Tuesday, March 24, 2009

2. BAHASA MALAYSIA SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN DAN CABARANNYA

Seminar on Linguistic Problems of Minority Group Relations in Southeast Asian Countries, Mahidol University, Bangkok, 13-17 Januari 1975

BAHASA MALAYSIA SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN DAN CABARANNYA

1.1 Pendahuluan

Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum. Tiga kaum terbesar bermastautin di Malaysia ialah Melayu, Cina dan India. Di samping itu pula terdapat beberapa kaum yang kecil bilangannya seperti Arab, Thai, Portugis dan lain-lain lagi. Mereka ini semuanya menuturkan bahasa-bahasa yang berlainan. Terdapat juga di samping itu kaum bumiputera lain daripada kaum peribumi (atau asli).

Bahasa Melayu (Malaysia/Kebangsaan) dipertuturkan dengan luasnya bukan saja oleh penduduk Melayu tetapi juga oleh kaum lain yang tinggal di Malaysia. Dengan kata lain, bahasa Melayu itu dipertuturkan oleh semua suku kaum dan tinggal di negara Malaysia ini. Suatu keadaan yang nyata terdapat di Malaysia ialah suku-suku yang berlainan bangsa ini tinggal agak berasingan antara satu sama lain, dan ini telah menyebabkan perpaduan kaum menjadi isu penting. Adalah menjadi suatu persoalan sama ada perpaduan kaum itu dapat dicapai di Malaysia melalui bahasa atau cara lain.

Pertemuan mereka hanya terhad kepada pertembungan sosial sehari-hari. Keadaan begini tidak boleh dianggap sebagai sesuai untuk perkembangan bahasa Malaysia tersebut. Oleh yang demikian, kebanyakan daripada puak pendatang itu, lebih-lebih lagi mereka yang tergolong kepada generasi yang lebih tua, hanya dapat bertutur dalam bahasa Malaysia pasar saja. Sebenarnya bahasa pasar ini sudah agak mencukupi untuk keperluan mereka sehari-hari di dalam hal berjual beli dan perhubungan yang tidak begitu kompleks. Tetapi golongan yang lebih muda, lebih-lebih lagi mereka yang telah mendapat pendidikan di sekolah-sekolah di Malaysia, sudah boleh dikatakan mempunyai kemahiran yang agak baik dalam bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia menjadi mustahak kepada mereka demi kepentingan, peperiksaan, pekerjaan, pentadbiran kerajaan dan lain-lain. Jadi, bahasa Malaysia memang memainkan peranan penting, di dalam konteks pembinaan negara Malaysia.

Dari segi perangkaan, kaum Cina adalah yang paling ramai di antara kaum pendatang yang tersebut di atas. Mereka kebanyakannya tinggal di kawasan-kawasan perbandaran dan lombong. Sebenarnya mereka ini menuturkan beberapa buah dialek bahasa Cina. Setiap satu dialek itu tidaklah dapat dituturkan atau difahami oleh kaum yang menentukan suatu dialek yang lain. Di antara dialek-dialek yang dituturkan ini ialah Hokkien, Kanton, Hakka dan Tieuchiu. Dialek Mandarin pula sebenarnya, dituturkan pula sebagai suatu bahasa perantaraan oleh mereka yang telah terdidik melalui sekolah Cina. Bilangan penduduk India juga agak ramai. Sebagaimana penduduk Cina juga, mereka ini datang dari beberapa daerah India yang berlainan, jadi mereka juga menuturkan bahasa-bahasa yang berlainan bergantung kepada negeri tempat asal mereka di India. Bahasa-bahasa yang dituturkan oleh masyarakat India ini ialah, Tamil, Telugu, Malayalam, Punjabi, Urdu, Benggali dan Sinhali. Ternyata setiap orang daripada mereka ini bertutur dalam satu atau dua bahasa yang tertentu saja.

Ada juga terdapat bahasa-bahasa minoriti yang lain. Salah satu daripada bahasa golongan minoriti ini ialah Thai yang dituturkan oleh masyarakat Melayu yang tinggal di kawasan yang bersempadan dengan negara Thai. Di Melaka pula terdapat segolongan penduduk keturunan masyarakat Portugis yang menggunakan sejenis bahasa kacukan. Di samping itu terdapat pula segolongan kecil masyarakat Arab yang juga masih menggunakan bahasa mereka, tetapi golongan ini dapat dikatakan sedang diasimilasikan ke dalam masyarakat Melayu. Walaupun begitu, bahasa Arab terdapat diajar di semua sekolah Arab (agama) di negara ini. Tetapi sekolah ini semakin kurang kepopularannya untuk menyebarkan bahasa tersebut. Bahasa Arab ini, tidaklah tersebar luar penggunaannya di luar daripada masyarakat Arab tersebut dan kegunaannya terbatas di dalam hal-ehwal agama saja.

Sebenarnya ada juga bahasa golongan bumiputera lain yang dituturkan oleh penduduk Malaysia. Di kawasan Semenanjung Malaysia kita akan dapati beberapa suku bangsa orang asli; yang kalau diperhatikan betul-betul, menuturkan tiga buah bahasa yang berlainan. Bahasa orang-orang Negrito adalah dipercayai bahasa yang paling tua di antara bahasa-bahasa orang asli ini. Bahasa yang kedua ialah yang dituturkan oleh orang-orang Senoi. Bahasa orang-orang Senoi ini ada hubungannya dengan bahasa-bahasa orang asli di negara-negara Asia Tenggara yang lain seperti Thailand, Vietnam, Laos dan Khmer. Akhir sekali terdapat pula golongan orang asli yang menuturkan bahasa Melayu kuno, atau lebih kerap dikenali sebagai bahasa orang Jakun. Sebenarnya setiap satu daripada bahasa orang-orang asli ini, terbahagi pula kepada beberapa buah dialek yang berasingan. Bahasa bumiputera ini lebih banyak jenisnya di kalangan masyarakat bumiputera Sabah dan Sarawak. Ini juga adalah disebabkan oleh keadaan geografi negeri-negeri tersebut yang membahagi-bahagikan penduduk negeri itu sehinggakan mereka jarang bertembung antara satu sama lain dan menimbulkan keadaan bahasa-bahasa yang berbeza-beza dari satu daerah ke daerah yang lain. Antara bahasa-bahasa yang penting di Malaysia Timur ini ialah Iban, Kadazan, Bidayuh, Melanau, Bisaya, Murut, Kelabit, Kayan, Kenyah dan Penan.

Di samping bahasa-bahasa masyarakat bumiputera, dan bahasa vernakular seperti Tamil dan Cina terdapat pula bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris ini agak luas penyebarannya baik dari segi penggunaannya mahupun dari segi bilangan penuturnya.

1.1 Bahasa Kebangsaan

Oleh sebab keadaan linguistik yang begitu berbagai di Malaysia, maka secara sekali imbas kita akan dapat melihat bahawa ada masalah yang nyata dalam menentukan yang mana satu untuk dipilih menjadi bahasa kebangsaan. Pilihan itu haruslah yang dapat memuaskan hati semua golongan, dan juga mesti dapat dihormati dan dijalankan dari semua segi, baik sosial, ekonomi, politik dan sebagainya. Semasa Malaysia (dulunya Malaya) masih terletak di bawah pemerintahan penjajah Inggeris, tidak pernah ada usaha yang dibuat untuk memilih sebuah bahasa kebangsaan. Bahasa Inggeris, pada masa itu telah digunakan seluas-luasnya sebagai bahasa pendidikan dan pentadbiran. Ternyata bahawa ini adalah merupakan satu dasar pemerintahan penjajah Inggeris. Untuk menguatkan dan meneruskan kuasa mereka di Malaysia, maka mereka telah dengan sengaja membiarkan penduduk-penduduk Malaya terbahagi dan tinggal berasingan dari segi kebudayaan, ekonomi dan bahasa.

Keperluan untuk memilih sebuah bahasa Kebangsaan yang tunggal adalah menjadi mendesak selepas Malaya berkerajaan sendiri pada tahun 1957. tetapi sebenarnya, persoalan ini telah lama timbul dan difikirkan oleh golongan-golongan bumiputera yang tertentu, terutamanya, para pendidik dan penulis. Angkatan Sasterawan 50 telah menyuarakan bahawa kemerdekaan dalam pemerintahan tidaklah dapat dianggap berhasil atau bermakna sekiranya kaum bumiputera tidak dapat turut menyertai perbincangan atau mengambil bahagian untuk berbincang dalam dewan-dewan perundangan di Malaysia. Jadi mereka tidaklah akan dapat turut serta dalam menjalankan pemerintahan negara mereka. Perkara seperti ini dianggarkan akan berlaku kerana, sebab pada masa itu hanya lebih kurang 10% dari bilangan penduduk yang mampu bertutur dalam bahasa Inggeris, iaitu bahasa yang digunakan dalam pentadbiran negara. Keadaan begini sudah tentunya menghalang sebilangan penduduk Malaysia, biak dari apa suku bangsa sekalipun, daripada turut serta dalam mentadbirkan negara mereka. Oleh yang demikian, untuk membolehkan penduduk Malaysia menjalankan hal-ehwal pentadbiran diri dan negara mereka sendiri, makan amatlah penting mereka menggunakan sebuah bahasa yang lebih luas dipergunakan. Tambahan pula, sebagai sebuah negara yang baru merdeka, maka perlulah adanya sebuah bahasa Kebangsaan untuk kepentingan identiti yang sama bagi semua rupa bangsa yang tinggal di Malaysia. Jadi keperluan bagi sebuah bahasa Kebangsaan adalah amat mendesak. Dalam hal ini, bahasa Melayu telah difikirkan yang paling layak untuk dijadikan bahasa Kebangsaan Malaysia. Memang benar, ini suatu keputusan politik, tetapi memang tidak ada sebarang keraguan lagi mengenai keputusan ini. Begitu jugalah dalam kebanyakan negara yang baru merdeka, sekiranya, penduduknya terdiri daripada berbilang bangsa dan bahasa, maka keputusan untuk memilih sebuah bahasa Kebangsaan adalah suatu persoalan politik.

Ada banyak faktor dan pertimbangan lain yang juga penting dalam memilih bahasa Kebangsaan ini. Dari segi peratus bilangan penduduk, maka ternyata bahawa penduduk Melayulah yang ramai bilangannya iaitu membentuk 43% dari penduduk Malaysia, sementara penduduk Cina pula membentuk 36% dan India 8% dari penduduk Malaysia. Baki 10% yang lain itu adalah terdiri daripada berbagai-bagai suku bangsa yang boleh dianggap sebagai masyarakat minoriti. Walaupun penutur bahasa Melayu sebagai bahasa kandung itu terdiri daripada hanya 43% dari seluruh penduduk, tetapi bahasa Melayu itu adalah dipertuturkan oleh semua penduduk, tetapi bahasa Melayu itu adalah dipertuturkan oleh semua penduduk sebagai lingua franca termasuklah kalangan golongan masyarakat pendatang. Tetapi bahasa-bahasa pendatang, walaupun dituturkan oleh segolongan penutur yang agak besar bilangannya, tetapi setiap satunya tidaklah seragam. Bahasa Cina itu sebenarnya terdiri daripada beberapa buah bahasa (dialek) yang berlainan seperti Mandarin, Kanton, Hokkien, Tieuchieu, Hainan, Hakka, Kaysai, Amoi dan Foochow. Begitu juga bahasa India yang sebenarnya terbentuk dari beberapa buah bahasa yang berlainan seperti Tamil, Malayalam, Telugu, Sinhali, Punjabi, Benggali, dan lain-lain. Ternyata bahasa mendatang ini tidaklah dapat diterima sebagai suatu bahasa Kebangsaan. Ia bukanlah bahasa bumiputera dan setiap satunya hanya mempunyai bilangan penutur yang kecil, dan penyebarannya tidak luas dan tidak seragam. Hanya bahasa Melayu sajalah yang luas dipergunakan oleh penduduk Malaysia tidak kira apa rupa bangsa. Apa yang lebih penting untuk menjadi pertimbangan ialah bahawa bahasa Melayu dituturkan itu adalah agak seragam. Dalam istilah ini jelaslah bahawa bahasa Melayulah yang luas sekali digunakan, atau bahasa majoriti penduduk Malaya, pada masa itu.

Pendaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukanlah bermakna bahawa bahasa-bahasa pendatang di Malaysia ini didiskriminasikan. Hak setiap bahasa asing itu terpelihara dalam Perlembagaan Malaysia (1972:116-7). Bahasa-bahasa lain adalah dibenarkan untuk dipergunakan dan dipermajukan bersama-sama bahasa Malaysia. Sebenarnya, sekolah-sekolah yang menggunakan bahasa asing itu tidak terganggu di Malaysia. Dasar kerajaan adalah untuk membolehkan bahasa-bahasa ini wujud bergandingan. Tetapi dalam proses membangun negara seperti ini, maka kewujudan bahasa-bahasa pendatang itu janganlah pula menghalang perkembangan bahasa Kebangsaan itu daripada menjadi maju dan kukuh.

Apabila Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, maka secara perlembagaan bahasa Melayu dijadikan bahasa Kebangsaan yang tunggal di Malaysia. Hasrat ini dirancangkan supaya dijalankan secara berperingkat-peringkat melalui sistem pendidikan negara. Bahasa Melayu dirancangkan supaya menggantikan bahasa Inggeris secara berperingkat-peringkat dalam pendidikan dan pentadbiran. Walau bagaimanapun, pelaksanaan yang dijalankan oleh pemerintah tidaklah begitu tegas pada mulanya. Pelaksanaan itu seharusnya dijalankan secara berlembut dengan jalan meyakinkan bangsa-bangsa asing supaya mempelajari bahasa Malaysia tanpa paksaan. Ternyata bahawa cara ini telah tidak memberi kesan sebagai yang dirancangkan. Sepatutnya, dalam masa sepuluh tahun selepas merdeka, iaitu pada tahun 1967, bahasa Malaysia dijadualkan supaya dapat menggantikan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam bidang pentadbiran dan pendidikan. Walaupun kebanyakan warganegara Malaysia yang terdiri dari kaum mendatang ini bersimpati dan bersetuju dengan dasar ini, tetapi mereka tidaklah mengambil apa-apa langkah yang konkrit kerana dasar pelaksanaan itu tidak mempunyai sebarang desakan.

Walaupun demikian, usaha awal ini tidaklah pula boleh dikatakan gagal sama sekali. Kebanyakan penduduk Malaysia menyalakan pemerintahnya sendiri dalam kegagalan mereka melaksanakan dasar ini dengan lebih tegas lagi. Oleh sebab itu, selepas 1969, kerajaan telah mengambil sikap yang lebih berani dan tegas dalam melaksanakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah, untuk menggantikan bahasa Inggeris. Berikutan dengan itu juga , bahasa Malaysia dijadikan syarat untuk mendapat pekerjaan, lebih-lebih lagi dalam sektor kerajaan, dan juga guna untuk ketetapan dalam jawatan, serta kelulusan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Selepas lebih kurang tujuh tahun, Malaysia mulai dapat melihat hasil-hasil yang lebih tegas dan memuaskan menuju matlamat yang dirancangkan. Hasrat kerajaan ialah untuk menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar penuh di sekolah-sekolah dan universiti-universiti. Sebenarnya kalau ditinjau pula pelaksanaan bahasa Malaysia dalam bidang pendidikan, maka sebenarnya akan terdapat suatu hal yang amat menarik. Bahasa Malaysia sememangnya telah pun dipergunakan untuk menyampaikan kursus-kursus di peringkat universiti pada mas ini. Dalam hal ini dapat dikatakan yang hasrat dan tujuan kerajaan ini telah tercapai dalam beberapa hal, dan dasar ini sudah maju dan merupakan suatu feit accompli.

1.2 Pembakuan Bahasa Malaysia

Yang dimaksudkan dengan pembakuan ialah suatu norma penggunaan yang baku dan umum di dalam suatu kawasan yang menunjukkan perbezaan-perbezaan dalam penggunaan bahasa disebabkan oleh perbezaan sosial dan daerah yang wujud (Ray, P.S. 1963:12). Di Asia dan Afrika, iaitu di negara-negara yang baru merdeka, bahasa baku itu biasanya adalah juga merupakan bahasa rasmi negara itu. Apa yang dikatakan bahasa rasmi itu ialah bahasa yang digunakan sebagai bahasa penyampaian pengumumman-pengumuman rasmi dan juga dalam pendidikan. Bahasa rasmi itu juga kerap kalinya menjadi faktor yang menggalakkan perpaduan, kesatuan dan pemodenan, (walaupun ada negara yang masih berpecah kerana bahasa rasmi, seperti India). Dalam kata lain, pembakuan ialah suatu proses perkembangan yang semula jadi untuk kepentingan sosial dan kebudayaan dan perpaduan politik negara-negara ini (Alisjahbana, S.T. 1965:15).

Jadi, bahasa baku itu sebenarnya ialah suatu norma yang agak seragam, atau suatu dialek bahasa yang digunakan oleh sesuatu golongan penutur untuk berhubungan. Dalam hal ini, lebih seragam bahasa itu, maka lebih efisienlah, dan keadaan demikianlah yang diperlukan. Apa yang diertikan dengan efisien ialah kemampuannya untuk menerangkan apa yang dimaksudkan oleh penuturnya.

Norma ini berubah-ubah dari sebuah wilayah ke sebuah wilayah lain, ataupun dari masa ke semasa. Walaupun di dalam sesuatu keadaan yang unggul, norma ini harusnya tidak berubah-ubah, tetapi memanglah diterima bahawa keadaan seperti itu adalah mustahil. Perbezaan norma baku sebuah bahasa itu seharunya berlaku akibat dialek geografis dan sosial, penutur-penutur bahasa Malaysia di daerah Semenanjung Malaysia Utara harus lebih biasa membunyikan huruf a di akhir perkataan dengan a, sementara penutur-penutur yang di selatan pula membunyikannya sebagai e (tanda). Dari segi tatabahasa pula, mereka yang di utara mungkin lebih cenderung menggunakan awalan per- untuk menerbitkan kata kerja transitif, di selatan pula lebih cenderung menggunakan akhiran –kan untuk tujuan yang sama, misalnya dalam perkataan perhangat (Kedah) hangatkan (Johor). Dari segi sosial pula, harus ada keutamaan yang diberi kepada bahasa buku atau bahasa yang bersifat lebih formal di kalangan mereka yang datang daripada golongan atasan, dan bahasa basahan bagi golongan bawahan.

Bahasa juga sentiasa berubah kalau ditinjau dari segi masa. Sesuatu yang dianggap baku pada satu masa dulu harus tidak lagi dianggap baku pada masa ini. Apa yang baku pada masa ini harus tidak akan dianggap baku lagi pada masa hadapan. Paling mudah kita mengambil suatu contoh daripada kosa kata bahasa Malaysia; adalah kata-kata yang pada suatu masa dulu agak merupakan suatu penggunaan yang baku, tetapi tidak lagi pada masa ini. Malahan, anak-anak di sekolah tidak langsung menemui istilah: sifar, sifir, iktisad dan lain-lain, yang agak luas digunakan dalam dua puluh tahun dulu, tetapi sudah jarang digunakan sekarang. Begitu juga siasah telah lama digantikan oleh politik. Bukan bentuk kata saja mungkin berubah, erti kata juga boleh mengalami perubahan. Misalnya, menyeberang harus bererti khusus untuk ‘menyeberangi sungai’, tetapi pada hari ini ia juga digunakan dalam hal ‘menyeberangi jalan’. Perubahan ini berlaku kerana bahasa sebagai suatu alat yang hidup di dalam sesuatu kebudayaan adalah sentiasa berkembang. Bahasa juga turut berubah untuk sesuai dengan perkembangan kebudayaan, dan apa yang dianggap baku juga akan terus berubah-ubah dari semasa ke semasa.

Kesedaran politik orang-orang Melayu telah membangkitkan langkah-langkah untuk memberi Malaysia sebuah imejnya sendiri, dan kebudayaannya sendiri, dan salah satu dari aspek kebudayaannya yang terang-terang akan memberi imej yang dikehendaki itu ialah melalui bahasa. Ini telah menimbulkan kemahuan untuk memperkembangkan bahasa Malaysia untuk menjadi bahasa Kebangsaan mereka (bandingkan, Ferguson, C.A. 1968:28). Walau bagaimanapun langkah yang konkrit dan berkesan hanya dapat dilihat dengan jelasnya selepas Malaysia mencapai autonomi di dalam politik. Sebaik saja bahasa Melayu dijadikan bahasa Kebangsaan, beberapa masalah timbul dengan serta-merta. Ternyata bahasa itu tidak lengkap, dan kurang dalam banyak segi untuk mendukung peranannya yang baru sebagai bahasa Kebangsaan. Sebelum itu bahasa Malaysia hanya terhad dalam peranannya sebagai bahasa perantaraan dalam perhubungan sosial yang agak terhad. Bahasa Melayu digunakan di dalam pendidikan pada peringkat sekolah rendah saja. Ia tidak pernah diperlukan supaya digunakan sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi dan di dalam bidang peristilahan khusus untuk menjelaskan konsep-konsep baru. Oleh yang demikian, adalah paling penting yang bahasa itu harus diperkembangkan segera untuk tujuan itu.

Proses perkembangan sesebuah bahasa itu dapat dibahagikan ke dalam tiga komponen yang berlainan: (a) pengabjadan (b) pembakuan dan (c) modenisasi (bandingkan, Ferguson, C.A. 1968:34). Apa yang dimaksudkan dengan pengabjadan ialah penggunaan abjad penulisan. Pembakuan pula bermaksud penggunaan sebuah norma supra-dialek, dan modenisasi bermaksud penciptaan istilah-istilah untuk menampung konsep-konsep moden yang dibawa masuk ke dalam sesuatu bahasa itu. Walau bagaimanapun, keseragaman 100% di dalam mana-mana bahasa adalah mustahil. Bentuk ini hanyalah sesuatu yang harus dijadikan matlamat untuk dicapai, dan bukannya sesuatu yang mesti wujud. Tetapi persoalannya adalah bahasa Malaysia pada masa ini mempunyai norma supra-dialek tersebut untuk diperkembangkan. Jawapan kepada soalan ini ialah, tentu sekali ada. Bahasa Malaysia, memangnya sudah mempunyai sebuah rupa bahasa yang dipergunakan dengan agak luas dan boleh diterima sebagai model kebanyakan penduduk Malaysia. Misalnya, bahasa yang dipergunakan dalam radio dan televisyen, dan percetakan-percetakan awam, sudah boleh dianggap sebagai cukup sifatnya untuk diperkembangkan. Memang diakui bahawa suatu kodifikasi bahasa ini masih belum lengkap kemaskini, tetapi, ini tidak bererti yang ia tidak boleh diperkembangkan. Pada peringkat ini, saya ingin menumpukan perbincangan saya kepada langkah-langkah yang diambil dan dijalankan bagi menegakkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, iaitu salah satu dari aspek penting yang akan dapat mewujudkan suatu kebudayaan kebangsaan yang berteraskan kebudayaan Melayu, dan beralatkan bahasa Malaysia.

