.

Di dalam membuat penilaian ini kita akan sentiasa melihat pengajaran sesuatu perkara tersebut dari segi kognitif, afektif dan psikomotor atau pelajaran, pengajaran dan pendidikan.

9.5.1 Keperluan Sukatan Pelajaran

Kalau dibandingkan dengan keperluan kurikulum, memang tidak syak lagi, bahawa, segala perkara yang dinyatakan di bawah sukatan pelajaran telah dimasukkan ke dalam buku-buku pelajaran bahasa Malaysia itu. Kalau disemak kandungan buku bahasa Malaysia I-V yang diterbitkan oleh DBP, kita akan mendapati bahawa keperluan sukatan pelajaran itu telah dipenuhi. Walau bagaimanapun, tujuan umum untuk menimbulkan satu kesefahaman antara kaum, dan menghasilkan satu bangsa, mungkin hanya merupakan satu ideal, yang jaya gagalnya tidaklah terletak pada buku pelajaran bahasa Malaysia saja. Banyak faktor lain yang mempengaruhi pencapaian tujuan ini.

Objektif gerak kerja lisan, bacaan dan kefahaman, dan gerak kerja bertulis dapat dikatakan tercapai semuanya. Ada yang membawa tujuan afektif, tetapi agak sukar kita menentukan kesannya. Adakah kecintaan terhadap bahasa Malaysia telah wujud di kalangan kita sekarang? Bagaimana kita hendak mengetahuinya? Sedikit sebanyak memang ada timbulnya, di kalangan rakyat Malaysia. Apa yang jelas ialah, kita tidak dapat mengatakan bahawa hal ini telah tertanam pada semua orang, baik Melayu atau bukan Melayu. Perkara ini pun harus menjadi tanda tanya di kalangan orang Melayu. Memang telah banyak buku, novel dan puisi di dalam bahasa Malaysia, dan bilangan pembacanya juga telah bertambah. Malah, penulis, penyair dan penyanyi bukan Melayu pun telah wujud, bahkan sesetengahnya lebih bijak daripada orang Melayu sendiri. Ini bermakna ada pencapaian, walaupun kuantiti dan kualitinya masih belum diukur.

Tujuan-tujuan lain juga merupakan pengetahuan kognitif, dan kejayaan sukatan pelajaran di dalam bidang ini memang ketara. Di samping itu pula, senarai kemahiran yang dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran, iaitu: menulis dan membaca adalah merupakan pengetahuan psikomotor, manakala kemahiran tatabahasa, baik morfologi mahupun sintaksis adalah pengetahuan kognitif. Ternyata bahawa perkara ini telah diambil kira di dalam penyediaan buku-buku sekolah untuk bahasa Malaysia, tetapi kurang tekanan diberi kepada pengetahuan bidang afektif. Di dalam sukatan pelajaran sekarang, dan di dalam buku-buku sekolah, tekanan diberi kepada bidang kognitif dan psikomotor. Kalau adapun bidang afektif dinyatakan, tidaklah dapat dijamin perkara itu telah dilaksanakan dengan berkesan.

9.5.2 Unsur-Unsur Pendidikan dalam Buku Pelajaran Bahasa Malaysia

Untuk melihat sejauh mana penulis-penulis buku pelajaran bahasa Malaysia telah menggunakan kesempatannya untuk memasukkan pengetahuan-pengetahuan kognitif, afektif dan psikomotor, ke dalam bukunya, perlulah kita melihat kandungan buku tersebut. Kandungan buku tersebut telah dikaji pelajaran demi pelajaran, dan kemudian isinya dibandingkan dengan ciri-ciri pelajaran bahasa dan pendidikan pada tahun 1975, dan tujuan sukatan pelajaran yang diberi di atas. Semua perkara di atas akan sentiasa dibincangkan di dalam konteks bidang pengetahuan kognitif, afektif dan psikomotor yang diterangkan di atas. Melalui perbandingan itu kelihatan kandungan buku bahasa Malaysia tersebut, ada mengambil kesempatan untuk membina dan membentuk ketiga-tiga bidang pengetahuan yang dibincangkan di atas tadi.

9.5.3 Pendidikan

Dua buah buku dikaji untuk melihat unsur-unsur afektif ini, iaitu: Pelajaran Bahasa Malaysia 5, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, dan Bacaan Bahasa Malaysia 5, Dewan Bahasa dan Pustaka 1984.

1. Pelajaran Bahasa Malaysia V, DBP, 1984.

Saya sempat melihat buku ini secara menyeluruh dan mencatatkan beberapa pemerhatian.