1.3.1 Pengabjadan

Sebelum ejaan bersama Indonesia-Malaysia diperkenalkan pada bulan Ogos 1972, Bahasa Malaysia menggunakan ‘Ejaan Sekolah’, iaitu suatu sistem ejaan yang mula-mulanya dibentuk oleh sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh ketua Nazir Sekolah di Malaya pada tahun 1904; iaitu R.J. Wilkinson. Kemudian sistem tersebut dibaiki oleh Za ‘ba dan sistem Wilkinson-Za ‘ba itulah yang kekal digunakan di Malaysia, di sekolah, kolej, universiti, jabatan-jabatan kerajaan dan oleh sebaran am di seluruh Malaysia sehingga tarikh itu. Sistem ejaan yang digunakan tersebut agak stabil untuk beberapa lam. Tetapi, sebagaimana yang diterangkan oleh Alisjahbana(1965:25) ia mengandungi beberapa perkara yang tidak konsisten. Jadi masalah pengabjadan bukanlah merupakan suatu yang menjadi persoalan rumit. Sementara itu, Indonesia pula menggunakan suatu sistem ejaan yang agak berbeza sekali dari yang digunakan di Malaysia. Memang senang dapat difahami kenapa perbezaan demikian terjadi. Malaysia sejak lama terletak di bawah pengaruh Inggeris dan sistem pendidikannya amat terang dipengaruhi oleh Inggeris. Dengan demikian sistem ejaan yang dipakai tersebut juga adalah kuat dipengaruhi oleh sistem pengabjadan Inggeris, manakala bahasa Indonesia pula dipengaruhi oleh bahasa Belanda. Inilah yang menyebabkan jarak perbezaan di antara dua sistem ejaan yang dipakai itu walaupun kedua-duanya merupakan bahasa yang hampir-hampir sama. Maslah berbezaan di antara kedua-dua sistem inilah yang menyebabkan Ejaan Bersama itu terbentuk. Ini bukanlah bermakna mana-mana sistem itu tidak lengkap. Tetapi adalah difikirkan lebih beruntung sekiranya kedua-dua bahasa ini menggunakan sistem ejaan yang sama, demi kepentingan lebih dari 120 juta orang penutur.

Semasa sistem Ejaan Baru itu diperkenalkan, sambutan dari ahli linguistik di Malaysia agak baik, tetapi orang ramai seperti biasa agak hati-hati dalam menghadapi sesuatu yang baru. Apa yang menjadi kesukaran pada peringkat awal pelaksanaan sistem Ejaan Baru itu ialah, ketiadaan sebuah daftar ejaan lengkap atau sebuah kamus dalam sistem baru tersebut. Ini telah menimbulkan kesukaran yang amat sangat kepada pengguna bahasa. Apa yang ada ialah sebuah buku panduan kecil, yang pada mulanya nampaknya agak mudah, tetapi sebenarnya menimbulkan beberapa masalah rumit apabila ia dipelaksanakan. Pedoman tersebut ternyata tidak lengkap, dan terdapat beberapa kelonggaran, ada peraturan yang disalahterapkan, ada yang keterlaluan dalam menerapkan sesuatu peraturan, dan sebagainya. Hasilnya, sistem ejaan yang sudah agak mantap di Malaysia itu terus menjadi kucar-kacir.

Hal ini memanglah bukan saja menimbulkan kesukaran dalam proses pembelajaran bahasa Malaysia oleh orang-orang yang bukan penutur bahasa Malaysia sebagai bahasa kandung, bahkan juga menyusahkan orang-orang Melayu sendiri dalam mempelajari bahasa Malaysia (bandingkan, Alisjahbana 1965:28). Beberapa kesukaran dalam hal ejaan ini dapat diperhatikan dan setengah daripadanya akan diperbincangkan di sini. Sistem Ejaan Baru ini menghendaki i atau u dipakai, kalau vokal dalam suku kata praakhir itu ialah i, a, u, atau e, misalnya bilekbilik;

hidonghidung; balekbalik; batokbatuk; buket bukit; bulohbuluh; dan betek betik; telortelur. Hal ini memang dapat dipertanggungjawabkan dari segi fonemik, iaitu kontras di antara /i/ dengan /e/, dan /u/ dengan /o/ telah menjadi neutral di dalam lingkungan yang diberi di atas. Aturan ini memang baik dan kemas dari segi linguistik, dan merupakan kejayaan kepada ahli linguis. Tetapi, ia adalah amat mengelirukan para pengguna bahasa. Bersabit dengan peraturan ini, tiga kesalahan ejaan kerap berlaku. Pertama, rumusan ini diterapkan degan luasnya, termasuk kata-kata yang tidak mempunyai lingkungan fonemik yang serupa, walaupun rumusan ini hanya mengatakan bahawa /i/ dan /u/ dipakai di dalam suku kata akhir tertutup apabila vokal dalam suku kata praakhir itu ialah salah satu dari /i/, /a/, /u/ dan /e/. Sebenarnya, ialah vokal-vokal ini dapat mempengaruhi vokal yang mengikutinya dalam suku kata tertutup. Tetapi kerap kali, apa yang berlaku ialah rumusan ini diterbalikkan, atau diterapkan seolah-olah vokal dalam suku kata akhir itu pula yang menentukan rupa bentuk vokal yang mesti hadir dalam suku kata sebelumnya. Akibatnya ialah dewan dijadikan *diwan, kecewa dijadikan *keciwa dan rosak dijadikan rusak. Kesalahan umum yang kedua ialah rumusan ini diterapkan secara meluas sekali, meliputi kata-kata yang mempunyai /e/ dan /o/ dalam suku kata praakhir seperti goreng → *goring, boleh → *bolih, dan belek→*belik, pendek→*pendik. Sepatutnya hal ini tidak berlaku demikian. Kesalahan ketiga yang sering berlaku ialah, kegagalan para pengguna bahasa dalam mengenali perbezaan di antara e (tanda) dan e dalam ejaan, kerana kedua-duanya diberi simbol e. Ini memanglah suatu daripada kekurangan dalam sistem perlambangan dalam Ejaan Baru tersebut. Bahasa Melayu mempunyai enam vokal, tetapi keenam-enamnya hanya diberi lima abjad saja, dan lambang e dipakai untuk kedua-dua /e/ dan /e/. Ini adalah suatu masalah besar, lebih-lebih lagi kepada orang-orang bukan Melayu. Dalam hal ini sistem ejaan sekolah yang menggunakan enam lambang vokal termasuk e (tanda) untuk /e/ adalah lebih sempurna. Pendek kata, penerimaan lambang /e (tanda) itu harus akan dapat menghindarkan masalah yang berlaku. Kesalahan yang kerap berlaku mengenai hal ini ialah bahawa penggunaan bahasa gagal untuk membezakan tempoh ‘masa’ dan tempuh ‘melanda’, atau telor ‘pelat’ dan telur ‘telur’. Begitu juga, dari segi bacaan, pelajar akan menghadapi kesukaran untuk mengenali sepak sama ada ia [sepak] atau [sepak].

Ejaan Baru yang diisytiharkan dalam tahun 1972 tersebut memang mempunyai beberapa kelemahan. Kalau tujuan ia dibentuk ialah untuk menyeragamkan ejaan bahasa Indonesia dan Malaysia, maka dalam hal itu terdapat beberapa perkara yang menyebabkan wujudnya ketidaksamaan tersebut. Tanda baca, adalah salah satu daripada aspek yang masih berbeza di antara kedua-dua bahasa tersebut. Misalnya, penggunaan tanda baca; 1,780.43 di Malaysia dan 1.780,43 di Indonesia. Perkara ini telah diperbaiki, dan dalam bulan Ogos 1975, diisytiharkan Pedoman Umum Eaan Bersama Indonesia/Malaysia. Diharapkan, pedoman ini akan dapat dengan lebih baik menyeragamkan ejaan yang dipergunakan bagi bahasa Indonesia dan Malaysia tersebut.

Walaupun demikian, ternyata hal ini masih belum selesai. Sistem Ejaan Baru itu masih belum sebati, atau betul-betul difahamkan oleh para pengguna bahasa Malaysia. Kesalahan ejaan masih luas berlaku walaupun sudah ada kamus ejaan baru yang dikeluarkan untuk menjadi pedoman ramai. Para guru yang mengajar bahasa pun kadang-kadang masih keliru dalam hal ini. Hal ini ternyata berlaku apabila kita meneliti ejaan-ejaan di akhbar dan majalah di dalam bahasa Malaysia. Lebih tepat lagi, kekeliruan yang lebih, merunsingkan dapat diperhatikan dalam kertas-kertas jawapan calon-calon peperiksaan. Di sini amat jelas terdapat kesalahan ejaan tersebut. Bahkan ada pula calon yang cuba melarikan diri dari melakukan kesalahan demikian dengan menggunakan ejaan Jawi. Malangnya calon demikian lebih banyak pula membuat kesalahan ejaan kerana kurang mahir dalam peraturan ejaan Jawi tersebut. Kesalahan dan ketidakstabilan sistem ejaan ini telah diakui berlaku oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Tan Sri Hamdan Tahir, di dalam ucapannya tatkala membuka persidangan Majlis Bahasa Indonesia/Malaysia yang ketujuh pada 4-10 Februari 1976 yang lalu. Pendek kata sesuatu langkah yang positif mestilah diambil dari sekarang untuk memperbaiki keadaan ini.

Ucapan atau sebutan adalah suatu unsur penting di dalam usaha pembakuan bahasa. Dalam Ejaan Baru ini juga terdapat beberapa masalah ejaan yang melibatkan sebutan sesuatu perkataan itu. Walau bagaimanapun masalah sebutan ini tidaklah boleh dikatakan sebegitu berat. Ada dua masalah yang dapat diperhatikan mengenai ketidakkonsistenan sebutan yang berbangkit daripada sistem ejaan tersebut. Masalah yang pertama, telah disentuh di atas tadi. Ia terbit daripada akibat memakai huruf e untuk melambangkan dua fonem yang berlainan iaitu /e/ dan /É™/ (schwa). Kamus-kamus yang baru dicetak dalam Ejaan Baru ini, melainkan Kamus Pelajar oleh Daud Baharum, Advanced Malay-English Dictionary oleh Zainal Abidin Safarwan, dan kamus yang ditulis oleh R.O. Winstedt dan Wilkinson tidaklah menunjukkan perbezaan fonemik antara e (tanda) dan e ini. Winstedt dan Wilkinson, dengan menggunakan Ejaan Sekolah masih dapat menunjukkan perbezaan di antara kedua-dua fonem ini dengan jelasnya. Nampaknya, sejak akhir-akhir ini, perbezaan di antara kedua-dua fonem ini tidak diberatkan sangat. Ini adalah agak tidak bijak, lebih-lebih lagi pada masa bahasa Malaysia itu sedang dengan aktifnya dipelajari oleh penduduk bukan Melayu di Malaysia. Ini telah menyebabkan salah sebutan huruf e (tanda) sebagai e. Oleh sebab lambang kedua-duanya ialah e, mak e (tanda). Hal ini menjadi lebih rumit lagi dengan adanya kata-kata yang homografis tetapi takhomofon seperti sepak [sepak] dan [sepak], dan bela [bela] dan [bela]. Kata-kata yang mengandungi [e] ini selalunya dibunyikan sebagai [e] di dalam kedua-dua hal. Ini adalah kerana tidak ada tanda yang khusus untuk menentukan e itu adalah e. Demikian juga kesukaran dalam sebutan ini juga berjangkit kepada e yang semestinya e seperti dalam lebah dan dengan yang selalu saja disebut sebagai [lebah] dan [dengan]. Sebenarnya kesalahan ini akan dengan mudah dapat dihindari sekiranya huruf e itu diterima dalam sistem Ejaan Baru itu, ataupun sekurang-kurangnya, semua kamus memberi pedoman yang jelas tentang sebutannya dengan tiada sebarang ketaksaan. Masalah kedua tidaklah sebegitu berat jika dibandingkan dengan yang dibincangkan di atas. Ini ialah masalah sebutan yang melibatkan bunyi [?] di akhir kata. Bunyi ini biasanya dilambangkan dengan huruf k di akhir suku kata. Biasanya huruf k di akhir suku kata itu hendaklah disebut sebagai [?] seperti masak [masa?], makna [ma?na], dan letakkan [leta?kan]. selalunya kamuslah yang menjadi panduan dalam sebutan, dan ini mudah dilakukan dengan memberi pedoman lengkap mengenai sebutan. Selalunya seseorang yang bukan Melayu memerlukan pedoman yang agak khusus untuk sebutan. Dengan tiadanya pedoman khusus ini, harus mereka menyebut bunyi k itu sebagai k dalam semua hal, sementara k di akhir suku kata itu ialah [?].

Suatu hal lagi yang melibatkan sebutan adalah mengenai kata pinjaman. Banyak kata-kata asing, kebanyakannya dari bahasa Inggeris dipinjam dan dipakai di dalam bahasa Malaysia. Ada dua cara yang berlaku dalam hal ini untuk menjamin agar sebutan kata itu menjadi seragam. Pertama, melibatkan kata-kata pinjaman yang telah diasimilasikan dari segi bunyi ke dalam bahasa Malaysia semenjak beberapa lama. Dan sekarang telah menjadi agak sebati. Golongan perkataan ini tidaklah membangkitkan sebarang masalah. Kebanyakan kata-kata ini telah lama dipinjam ke dalam bahasa Malaysia dan dari segi bunyi sebutannya. Ia telah diasimilasikan sepenuhnya dengan sistem bunyi bahasa Malaysia. Misalnya pencen, radio, stesen, lesen, adalah telah masuk ke dalam kosa kata bahasa Malaysia sepenuhnya. Dari segi sebutan ini tidak lagi menimbulkan sebarang masalah. Golongan kedua ialah kata-kata pinjaman yang baru dibawa masuk ke dalam bahasa Malaysia. Bagi kepentingan prinsip peristilahan, ejaan kata asal yang dipinjam itu hendaklah diubah ejaannya tetapi jangan sampai merasakan bentuk kata asalnya. Jadi apa yang diubah adalah sekadar yang perlu. Ini adalah untuk menjamin supaya bentuk visual atau ejaannya dapat menunjukkan asalnya. Ini adalah penting, lebih-lebih lagi dalam bidang sains yang apabila sedikit perubahan berlaku kepada lambang hurufnya, mungkin akan memberi pengertian yang lain sekali. Jadi kata factor dari bahasa Inggeris menjadi faktor dan bukan fakta, fekta atau fekte. Begitu juga psychologypsikologi. Menukarkan psy menjadi sai akan membawa pengertian yang lain sekali. Dalam hal ini, apabila ejaan sesuatu kata itu telah disesuaikan, maka sebutannya uga haruslah disesuaikan. Dalam kata-kata yang telah diubahsuaikan ejaannya, maka sebutannya akan diubah menurut nilai bunyi huruf-huruf dalam sistem abjad bahasa Malaysia. Misalnya industryindustri [industri] dan bukan [indastri].

1.3.2 Tatabahasa

Sebuah tatabahasa bahasa Malaysia yang lengkap memanglah diperlukan supaya dapat diperkembangkan sebagai asas bahasa baku, dan dengan demikian akan dapat menimbulkan sebuah rupa bahasa yang digunakan dengan seragam. Ini amat penting, lebih-lebih lagi kerana kebanyakan penutur bahasa Malaysia menuturkannya sebagai bahasa kedua. Mereka terpaksa mempelajari dan memperolehi kemahiran bahasa itu melalui latihan. Tiadanya sebuah tatabahasa untuk dijadikan model atau panduan dalam mempelajari bahasa Malaysia itu akan menimbulkan suatu kesukaran.

Pengajaran dan pembelajaran bahasa Malaysia pada masa ini amat berat bergantung kepada tatabahasa yang dikarang oleh Za ‘ba dalam tahun 40-an dulu. Sudah banyak kali pengarang ini mengesyorkan supaya tatabahasa yang dikarangnya itu dikaji serta diperbaiki dan disusun semula. Tetapi nampaknya, sehingga masa ini syor ini belum pernah diberi perhatian yang serius oleh ahli-ahli bahasa. Memang ada percubaan dalam mengarang tatabahasa yang lebih kemaskini dijalankan oleh beberapa orang ahli tatabahasa. Di antara usaha ini dapatlah disebut karya-karya seperti An Introduction to Malay Grammar, (Asmah Hj. Omar dan Rama Subbiah, 1969). Sementara itu, terdapat pula percubaan teori transformasi generatif untuk menyemak dan menulis semula tatabahasa bahasa Malaysia. Antaranya terdapat dalam makalah-makalah dalam majalah Dewan Bahasa. Artikel demikian dikarang oleh Lutfi Abas dan Raja Mukhtaruddin, 1968: Mei-Oktober dan Liaw Yock Fang, 1969: Mac-Jun. Tetapi apa yang terjadi ialah, oleh kerana deskripsi tatabahasa tersebut ditulis dengan cara yang tidak begitu dimengerti oleh ramai orang, maka ia menjadi sukar untuk difahami oleh orang-orang biasa.

Oleh yang demikian kebanyakan pembaca tatabahasa ini mendapati deskripsi itu susah difahami dan dengan itu tidak ada hasil yang membawa kebaikan didapati daripada deskripsi demikian. Dalam tatabahasa bahasa Melayu, deskripsi morfologi adalah yang amat penting sebab boleh dikatakan tatabahasa bahasa Malaysia adalah lebih berdasarkan bentuk-bentuk katanya. Kebanyakan dari masalah yang terdapat di dalam tatabahasa bahasa Malaysia itu timbul daripada ketaksaan dalam pemerian fungsi-fungsi dan penggunaan imbuhan. Morfologi bahasa Malaysia sama rumitnya dengan masalah ejaannya. Sehingga akhir-akhir ini, guru-guru di sekolah, dan juga penulis buku teks untuk bahasa Malaysia memikirkan yang murid sekolah janganlah disukarkan dengan percubaan mengajar berbagai-bagai jenis dan fungsi imbuhan. Tetapi sebenarnya kalau diamati betul-betul, bilangan imbuhan yang terdapat di dalam bahasa Malaysia itu tidaklah begitu banyak. Tetapi kesalahan anggapan ini, telah mengakibatkan banyak kecacatan. Umpamanya, imbuhan yang menunjukkan ragam seperti me- ‘aktif’ di- ‘pasif’, dan ter- ‘aktif atau pasif tak upaya’ menyebabkan imbuhan transitif seperti per-, kan, dan –i selalu ditinggalkan di dalam proses penerbitan kata. Dengan itu terdapatlah buku-buku teks yang mencuba mengajar perbuatan seperti Ali panjat pokok, dengan tidak menggunakan me- pada perbuatan panjat, Dia membenar saya pergi, (sepatutnya membenarkan), dan Adik menyiram bunga (sepatutnya menyirami). Kesalahan seperti ini telah menimbulkan beberapa ketidak sempurnaan dalam kemahiran bahasa Malaysia sebagai yang dipelajari oleh orang bukan Melayu. Cuba misalnya kita perhatikan masalah imbuhan transitif kausatif –kan. Ia selalu disalahfahamkan sebagai terkandung dalam me-, iaitu sebuah imbuhan yang menunjukkan ragam aktif. Ini telah menerbitkan kata terbitan perbuatan yang tidak sempurna seperti mengguna dan membenar. Sepatutnya kata perbuatan ini mestilah dijadikan transitif dulu dengan menggunakan –kan menjadi gunakan dan benarkan. Kemudian kata perbuatan transitif ini apabila dipakai haruslah menunjukkan ragamnya, iaitu seperti menggunakan ‘aktif’, digunakan ‘pasif’ dan lain-lain lagi. Apa yang berlaku ini dapat disimpulkan dengan kata-kata Alisjahbana yang mengatakan bahawa morfologi bahasa Malaysia menjadi kurang stabil oleh kesalahan-kesalahan begini (1985:29).

Ketaksaan yang terdapat dalam bidang tatabahasa bahasa Malaysia itu, bertambah kusut pula dengan adanya perbezaan di dalam struktur ayat dari satu dialek ke suatu dialek yang lain. Kalau diperhatikan, imbuhan -kan, di-, dan nya tidak terdapat dipakai di dalam dialek Kedah. Imbuhan -kan biasanya digantikan oleh awalan per- (misalnya perhangat, permain dan lain-lain). Dalam dialek Johor pula imbuhan yang sama kerap digantikan oleh -kan seperti hangatkan dan mainkan. Sementara itu imbuhan pasif di- kerap kali digantikan oleh kata sandang kena, misalannya: Ali dipukul oleh guru menjadi Ali kena pukul oleh guru. Dari contoh-contoh di atas, agak jelas ternampak bahawa memang ada perbezaan-perbezaan yang agak besar, dalam bidang tatabahasa di antara dialek-dialek bahasa Malaysia yang menyebabkan proses penyeragamannya menjadi sukar.

Suatu aspek tatabahasa lain yang kerap kali membangkitkan masalah dalam usaha pembakuan ialah kenyataan bahawa ada sedikit saja bilangan imbuhan dalam bahasa Malaysia, tetapi setiap satunya mempunyai banyak fungsi, menurut konteks dan makna bentuk dasarnya. Misalnya me- dalam membawa menunjukkan ‘ragam aktif’ tetapi dalam melayang ia menunjukkan keadaan yang aktif dan di dalam menggunung itu hanya menunjukkan ‘keadaan’ dan dalam mengantuk pula ia menunjukkan sesuatu perbuatan atau keadaan ‘refleksif’ atau bagi diri sendiri.