(a) Buku Pelajaran Bahasa Malaysia – Darjah Lima memang mematuhi sepenuhnya keperluan sukatan pelajaran, khususnya sukatan pelajaran bahasa Malaysia untuk darjah V.

(b) Pengetahuan-pengetahuan kognitif yang ditekankan dalam sukatan pelajaran nampaknya menjadi pegangan utama penulis buku tersebut. Setiap pelajaran akan bermula dengan petikan karangan, surat kiriman, atau latihan mengarang, dan diikuti dengan latihan kefahaman, membentuk kata terbitan dan ayat, menjelaskan makna kata melalui kata seerti, berlawanan, dan lain-lain.

Ditinjau dari segi pengetahuan: kefahaman, kemampuan mengubah, menggabung dan mencerakinkan ayat itu, semuanya adalah bidang kognitif.

(c) Murid juga diajar mengenai bahagian-bahagian ayat, menulis dengan menggunakan tanda-tanda baca, membaca dan mengarang. Ini melibatkan kemahiran lakuan, iaitu bidang psikomotor.

Pembelajaran kemahiran lakuan, penyelarasan otak-otot ini akan menjadi sempurna dengan terbentuknya lakuan-lakuan kemahiran yang baik, seperti tulisan cantik, penulisan paragraf yang tersusun rapi, dan hal ini tidak dapat diperhatian melainkan dengan meninjau buku latihan murid.

(d) Agak sukar untuk membuat pemerhatian terhadap bidang afektif yang diajarkan. Memang ada unsur-unsur yang sipi-sipi menyentuh aspek afektif ini. Petikan karangan dalam pelajaran 4: Pertolongan Cemas, Pelajaran 14: Berkelah ke Jeram Merpati, Pelajaran 25: Kemalangan di Jalan Raya, Pelajaran 28: Rumah Kita dan Negara Kita, Pelajaran 29: Sayangkan Ibu, ada membawa unsur-unsur afektif. Tetapi pengolahan pelajaran tersebut agak begitu stereotaip sehingga kaku, dan kalau adapun niat penulis hendak menimbulkan kesan afektif tersebut, saya tidak merasa yang hajat tersebut berhasil. Yang dapat dilihat pada kleseluruhannya bahawa, unsur pengetahuan afektif itu amat lemah kedudukannya di dalam buku ini. Saya tidak yakin yang pembelajaran pengetahuan afektif tersebut dapat berjaya dalam hal ini. Untuk membolehkan pelajaran di atas dieksploit sepenuhnya, untuk membawa pembelajaran dan pengolahan yang mengambil kira segala aspek pedagogi.

(e) Memandangkan buku ini digunakan oleh kanak-kanak yang berumur di antara 10-11 tahun, maka adalah penting yang pengolahannya menimbulkan minat pelajar. Adakah menjadi tanda tanya, sama ada, membaca buku ini akan dapat menghasilkan kesan (afektif) tersebut.

(f) Ada butir-butir pengetahuan kognitif yang dipersembahkan itu, nampaknya agak kompleks. Misalnya konstruksi ayat yang mempunyai pola. Selain daripada …dia juga …(Pelajaran 1). Di antara …daripadanya…(Pelajaran 2). Mungkin ayat yang berpola begini agak terlalu sukar untuk murid darjah V.

(g) Ada pemakaian kata, dan tatabahasa yang kurang cermat, yang boleh mengganggu pembelajaran. Dalam Pelajaran 34: Harimau, terdapat penggunaan kata menghambur untuk menerkam. Harimau tidak menghambur tetapi menerkam.

Begitu juga, di dalam pelajaran yang sama terdapat ‘selalu orang kata seperti kuku harimau’, seolah-olah kanak-kanak kecil yang berkata-kata. Perkataan kata itu harus berimbuhan ber atau me-…-kan (berkata dan mengatakan). Itu adalah suatu kesilapan tatabahasa.

Yang menjadi aneh lagi ialah ayat ‘Ia suka memakan rusa, babi, lembu, kerbau, kambing dan binatang kecil yang lain’. Ini bermakna semua binatang yang disebut itu adalah binatang-binatang kecil juga. Tentu ini mengelirukan murid-murid lebih-lebih lagi apabila melihat gambar yang kerbau itu lebih besar daripada harimau!

Bukan saja dari segi bahasa dan pengolahan yang kita harus berhati-hati dalam menggunkan kata-kata supaya jangan mencacatkan proses pembelajaran. Sama ada pelajaran/pengajaran atau pendidikan yang kita maksudkan, masih ada masalah yang kita hadapi di sini.