Jadi, memanglah ada suatu keperluan yang mendesak supaya fungsi-fungsi imbuhan ini dikaji dan dinilai semula supaya usaha penyeragamannya menjadi mudah. Sudah ada usaha yang dijalankan menuju matlamat ini seperti (Asmah, 1968; Abdullah, 1974), tetapi butir yang terdapat di dalam buku itu masih belum diperkembangkan. Kalau kandungan ini diperkembangkan mungkin ia dapat menjadi pengaruh supaya dapat menyeragamkan sedikit sebanyak morfologi bahasa Malaysia. Suatu senarai imbuhan dan fungsi-fungsinya yang jelas haruslah dibentuk untuk menghilangkan perbezaan-perbezaan yang terdapat sekarang dalam tatabahasa bahasa Malaysia. Suatu buku tatabahasa baru juga dapat mengandungi semua maklumat ini dengan tiada sebarang ketaksaan harus dapat menjadi alat yang paling berkesan dalam membakukan bahasa Malaysia itu.

1.3.3 Kosa Kata

Ada dua golongan kata yang harus dipertimbangkan di dalam membincangkan masalah pembakuan kosa kata, iaitu kata-kata umum dan kata-kata istilah.

Kata-kata umum ialah kata-kata yang selalu dipakai hari-hari dengan membawa makna yang umum juga. Sememangnyalah kata-kata ini membawa erti yang berbeza-beza daripada suatu dialek ke dialek yang lain, sama ada dialek geografi atau dialek sosial. Suatu contoh perbezaan erti suatu perkataan dari segi geografi ialah kata kelmarin. Bagi dialek bahasa Malaysia Utara ia bererti ‘hari sebelum hari ini’, tetapi di dalam dialek Selatan ia bererti ‘suatu malam’, atau ‘suatu hari pada suatu masa dulu’. Walaupun perkataan ini tentu tidak membawa apa-apa masalah pada peringkat dialek, tetapi ia patut diberi penentuan dalam bahasa Malaysia baku. Suatu alat media massa yang berkesan mungkin dapat memberi panduan kepada orang ramai bagaimana kata kemarin itu harus digunakan: jadi kelmarin itu dipakai khusus untuk ‘hari sebelum hari ini’ dan semalam untuk ‘malam semalam’.

Sebenarnya perkara yang paling penting di dalam pembakuan adalah melibatkan hal-ehwal peristilahan ataupun perkataan khusus untuk bidang ilmu tertentu. Hal ini semakin menjadi penting. Masyarakat yang menjadi moden lebih bergantung kepada industri dan menerima banyak konsep dan barang-barang baru pada setiap hari untuk membolehkan mereka menerangkan sesuatu dengan lebih jelas. Masyarakat yang moden juga memerlukan bahasa yang moden. Bahasa yang dituturkan oleh sebuah masyarakat moden perlulah juga moden. Negara Malaysia yang makin menjadi lebih maju dalam perindustrian ini adalah memerlukan bahasa yang lebih moden, yakni lebih lengkap untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Malaysia merdeka pada tahun 1957, dan telah menilai dan mencuba membentuk suatu sistem pelajaran yang baru bagi Malaysia dalam usaha untuk menerbitkan suatu rupa bangsa Malaysia. Dengan itu Laporan Razak dan kemudiannya Rahman Talib telah disusun. Suatu daripada perkara yang paling penting untuk dipelaksanakan ialah penggunaan bahasa Malaysia dengan sepenuhnya sebagai bahasa pengantar di dalam bidang pendidikan. Bahasa Malaysia mestilah menggantikan bahasa Inggeris seluruhnya sebagai bahasa pendidikan. Dalam hal ini ternyata suatu kesulitan yang amat besar. Sebelum itu, bahasa Malaysia belum pernah digunakan sebagai bahasa pengantar di dalam pendidikan menengah dan tinggi. Sehingga hari itu bahasa Malaysia hanya bertugas sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah saja. Oleh sebab yang demikian maka bahasa Malaysia itu mengandungi beberapa kekurangan yang asas untuk menunaikan tugasnya yang baru untuk menyampaikan pelajaran. Agak lebih tepat lagi kalau saya katakan, kekurangan yang amat sangat, terdapat di dalam bidang sains dan teknologi. Memang benar kalau dikatakan, bahagian ini merupakan suatu akuan dalam bahasa Malaysia. Peristilahan dalam bidang ini amat-amat diperlukan. Peristilahan yang ada hanyalah merupakan segelintir kata-kata khusus dalam bidang sebaran am, dan politik (McHugh, 1948; dan Mohammad bin Haniff, 1949).

Walaupun terdapat kekosongan seumpama ini tetapi ia tidaklah pula menumpulkan perasaan kebangsaan yang berkobar-kobar di kalangan orang-orang Melayu. Walaupun kesulitannya banyak, tetapi kesedaran untuk menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar adalah amat tepat. Dalam sebuah negara yang sedang mencuba membentuk perwatakannya sendiri, adalah amat perlu sebuah bahasa nasional diterima untuk memberinya identifikasi baru. Menggunakan bahasa Inggeris terus-menerus akan tidak dapat membuang imej keinggerisan negara ini, dengan mempunyai alat kebudayaannya tersendiri, dan suatu imej dan watak yang berasingan. Kedaulatan bahasa itu akan memberikan sesuatu negara itu wataknya pula. Sememangnya, bukan ini saja yang menjadi sebab kepada bahasa Malaysia diterima menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Tidaklah kena pada tempatnya sekiranya bahasa kebangsaan sesebuah negara tidak diberi penghormatan demikian. Soal pokoknya ialah, kenapa mesti anak negara di Malaysia harus mesti fasih dalam sebuah bahasa asing sebelum dia dapat belajar. Memang tidak sukar difahami bahawa membiarkan hal yang demikian berlaku terus adalah bermakna kita telah menyalahi hak-hak susila kemanusiaan. Kenapakah seseorang itu dibebankan dengan tugas untuk mempelajari sebuah bahasa asing sebelum ia mendapat peluang untuk menerima pelajaran dalam bahasa kandungnya. Berikutan dengan itu pelajaran tinggi dalam bahasa Malaysia juga mestilah dilaksanakan, dan perkara ini memang sudah menjadi kenyataan pada masa ini. Walau bagaimanapun sekolah-sekolah yang dulunya dijalankan dalam bahasa Inggeris adalah sedang dalam proses penyesuaian menjadi sekolah aliran bahasa Malaysia.

Setelah langkah pertama dijalankan untuk melaksanakan sistem pendidikan menengah dan tinggi dalam bahasa Malaysia, makan barulah timbul dua masalah besar. Masalah yang pertama mengenai bahan pembelajaran, iaitu buku teks dan rujukan bagi kedua-dua peringkat pengajian baik menengah mahupun tinggi amatlah berkurangan. Boleh dikatakan buku-buku dalam bidang tersebut tidak ada langsung. Suatu langkah untuk mengatasi masalah ini terpaksalah dicari dan dijalankan segera. Tidaklah ada cara lain yang dapat mengatasi masalah ini melainkan dengan cara individu menulis buku-buku teks tersebut diterjemahkan, daripada bahasa lain, dan sumber yang paling mudah didapati ialah daripada bahasa Inggeris. Masalah kedua adalah amat rapat berhubung dengan maslah yang pertama tadi. Walaupun mungkin ada individu yang sanggup menjalankan tugas ini, sama ada untuk menulis atau menterjemahkan buku teks, maka masalahnya masih belum selesai. Ini berbangkit kerana tiadanya istilah yang lengkap untuk menampung segala bidang ilmu yang dulunya diajar dalam bahasa Inggeris. Ini meletakkan seluruh masalah pelaksanaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pendidikan dan pentadbiran dalam keadaan yang amat merumitkan, bahkan mungkin akan merosakkan langsung keseluruhan dasar yang dibentuk tersebut. Kekosongan dalam peristilahan ini mestilah terlebih dulu diatasi sebelum pelaksanaan bahasa Malaysia itu dapat dilancarkan. Sekurang-kurangnya, masalah ini harus dapat diselesaikan secara selari dengan pelaksanaan bahasa Malaysia seluruhnya. Oleh sebab itu langkah-langkah yang perlu untuk memperlengkapkan bidang peristilahan dalam bahasa Malaysia itu terpaksalah dijalankan dengan segera.

Tanggungjawab untuk memperlengkapkan bahasa tersebut diberi kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),yang dibentuk pada tahun 1956, khusus untuk menampung keperluan tersebut. Dengan tidak payah diceritakan dengan panjang lebar, nyatalah bahawa DBP telah dengan serta-merta menjalankan tugas yang telah diberikan kepadanya tersebut dan menumpukan perhatiannya untuk memperlengkapkan bahasa Malaysia tersebut bagi menjadikannya sebuah alat yang mampu untuk menjalankan peranannya yang baru. Oleh sebab perkara ini adalah amat mendesak dan mesti diselesaikan dengan segera, suatu perancangan yang rapi mestilah dibuat. Dengan mengenali keperluan yang mendesak dalam pembentukan istilah-istilah sains ini, maka projek penciptaan istilah telah dibentuk. Sistem yang dibentuk itu hendaklah boleh bergerak dan dapat menyelesaikan kesulitan yang dihadapinya supaya jangan menjahanamkan seluruh projek tersebut. Dengan hal yang tersebut, jawatankuasa pembentukan istilah pun dibentuk untuk bidang-bidang ilmu yang berlainan. Pada peringkatnya yang paling sibuk terdapat 27 buah jawatankuasa yang berjalan serentak. Setiap satu jawatankuasa ditugaskan untuk mencipta istilah bagi suatu bidang ilmu yang tertentu.

Ahli-ahli yang berkhidmat dalam sesuatu jawatankuasa tersebut terdiri dari sarjana-sarjana dalam bidang tertentu iaitu seorang ahli sains dalam bidang kimia akan berkhidmat di dalam jawatankuasa kimia termasuk ahli bahasa. Usaha mereka itu memang tidak dapat dinafikan, telah membawa hasil yang amat menggalakkan. Demi kepentingan untuk memperlengkapkan bahasa Malaysia menjadi bahasa kebangsaan bagi mendukung satu rupa pendidikan dan kebudayaan, mereka ini telah bertugas dengan penuh minat dan usaha. Hasilnya ialah, sebagai yang terlapor dalam Dewan Bahasa Sa-puloh Tahun ialah, terdapat 71,000 patah istilah yang telah dicipta selepas sepuluh tahun DBP tertubuh. Pada hari ini, hasil istilah yang dibentuk berjumlah lebih dua kali ganda bilangan tersebut. Penilaian yang agak mudah dapat dibuat dengan tidak payah meneliti keadaan ini lebih jauh lagi, kerana sudah menjadi kenyataan pada hari ini bahawa bidang ilmu telah pun dapat disampaikan dengan menggunakan bahasa Malaysia baik di peringkat sekolah mahupun di peringkat universiti, baik dalam bidang sastera mahupun dalam Malaysia, telah pun mula menjadi suatu kenyataan. Kalau dulunya, dengan banyaknya dalam bahasa Malaysia. Serentak dengan itu, bahasa Malaysia telah pula mula dipergunakan sebagai bahasa pentadbiran. Pendek kata, hasrat ahli-ahli politik dan pendidik untuk melaksanakan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan Malaysia, telah pun mula menjadi suatu kenyataan. Kalau dulunya, bahasa Malaysia agak janggal kalau digunakan dalam bidang ilmu, tetapi, pada hari ini, ia sudah merupakan suatu keadaan biasa.

Bahagian istilah DBP adalah mendukung tugas untuk menyelaraskan istilah-istilah yang telah dicipta oleh jawatankuasa-jawatankuasa yang berlainan itu. Tugas penyelarasan dalam bidang pengajian tinggi pula dijalankan di institusi-institusi pengajian tinggi yang berkenaan. Jabatan tersebut telah bertugas selaku sekretariat bagi kesemua jawatankuasa istilah. Jabatan ini juga diberi tanggungan untuk menyebarkan istilah-istilah yang telah dibentuk itu. Ini dijalankan dengan tujuan supaya istilah-istilah yang dipakai adalah seragam. Sehingga hari ini DBP telah pun mencipta, mencetak dan menerbitkan istilah dalam bidang berikut: Perjawatan dan Jawatan (1960); Pentadbiran (1961); Ekonomi (1965); Pendidikan (1966); Geografi (1967); Biologi, Perhutanan, Pertanian, Fizik, Matematik dan Kimia (1968); Kejuruteraan (1970); Undang-undang, Linguistik, Kesusasteraan, dan Pos (dan Perhubungan) (1972); Perniagaan, Industri, Perakaunan, Sejarah dan Sains Rumahtangga (1973); Muzik dan Seni (1974). Istilah yang tercetak ini adalah peristilahan yang rasmi dan diterima oleh Kementerian Pelajaran dan digunakan dengan luasnya oleh sekolah, maktab dan universiti, serta institusi lain yang berkenaan.

Sememangnya, DBP mungkin tidak akan berjaya melaksanakan projek yang sedemikian besar secara bersendirian. DBP sentiasa mendapat bantuan dari pihak-pihak lain. Misalnya, ada bidang ilmu yang baru diajar di peringkat universiti, dan juga peringkat pengajian tinggi itu dengan sendirinya akan menyebabkan tugas penciptaan istilah tersebut tidak dapat dijalankan oleh DBP tanpa bantuan tenaga sarjan-sarjan dari universiti tersebut. Dalam hal yang demikian, DBP tidaklah akan dapat menyediakan istilah-istilah tertentu yang berkenaan, dan oleh sebab itu maka sarjana-sarjana di universitilah yang mampu memainkan peranan yang aktif dalam pembentukan istilah demikian juga; keperluan istilah di universiti-universiti terlalu mendesak dan terletak di luar kemampuan DBP untuk memberi pertolongan. Oleh yang demikian, pihak universiti juga terpaksa membentuk jawatankuasa istilah masing-masing. Berbangkit dari keperluan universiti-universiti yang berlainan itu untuk membentuk istilah masing-masing, maka timbullah pula keperluan bagi mereka menyeragamkan istilah-istilah yang dicipta supaya percanggahan tidaklah berlaku dan mengelirukan penggunaan bahasa Malaysia. Usah menyelaraskan istilah yang dicipta itu dilakukan seterusnya. Usaha untuk menyelaraskan istilah yang dicipta dan dipakai di institusi pengajian tinggi ini memang sentiasa berlaku seperti yang diterangkan di atas tadi.

Proses pembentukan istilah ini bukanlah semudah yang diperikan. Banyak masalah dan penyelewengan telah berlaku dalam usaha penciptaan istilah ini. Pada peringkat awal, segala usaha membentuk istilah ini berjalan tanpa pedoman yang rapi, dan kaedah yang dipergunakan tidaklah mempunyai prinsip-prinsip yang seragam. Kecenderungan ahli jawatankuasa yang bertugas membentuk istilah ialah supaya istilah yang dicipta itu mestilah bersifat Melayu seluruhhannya. Pendek kata mereka ini bersikap tulen. Oleh yang demikian pinjaman unsur bahasa asing tidaklah digalakkan. Sebarang unsur dari luar adalah dianggap atau difikirkan akan membawa kerosakan kepada bahasa Malaysia. Jadi, unsur yang harus dipergunakan dalam penciptaan istilah itu dijaga supaya bersifat Melayu seratus peratus. Peminjaman unsur atau kata-kata asing dihindari. Akibat yang berbangkit ialah, hasil istilah yang dicipta melalui pendekatan demikian menerbitkan istilah-istilah yang berupa terjemahan terus, tidak dapat mendukung konsep yang sepenuhnya dari istilah asal yang tertentu. Keburukan kedua yang timbul ialah, oleh sebab keengganan meminjam atau menerima unsur dari bahasa lain, menyebabkan istilah berupa akromim dicipta sebagai jalan keluar. Gabungan bahagian perkataan dari kosa kata bahasa Malaysia digunakan untuk menerbitkan istilah baru. Masalahnya ialah, setengah-setengah dari istilah ini, bukan saja tidak tepat, tetapi dari segi bentuknya pula, ia tidak dapat dikenali. Kata-kata akronim ini lebih menyulitkan penggunaan bahasa, kerana terpaksa pula mempelajari kata-kata baru tercipta, yang sama sekali asing. Oleh yang demikian barulah timbul kesedaran, bahawa sikap dan pendekatan tulen ini, bukanlah melicinkan perkembangan bahasa, yakni memodenkan bahasa, tetapi adalah menambahkan kesukaran dalam usaha mempermodenkan bahasa. Halangan ini cepat difahami oleh ahli-ahli jawatankuasa istilah tersebut. Mereka mulai menyedari bahawa perlulah ada pedoman yang lebih liberal dalam usaha pembentukan istilah ini. Sikap dan pendekatan yang demikian sudah semestinyalah akan dapat mempermudahkan usaha pembentukan istilah tersebut. Ini lebih progresif dan berkesan. Oleh sebab itu, proses pembentukan istilah menjadi lebih licin. Oleh sebab adanya sikap liberal dan juga sikap konservatif yang lebih awal dulu, telah menimbulkan istilah yang berupa sinonim dalam bahasa Malaysia. Dari puak yang bersikap konservatif pada masa awal-awal usaha pembentukan istilah, timbul istilah seperti maun (makan daun), maging (makan daging), dan jabanah (jalan bawah tanah) dan lain-lain. Anehnya pula unsur bahasa Arab tidaklah dianggap asing oleh puak konservatif ini. Jadi terdapat istilah seperti mentasih ‘sunting’, suhu, dan lain-lain. Hanya setelah beberapa lama baru timbul sikap yang lebih liberal dan peminjaman dari bahasa Inggeris dibolehkan. Dari puak yang liberal pula timbul istilah yang berupa pinjaman, seperti horvivore, karvonivore dan temperatur untuk istilah di atas tadi. Adanya dua tiga patah perkataan bagi konsep yang sama tidaklah menimbulkan masalah. Ini tidaklah dapat dianggap sebagai sesuatu yang tidak baik, kerana, dalam kebanyakan bahasa, sinonim selalunya dapat memberi pengertian yang lebih khusus bagi sesuatu konsep.

1.4 Memperkembangkan Bahasa Malaysia Baku

dalam sebutan negara yang baru merdeka dan mahu mempelopori suatu rupa bahasa dan kebudayaan, maka tentulah perlu supaya bahasa kebangsaannya itu diperluaskan bagi membolehkan kesefahaman berkembang di kalangan rakyatnya. Telah dibincangkan di atas apa yang dimaksudkan dengan bahasa baku, iaitu apa yang dianggap baku itu adalah berdasarkan suatu norma yang dipegang ramai demi untuk melicinkan komunikasi di kalangan penuturnya. Setelah, konsep apa yang dianggap baku itu menjadi jelas, maka langkah yang berikutnya ialah untuk memperkembangkan dialek baku tersebut. Dialek yang baku itulah yang menjadi dasar untuk mengajar bahasa tersebut kepada seluruh masyarakat di Malaysia.

Apabila bahasa Melayu (Malaysia selepas 1970) diterima dan diisytiharkan sebagai bahasa Kebangsaan pada tahun 1957, maka matlamat negara yang dituju ialah untuk mempelaksanakan bahasa tersebut menjadi bahasa Kebangsaan yang tunggal selepas sepuluh tahun, iaitu pada tahun 1967. kegagalan dalam mempelaksanakan bahasa Malaysia sepenuhnya pada tahun 1967 itu dapat dengan mudah difahami. Pertama sepuluh tahun adalah suatu jangka masa yang amat pendek untuk mempelaksanakan sebuah bahasa yang masih pada peringkat yang serba kurang untuk mengambil alih sistem pendidikan dan pentadbiran bagi seluruh negara. Tetapi, sebab yang keduanya mungkin merupakan masalah yang sebenarnya. Walaupun kerajaan bertujuan untuk mempelaksanakan bahasa Malaysia sebagai bahasa Kebangsaan yang tunggal, bagi mencapai perpaduan di kalangan rakyat, supaya berkiblat kepada kebudayaan yang sama, tetapi dasar kerajaan itu tidak dilaksanakan dengan jujur dan tegas. Kekurangan ketegasan inilah yang menimbulkan atau menyebabkan sikap yang tidak jujur pula di kalangan masyarakat Malaysia yang tidak menuturkan bahasa Malaysia. Mereka tidaklah merasa diperlukan untuk mempelajari bahasa Malaysia. Lebih-lebih lagi adanya sistem pendidikan di dalam bahasa Inggeris yang diteruskan itu telah menyebabkan bahasa Malaysia terpaksa bersaing dengan sebuah bahasa asing yang lebih efisien, dan tinggi nilainya dari segi ekonomi dan politik. Ini menyebabkan mereka mengambil keputusan, yang dapat difahamkan sebagai amat lojik, iaitu mengutamakan pendidikan anak-anak mereka dalam bahasa Inggeris. Bahkan anak-anak bumiputera yang mempunyai ibu bapa yang berkemampuan, telah tidak menaruh kepercayaan penuh kepada nilai ekonomi pendidikan dalam bahasa Malaysia, dan terus mengambil kesempatan memberi pendidikan anak mereka dalam bahasa Inggeris. Bahkan, ramai pula yang menghantar anak-anak mereka ke negara lain untuk belajar di sana. Salah satu daripada sebabnya ialah mereka tidak percaya penuh kepada sistem pendidikan di Malaysia, lebih-lebih lagi yang di dalam bahasa Malaysia. Ternyata benar, persaingan yang dihadapi oleh bahasa Kebangsaan, bukanlah dengan bahasa vernakular yang lain, seperti Mandarin atau Tamil, tetapi ialah dengan bahasa Inggeris. Keadaan ini berpanjangan dan apabila 1967 tiba, terdapat keadaan bahawa bahasa Kebangsaan masih belum terletak pada tempat yang telah dirancangkan untuknya. Sikap yang tidak jujur dari kalangan ahli masyarakat telah dengan cara tidak langsung melemahkan kepercayaan orang ramai terhadap sistem pelajaran dalam bahasa Malaysia. Belajar melalui sekolah kebangsaan yang mempunyai bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar, merupakan suatu halangan, dan bukannya kemudahan. Mereka yang menghantar anak ke sekolah kebangsaan adalah mereka yang terpaksa dan bukan kerana betul-betul didorong oleh semangat kebangsaannya. Sebabnya yang kedua pula ialah kekurangan ketegasan. Sememangnya sukar untuk bersifat tegas dalam mempelaksanakan bahasa Malaysia di sekolah. Tentangan daripada sekolah aliran Inggeris, Cina memang ada. Sebenarnya, tidaklah pula bijak memaksa masyarakat melakukan sesuatu di luar kepercayaan mereka. Tetapi, soalnya kenapakah mereka ragu-ragu. Keraguan mereka berpunca dari kekurangan ketegasan pihak kementerian sendiri. Kalau dasar pelajaran nasional itu dijalankan dengan tegas dan teratur, harus ini akan dapat menimbulkan kepercayaan masyarakat ramai. Oleh yang demikian selepas sepuluh tahun, matlamat negara masih belum tercapai.