2. Buku Bacaan Bahasa Malaysia V, DBP, 1984.

Dalam permerhatian yang dibuat terdapat buku Pelajaran Bahasa Malaysia Darjah 5 di atas memang ternyata lebihnya unsur kognitif dan psikomotor dikemukakan. Buku Bacaan Bahasa Malaysia (juga oleh DBP), mempunyai 22 pelajaran. Setiap satunya membawa satu petikan cerita dan diikuti dengan soalan.

Pelajaran Tajuk Karangan

1 Pergi ke Perpustakaan

2 Kerbau Penarik yang Gagah

3 Ibu Kota Banjir

4 Syamsul Naik Bas

5 Kampung Budi yang Permail

6 Port Dickson

7 Hidup Bersama

8 Bapa Saya

9 Hang Tuah

10 Pisang

11 Air

12 Kampung Sesak

13 Menyambut Hari Kemerdekaan

14 Mat Kilau

15 Ketua Negara Malaysia

16 Manusia Zaman Purba

17 Hamid dan Helen

18 Menjalan Tugas (drama)

19 Anak yang Berjasa

20 Hobi

21 Si Kudung di Kuala (puisi)

22 Kemalangan di Selekoh Berbahaya

Sekali imbas saja, apabila melihat tajuk-tajuk karangan yang digunakan dalam buku ini menunjukkan ada unsur-unsur ajaran, moral, nilai masyarakat dan lain-lain. Ini adalah norma-norma yang baik ditanam di hati sanubari kanak-kanak. Karangan-karangan lain adalah merupakan pengetahuan-pengetahuan am.

Pelajaran 4, menceritakan hal Syamsul seorang budak lelaki naik bas, dan sempat bermesra dengan seorang nenek tua. Ini adalah sifat berbudi bahasa yang mahu ditonjolkan. Begitu juga nasihat konduktor bas supaya penumpang jangan berebut-rebut merupakan satu nilai baik.

Pelajaran 19 mengisahkan fasal Azlan, anak penjual sate yang kerap membantu ayahnya, dan rajin sembahyang. Dia terpaksa bekerja dan bekerja dengan rajin dan juga membantu orang tuanya dalam kesusahan. Akhirnya dia mencapai cita-citanya belajar ke universiti dengan biasiswa kerajaan.

Cerita-cerita lain dalam buku ini juga demikian. Ada cerita dan ada ajaran di sebaliknya. Mungkin lebih berhasil dari segi afektifnya. Tentu sekali cerita-cerita begini lebih sesuai y\untuk menyampaikan ajaran. Cuma, saya masih menyimpan sedikit keraguan. Dari segi keberkesanan cerita-cerita begini membawa ajaran, tergantung juga pada kecenderungan kanak-kanak itu sendiri. Kanak-kanak yang gemarkan cerita dongengan tentu sekali akan lebih tertarik kalau ada unsur-unsur dongengan itu. Banyaknya cerita dongengan berpengajaran dalam bahasa Inggeris, untuk kanak-kanak mereka seolah-olah membuktikan hal ini. Tetapi saya tidak mempunyai bukti apa-apa dari penyelidikan mengenai hal ini. Yang ada cuma karangan-karangan lama, iaitu saya lebih mudah terkenang tentang unsur ajaran yang terdapat dalam buku-buku bacaan semasa saya di sekolah rendah dulu- seperti Burung Punai dengan Semut, Kura-Kura dengan Arnab, Harun Misai, Abu Lahab dan sebagainya. Bahjan, dalam Projek InSPIRE (projek ini menilai bahan mengajar sekolah rendah, dan meyediakan bahannya) ada memasukkan balik cerita-cerita ini ke dalam bahan mengajarnya. Pengajaran/didikannya terasa lebih senang diterima dan lebih kuat kesannya.

9.6 Kesimpulan

Untuk melihat keadaan sekarang ini dengan lebih dekat, mari kita lihat senarai ciri pengajaran pendidikan sekolah rendah yang dicatatkan di dalam pendahuluan di atas tadi. Kenyataan–kenyataan di sini didasarkan kepada pengamatan terhadap isi pelajaran-pelajaran tadi. Memang benar, sejak sepuluh tahun lalu, kita masih menumpukan pengajaran dan pembelajaran bahasa kepada bidang kognitif sajak. Bidang psikomotor dan afektif dilaksanakan dengan agak terhad. Bidang afektif mungkin jelas tidak berhasil sebab penanaman rasa cinta dan bangga terhadap bahasa memang masih berkurangan .

Rasa cinta dan bangga hanya timbul kalau orang sudah kenal pada bahasa itu,dan dapat menggunakannya dengan sempurna dan meluas. Kalau dibuat tinjauan umum, memang akan ketara bahawa kita, apa saja kaumnya, akan pantas mengubah percakapan kepada bahasa Inggeris atau bahasa lain semasa bertutur, mungkin didorong oleh keperluan ,rasa bangga,atau apa saja. Akibatnya, bahasa Malaysia masih mengongsi peranan dengan bahasa Inggeris di dalam kehidupan hari kita. Apa yang perlu dilakukan dengan lebih terang lagi ialah, supaya bahasa Malaysia baku lebih banyak dipertuturkan di luar dan di dalam kelas agar bahasa Malaysia baku itu jadi lebih meluas.

Memang ini bukan gambaran menyeluruh. Ada orang yang menggunakan bahasa Malaysia dengan fasih, tetapi kita perlu berusaha lagi. Oleh sebab dirasakan bahawa, bidang kognitif (dan juga psikomotor) sudah mencukupi, maka harus kita dapat memperkukuhkan bidang afektif di dalam pengajaran bahasa Malaysia. Ini mungkin memerlukan kita memberi penilaian kembali terhadap usaha dan langkah tersebut. Misalnya, mungkin perlu kita tonjolkan bahawa bahasa Malaysia (yang berasal daripada bahasa Melayu itu) dituturkan oleh hampir 180 juta orang, dan ini membuatnya menjadi bahasa keenam terbesar di dunia! Bahasa itu juga mempunyai sastera dan budaya yang kaya, dan mampu menampung segala keperluan perhubungan mereka. Sebarang kekurangan sedang dibina oleh agen perancang bahasa kita, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Objektif yang diberi untuk KBSR ialah: cintakan bahasa Malaysia, memahami pendengaran berupaya mengeluarkan pendapat, berupaya membaca, berupaya menulis, berupaya menggunakan bahasa Malaysia untuk belajar dan meluaskan pengetahuan, serta berupaya menghayati prosa dan puisi. Pengetahuan bidang kognitif itu dapat dilihat daripada pencapaian mengenai butir-butir mengenai tatabahasa. pengetahuan dalam bidang kognitif ternyata di dalam pelajaran 2,3,4,5, dan 6, manakala bidang afektif pula dapat dilihat di dalam pelajaran 1,2,6,7 dan 8 dan bidang psikomotor dalam pelajaran 2,3,4,5,6 dan 7. Dari segi percubaan menyerapkan tujuan-tujuan tersebut, memang terlihat bahawa, bahan yang dibentuk oleh KBSR mengandungi unsur-unsur afektif tersebut. Walau bagaimanapun, kesannya agak sukar dinilai pada masa ini. Keseluruhan sukatan pelajaran itu akan hanya selesai dilaksanakan pada tahun 1986. Oleh yang demikian wujudlah kesukaran untuk membandingkan kesan kedua-dua bahan tersebut. Memang ada bahan-bahan lain yang didapati daripada projek InSPIRE di USM, tetapi ini hanya bahan-bahan projek kajian saja. Kesemuanya menggabungkan pengetahuan kognitif, afektif dan psikomotor sekaligus: Sebenarnya bahan ini masih dimonopoli oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Oleh sebab dua perkara ini, maka sukarlah untuk menilai penulisan buku-buku untuk KBSR tersebut. Memang ada buku-buku bacaan tambahan yang disediakan tetapi tidak dapat dibandingkan secara khusus dengan buku darjah V di dalam sukatan pelajaran lama.

Dapat diperhatikan wujud kesedaran dan perubahan terhadap pengajaran pengetahuan psikomotor dan afektif berbanding dengan keadaan sepuluh tahun lalu, di dalam pengajaran bahasa. Memang telah disedari bahawa penyampaian pelajaran saja adalah tidak memadai. Perkembangan positif, lebih-lebih lagi sebagai yang ternyata dalam tujuan KBSR adalah merupakan langkah-langkah di dalam mengatasi kelemahan sukatan pelajaran lama. Diharapkan pendidikan sebenar yang mengambil kira pengetahuan psikomotor dan afektif juga akan berjaya melalui pelaksanaan KBSR ini. Di dalam hal ini, peranan penulis buku amatlah penting. Kegagalan mereka di dalam menerapkan ketiga-tiga bidang pengetahuan di dalam buku-buku mereka akan menimbulkan kelemahan sebagai mana yang wujud sepuluh tahun dulu.

No comments:

Post a Comment