Mungkin tarikh yang penting dalam mempelaksanakan bahasa Malaysia sebagai bahasa Kebangsaan bermula pada tahun 1970 apabila kerajaan mengambil langkah yang lebih tegas untuk mempelaksanakan bahasa Malaysia, sebagai bahasa kebangsaan. Oleh sebab istilah bahasa Melayu itu membawa pengertian dan konotasi perkauman, maka langkah yang pertama untuk membolehkan bahasa Melayu menjadi lebih mudah diterima ialah dengan menamakan bahasa kebangsaan pada masa itu sebagai bahasa Malaysia. Istilah Bahasa Malaysia membawa pengertian yang bahasa itu ialah bahasa untuk semua, sebagai suatu alat kebudayaan dalam suatu masyarakat dalam negara Malaysia. Identiti bahasa ini menjadi agak berubah, menjadi suatu rupa bahasa yang boleh diterima oleh siapa saja yang menjadi warganegara Malaysia. Walau bagaimanapun yang termaktub di dalam perlembagaan sebagai bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu. Jadi istilah bahasa Melayu masih digunakan di sini apabila perlu menurut konteksnya.

Selepas 1969, langkah yang diambil oleh kerajaan Malaysia untuk melaksanakan bahasa Malaysia menjadi lebih tegas, dan hasilnya jelas lebih berkesan. Pembelajaran bahasa Malaysia menjadi lebih sistematis dan teratur. Langkah yang berkesan itu ialah dengan melaksanakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah secara berperingkat-peringkat. Adalah diharapkan bahawa seluruh penyampaian mata pelajaran di sekolah-sekolah akan dapat bertukar kepada bahasa Malaysia sepenuhnya di setiap peringkat sekolah rendah dan menengah. Dengan itu bahasa Malaysia akan terus digunakan sebagai bahasa pengantar di dalam bidang sastera di pusat pengajian tinggi pada tahun 1982 dan dalam bidang sains pada tahun 1983. walaupun dikatakan yang bahasa Malaysia akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, tetapi sebenarnya sudah wujud sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Malaysia baik di peringkat sekolah walaupun universiti. Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah ditubuhkan pada tahun 1970 telah dapat menampung pelajar-pelajar dalam aliran bahasa Malaysia. Oleh yang demikian sudah ada bukti yang konkrit untuk menunjukkan bahawa bahasa Malaysia sudah mampu untuk mengendalikan penyampaian ilmu dalam bahasa Malaysia di peringkat pengajian tinggi.

Pada waktu yang sama, taraf bahasa Malaysia dari segi ekonomi dan perjawatan juga dipertinggikan. Kelulusan kepujian bahasa Malaysia di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia menjadi suatu keperluan bagi mendapat jawatan, ataupun penetapan dalam jawatan bagi mereka yang sudah ada dalam jawatan. Kelulusan dalam bahasa Malaysia pada peringkat kemahiran bertutur juga menjadi syarat untuk lulu dalam peperiksaan ijazah di universiti. Walaupun peraturan baru ini banyak menyebabkan calon yang gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, dan menimbulkan banyak bantahan dari kalangan mereka yang terlibat, tetapi pihak Kementerian Pelajaran telah bersikap tegas dan terus melaksanakan dasarnya. Ini telah menghasilkan suasana yang agak baik.

Kementerian Pelajaran juga telah mula melihat dengan secara serius tentang keadaan yang sebenarnya mengenai keperluan buku-buku teks dalam bahasa Malaysia yang digunakan di sekolah-sekolah. Jumlah buku teks yang dicetak dalam bahasa Malaysia bertambah bilangannya dan ini dapat dijayakan dengan usaha dan kerjasama DBP. Guru-guru bahasa Malaysia juga dilatih dengan ramainya untuk menampung keperluan tersebut. Pada peringkat ini juga terlibat suatu ciri yang agak nyata, iaitu telah ramai guru yang mengajar bahasa Malaysia itu terdiri daripada kaum bukan Melayu. Ini dengan sendirinya menunjukkan betapa majunya pengajaran bahasa itu, di samping membuktikan kemampuan bahasa Malaysia sebagai bahasa Kebangsaan. Guru-guru yang diajar tersebut juga dilatih semula untuk membolehkan mereka menggunakan bahasa tersebut sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Keadaan seperti ini boleh dikatakan dapat membentuk untuk memperkembangakan bahasa Kebangsaan, sekurang-kurangnya di kalangan mereka di dalam bidang pendidikan.

Suatu langkah lain yang harus disebut di sini ialah langkah kerajaan meluaskan penggunaan bahasa Malaysia dalam siaran radio dan televisyen atau dalam alat sebaran am yang lain. Bahasa Malaysia dipergunakan dengan seluas yang mungkin dan bahasa-bahasa yang lain dipergunakan secara minimum kepada isi rancangan-rancangan tertentu. Sebelum 1969, setiap satu siaran itu dikenali berasingan sebagai siaran Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil. Tetapi selepas itu, siaran ini masing-masing dikenali sebagai rangkaian Nasional, Biru, Merah dan Kuning. Bahasa yang digunakan untuk memperkenalkan rancangan-rancangan ini ialah bahasa Malaysia. Sememangnya tidak dapat diragukan, bahawa inilah satu alat yang berkesan dalam memperkembangkan dan membakukan bahasa Kebangsaan.

Di sini diperikan bagaimana langkah-langkah telah diatur untuk melaksanakan bahasa Malaysia baku, dan sememangnya sambutan dari ahli masyarakat amat baik. Sekarang sudah mula dapat dilihat penggunaan bahasa Malaysia itu mula berkembang. Walaupun ini adalah merupakan suatu gejala baik tetapi haruslah kita hati-hati dalam melaksanakan bahasa kebangsaan ini. Dalam hal ini kalau diperhatikan dengan teliti ada terdapat beberapa keanehan yang berlaku, yang kadang-kadang menyebabkan kerosakan kepada bahasa. Kerap terdapat beberapa kesalahan dalam penggunaan bahasa, yang terjadi oleh sebab beberapa hal. Pengaruh yang pertama yang kerap terdapat merosakkan bahasa ialah dari bahasa Inggeris. Kesalahan ini berlaku kerana ada orang yang menggunakan struktur ayat Inggeris dalam bahasa Malaysia. Walaupun, sekali imbas, seolah-olah masalah ini tidak berat, tetapi kalau diperhatikan ia mengacaubilaukan bahasa. Dalam sebuah iklan untuk kereta baru-baru ini, terdapat ayat ‘di bawah $10,000’, sebab timbulnya kesalahan ini jelas apabila terlihat versi Inggerisnya yang berbunyi ‘under $10,000’, padahal mungkin lebih tepat dikatakan ‘kurang daripada $10,000’. Kekacauan begini juga terjadi apabila terdapat struktur ayat yang berbentuk Kata Sifat + Kata Nama dalam bahasa Inggeris, yang bulat-bulat ditiru ke dalam bahasa Malaysia, seperti Emas Restoran, Sayang Mas Merah Restoran, Pulau Klinik, dan Sentosa Klinik. Sepatutnya, nama-nama perniagaan ini disebut Restoran Emas, Restoran Minah, Restoran Sayang Mas Merah, Klinik Pulau dan Klinik Sentosa. Nama-nama perniagaan yang seperti ini, yang menggunakan bahasa yang salah dari segi tatabahasa adalah merbahaya dalam perkembangan bahasa kalau tidak dibetulkan. Ia mungkin akan menimbulkan bahasa pasar. Anehnya pula ada di antaranya yang dipunyai oleh orang Melayu. Di samping itu terdapat pula kesalahan tatabahasa seperti yang terdapat dalam ruangan bahasa Malaysia di akhbar Straits Echo. Bahasanya amat ganjil dan penuh kesalahan yang menjolok mata, satu daripadanya ialah ayat ini: Malaysia terletak di hampiran khatulistiwa dan tidak berhampiran. Dari segi sebutan tidaklah terhingga banyakkannya. Sedikit daripada contoh ini ialah masih ramai penutur bukan bumiputera yang tidak tahu membezakan dara dengan darah, dada dengan dadah, bahkan kata-kata yang tidak berakhir dengan h diberi huruf h seperti Tanjung- Bunga, Bagan Datuh, Teluk Datuh dan lain-lain.

Memang, kalau mahu diperkatakan, banyak lagi kesalahan-kesalahan tatabahasa seperti ini. Tetapi memadai dengan sedikit contoh di atas. Sebenarnya, kalau suatu model bahasa baku yang baik harus diperkembangkan maka eloklah kesalahan-kesalahan seperti ini jangan dibiarkan berpanjangan, ia mesti dibetulkan. Bagaimana cara ini dapat dilakukan adalah suatu persoalan lain dan terletak di luar dari tugas kertas ini. Di sini, cukuplah dengan si penulis mendedahkan persoalan-persoalan yang merumitkan dalam usaha membakukan bahasa.

1.5 Kesimpulan

Sememangnya, kerap diragukan yang bahawa, langkah-langkah positif kerajaan ini akan melenyapkan kebudayaan dan keperibadian masyarakat mendatang yang menjadi warganegara Malaysia. Walaupun demikian, masyarakat bahasa lain itu juga kian hari kian menunjukkan simpati terhadap hasrat dan cita-cita negara dalam membentuk sebuah bahasa dan kebudayaan kebangsaan. Adalah semakin diterima, bahawa konsep sebuah kebudayaan Malaysia dicipta untuk Malaysia dan berdasarkan satu bahasa Kebangsaan iaitu bahasa Malaysia. Ini adalah suatu hasrat sebuah negara yang baru merdeka, untuk mencipta dan membentuk keperibadiannya sendiri. Keperibadian ini tidak akan bererti sekiranya bahasa Kebangsaannya bukan daripada bahasa bumiputera. Memang jelas di kalangan negara-negara yang baru merdeka, tidak terdapat sebuah negara pun yang memilih untuk menggunakan bahasa penjajahannya sebagai bahasa kebangsaan. Kesemuanya mahukan identiti dan keperibadian sendiri. Dalam hal ini masyarakat dari berbilang kaum dan bahasa di Malaysia terus diberi kebebasan menganut dan mempraktiskan kebudayaan masing-masing, bahasa masing-masing. Mereka tidak dihalang, jadi keraguan bahawa kebudayaan dan bahasa mereka akan lenyap itu telah dengan sendirinya beransur hilang. Telah mula dapat dilihat pada masa ini rancangan televisyen yang memasukkan watak-watak berlainan bangsa, muzik-muzik yang dimainkan oleh ahli masyarakat tanpa mengira bangsa dan usulnya. Ini mungkin sedikit dari bukti yang menunjukkan bahawa bahasa dan kebudayaan kebangsaan itu telah mulai menerima kepercayaan penduduk Malaysia yang berbilang bangsa itu. Hal ini dapat diperjuangkan tanpa merosakkan kedudukan bahasa dan kebudayaan kaum-kaum lain di Malaysia.

Walaupun, gambaran yang diberi selama ini seolah-olah menggalakkan yang langkah-langkah ini berjalan baik dan tidak ada masalahnya, tetapi harus juga diketahui bahawa gambaran ini tidaklah seharusnya tepat. Langkah-langkah pelaksanaan bahasa Malaysia tersebut baru bermula, dan masih belum dapat dikatakan berjaya sepenuhnya. Kejayaan sepenuhnya, harus menjelang tetapi, kita tidak dapat mengharapkannya berlaku dengan serta-merta.

BAHAN RUJUKAN

Abdullah Hassan, Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Nasional dalam Masyarakat

Malaysia Baru, dalam Dewan Bahasa, Oktober 1976 hlm. 545-565.

Abdullah Hassan, Unsur Gramatikal Asing, tak bercetak, 1985.

Abdullah Hassan, Penerbitan Kata dalam Bahasa Malaysia, Petaling Jaya: Penerbit

Fajar Bakti, 1986.

Abdullah Hassan, Isu dan Masalah Standardisasi Bahasa Malaysia, dalam Dewan

Bahasa, Mei 1983, hlm. 323-339.

Ahmad Mohamed Ibrahim & Ahilemah Joned, Sistem Undang-Undang di Malaysia,

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985.

Ainon Muhammad, Dasar dan Pelaksanaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Rasmi

dan Bahasa Kebangsaan, Seminar Bahasa Malaysia, di Universiti Malaya, 1953.

Alisjahbana, S.T., The Failure of Modern Linguistics in the Face of Linguistic

Problems of the Twentieth Century, Kuala Lumpur: University of Malaya Press, 1965.

Alisjahbana, S.T., Some Planning Prosesses in the Development of the Indonesia-

Malay Language, in Rubin, e tal. Can Language be Planned?, Honolulu: University of Hawaii Press, hlm. 179-188, 1970.

Alisjahbana, S.T., Indonesia and Malaysia dalam Sebeok, T., Current Trends in

Linguistics, Vol 8, The Hague: Mouton, h. 1087-1109, 1971.

Amat Johari Moain, Pembentukan Kata dan Istilah, dalam Dewan Bahasa, 1 Januari

1985, 18-34.

Asmah Hj. Omar, Standard Language and the Standardization of Malaya, dalam

Antropological Linguistics, Vol. 13, h. 73-90, 1971.

Asmah Hj. Omar, The Malaysian Mosaic of Language dalam Essays on Malaysian

Linguistics, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1967.

Asmah Hj. Omar, Perancangan Bahasa dengan Rujukan Khusus kepada

Perancangan Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978.

Asmah Hj. Omar, Language Planning for Unity and Efficiency, Kuala Lumpur:

Penerbit Universiti Malaya, 1979.

Asmah Hj. Omar, Perancangan Bahasa dan Pembinaan Bahasa, Dewan Bahasa, Jun

1981, 5-18.

Beg, M.A.J., Arabic Loan-words in Malay; A Comparative Study (Edisi Kedua),

Kuala Lumpur: pengarang sendiri, 1979.

Carey, Y.I., Tegleq Kui Serok, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969.

Chuah Chong Cheng, Garis-Garis Panduan untuk Standardisasi Istilah Biology,

kertas kerja (tak bercetak) USM, 1977.

Chuah Chong Cheng, Ke Arah Satu Percubaan Berkuliah dalam Bahasa Malaysia

dengna Lebih Berkesan, oleh Ahli Biologis di Institusi Pengajian Tinggi, kertas kerja (tak bercetak) USM, 1977.

Cobarrubias, J., (Ed.), Progress in Language Planning, Berlin: Walter de

Gruyter&Co., 1983.

Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,

1981.

Daftar Istilah MBIM, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986.

Daftar Kata-Kata Pinjaman Umum dalam Ejaan Rumi Baru Bahasa Malaysia,

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978.

Hashim Yeop A. Sani, Bagaiman Undang-Undang Kita Diperbuat, Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980.

Dewan Bahasa dan Pustaka Sa-Puloh Tahun, Kua Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka, 1967.

Eastman, C.M., Language Planning – An Introduction, San Francisco: Chandler&

Sharp Publishers, Inc., 1983.

Farid Mohd. Onn, Aspects of Malay Phonology and Morphology, A Generative

Approach, Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia, 1976.

Fauziah bt. Ismail, Bahasa Kebangsaan dan Istilahnya, Latihan Ilmiah, Universiti

Malaya, Jabatan Pengajian Melayu, 1965.

Ferguson, C.A., Language Development, dalam Fishman, et al. Language Problems of

Developing Nations, New York: John Wiley and Sons, 1968.

Fishman, J.A., Nationality-Nationism and Nation-Nationism, dalam Fishman e al.,

Language Problems of Developing Nations, John Wiley and Sons, 1968.

Fishman, J.A., Language Modernization and Planning in Comparison with other

types of National Modernization and Planning, dalam Language in Society, 2: 23-43, 1973.

Ghazali bin Othman, Perkembangan Perbendaraan Kata Bahasa Melayu dalam

Konteks Perkembangan Kebudayaan Pengguna-Pengguna Bahasa Melayu, Tesis – M.A. Universiti Malaya, Jabatan Pengajian Melayu, 1973.

Gonda, J., Sanskrit in Indonesia, Edisi Awal Kedua, New Delhi: International

Academy of Indian Culture, 1973.

Hall Jr.R.A., American Linguistics dalam Archivum Lingustivum IV (fasa I), 1-16,

1951.

Harimurti Kridalaksana, Fungsi Bahasa dan Sikap Bahasa, Ende: Penerbit Nusa

Indah, Cetakan 2, 1978.

Hassan bin Ahmad, Dasar Pembentukan Istilah Sains dalam Bahasa Malaysia,

Dewan Bahasa, (Jun 1981) 19-30.

Hassan bin Ahmad, Istilah Bahasa Malaysia Kerap Berubah, Dewan Bahasa, (83:48).

Haugen, E., Planning for a Standard Langugae in Modern Norway dalam

Antropological Linguistics I(3):8-21, 1959.

Haugen, E., Construction and Reconstruction in Language Planning: Ivar Aasen’s

Grammar, dalam Word, 21(2): 188-207, 1965.

Haugen, E., Dialect, Language, Nation, dalam American Antropologist, 68(4): 922-

935, 1966.

Haugen, E., Linguistic and Language Planning, dalam Bright, W. (ed.),

Sosiolinguistics: Proceedings of the UCLA Sociolinguistics Conference, The Hague: Morton, 159-190, 1966.

Haugen, E., Language Planning, Theory and Practice, dalam Graur, A. (ed.), Actes

due Xe Congres International des Linguistics Bucarest, Bucharest: Editions de L’Academie de la Republique Socialiste de Roumanie, 701-711, 1969.

Ismail Hussein Malay Dialectsin the Malay Penisula, kertas kerja ICO, Canberra

1969.

Karam, F.X., Toward A Definition of Language Planning, dalam J.A. Fishman,

Advance in Language Planning, The Hauge: Mouton, 1974.

Kementerian Pelajaran Malaysia. Penggunaan Istilah Sains di Peringkat Sekolah,

Seminar Penggunaan Istilah Sains, Kuala Lumpur, Disember 14-15, 1983.

Khoo Lian Ee & Sam Teng Wah, Masalah-Masalah yang Ditemui Semasa

Menterjemahkan Sebuah Buku Teks Kimia Organik, kertas kerja (tak bercetak) USM, 1977.

Kloss, H., Research Possibilities on Group Bilingualism: A Report, Quebec,

International Center for Bilingualism, 1969.

Laporan Jawatankuasa Mengkaji Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa

dan Pustaka, 1981.

Le Page, R.B., The National Language Question: Linguistic Problems of Newly

Independent States, London Oxford University Press, 1964.

Lim Chin Lam, Aspek-Aspek Penggunaan Bahasa Malaysia dalam Sains dan

Teknologi, kertas kerja (tak bercetak) USM 1977.

Malkiel, Y., Lexicography dalam Reed, C.E., The Learning of Language, Appleton

Century Crofts, 1971, m.s. 363-387.

Mas’od Abd. Rashid, Beberapa Kesulitan dalam Mencari Istilah Sains, dalam Dewan

Bahasa, (Februari 1959) 59-71.

Neustuphy, J.V., Basic Types of Treatment of Language of Language Problem, dalam

J.A. Fishman, Advances in Language Planning, The Hague: Mouton, 1974.

Noss, R., Language Policy and Higher Education, Vol. III, Part 2 of Higher

Education and Development in Southeast Asia, Paris: UNESCO and International Association of Universities, 1967.

Pedoman Umum Ejaan Bahasa Malaysia, Kuala Lumper: Dewan Bahasa dan

Pustaka, 1975.

Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka, 1975.

Quirk, R. & Greenbaum, S., A University Grammar of English, London: Longman,

1973.

Rabin, C., Spelling Reform – Israel 1968 dalam Rubin & Jernudd, Can Language be

planned? 95-121, Honolulu: University Press of Hawaii, 1971.

Raja Mukhtaruddin b. Raja Mohd. Dain, Pembinaan Bahasa Melayu: Perancangan

Bahasa di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982.

Ray, P.S., Language Standardization Fishman, et al. dalam Reading in the Sociology

of Language, The Hague: Mouton, 1966.

Rubin, J., Evaluation and Language be Planned?, Honolulu: University Press of

Hawaii, 1971.

Rules of The High Court 1980, (P.U [A]50/80), Kuala Lumpur: Malaysian Law

Publishers, 1982.

Salleh Johari, Pembentukan Istilah dalam Perkembangan Bahasa, Latihan Ilmiah,

PPIK., USM, (tidak bercetak, 1985).

Sasterawan 50, Memoranda Angkatan Sasterawan 50, Kuala Lumpur: Oxford

University Press, 1962.

2 comments:

  1. assalamualaikum prof,antara bahasa Melayu dan bahasa Malaysia,yang mana lebih tepat untuk dipanggil? contoh (nagara China=bahasa cina atau bahasa mandarin),(negara Arab=bahasa Arab),terima kasih prof>

    ReplyDelete
  2. Di dalam artikal ini memfokuskan berkenaan Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Kebangsaan Dan Cabarannya. Tajuk artikal ini sangat berguna untuk mereka yang mencari maklumat yang berkaitan bagi menyiapkan tugasan yang telah diberikan oleh tenaga pelajar masing-masing. Sebagai rujukan, di sini saya mempunyai laman web yang boleh membantu anda semua mencari maklumat yang lengkap dengan hanya melayari essay writing service malaysia kerana mempunyai isi kandungan yang lengkap dan padat. Dengan itu, ia dapat membantu anda semua di dalam bidang penulisan ini. Perkhidmatan ini juga telah disediakan oleh mereka yang telah lama berpengalaman dalam menghasilkan bidang penulisan.
    Terima Kasih di atas perkongsian yang berguna ini.

    ReplyDelete